Selasa, 20 November 2007

Bhg 43

SELEPAS menunaikan solat Subuh berjemaah dengan kedua orang tuanya di pagi Jumaat itu, Iskandar terus saja bersiap-siap untuk ke tempat kerja.
“Petang ni Is tak balik, umi. Is nak terus ke...”
“Nak ke mana? Muar lagi?” pintas Dr Mardhiah dengan mata membulat memandang ke wajah anaknya yang sedang mengenakan stokin di sofa. Di wajahnya terpancar rasa tidak puas hati.
Prof. Khalidi yang baru saja menuruni anak tangga memerhati anak dan ibu itu. Dia tersenyum sendiri. Tentu akan berlaku perang lagi di antara kedua beranak itu, getus hatinya. Kadang-kadang dia kasihan tengok Iskandar yang terpaksa menurut segala kehendak uminya demi untuk menjaga hatinya. Tetapi kemarahan Dr Mardhiah seperti tidak pernah surut. Rajuknya begitu panjang. Patutlah Rasulullah menyuruh mentaati ibu sampai tiga kali kerana wanita itu hatinya lembut, mudah terusik dan sukar untuk diubati jika hatinya dilukai.
Sejak Iskandar berkahwin dengan Nudra, ada saja perlakuan Iskandar yang tidak kena di mata Dr Mardhiah. Puas dia menasihati agar isterinya tidak terlalu menurut perasaan kerana bimbang terlepas cakap yang bukan-bukan. Maklumlah orang tengah marah, macam-macam yang boleh terkeluar dari mulutnya. Bukankah kata-kata ibu itu adalah doa buat anak? Kalau yang baik-baik tidak mengapalah,bimbang kalau ada yang tidak baik yang terlepas.
Dia pun hairan kenapa tiba-tiba saja isterinya berubah fikiran,sedangkan sewaktu Iskandar meminta izin buat kali kedua untuk mengahwini Nudra, Dr Mardhiah biasa-biasa saja. Tidak pula dia menghalang. Tetapi setelah Iskandar menikah,lain pula jadinya. Perangai isterinya itu pun semakin berubah. Kalau dulu dia ibu yang lembut dan penyayang, kini dia mudah benar naik angin terutamanya bila ada kaitan dengan menantunya. Setengah hari pun dia masih boleh berleter tak berhenti-henti.
Iskandar sekadar mengangguk, tidak mahu mendengar leteran ibunya pagi-pagi begitu. Nanti rosak mood untuk bekerja hari tu, fikirnya. Dibiarkan saja uminya melepaskan perasaan.
“Sampai bila Is nak macam ni? Hari minggu je hilang... hari minggu je hilang... Sesekali umi nak mintak tolong pun tak boleh,” rungut Dr Mardhiah, mula melancarkan serangannya. Iskandar satu-satu anaknya yang tinggal bersamanya,maka ketiadaan Iskandar di setiap hujung minggu membuatkan dia merasa sunyi. Biasanya ada saja aktivi mereka bersama, baik di rumah mahupun di luar. Ke mana saja dia pergi, Iskandar akan menemani.
“Umi, Is…” Iskandar tidak tahu bagaimana lagi hendak menerangkan kepada ibunya agar umi memahami situasinya yang tersepit itu.
“Umi tahu, Is nak jumpa isteri Is tu. Tapi takkanlah setiap minggu? Sesekali umi nak jugak ajak Is shopping ke, hantar umi ke saloon ke… Atau tolong-tolong abah bersihkan halaman tu. Dah le hari kerja pun payah nak jumpa, tiap-tiap hari balik lambat,” leter Dr Mardhiah lagi.
Iskandar menelan keluhan. “Minggu depan Is janji Is ada kat rumah. Tapi minggu ni, Is kena pergi jugak. Is dah janji dengan Nudra.” Hari Ahad nanti hari jadi Nudra, dia dah belikan hadiah untuk isterinya itu. Iskandar sangat berharap agar ibunya tidak terlalu berkeras.
“Lagi-lagi Nudra! Lagi Nudra!” Hati Dr Mardhiah semakin radang apabila mengetahui kenapa Iskandar beriya-iya sangat hendak ke sana.
Sekali lagi Iskandar menelan keluhan. Rungutan ibunya bagaikan selumbar yang menyucuk di hati. Ngilu. Wajah bersih Nudra silih berganti dengan wajah umi yang sedang meradang itu.
“Dah Dhia yang tak bagi Is bawak Nudra ke KL ni, kenalah dia berulang-alik setiap minggu. Kalau Nudra tinggal dengan kita kan senang,” Prof, Khalidi yang sudah menjangka ‘perang’ isterinya itu cuba membela Iskandar. Dia merasa Dr Mardhiah sudah keterlaluan mendera perasaan anak menantunya itu. Dia faham dengan dilema Iskandar; ditelan mati emak, diluah mati isteri…
“Oh, jangan mimpilah Dhia nak benarkan budak tu tinggal kat sini!” balas Dr Mardhiah sambil melirik penuh makna kepada anaknya.
Iskandar mengeluh lagi. Tapi dalam hati saja. “Kenapa umi benarkan jugak Is kahwin dengan Nudra kalau umi tak suka Is bersama dia?” Terpacul pertanyaan yang sudah lama tersimpan di hati Iskandar.
“Umi hanya benarkan, umi tak kata umi akan terima dia dan umi tak kata juga umi akan benarkan Is jumpa dia,” bersahaja Dr Mardhiah membalas. Sakit hatinya kepada keluarga Wan Anum Sophia yang penipu itu masih belum terubat.
“Dah kahwin, mestilah nak jumpa. Kalau tak, baik tak payah kahwin. Dhia, rasionallah sikit… Berdosa kita halang suami isteri bertemu,” celah Prof. Khalidi dengan suara meninggi. Dia mula merasa panas hati dengan karenah isterinya.
“Umi, Is hanya mintak umi izinkan Is jumpa Nudra seminggu sekali je. Takkan itu pun tak boleh? Apa saja syarat umi, akan Is turuti. Is tak akan susahkan sesiapa pun sebab Is tahu apa yang Is dah lakukan dulu betul,” pinta Iskandar dengan suara perlahan. Dia tidak tahu sampai bila umi akan memusuhi Nudra. Setiap detik dia berdoa agar ALLAH bukakan hati umi untuk menerima Nudra sebagai menantunya. Di ketika itu dia dan Nudra akan hidup seperti pasangan suami isteri yang lain.
“Ooo…Is rasa betul? Sakitkan hati umi tu Is kata betul?” Keras suara Dr Mardhiah menyindir Iskandar.
Iskandar menggeleng-geleng. Bertekak dengan umi memang tidak akan buat dia menang. Menambah luka di hati adalah. Tapi apa nak buat, umi tetap umi… Sayang dan hormatnya kepada umi tidak sedikit pun luak.
“Iskandar nak turut syarat Dhia tu pun dah cukup baik. Kalau Is berkeras jugak bawak Nudra ke KL atau Is terus pergi dan langsung tak balik, siapa yang susah? Siapa yang rugi? Ikutkanlah kepala batu Dhia tu!” Prof. Khalidi bersuara lagi. Kali ini suaranya lebih keras dan tegas.
“Buatlah kalau berani. Umi tak akan maafkan sampai bila-bila. Umi tak halang Is kahwin pun dah satu rahmat. Jangan nak lebih-lebih. Is tak sedar, sakitkan hati ibu tu satu dosa. Umi kecil hati, Is tahu?”
“Sudahlah, Dhia… Tak baik diungkit-ungkit perkara lepas. Yang Dhia marah ni pun anak Dhia jugak. Yang Dhia tak suka tu isteri Is jugak, menantu Dhia. Kalau ditakdir Is jadi ayah, takkan anak dia pun Dhia nak benci? Sudah-sudahlah, Dhia... Iskandar ni nak berjalan jauh petang nanti. Dhia membebel bukan-bukan, kalau apa-apa jadi nanti siapa yang menyesal?” Prof. Khalidi berkhutbah panjang walaupun dia tahu nasihatnya itu akan dibiarkan saja berlalu bersama angin lalu.
“Dia bukan menantu Dhia! Dan Dhia tak akan benarkan dia mengandungkan cucu Dhia.” Dr Mardhiah terus mencapai beg tangannya lalu mengatur langkah ke pintu dengan pantas.
Iskandar terkedu. Kata-kata uminya benar-benar mengguris hati. Tetapi cepat-cepat dia mengejar uminya dan menahan wanita itu di muka pintu. Tangan Dr Mardhiah diraih, kemudian dikucupnya penuh kasih meskipun hati sendiri tercalar pedih.
Iskandar yang masih terkilan dengan ucapan uminya tetapi digagahkan juga untuk memujuk wanita itu. “Umi, Is sayangkan umi. Jangan buat Is terus tersepit macam ni. Berilah Is peluang untuk hidup bahagia bersama pilihan Is. Is tahu Is dah lukakan hati umi sebab kahwin dengan Nudra. Is mintak maaf dan Is tak akan berhenti minta maaf. Kalau umi tak bagi Is ke Muar minggu ni pun, tak apa. Is akan turut cakap umi. Tapi Is merayu… tolonglah jangan marah-marah atau benci Is dan Nudra lagi. Janganlah sampai umi kata umi tak benarkan Nudra menjadi ibu kepada anak-anak Is. Kami kahwin untuk memanjangkan zuriat, bukan untuk berseronok saja. Umi, fahamilah perasaan Is…” Suara Iskandar kedengaran sebak. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan umi dapat maafkan dia. Itulah satu-satunya harapan dia ketika ini. Sekali lagi tangan ibunya dikucup lembut. Dan setitis air mata lelaki jatuh lagi di pagi Jumaat itu…

KOTAK hadiah yang berbalut dengan kertas putih berbunga hati berwarna merah itu direnungnya lama. Wajah tenang Nudra yang mulus jelas terbayang di ruang mata. Sampai bila dia perlu ‘berperang’ dengan umi kerana Nudra? Sampai bila dia akan terus berjauhan dengan Nudra begitu? Sampai bila Nudra sanggup lalui semua ini? Adakah Nudra akan terus setia menanti, kalau saban minggu ada saja alasan yang harus dia berikan untuk tidak pulang menemuinya? Ya TUHAN, satukanlah hati kami untuk selama-lamanya…
“Abang mintak maaf sebab tak dapat balik. Ada hal yang umi mintak abang tolong hujung minggu ni.” Iskandar memulakan bicara setelah beberapa ketika dibiarkan Nudra menunggu di talian.
“Oh…” Nudra sedikit kecewa tetapi tidak dizahirkan. Dia sudah pun masakkan lauk kegemaran Iskandar petang tadi. Tetapi apa nak buat, itulah harga yang harus dia bayar bila menjadi menantu yang dibenci mertua. Dia tidak salahkan Iskandar kerana dia wajib taat kepada ibunya dan dia tidak berhak menghalangnya. Dia masih ingat pesan Tok Ayah; anak lelaki walaupun sudah punya keluarga sendiri tetapi ketaatan terhadap ayah dan ibu masih tidak berubah, dan masih jadi keutamaan. Tidak seperti orang perempuan yang berkahwin, ketaatannya sudah beralih kepada suami.
Iskandar yang mendengar suara isterinya itu tahu, Nudra pastinya kecewa. Dia sudah berjanji sejak seminggu yang lalu akan balik ke kampung untuk meraikan harijadi Nudra. Dan dia sudah membelikan hadiah istimewa untuk isterinya. Tapi apa nak buat, dia terpaksa akur dengan kehendak umi kerana itulah janjinya pada diri sendiri.
“Abang tahu Nudra kecewa. Abang pun kecewa jugak tak dapat nak jumpa Nudra. Abang dah rindu sangat nak tengok muka Nudra, nak peluk Nudra. Nudra marah ke?”
“Err… taklah. Takkanlah Nudra nak marah abang pulak?” balas Nudra, cuba menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu memberatkan fikiran Iskandar. Alah, Nudra… Biarlah sesekali Iskandar berehat bersama uminya di hujung minggu. Bukan selalu pun… Pujuk hatinya lagi.
Walaupun Nudra menidakkan, Iskandar yakin di hati isterinya bukan begitu. Ah, Nudra! Kau selalu mengalah walaupun hatimu terluka. “Tapi abang dah janji dengan Nudra, abang nak balik nak celebrate birthday Nudra. Abang Hadiah Nudra dah pun abang beli.”
“Oh, ya ke? Terima kasih. Tak apalah, bang. Abang simpan hadiah tu dan bawak minggu depan. Hadiah tu masih boleh simpan, kan? Kalau tak boleh pun, nak buat macam mana… mungkin bukan rezeki Nudralah tu.” Nudra sedikit teruja dengan kata-kata Iskandar tadi. Suaranya ceria. Apalah hadiah yang Iskandar belikan untuknya, ya? Baju? Kasut? Macam-macam yang Nudra cuba bayangkan.
Iskandar ketawa mendengar ucapan Nudra. Terhibur sedikit hatinya mendengar suara lunak itu di hujung talian. Hatinya yang gundah kembali senang. “Kalau rosak pun nanti abang belikan baru. Nudra nak tahu tak apa yang abang belikan tu?” Iskandar buat-buat bertanya. Tak sabar rasanya hendak memberitahu Nudra apa yang hadiahnya itu. Kalau hendak tunggu Nudra bertanya, sampai kucing bertanduklah jawabnya…
“Apa dia?” Wajah Nudra berseri-seri. Dia juga sudah tidak sabar hendak mengetahuinya. Hendak bertanya, terasa macam beriya-iya benar. Mujurlah Iskandar faham apa yang tersirat di hatinya.
“Hmm… nak tahu ke? Nanti tak surprise lagi,” balas Iskandar sambil tersenyum bahagia.
“Ala…tadi abang jugak yang tanya Nudra nak tahu ke tidak,” rengek Nudra dengan suara manja “Tapi tak apalah, Nudra pun rasa lebih suka kalau abang buat surprise. Nudra tunggu sampai abang balik minggu depan,ya,” sambung Nudra lagi
“Kalau macam tu, okeylah…” Bahagianya hati mendapat isteri yang memahami seperti Nudra. Tak sangka, sebelum kahwin bukan main tegas lagi. Kalau diusik lebih-lebih sikit, pasti Nudra akan berkhutbah panjang. Kadang-kadang bila datang nakalnya kerana rindu sangat hendak mendengar suara yang merdu itu, dia sengaja mengusik. Ketika itu barulah dia dapat mendengar Nudra berceramah panjang. Barulahdia boleh mendengar suara Nudra lebih lama. Jahatnya dia ketika itu! Nampaknya pilihannya memang tepat. Bukankah isteri yang baik itu adalah isteri yang menyenangkan hati suami?
“Abang dah makan ke?” tanya Nudra yang teringat pada asam pedas ikan pari yang belum berusik di dapur. Kalau Iskandar balik, tentu dia makan dengan berselera sekali. Perut Nudra pun sudah menjerit kelaparan. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam, patutlah dia lapar sangat.
“Belum. Abang belum balik pun lagi. Abang masih kat office ni. Sekejap lagi nak baliklah ni. Nudra dah makan? Nudra masak apa untuk makan malam ni?” Perut Iskandar turut berkeroncong bila bercerita pasal makanan. Barulah dia teringat yang dia belum makan sejak tengah hari tadi. Selepas solat Jumaat tadi dia terburu-buru balik ke pejabat kerana ada mesyuarat dengan jurutera dari Jerman.
“Masakan kegemaran abanglah. Nudra tahu abang suka makan ikan pari masak asam pedas. Nudra pun belum makan lagi sebab Nudra tunggu abang. Tapi tak apalah, sekejap lagi Nudra makan.” jawab Nudra cuba melindungi rasa sayu dan terkilannya.
Perut Iskandar terasa semakin lapar sebaik saja mendengar asam pedas ikan pari tu. Air tangan Nudra memang kena dengan seleranya. Apa saja yang Nudra masak semuanya sedap hatta air kopi yang dibancuh isterinya itu pun sangat lazat. “Sedapnya… Rugilah abang. Hmm… lapar abang dibuatnya dengar asam pedas Nudra tu. Bau dia sampai ke sinilah. Nanti Nudra tolong makan untuk abang tau. Kalau tak lalu makan sorang-sorang, bayangkan abang ada kat depan temankan Nudra makan.”
Tawa Nudra memecah di hujung talian. Kedengaran merdu sekali di telinga Iskandar. Rindunya bukan kepalang… Kalau ada sayap mahu saja dia terbang.
“Sekarang jugaklah abang balik ke Muar,” gurau Iskandar.
“Eh, jangan! Kan abang ada janji dengan umi? Jangan macam tu, nanti kecik lagi hati umi tu. Abangkan dah janji dengan Nudra tak akan buat umi kecik hati lagi? Lain kali kalau abang balik Nudra masak untuk abang lagi. Abang tu cepatlah balik, mandi dan makan. Nanti perut tu masuk angin.” Cepat-cepat Nudra melarang. Dia tidak mahu Iskandar mungkiri janji dengan uminya lagi.
“Baiklah sayang… Okeylah, abang dah nak balik ni. Jaga diri tau!” Lembut saja bisikan Iskandar menyejukkan hati Nudra.
“Okey, abang pun sama, jaga diri.”
“Abang rindu…” ucap Iskandar. Tiba-tiba saja perasaannya diburu sayu. Kenapa dia dan Nudra tidak boleh bersama seperti orang lain? Inikah balasannya kerana melawan cakap umi? Inikah balasannya kerana derhaka pada ibu yang melahirkannya? Ya ALLAH,ampunilah dosaku ini. Batin Iskandar terus menjerit pilu.
“Nudra pun rindu kat abang,” balas Nudra perlahan memutus lamunan Iskandar.
“Okey, sayang…Nanti hari Ahad, birthday Nudra abang telefon lagi. Tunggu tau!” Pesan Iskandar bersungguh-sungguh.
“Baiklah. Nudra akan tunggu.”
“Kirim salam kat Tok Ayah dan Hannah.”
“InsyaALLAH. Untuk Nudra?” soal Nudra manja.
Iskandar tergelak. “Untuk Nudra… peluk cium abang buat isteri abang yang manja ni.”
Ucapan itu membuatkan Nudra tersenyum bahagia. Sekurang-kurangnya kata-kata Iskandar mampu melunakkan hatinya. Dia harus mengerti…
“Untuk abang?” pinta Iskandar pula, masih enggan memutuskan talian.
Kali ini giliran Nudra pula yang tergelak. “Untuk abang, salam sayang dari Nudra.”
“Tak nak peluk, tak nak cium?” Iskandar terus bercanda. Dia dapat bayangkan wajah Nudra ketika itu, tentu sudah merah padam menahan malu.
“Err…jugak!” Nudra termalu sendiri. Walaupun sudah lebih tiga bulan mereka kahwin tetapi dia masih tidak mampu mengelak dari rasa malu dengan suaminya itu.
“Tak nak sebut?” duga Iskandar lagi dalam tawa mesranya.
“Yalah, peluk cium untuk abang jugak.”
Tergelak Iskandar apabila Nudra mengucapkannya dengan teragak-agak. “Okey, Nudra… Terima kasih. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Sehingga talian terputus senyuman Nudra masih tak lekang dari bibir.

Khamis, 15 November 2007

Bhg 42

WAJAH Wan Anum Sophia merah padam menahan marah. Berita yang baru dia dengar sebentar tadi benar-benar buat telinganya berdesing dan darahnya mendidih. Kalau tidak kerana hendak menjaga sopan santun di hadapan pekerja yang menyampaikan berita tersebut tadi, mahu saja dimuntahkan segala kemarahan itu ketika itu juga. Mujurlah dia tidak ada penyakit darah tinggi atau lemah jantung, kalau tidak entah apa akan jadi padanya...
Fail-fail yang mengandungi surat-menyurat jual beli emas di atas meja di ketepikan. Beg yang mengandungi rantai dan gelang rekaan terbaru tukang emas mereka masih terbuka di hadapannya. Fikirannya sudah tidak lagi pada perbincangan yang rancak tentang promosi untuk musim perayaan akan datang sebentar tadi tetapi sudah melayang jauh kepada cucunya yang bernama Nudra Haneem itu.
Menyebut saja nama itu pun sudah cukup menyesakkan dada, menyakitkan hati. Ada-ada saja masalah dengan cucunya yang seorang itu. Ada-ada saja aib yang menimpa keluarga Sophia disebabkan budak tak guna itu. Huh, kalau dah emaknya pun begitu anaknya apatah lagi! Sophia terus menrengus dalam hati.
Sekarang satu lagi aib yang dibawa Nudra. Sanggup dia terima lelaki yang sudah meludah ke mukanya. Sanggup dia menjadi menantu kepada keluarga yang telah memalukan Wan Anum Sophia dengan membatalkan perkahwinan cucunya di saat-saat akhir. Sungguh pun pada asalanya dai tidak setuju jika Nudra berkahwin, tetapi dia merasa sangat malu bila cucunya diperlakukan begitu. Bukan nama Nudra yang disebut orang tetapi nama dia... Nama Wan Anum Sophia yang dijaja di seluruh bandar Muar itu.
“Syahirah, masuk ke sini sekejap.” Panggil Sophia dengan suara lebih lantang dari biasa melalui interkom.
Syahirah yang sedang menonton televisyen di bilik rehat kedainya terus tergesa-gesa ke pejabat ibunya. “Ada apa mak? Nampak cemas aje...” sapa Syahirah yang masih terpinga-pinga dipanggil begitu. Segera dia membetulkan kebaya Pahang dari sutera Thailand yang dipakainya sebelum ditegur ibunya. Takut juga kalau ada yang tidak kena di mata Sophia. Pantang bagi Sophia melihat anaknya berpakaian tidak kemas.
“Duduk.” Tegas saja suara Sophia mengarah. Wajah Syahirah ditatapnya seketika. Anak bongsunya itu memang cantik. Alisnya lentik dan keningnya terbentuk mewarisi kening Wan Mursyid. Tubuh Syahirah juga langsing, mewarisi bentuk badannya. Di antara ketiga-tiga anaknya, Syahirahlah yang paling jelita.
Syahirah hanya menurut tanpa banyak soal. Memandang wajah emaknya yang nampak kemerah-merahan dengan mata membulat merenungnya itu, Syahirah sudah tahu yang emaknya sedang marah. Tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan rantai atau gelang baru itu, teka hati Syahirah. Emaknya memang cerewet dalam segala hal terutamanya dalam hal-hal perniagaan emasnya.
“Kamu tahu, Si Nudra dah kahwin?”
Berdetak jantung Syahirah sebaik saja pertanyaan itu terpacul dari mulut Sophia. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dia dengari. “Kahwin? Dengan siapa? Budak Iskandar tu jugak? Kak Murni tahu?” soal Syahirah seperti orang yang baru terjaga dari tidur.
“Hah, dengan siapa lagi kalau bukan dengan pensyarah yang tak tahu adab tu. Nudra ni memang nak kena. Tak tahu jaga maruah Wan Anum Sophia! Macam dah tak ada orang lain yang boleh dibuat suami. Orang dah malukan kita, masih lagi nak terima. Emak cukup tak faham dengan budak sorang tu. Tak sedar diri tu siapa. Apa yang dia cari emak pun tak tahu. Kak Murni kamu tu? Huh, dia tu apa yang dia tahu! Kakak kamu tu hanya tahu menangis, termenung... Dia ingat dengan menangis tu boleh hapuskan segala dosa dan aib dia tu? Dia ingat dengan merintih macam tu boleh mendatangkan hasil?” Sophia terus mengomel. Sakit hatinya diperlakukan begitu.
“Tak malu pulak dia...” ucap Syahirah masih memikirkan bagaimana anak buahnya itu boleh melangsungkan perkahwinan tanpa memberitahu sesiapa pun dari keluarga Wan Anum Sophia, terutamanya neneknya sendiri. Berani sungguh dia bertindak melulu begitu.
“Memang budak tak tahu malu! Tak sedar diri tu anak...” ulang Sophia lagi.Dia tidak tahu bahawa mereka semua sudah tahu tentang Eusoff. Dia tidak tahu bahawa Nudra sudah tahu bahawa dia bukanlah sekeji yang disangka.Tok Ayah dan Munirah sengaja tidak memberitahunya. Biarlah Wan Anum Sophia tak tahu tak mengapa…
“Mak...” Syahirah segera memintas. Dia tidak mahu emaknya menyebut perkataan itu lagi. Kata-kata itu menikam hatinya. Walaupun emak tidak tahu apa-apa, namun dia sendiri yang terasa. Kalau dulu dia boleh lupakan peristiwa hitam itu, tetapi setelah kepulangan Safuan, hidupnya semakin tidak tenteram.
“Mak nak pergi jumpa dia petang ni. Sakit sungguh hati mak ni! Langsung dia tidak pedulikan kita semua. Emaknya pun langsung tidk dikhabarkan. Memang budak tak tahu mengenang budi!” Kemarahan Sophia masih belum reda. Wajah Nudra terbayang di ruang mata. Kalaulah gadis itu ada di situ, mahu digayang-gayangnya budak bertuah itu... Eiii... geramnya!
Syahirah hanya mendengar emaknya mengomel. Dia tidak kuasa hendak menambah apa-apa. Fikirannya bukan ke situ tetapi lebih kepada apa yang telah berlaku suatu ketika dulu. Dia sedang menghitung nasibnya di kemudian hari nanti...
“Abang Safuan ke mana?” Syahirah meringankan mulut bertanya. Dia hairan; selepas Safuan ke rumah TokAyah untuk menemui Nudra, abangnya itu terus hilang dan langsung tidak tahu khabar berita. Tidak seorang pun yang berani bertanya emak mereka ke mana Safuan pergi.
Sophia merenung anak bongsunya lama. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran Syahirah ketika itu. Dan dia juga tidak suka sesiapa pun yang bertanya tentang Safuan. Semua penghuni di rumah itu tidak ada kaitan dengan Safuan dan tidak ada sesiapa pun yang berhak ambil tahu tentang anak tunggalnya itu. Biarlah Safuan hidup bebas dengan caranya. Kepulangan Safuan dulu pun seperti sudah dijanji-janjikan dan Safuan pulang tepat pada waktu yang dia sendiri perlukan anaknya itu muncul.
“Dah lama Nabila tak balik. Kenapa? Masih sibuk dengan kuliah dia lagi ke?” tanya Sophia mengalih topik.
Syahirah terpempan sedikit. Fikirannya yang sudah jauh melayang kembali tertancap kepada ibunya. Pertanyaan tentang Nabila juga membuatkan dia kaget seketika. Ya, Nabila… Anak gadis itu juga sudah lama tidak balik-balik ke rumah. Konon sibuk dengan assignment dan segala macam tugasan di kolej. Kadang-kadang dia sendiri macam tidak percaya dengan seribu satu alasan Nabila bila minta dia pulang. Dia sendiri sudah rindukan anaknya itu. “Entahlah, mak... Dah banyak kali saya mintak dia balik tapi ada aje alasannya.”
“Dia sibuklah tu,” Sophia mengulas. Dia sangat percaya dengan Nabila. Nabilalah satu-satu cucunya yang diberi kebebasan sepenuhnya. Nabila menyerupai emaknya yang jelita dan menjadi rebutan setiap lelaki. Dia sangat bangga dengan Nabila walaupun cucunya itu keras kepala.
“Ha’ah. Tahun ni kan tahun akhir dia kat kolej. Banyaklah assignment dan projek yang dia kena selesaikan. Bulan lepas dia mintak duit lagi seribu, katanya ada benda yang dia kena beli untuk projek tahun akhir dia tu,” balas Syahirah perlahan. Sebenarnya dia sendiri merasa tidak enak memikirkan tentang Nabila sejak akhir-akhir ini. Bila telefon, cakapnya adakalanya cakap Nabila merapu-rapu. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham apa yang diucapkan Nabila. Entahlah, mungkin bahasa anak muda.... Bisik hati Syahirah menyedapkan diri sendiri.
“Minggu lepas pun dia ada telefon mak. Mintak mak masukkan duit dua ribu. Katanya nak baiki kereta. Alah, budak nak belajar. Buat apa ditahan-tahan belanja dia. Nanti tak cukup makan pakai, kan susah. Malulah kalau orang tahu cucu Wan Anum Sophia tak cukup duit.” Suara Sophia kembali mengendur. Nabila adalah cucu kesayangannya. Dia tidak mahu cucunya itu susah walau sedikit pun.
Syahirah yang agak terkejut dengan kata-kata ibunya itu tersenyum tawar. Apa Nabila hendak buat dengan duit sebanyak itu? Mustahil nak baiki kereta kerana kereta Proton Wira Aerobacknya itu baru saja dibeli dua tahun lepas. Takkanlah dah rosak. Bulan lepas pun dia sudah minta seribu, minta lagi dua ribu dengan neneknya? Hatinya semakin gusar. Bermacam perkara buruk melintas di fikirannya. Emak terlalu manjakan Nabila. Apa saja yang Nabila nak, emak akan tunaikan. Dia tidak tahu kenapa emak lebih-lebihkan Nabila sedangkan Nabila... Ah, Nabila! Syahirah terkenang peristiwa lampau...

Rabu, 14 November 2007

Bhg 41

Maaf banyak hari tak ada n3. Saya kesibukan sikit seminggu dua ni.

******
GERIMIS yang turun malam itu bagaikan hujan rahmat yang merestui pernikahan Iskandar dan Nudra dalam majlis yang cukup sederhana. Majlis yang dihadiri oleh beberapa orang dari masjid serta kakak sulung Iskandar suami isteri itu disudahi dengan bacaan doa yang panjang oleh Tok Ayah.
Tiga bulan selepas pemergian Eusoff, Iskandar melamarnya sekali lagi. Sebenarnya hati Nudra masih belum terbuka untuk menerima Iskandar setelah keluarganya menolak dulu. Kepedihan dan kekecewaan itu masih terasa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dia masih dibungkus kesedihan kerana kematian ayahnya. Tetapi kesungguhan Iskandar telah membuka pintu hatinya.
Masih dia ingat di satu petang Sabtu, tiba-tiba saja Iskandar muncul di rumah Tok Ayah. “Saya melamar awak sekali lagi, Nudra.” Itulah ayat pertama yang terluncur dari mulutnya sebaik saja Nudra duduk di ruang tamu.
Saat itu dia rasa ingin menangis. Terharu. Iskandar masih tidak berputus-asa walaupun bermacam rintangan yang menghalang mereka bersama.
“Saya boleh terima awak kalau umi dan abah awak dah setuju.” Nudra memberi syarat.
Agak lama Iskandar terdiam. Walaupun dalam terpaksa, umi sudah membenarkan dia mengambil Nudra sebagai isteri. Tetapi umi sudah memberitahunya yang dia tidak akan menganggap Nudra itu menantunya. Dia tidak mengerti mengapa umi masih tidak mahu menerima Nudra seperti dulu walaupun sudah ternyata Nudra bukanlah anak luar nikah seperti fitnah yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.
“Kenapa awak diam, Is?” Suara Nudra memutus lamunan Iskandar.
“Nudra, umi dah merestui.”
Nudra mencari kejujuran di sebalik keruh di wajah Iskandar. “Tapi, kenapa awak nampak macam berat saja nak cakap. Dari riak di wajah awak pun saya tahu awak tak gembira. Apa yang lagi yang awak fikir kalau bukan pasal umi awak, kan?” soal Nudra yang masih kurang yakin dengan jawapan Iskandar tadi.
Pemuda itu meluruskan badannya. Kepalanya disandarkan ke kerusi. Kepalanya mendongak sedikit dan pandangannya terarah ke siling. “Nudra, saya perlukan awak. Dan saya tahu awak jugak perlukan saya.”
Nudra merapatkan mata sebaik saja terasa sebuah kucupan hangat singgah di dahinya. Tak semena-mena air matanya jatuh berderai tanpa dapat ditahan-tahan lagi.
“Kenapa, ni? Kenapa Nudra nangis?” soal Iskandar lembut. Dia agak cemas melihat Nudra tersedu-sedu begitu.
Cepat-cepat Nudra mengangkat tangan untuk menyeka air mata yang sudah sampai ke dagu tetapi cepat-cepat dicapai Iskandar, lalu dengan kedua belah ibu jarinya Iskandar menghapus air jernih itu.
Nudra tunduk, tidak sanggup menentang renungan Iskandar yang kini sangat hampir dengannya. Di sebalik sendunya, ada debar yang bergelora di dada. Wajah Iskandar semakin rapat dengan mukanya sehingga dia dapat merasa hangatnya nafas Iskandar menghembus ke muka. Lebih gementar apabila mendengar Iskandar membahasakan dirinya ‘abang’ dan lebih terharu apabila ucapan sayang itu singgah di telinganya.
“Abang tahu apa yang Nudra fikir. Abang mintak maaf sebab kita menikah dalam majlis serba ringkas macam ni,” bisik Iskandar lembut sambil merenung ke dalam anak mata Nudra.
Nudra mengangkat muka, membalas renungan Iskandar. “Bukan itu yang saya fikirkan,” balas Nudra yang masih berbaju kurung putih yang dipakai sewaktu majlis akad nikah tadi. Sedaya upaya dia cuba mengukir senyum untuk menyenangkan hati Iskandar.
“Habis tu, apa yang Nudra fikir? Abang dah jadi milik Nudra,” gurau Iskandar sambil tersenyum. Rambut Nudra diusapnya penuh kasih sayang.
“Saya sedih sebab umi dan abah awak tak dapat tengok anak kesayangan mereka ini akad nikah. Saya mintak maaf...” Nudra agak kesal bila mendapati ibu dan ayah mertuanya tidak hadir di majlis pernikahan mereka. Dia sendiri terkejut bila tiba-tiba saja Prof. Khalidi dan Dr Mardhiah membatalkan niat mereka untuk hadir. Kalau benar mereka sudah merestui Iskandar, mengapa pula mereka tidak mahumenyaksikan hari bersejarah anak kesayangan mereka itu? Persoalan itulah yang mengasak fikiran sejak tadi.
Dia mula merasa takut… Takut andainya Iskandar akan menerima nasib sepertinya, hidup tanpa kasih sayang keluarga. Dia tidak mahu menjadi puncanya perpecahan itu. Perkahwinan bukan saja untuk menyatukan dua insan lelaki dan perempuan tetapi ianya sekaligus menyatukan dua keluarga. Andainya perkahwinan dia dan Iskandar sudah menjadi satu punca keluarga Iskandar berpecah, matlamat perkahwinan itu sudah tidak tercapai dan dia merasa sangat berdosa.
Lama mereka saling bertatapan. “Nudra… Abang yang patut mintak maaf sebab tak dapat bawak umi dan abah jumpa menantu dia yang manis ni,” balas Iskandar pula sambil mengangkat dagu Nudra menyebabkan gadis itu terdongak sedikit. Dia sendiri cuba mengusir rasa terkilan. Entah kenapa tiba-tiba saja umi ubah fikiran tidak mahu datang ke majlis pernikahannya. Dan tiba-tiba juga umi mengamuk, cuba menghalangnya dari terus menikahi Nudra.
Semalam, umi tiba-tiba saja naik angin. Dia yang sedang bermain dengan anak Azida terpinga-pinga. Azida yang sedang menggosok baju melayu putih yang akan dipakai Iskandar untuk upacara akad nikah itu juga turut terkejut. “Is tak boleh teruskan! Umi tak suka. Umi tak nak keturunan umi ada kaitan dengan keturunan Wan AnumSophia.”
Terkedu Iskandar dengan ucapan emaknya. Dia dan Azida saling berpandangan. “Tapi takkan kita nak batalkan majlis tu sekali lagi?” Azida bersuara bagi pihak adiknya.
“Umi tak kira!”
Sekali lagi dua beradik itu saling berpandangan. Iskandar menelan ludah. Tidak tahu apa yang perlu dia ucapkan lagi. Kenapa dengan umi?
“Bukankah awak kata, awak dah dapat izin umi dan abah awak untuk menikahi saya?”
Pertanyaan Nudra mematikan lamunan Iskandar. “Nudra, abang tak tahu kenapa tiba-tiba saja umi ubah fikiran semalam. Abang pun bingung…” Suara Iskandar kedengaran agak sayu.
Tubuh Nudra terasa lemah tiba-tiba dengan pengakuan jujur Iskandar. Rupanya Dr Mardhiah masih tidak sudi menjadikan dia menantu. “Kenapa awak teruskan jugak? Bukankah selama ni awak adalah anak yang taat? Kenapa awak sanggup melukakan hati umi awak kerana saya?” tanya Nudra, rasa bersalah dengan tindakan Iskandar. Sungguhpun dia amat bersyukur kerana Iskandar masih sudi menerimanya sebagai isteri, namun hatinya tidak akan aman selagi umi dan abah Iskandar tidak menerimanya sebagai menantu. Mereka masih memerlukan orang tua untuk menyokong mereka dalam melayari bahtera rumah tangga.
“Nudra, saat-saat akhir umi ubah fikiran. Takkan abang nak dengar cakap umi lagi. Abang nekad aje. Demi TUHAN, abang tak berniat nak derhaka pada umi. Tapi abang tahu abang dah kecilkan hati umi. Abang sayang Nudra dan abang tak boleh kecewakan Nudra buat kali kedua,” bisik Iskandar. Wajah Nudra dielus dengan jari telunuknya. “Hmm… kenapa Nudra sebut ‘umi dan abah awak’? Kenapa tak mengaku umi dan abah Nudra jugak? Mereka dah jadi umi dan abah Nudra seumur hidup…” sambung Iskandar lagi.
Nudra tunduk. Dia malu diperlakukan begitu. Denyutan jantungnya sudah tidak menentu. “Maaf, saya bukan tak nak mengaku mereka umi dan abah saya. Tapi saya malu. Saya rasa saya tak layak…”
“Nudra…” Iskandar menggeleng, mengisyaratkan agar Nudra tidak meneruskan katanya.
“Awak tak menyesal ambil saya jadi isteri awak sedangkan umi awak…”
“Nudra…” Pantas Iskandar meletakkan kepala Nudra ke dadanya, menghalang Nudra meneruskan ucapannya.
Spontan Nudra merangkul pinggang Iskandar dengan erat. Mukanya disembunyikan di dada Iskandar. Dia tidak mahu Iskandar melihat air matanya lagi.
“Abang sayangkan Nudra. Abang dah janji dengan Nudra akan ambil Nudra sebagai isteri walau apa pun yang menghalang, walau siapa pun Nudra. Abang tak boleh langgar janji tu. Abang harus tunaikan walaupun hebat mana pun rintangannya. Abang tak akan biarkan Nudra sendirian hadapi kedukaan ini. Abang berjanji akan sentiasa berada di samping Nudra,” jelas Iskandar yang mula diburu sayu. Matanya dipejamkan rapat-rapat, cuba melupakan kedukaan yang menyelubungi mereka. Mereka tidak sepattnya membiarkan malam pengantin mereka diselubungi kesedihan.
Suasana jadi sepi beberapa ketika. Detik yang berlalu penuh emosi. Air mata Nudra kembali menitis ke pipi lalu membasahi baju melayu putih Iskandar.
“Nudra janji dengan abang…” ucap Iskandar memecah sunyi.
“Apa dia?” Suara Nudra bergetar di dada Iskandar.
“Nudra, ini kali terakhir kita bincang tentang restu umi dan abah, okey? Lepas ni,Nudra janji tak akan timbulkan lagi perkara ni. Abang nak Nudra percaya yang abang dah mintak izin umi dan abah dan mereka dah setuju. Jadi tak timbul persoalan abang membantah atau tidak. Cuma semalam… semalam aje umi tiba-tiba…” Iskandar tidak meneruskan kata. Dadanya sebak.
Nudra mendongak sedikit, melihat ke dalam anak mata Iskandar yang berkaca. Dia ingin bertanya lagi, tetapi dia tidak mahu buat Iskandar sedih. Mungkin umi dan abah Iskandar ada alasan tersendiri mengapa mereka mengubah fikiran.
“Nudra juga janji dengan abang, Nudra tak akan tanya lagi pasal ni.”
“Saya janji.”
Terasa betapa bahagianya di saat rambutnya yang panjang separas pinggang itu dibelai lembut oleh tangan Iskandar. Degup jantung Iskandar yang semakin deras dapat didengari Nudra dengan jelas. “Apa lagi yang harus saja janji dengan awak?” tanya Nudra lagi cuba mengawal debaran sendiri.
“Nudra janji akan mencintai abang sepenuh hati dan setia pada abang hingga akhir hayat.”
Nudra angguk. “Lagi?”
Iskandar menggeleng sambil tersenyum.
“Itu je?”
“Itu je. Abang tak mahu susahkan Nudra.”
Sepi lagi. Nudra hanyut dalam fikiran sendiri. Tubuhnya terasa seperti di awang-awangan.
“Nudra…”
Nudra mengangkat muka lagi, menatap wajah Iskandar yang sedang tersenyum. “Abang dah jadi suami Nudra. Abang tak mahu Nudra berawak, bersaya lagi… Boleh?”
Nudra tersenyum malu, menyedari kekhilafan diri. “Nudra cuba, insyaALLAH…”

Rabu, 7 November 2007

Bgh 40

“NUDRA! NUDRA!” Jeritan Hannah memecah sebaik saja Nudra rebah ke lantai. Segera dia memangku Nudra yang sudah tidak sedarkan diri. Pipi Nudra ditepuk-tepuk beberapa kali. “Nudra… bangun Nudra!” Air mata Hannah semakin deras mengalir ke pipi.
Tok Ayah yang meluru ke arah cucunya itu segera mengangkat Nudra masuk ke bilik dan diletaknya ke atas katil. Terkumat-kamit mulut Tok Ayah membacakan selawat syifa’.
Hannah masuk ke bilik dengan semangkuk air lalu dihulurkan kepada Tok Ayah. Air matanya masih tidak berhenti-henti sejak tadi. Dia benar-benar simpati dengan Nudra.
“Tok Ayah, Hannah…” Suara Nudra kedengaran lemah sekali selepas beberapa minit Tok Ayah merenjiskan air ke mukanya. Air matanya kembali bergenang di kelopak mata.
Hannah segera menghampiri dan duduk di birai katil di hujung kaki Nudra. Tiada kata yang mampu dia ucapkan. Lidahnya jadi kelu dan kerongkongnya terasa seperti tersumbat. Wajah sayu Nudra membuatkan hatinya semakin pilu.
“Nudra, kalau dah rasa kuat bangun dan berwuduk. Sedekahkan surah Yassin buat arwah. Walaupun jasad sudah terpisah darinyawa, segala harta dan amalan sudah terputus tapi doa anak yang soleh tetap jadi bekalan. Hanya kamu anak dia, jadi banyakkan sedeka buat ayah kamu mudah-mudahan dia senang di alam sana. Jangan diikutkan sangat perasaan. Terimalah semua ni sebagai takdir. Dah tak ada rezeki kamu nakjumpa ayah, nak buat macam mana… Dah itu ketentuan DIA.” Suara Tok Ayah memecah sunyi. Dadanya juga terasa sebak. Lantas Tok Ayah bangun danterus keluar dari bilik.
Nudra bangkit. Tangannya meraup muka beberapa kali. Kata-kata Tok Ayah menambah kepiluan hatinya. “Kenapa nasib aku macam ni, Hannah?” Nudra bersuara setelah beberapa ketika mereka saling berpandangan.
Berita kematian ayahnya yang disampaikan oleh Tok Ngah Fadhil pagi tadi benar-benar buat dia terkejut. Baru saja dia menaruh harapan untuk bertemu dengan ayahnya tapi lelaki itu sudah pergi buat selama-lamanya. Walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui dan ternyata Eusoff itu adalah ayahnya, namun semua itu sudah tidak memberi apa-apa makna lagi buatdirinya.
Beberapa minggu yang lalu, Tok Ngah Fadhil pun ada memberitahu bahawa ayahnya semakin tenat dan tidak mungkin dapat pulang ke Malaysia. Tapi tidak disangka pula dia akan pergi secepat itu. Dia datang seperti mimpi dan dia pergi juga seperti mimpi…
Rasa terkilan kerana tidak sempat hendak bertemu dan menatap wajah ayah serta memanggil namanya masih tidak mampu dia usir dari hati. Setiap kali mengenangkan itu, hatinya menjadi hiba sekali.
“Tabahkan hati, Nudra… Cepat bangun, kita sama-sama baca Yassin.” Hannah menepuk tangan Nudra lembut setelah agak lama membiarkan Nudra melayan perasaannya.

BUAT pertama kali Nudra merasa hatinya begitu dekat dengan Munirah. Buat pertama kalinya juga dia merasa Munirah memeluknya dengan penuh kasih sayang yang tulus ikhlas. Tanpa sedar kedua beranak itu menitiskan air mata.
“Ibu rindu sangat kat Nudra. Dah lama ibu nak jumpa Nudra tapi Syameer selalu je ada kerja,” ujar Munirah setelah meleraikan pelukannya.
Nudra diam. Rasa kesal menjalar di hati kerana membiarkan ibu kerinduan sedangkan dia yang enggan bertemu dengan ibu. ‘Ibu, bukan Syameer yang selalu ada kerja atau beralasan tetapi Nudra yang tak mahu jumpa ibu. Nudra yang malu hendak bertemu ibu kerana buruk sangkanya kepada ibu,’ detik hati Nudra penuh kesal. Teruknya dia!
“Nudra tak sempat jumpa ayah.” Suara Nudra masih bersatu dengan sendunya.
Sebaris ayat yang terluah dari mulut Nudra membuatkan Munirah bertambah sayu. Seteguk dia menelan liur. “Ibu pun tak sempat jumpa ayah dia. Ibu tak sempat mohon ampun dari ayah Nudra,” balas Munirah pula dengan suara hampir tidak kedengaran.
Sekali lagi Nudra memeluk ibunya. Dia dapat rasakan tekanan yang ibu sedang alami. “Nudra yakin, ayah dah maafkan ibu. Kalau tidak, masakan dia cari ibu.”
“Mudah-mudahan...” Munirah merasa lega sedikit dengan ucapan anaknya.
Nudra melepaskan pelukannya. Air mata yang masih membasahi pipi disekanya dengan hujung jari. “Nudra mintak maaf dengan ibu sebab Nudra anggap ibu macam-macam. Nudra percaya dengan cakap-cakap orang. Nudra percaya dengan fitnah yang dilemparkan pada ibu,” ucap Nudra penuh kesal. Air matanya kembali mengalir ke pipi. Kenapalah begitu mudah dia membenci ibu sendiri? Kenapalah dia tidak pernah terfikir susah payah ibu melahirkan dia? Mengapakah dia tidak pernah hendak mencari sebab kenapa ibu tidak menjaganya? Teruknya dia!
Sambil tersenyum Munirah menggeleng-geleng. “Nudra tak salah. Nudra tak tahu apa-apa. Ibu tak pernah ambil hati dengan Nudra.”
Sepi. Nudra merasa terharu. Kasih ibu... walau di mana dan sampai bila pun kasih ibu akan terus menyemarak. Kini dia sedar, ibu bukan tidak mengasihinya tetapi dia yang gagal merasainya.
“Nudra, macam mana dengan Iskandar?” soal Munirah setelah agak lama mereka membisu.
Nudra menarik nafas panjang. “Iskandar?” soal Nudra lalu termenung sejenak. “Dia nak teruskan jugak,” ujar Nudra lambat-lambat.
Sekuntum senyuman terukir di bibir Munirah. Syukur. “Nudra?” Sengaja Munirah bertanya kerana dia tahu anaknya itu masih keliru. Beberapa peristiwa yang berlaku secara mengejut itu mungkin membuatkan Nudra tidak dapat berfikir dengan baik. Mungkin dia memerlukan waktu untuk tenangkan fikiran.
Pertanyaan Munirah tidak berjawab. Nudra hanya tunduk sambil menguis kakinya ke lantai.
“Nudra sayangkan Iskandar?” soal Munirah lagi.
Agak lama juga Nudra mnegambil masa untuk mengangguk. Seteguk air liur ditelannya. “Tapi mak Iskandar mungkin tak akan terima Nudra. Nudra jadi bingung bila Is masih berkeras untuk teruskan pernikahan tu.”
Jawapan Nudra membuatkan Munirah tersenyum lagi. Matanya redup merenung ke wajah anaknya. “Ambillah waktu untuk berfikir yang sewajarnya. Buatlah pilihan yang tepat. Mintalah pertolongan kepada DIA...”

Ahad, 4 November 2007

Bhg 39

“MUSTAHIL!” Terpacul perkataan itu dari mulut Nudra sebaik saja Tok Ayah selesai bercerita. Tak mungkin perkara ajaib begini akan terjadi sebegitu cepat. Tok Ayah sengaja hendak mengubat hatinya yang luka dengan cerita bukan-bukan. Karut!
“Terpulang pada Nudra nak percaya atau tidak. Tok Ayah hanya saampaikan apa yang Tok Ayah tahu,” balas Tok Ayah perlahan. Dia tidak menyalahkan Nudra kiranya gadis itu tidak mahu mempercayainya kerana baru beberapa minggu saja Safuan mengaku dia adalah ayah Nudra. Tentulah Nudra keliru.
“Betul ke, Tok Ayah?” giliran Hannah pula menunjukkan kekeliruannya. Berkerut dahi Hannah memandang ke arah Tok Ayah yang sedang mengasah pisau.
Tok Ayah berpaling. Wajahnya serius saja. “Kalau tak betul, buat apa Tok Ayah cakap?” Suara Tok Ayah juga kedengaran serius.
Nudra dan Hannah saling berpandangan. Mereka tidak dapat meneka apa yang ada dalam fikiran Tok Ayah ketika itu. “Bukan saya tak percaya, Tok Ayah... Tapi saya keliru. Semua ni berlaku macam mimpi. Baru beberapa minggu lepas Pak Long Safuan mengaku saya anak dia, tiba-tiba timbul pulak cerita saya ni anak Eusoff yang semua orang tahu dia dah meninggal. Kalau orang dengar pun macam cerita ni direka-reka aje.” Nudra menyuarakan perasaannya setelah membiarkan suasana sepi seketika.
“Ha’ah. Bukan kalau orang lain dengar aje cakap macam tu, kita yang terlibat ni pun macam susah nak percaya,” sampuk Hannah pula.
“Memang susah nak percaya. Nenek Sophia kamu tu memang penuh dengan tipu helah,” luah Tok Ayah sambil bangun lalu meletakkan pisau yang baru diasahnya tadi ke atas para di tepi dinding. Kemudian dia duduk di meja makan.
“Nudra, Tok Ayah harap segalanya akan selesai. Mungkin tak ada masalah lagi kalau kamu nak kahwin dengan Iskandar.”
Nudra tunduk merenung lantai. Dia tidak tahu perasaan apa lagi yang ada dalam dirinya. Cintanya mungkin tidak seperti dulu lagi. Hatinya sudah tawar. Dia sudah malu... Malu untuk berdepan dengan Iskandar dan keluarganya.“Hati saya dah tawar... Saya malu pada keluarga dia. Lagipun bukan itu yang saya fikirkan. Yang ada dalam fikiran saya sekarang, saya nak bersihkan nama ibu saya yang dah tercemar ni. Maruah kali dah tercalar hebat. Senang-senang orang nak buat fitnah.”
Apa yang Nudra katakan itu memang benar. Maruah mereka berdua sudah tercalar teruk. Inilah waktunya untuk membuktikan bahawa dia adalah dari keturunan yang baik-baik, bukan seperti yang didakwa orang. Tok Ayah mengangguk setuju.
“Iskandar masih sayang kat kamu. Dia bersungguh untuk ambil kamu jadi isteri. Dia pernah luahkan perasaan dia pada Tok Ayah. Tok Ayah percaya, dia ikhlas. Tak salah kalau kamu terima dia kembali,” ucap Tok Ayah kemudiannya seakan memujuk.
“Betul kata Tok Ayah tu, tak salah kalau kau terima dia semula. Is betul-betul nakkan kau. Kalau tidak, takkan dia berani nak kahwin jugak walaupun mak dia tak bagi.”
Nudra menelan liur. Entahlah... dia masih belum fikirkan hal itu. Kalau ada jodoh, adalah... Kalu tak ada, dia tidak harapkan apa-apa lagi.

“APA buktinya?” soal Dr Mardhiah sambil memandang tepat ke wajah Iskandar. Berang sungguh hatinya bila Iskandar masih berdegil untuk memperisterikan Nudra. Macam tak ada perempuan lain!
Iskandar menarik nafas dalam-dalam lalu dihembusnya dengan perlahan. Dia cuba bersabar dengan leteran demi leteran uminya. “Tak lama lagi insyaALLAH kita akan dapat tahu. Ada orang dah jumpa dengan ayah Nudra.”
“Berapa banyak dia ada ayah, hah?” sergah Dr Mardhiah sambil terus menjirus pokok bunga rosnya.
“Umi…” Iskandar kehilangan kata.
“Apa lagi yang awak dua beranak ni bising-bisingkan? Belum habis bergaduh pasal Nudra?” sapa Prof. Khalidi yang sedang menghampiri kedua beranak itu. Dia baru saja selesai mencuci keretanya di hadapan rumah.
“Duduklah abah,” pelawa Iskandar yang duduk di gazebo apabila melihat abahnya tercegat di situ.
Langsung abahnya duduk berhadapan dengan Iskandar. “Apa hal, Is?” soal Prof. Khalidi kemudiannya.
“Anak awak ni dah mabuk kepayang. Cakap orang semua dah tak dengar. Kalau semua lelaki dalam dunia ni setia dalam bercinta macam anak bujang awak ni, aman dunia…” celah Dr Mardhiah sambil ketawa sendiri.
Gurauan isterinya itu membuatkan Prof. Khalidi memandang Iskandar sambil menjungkit bahu. Iskandar yang tidak menyangka uminya yang sudah lama tidak bersenda begitu turut sama mengangkat bahu.
“Mereka nak buat ujian DNA ke?” tanya Dr Mardhiah yang sudah berada di tepi gazebo. Kemudian dia duduk di sebelah suaminya. Spontan Prof. Khalidi meletakkan tangannya ke atas kerusi dan melingkari bahu isterinya.
Iskandar mengangguk. Hatinya menaruh harapan apabila mendengar suara umi yang kembali lunak seperti selalu. Sudah lama umi tidak bersuara begitu bila bercakap dengannya. Sejak berita buruk tentang Nudra itu sampai ke telinganya, umi selalu saja naik angin bila bercakap dengannya. Ada saja yang menjadi kemarahan umi.
Sekilas mata Iskandar melirik kepada kedua orang tuanya. Kemesraan mereka masih seperti dulu. Alangkah bahagianya andai dia dan Nudra dapat menjadi seperti abah dan umi. Hatinya berbisik cemburu.
“Mereka? Siapa mereka tu?” soal Prof. Khalidi yang tidak tahu apa-apa itu.
“Family Nudra,” jawab Iskandar ringkas. Perlahan saja dia menyebut nama Nudra, bimbang akan menjana kemarahan uminya lagi.
“Ooo… kenapa? Apa ceritanya?” Prof. Khalidi masih terpinga-pinga.
“Kononnya mereka dah jumpa ayah sebenar budak tu. Entah betul entah tidak, wallahu’alam… Itu yang dia orang nak buat ujian DNA, nak buktikan bahawa budak tu bukan anak luar nikah. Kita tengoklah macam mana nanti,” Dr Mardhiah tolong menjelaskan.
Iskandar sedikit terkilan kerana uminya yang masih tidak mahu menyebut nama Nudra. Namun dia tetap gembira kerana umi nampaknya sudah tidak berang seperti sebelumnya.
“Alhamdulillah kalau betul Nudra tu ada ayah yang sah. So, bolehlah anak bujang awak yang tengah mabuk kepayang ni kahwin?” gurau Prof. Khalidi sambil melirik ke arah isterinya.
“Kita tengok dulu apa keputusannya. Masih terlalu awal untuk saya putuskan. Ujiannya pun belum dibuat. Lelaki yang dikatakan ayah dia pun entah ke mana lagi…” jawab Dr Mardhiah sambil memandang wajah Iskandar yang nampak sedikit ceria itu. Dia tidak mahu anaknya terlalu berharap. Hatinya masih berat.
“Macam mana boleh jumpa ayah Nudra tu?” tanya Prof. Khalidi yang masih kabur dengan cerita itu.
“Ada kenalan lama keluarga Wan Anum Sophia yang jumpa. Yang jadi masalahnya, ayah Nudra tu sekarang dah lumpuh sebab diserang angin ahmar. Sekarang ni ayah Nudra ada kat Dubai. Itu yang susah sikit… Kalau ayah dia tak boleh balik, mungkin dia orang akan ambil sampel je dari sana.”
Sekarang Prof. Khalidi sudah jelas. Dia mengangguk-angguk mengerti. “Kita doakan sama-sama…”

Khamis, 1 November 2007

Bhg 38

“KAU tak kenal aku, Mustakim?” Lelaki bertubuh kurus itu bertanya setelah salamnya dijawab lelaki berkupiah itu. Sahabat di hadapannya itu masih merenungnya lama, seolah-olah sedang mencari titik pertemuan yang pernah mereka lalui suatu ketika dahulu.
“Fadhil?” ucap Wan Mustakim lambat-lambat. Dia masih belum dapat mengecam sepenuhnya wajah lelaki yang tiba-tiba saja menyapanya di surau itu. Dan dengan pantas mereka saling berpelukan.
“Dah lama aku cari, tapi hari ni baru jumpa. Aku ingat kau masih kat Kota Bharu,” ujar Fadhil setelah pelukan mereka terlerai. “Bulan lepas aku ke Kelantan, cari kau. Bila aku dapat tahu kau ada kat Muar, bergegas aku ke sini,” sambungnya lagi memberitahu Mustakim.
“Alhamdulillah, syukur pada ALLAH SWT. Bertemu jugak kita akhirnya. Aku perlu tinggal di sini demi anak cucu Wan Mursyid. Aku bertanggung jawab untuk tengok-tengokkan mereka walaupun dari jauh. Kalau aku kat Kota Bharu, susah aku nak tunaikan janji aku pada arwah abang aku.”
Fadhil tertawa pendek. Dia mengerti mengapa Mustakim berkata begitu. Wan Anum Sophia perlu ditengok-tengokkan, kalau tidak huru-hara seluruh keluarga Wan Mursyid dibuatnya. Mujurlah kedai emas peninggalan arwah tidak lingkup. Itupun nama kedai pun sudah bertukar dari nama Kedai Emas Wan Mursyid kepada Syarikat Wan Anum Sophia dan Anak-anak.
“Ke mana kau menghilang, Fadhil? Lama aku cari…” Mustakim bersuara lagi. Dadanya terasa sebak dengan pertemuan yang tidak disangka-sangka selepas solat Asar itu.
“Kau tanya mana aku pergi? Aku masih macam aku yang dulu… Kalau aku tak mengembara hidup aku macam tak sempurna. Baru setahun lebih aku balik ke Malaysia.”
Mustakim mengangguk-anguk. “Kau balik tentu ada sebab…”
“Ya. Aku balik bersebab. Tujuan tu ada kaitan dengan keluarga Wan Mursyid,” jawab Fadhil dengan suara serius. Matanya tepat memandang ke wajah Mustakim.
“Kita ke rumah aku…”
Pelawaan Mustakim ditolaknya. Tangannya memaut lengan Mustakim lalu didorongnya lelaki berjubah putih itu duduk di serambi surau. “Aku rasa di sini lebih baik,” balas Fadhil setelah mereka duduk bersila di situ.
“Apa halnya?” soal Mustakim setelah agak lama Fadhil berjeda.
“Kau yang bela anak Munirah tu, ya?” soal Fadhil tiba-tiba. Sudah tidak sabar-sabar lagi rasanya untuk membuka cerita kepada sahabat lamanya itu.
Mustakim angguk. Terbayang-bayang wajah Nudra yang sejak akhir-akhir ini semakin hari semakin tidak bermaya. Walaupun gadis itu cuba tersenyum dan menceriakan diri, namun serinya sudah hilang.
“Siapa nama cucu saudara kau tu?”
“Nudra.”
“Aku dengar hari tu Safuan balik. Dia mengaku Nudra tu anak dia, eh?”
Mustakim angguk lagi, tidak mahu mengulas lanjut akan kejadian yang telah melukakan hati cucu saudaranya itu.
Fadhil tersenyum sinis. “Tak habis-habis lagi perangai Wan Anum Sophia. Dia sanggup mintak Safuan balik dan memalukan diri sendiri demi untuk memuaskan hati dia. Aku tahu, cucu kau nak kahwin, dan Sophia cuba menghalang. Itu saja caranya dia boleh buat Nudra tak kahwin-kahwin.”
Bulat mata Mustakim memandang ke wajah Fadhil. Hatinya beritighfar panjang. Ada jugak manusia yang hidupnya hanya untuk melihat orang lain menderita. Ya ALLAH, kau berilah petunjuk kepada kakak iparku itu. Hatinya membisikkan doa. “Maksud kau, semua ni rancangan Sophia? Bukannya Safuan kebetulan saja balik?” soal Mustakim sambil menggeleng-geleng. Dia hampir tidak percaya dengan cerita Fadhil tetapi tak mungkin sahabatnya itu hendak mereka-reka cerita pula.
Pertanyaaan Mustakim dibalas dengan anggukan Fadhil. “Takkan kau tak arif dengan perangai kakak ipar kau tu?”
“Aku tak sangka…”
“Mustakim, aku datang bukan nak cerita pasal tu. Aku ada tujuan yang lebih besar lagi. Aku datang pasal Nudra. Aku dengar dia nak kahwin…”
Ucapan Fadhil membuatkan Mustakim berdebar-debar. Satu harapan diletakkan pada Fadhil. Mungkin sahabatnya ini datang membawa berita gembira. “Aku harap kau bawak berita gembira. Kalau kau ada berita buruk, baik kau simpan saja untuk satu masa yang lain. Cucu aku tu dah puas menderita. Aku tak sampai hati tengok dia menderita lagi. Aku pun dah naik bingung bila budak lelaki tu nak jugak dekat dia, walaupun mak bapak dia tak merestui. Aku jadi bimbang…”
“Aku jumpa Eusoff.”
“Eusoff?” Mustakim rasa matanya berpinar. Dia mengurut-urut dada yang dirasakan sesak tiba-tiba. “Eusoff kan dah meninggal?”
“Kau anak-beranak dah kena tipu hidup-hidup dengan Sophia. Kau percaya semua cakap perempuan macam ular tu?” Fadhil melepaskan rasa terkilannya. Mudah benar Sophia memperbodohkan semua orang. Licik benar Sophia dengan tipu helahnya. Tetapi Sophia tidak sedar, ALLAH itu Maha Adil.
“Kenapa baru sekarang kau nak cakap? Kenapa baru sekarang kau nak kata kami semua ni kena tipu?” tempelak Mustakim.
Fadhil tunduk.. Dia sedar selama ini dia juga diperbodoh-bodohkan oleh Sophia. Perjanjian untuk tidak membuka mulut tentang kisah lama itu sudah tidak ada makna lagi dalam hidupnya. Dia sudah tidak perlukan bantuan kelaurga Wan Mursyid lagi untuk menyara keluarga. Rezeki ALLAH ada di mana-mana. “Aku dah insaf. Aku sedar, aku tak perlu bergantung kepada mereka lagi untuk sesuap nasi. Bumi ALLAH ini masih luas dan rezeki-NYA melimpah-ruah di mana-mana.”
“Alhamsulillah, syukurlah kalau kau dah sedar,” ucap Mustakim setelah menyedari bahawa Fadhil juga manusia biasa. Kalau dia sendiri boleh tertipu dengan Wan Anum Sophia, Fadhil juga mungkin mengalami keadaan yang sama. Dulu, sahabat baiknya itu sanggup melakukan apa saja yang disuruh oleh Wan Anum Sophia demi menjaga periuk nasinya. Tetapi setelah setahun Wan Mursyid meninggal dunia, Fadhil menghilangkan diri. Mungkin tidak sanggup untuk terus bersekongkol dengan Sophia. Dia tidak mahu bertanya tentang masa lalu itu kepada Fadhil. Biarlah… yang penting sahabatnya sudah sedar kesilapannya.
“Mustakim, Nudra tu anak Munirah dan Eusoff yang sah. Dia bukan anak Safuan,” ujar Fadhil dengan suara sedikit keras.
Wajah Mustakim tenang saja menerima berita itu. Hatinya sudah lama mempercayai perkara itu. Dari raut wajah Nudra dia sudah tahu anak itu adalah anak Eusoff, tetapi dia tidak dapat hendak buktikannya.
Fadhil terbatuk-batuk kecil. Kemudian dia mengurut dada sebentar. Nafasnya nampak sedikit tidak teratur. Semput. “Kalau kau tak percaya, kau boleh buat ujian DNA untuk sahkan siapa sebenarnya Nudra tu,” cadang Fadhil yang melihat Mustakim seolah-olah tidak mempercayai kata-katanya.
“Aku dah lama berdoa agar ALLAH bukakan jalan untuk aku buktikan bahawa Nudra itu adalah anak yang sah. Dia anak yang baik. Aib yang sebegini tidak sepatutnya menimpa dia. Aku tak tahu macam mana nak membasuh semula arang yang terconteng ke mukanya. Kalau kau boleh tolong aku…” Suara Mustakim kedengaran sangat perlahan.
“InsyaALLAH. Aku sebenarnya dalam usaha untuk membawa Eusoff balik ke Malaysia. Tapi dia sedang sakit, tak boleh bangun. Dia dah lumpuh separuh badan. Kena stroke…”
“Oh, innalillahiwainnailaihirojiuun…” Mustakim bertafakur sebentar. “Kat mana dia sekarang?” soalnya kembali.
“Kat Dubai. Bulan lepas aku jumpa dia. Dia nak sangat jumpa Nudra.”
“Mana kau tahu Nudra tu anak dia?” Mustakim begitu ghairah ingin tahu lanjut.
Kedengaran Fadhil mendengus kasar. “Munirah tu mengandung sebelum Eusoff pergi belayar lagi. Dia lebih tahu sebab Munirah isteri dia. Orang tak percaya sebab semua orang ingat Eusoff tu mandul.”
“Ooo...” Mustakim menelan ludah. Mengapa dia tidak pernah terfikir akan perkara itu sebelum ini? Mengapa dia begitu mudah percaya dengan segala cakap kakak iparnya? Wan Anum Sophia... tak sangka begitu sekali busuknya hati kau!
“Wan Anum Sophia dah tahu? Munirah?” soal lagi Mustakim lagi setelah agak lama melayan perasaan sendiri.
Sekali lagi batuk Fadhil mengisi ruang. “Aku tak akan bagitahu perempuan macam ular tu. Nanti banyaklah helah dia...”
Mustakim mengangguk setuju. Betul juga kata Fadhil, kalau Sophia tahu terlebih dulu tentu ada saja rancangannya untuk menggagalkan pertemuan itu.
“Kita usaha bawa dia balik. Anak dia nak kahwin…”
Fadhil angguk sambil menepuk bahu Mustakim. “Sahabat, aku akan usahakan. Mungkin ini adalah bakti aku yang terakhir buat kau dan arwah Mursyid. Aku minta diri dulu.” Fadhil terus bangun untuk pergi.
“Tak singgah ke rumah dulu? Masih banyak lagi yang belum kita cerita,” pelawa Mustakim juga turut bangun sambil membetulkan jubahnya.
“Lain kali. Aku nak segera pergi. Ini alamat dan nombor telefon aku. Apa-apa hal, kau hubungi aku.” Fadhil menghulurkan sekeping kertas biru kepada Mustakim.
Mustakim mencatat sesuatu di kertas biru itu lalu dikoyakkansedikit dan dihulurkan kepada Fadhil. “Ni nombor telefon rumah aku. Kalau ada apa-apa perkembangan, kau cakap cepat-cepat.”
“Okey, aku pergi dulu. Assalamualaikum…”

Rabu, 31 Oktober 2007

Bhg 37

Untuk makluman semua, tagboard kat sebelah tu ada masalah sikit. Saya tak tau apa masalah dia, tapi yang pasti tagboard tu suka makan mesej orang. Yang peliknya, kadang-kadang mesej tu muncul tapi bila buka sekali lagi hilang... Buat sesiap yang mesejnya tak ada kat situ saya mohon maaf. Bukan saya yang delete, tapi tagboard oggix tu yang buat hal.
Dan kalau ada apa-apa, jangan segan tinggalkan komen anda di ruangan comments di bawah atau di MyGuestbook kat sebelah bawah tangboard tu.
Okey, itu saja pesanan penaja... hehehehe... Selamat membaca.
******
PAGI yang ceria bertukar menjadi suram. Rumah berkembar dua tingkat itu bagaikan dilanda ribut taufan. Dr Mardhiah yang tidak pernah meninggikan suara dengan anak-anak itu tiba-tiba menyinga. Dia benar-benar meradang dengan Iskandar. Baginya, Iskandar sudah melampau, sanggup dia lakukan apa saja demi anak tidak sah itu.
“Umi tak akan benarkan. Umi tak akan terima budak tu sebagai menantu umi. Tidak sekali-kali, Is!” Suara Dr Mardhiah kembali kendur tetapi masih dalam nada marah.
“Umi… Is perlu izin dan restu umi,” rayu Iskandar. Umi dan abahnya dipandang silih berganti.
“Bila-bila masa umi boleh restu Is nak kahwin. Umi tak kisah dengan siapa pun Is nak kahwin tapi bukan dengan budak tu,” tegas Dr Munirah tanpa memandang sedikit pun ke wajah anaknya.
Prof. Khalidi yang duduk di sisi Iskandar hanya mampu melepaskan keluhan berat. Sejak tahu siapa Nudra sebenarnya, isterinya itu bukan saja membenci bekas tunang Iskandar tu, menyebut nama Nudra pun dia tidak mahu. Dia pun tidak faham mengapa Dr Mardhiah langsung tidak boleh terima hakikat itu dan memaafkan keluarga Nudra. Baginya, tidak ada apa yang perlu diungkitkan lagi kalau itu sudah suratan takdir buat gadis itu. Bukan salah Nudra pun…
“Umi, Is mintak maaf. Is akan teruskan juga niat Is. Is tak sampai hati tengok Nudra macam tu. Dalam keadaan dia tertekan begitu kita sepatutnya membantu dia, bukan menambah beban pada dia.” Dengan hati-hati Iskandar menyuarakan hasrat hati. Dengan penuh harapan dia menatap wajah ibunya agar ibunya bersetuju.
Bulat mata Dr Mardhiah memandang anaknya yang duduk di sisi kirinya. Sungguh dia tidak sangka Iskandar akan berkata begitu. Dia tidak menduga Iskandar tergamak melawan kata-kata mereka. “Iskandar!” Suara Dr Mardhiah semakin kuat menjerit nama anaknya.
Beberapa minit suasana di ruang tamu rumah itu jadi hening. Dr Mardhiah yang berblaus hijau muda kelihatan memicit-micit dahinya dengan tangan kiri. Prof. Khalidi pula tidak berkutik. Iskandar yang menyedari ketegangan itu membuang pandang jauh ke luar cermin sorong yang ditabiri langsir kain sheer yang nipis.
“Is sungguh-sungguh ke dengan apa yang Is cakap tadi?” soal Prof. Khalidi akhirnya. Dalam rasa marah dan kecewa, terselit juga rasa kagum pada anak terunanya itu kerana tegar dengan pendiriannya.
Dengan penuh yakin Iskandar mengangguk. Dia tidak mampu berselindung lagi. Biarlah umi dan abah hendak marah pun ketika ini dia tidak peduli lagi. Dia sudah melakukan yang terbaik buat semua.
Prof. Khalidi diam, tidak menyangka Iskandar sudah nekad dengan keputusannya. Cinta Iskandar begitu tegar terhadap Nudra. Dia dapat lihat kesungguhan hati Iskandar dari sinar yang terpancar dari mata anaknya itu.
Dr Mardhiah menjeling tajam kedua beranak itu. Dia tidak setuju dengan cara suaminya. Dia tidak suka kalau Prof. Khalidi masih hendak berkompromi dengan kehendak Iskandar. Bagi wanita separuh umur itu, keputusannya sudah muktamad: dia tidak akan terima Nudra sebagai menantu. Walau apa pun yang akan terjadi, dia akan tetap dengan keputusannya.
“Kalau dah itu yang Is putuskan, kita tak boleh nak menahannya. Kalau kita halang pun, bimbang nanti berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” ujar Prof. Khalidi, secara tidak langsung memberi keizinan kepada anaknya.
“Abang!” Sekali lagi mata Dr Mardhiah membuntang. Sungguh dia tidak menduga suaminya masih hendak menurut kehendak Iskandar. Sampai hati Prof. Khalidi tidak mahu berpihak kepadanya. Entah apa yang merasuk fikiran dua beranak itu pun, dia pun tak tahu. Entah apalah istimewanya Si Nudra itu sehingga Iskandar tergila-gilakannya begitu sekali dan sampai tidak boleh melupakan gadis itu. Fikirannya mula membuat andaian jahat.
“Kalau ALLAH dah tetapkan itu jodoh dia, nak buat macam mana? Walau macam mana kita halang sekali pun, dia akan bertemu juga. Dhia, jangan sampai ego menguasai hati kita hingga kita tak nampak satu pun kebaikan pada diri Nudra. ALLAH tak jadikan seseorang tu hanya keburukan saja yang ada pada dirinya. Semua manusia ada baik, ada buruknya,” nasihat Prof. Khalidi kepada isterinya. Entalah, sejak akhir-akhir ini Dr Mardhiah asyik meradang saja bila menyentuh hal Iskandar dan Nudra.
“Is ni dah termakan apa-apa ke sampai tak boleh nak lupa budak tu?” Dr Mardhiah membuat tohmahan.
“Astahfirullahal’azim, Dhia…” Prof. Khalidi menjeling isterinya sebagai isyarat dia tidak suka isterinya membuat tuduhan melulu.
Iskandar sekadar melepaskan keluhan, kesal dengan kata-kata ibunya itu. Dalam keadaan umi tidak dapat mengawal perasaannya dan abah pula sudah mula membuka mulut, Iskandar mula jadi tidak enak berada di antara keduanya. Rasa bersalahnya mula membuatkan dia tidak keruan. Beberapa kali dia meneguk liur.
“Manalah tahu, kalau dah selalu sangat makan minum kat sana...” ujar Dr Mardhiah lagi sambil menjeling ke arah Iskandar. Iskandar pula buat-buat tidak nampak saja. Hatinya cukup terguris dengan tuduhan itu.
“Kalau tak tahu betul ke salah, jangan tuduh sebarangan. Silap-silap cakap, jadi fitnah. Awak tak kenal Tok Ayah. Dia tu guru agama yang banyak ilmu. Saya pernah jadi anak murid dia. Tak mungkin dia terlibat dengan perkara khurafat macam ni,” balas Prof. Khalidi pula.
“Memanglah saya tak kenal dia dan saya tak tahu pun perangai dia macam mana. Sebab tu saya kena ada syak wasangka. Manusia zaman sekarang ni bukan boleh kira. Tok guru ke, tok bomoh ke… dah banyak yang kaki tipu.” Dr Mardhiah sudah jauh mengikut kata hati. Geram benar bila suaminya mula menyebelahi orang tua itu.
“Jaga mulut awak sikit bila bercakap. Orang tengah marah, macam-macam boleh kata. Jangan sampai awak menyesal dengan mulut sendiri.” Prof. Khalidi mula meninggi. Dia sudah tidak sabar lagi melayan radang isterinya walaupun hatinya mula merasa tidak enak dengan kata-kata yang keluar dari mulut Dr Mardhiah.
Suasana jadi sepi. Iskandar semakin serba-salah. Tak pernah dia tengok umi dan abah bertengkar begitu, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Lantaran itu dia merasa cukup bersalah. Direnungnya wajah umi yang muram itu. Dia tahu umi tidak berniat untuk menyakiti hatinya dan segala apa yang umi lakukan adalah demi kebaikannya. Tapi dia tidak boleh terima keputusan umi untuk menghalang dia dan Nudra berkahwin.
“Teruskan aje niat baik Is tu. Abah tak ada halangan.” Suara Prof. Khalidi membuatkan Dr Mardhiah dan Iskandar terkesima.
Iskandar merenung ke wajah ibunya dan dapat mengesan perubahan di wajah wanita itu. Iskandar tahu ibunya sangat terkejut. Dia tahu umi terluka dan kecewa dengan keputusan mendadak abah. Umi, maafkan Is... Is tak berniat nak lukakan hati umi sampai macam ni sekali. Percayalah, dalam dunia ini umi adalah wanita pertama di hati Is. Kasih umi tidak pernah luput dalam jiwa Is.
“Umi akan restu jika Is dapat buktikan budak tu bukan anak luar nikah, tapi selagi tak ada bukti, jangan harap umi nak benarkan,” ucap Dr Mardhiah, terus bangun dan meluru ke tingkat atas.
Tanpa sedar setitis air jernih jatuh di sudut mata Iskandar. Dia kebingungan, antara rasa gembira, terharu dan sayu, tidak tahu yang mana satu sedang mengocak hatinya ketika itu. Abah sudah memberikan kata putusnya, tinggal lagi umi yang masih berkeras dengan prinsipnya.
“Is, tabahkan hati. Banyakkan munajat kepada ALLAH. Mohon dipermudahkan…” Prof. Khalidi memeluk bahu anaknya erat.

Selasa, 30 Oktober 2007

Bhg 36

TERCUNGAP-CUNGAP Ruslina mencuri nafas selepas berjoging dua pusingan mengelilingi kolam bersama abangnya. Syameer yang sampai kemudian mendepang-depangkan tangannya sambil menarik dan menghembuskan nafas.
“Huh, baru dua pusingan dah pancit!” Ejek Syameer kepada adiknya.
“Alah, dah lama tak joging. Pancit la...” balas Ruslina tidak mahu kalah. Selepas membuat beberapa pergerakan badan dia terus duduk di atas rumput.
“Kalau Kak Nudra ada kan best?” ujar Syameer tiba-tiba. Teringat sewaktu Nudra masih tinggal di situ, selalu juga mereka bertiga joging bersama.
Ruslina mencebik. “Best apa?”
“Best la... Lina tak ingat ke masa-masa Kak Nudra kat sini? Kita kan selalu duduk-duduk tepi kolam ni hiburkan hati Kak Nudra.” Syameer turut melabuhkan punggungnya di sisi Ruslina. Pandangannya dilemparkan ke tengah. Sesekali air kolam itu berkocak apabila ada ikan yang berenang ke permukaannya.
“Tak ada apa yang nak diingatkan,” jawab Ruslina acuh tak acuh sambil berdiri lalu melangkah ke tepi kolam.
Syameer mengangkat bahu, tidak mengerti dengan sikap adiknya itu. “Lina tak nak jumpa dia? Hari tu Kak Nudra kata dia teringin sangat nak jumpa Lina. Dia dah tak sabar nak tengok wajah baru adik abang yang dah slim ni,” Syameer cuba menguja adiknya untuk bertemu Nudra.
Ruslina yang sedang memberi makan ikan di kolam buat-buat tidak dengar saja dengan pertanyaan abangnya tadi.
“Dengar tak apa abang tanya ni?” Suara Syameer sedikit meninggi. Segera dia menghampiri Ruslina di tepi kolam dan turut sama mencampakkan makanan ikan ke dalam kolam. Dia ingat Ruslina tidak dengar.
“Dengar...” jawab Ruslina masih acuh tidak acuh.
“Habis tu kenapa tak jawab?” tanya Syameer hairan. Wajah adiknya direnung seketika. “Jomlah, petang ni abang bawak Lina pergi jumpa Kak Nudra kat Air Hitam. Lusa abang dah nak fly,” ucap Syameer dengan ceria. Dia pasti Ruslina akan melompat gembira dengan cadangannya.
“Tak naklah...”
Berkerut kening Syameer mendengar jawapan Ruslina yang tidak disangka-sangak itu. “Kenapa? Bukan ke masa kat asrama dulu Lina yang beriya-iya nak jumpa Kak Nudra? Kenapa pulak hari ni tak nak?” Syameer semakin hairan dengan sikap adiknya.
“Tak naklah jumpa dia. Tak sangka Kak Nudra tu hasil perbuatan tak senonoh Mak Long.” Lancang sekali Ruslina menjawab. Nama Nudra dan Munirah begitu jelek sekali pada pendengarannya.
“Lina!” Syameer menyentap lengan Ruslina dengan kuat. Hampir tercampak bekas makanan ikan yang dipegang adiknya itu. Dia benar-benar terkejut dengan jawapan adiknya itu. Mereka saling bertatapan seketika.
“Kenapa ni? Sakit tau!” Ruslina menarik tangannya dengan kasar, cuba melepaskan dari cengkaman Syameer. Mukanya mencuka.
“Kenapa cakap macam tu? Jangan sekali-kali Lina cakap macam tu depan Kak Nudra atau Mak Long. Ingat tu! Kita tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Mungkin mereka berdua mangsa keadaan,” Syameer berkata seakan memberi amaran. Dia cukup kesal dengan sikap Ruslina yang sudah mula membenci kedua beranak itu.
“Dah kenyataan begitu. Kenapa tak boleh cakap pulak? Kenapa mesti kata mangsa keadaan kalau dah sah Mak Long yang buat? Mama pun cakap macam tu. Nenek pun... Semua orang bercerita benda yang sama. Kenapa pulak Lina tak boleh? Kenapa abang nak bela mereka pulak?” soal Ruslina bertubi-tubi dengan penuh rasa geram.
“Sebab Kak Nudra tak patut terima hukuman begini. Dia tak salah apa-apa,” tingkah Syameer sedikit keras. Hati Syameer bagai disentap mendengar ucapan adiknya yang dianggap celupar itu. Tak sangka Ruslina akan berubah menjadi seperti Nabila pula. Entah apa yang menghasutnya, Syameer tidak tahu. Dulu Ruslina tidak begitu... bisik hati Syameer kesal.
“Memang dia tak salah. Tapi Lina tak bolehlah nak terima. Lina jadi geli bila tengok Mak Long dan Lina rasa Lina akan rasa benda yang sama jugak bila berdepan dengan Kak Nudra.”
“Lina!”
“Dah lah... Lina tak nak bincang lagi pasal Kak Nudra. Dia bukan sepupu kita pun.” Ruslina terus berlalu tanpa menghiraukan Syameer yang cuba menahannya.
“Mak Long...” Syameer terkedu sebaik saja menoleh ke belakang dan melihat Munirah di situ. Ruslina yang berpapasan dengan makciknya itu langsung tidak pedulikan kehadiran makciknya yang berkerusi roda itu.
Syameer menghampiri lalu menolak Munirah dengan kerusi rodanya ke bawah pokok di tepi kolam. “Jangan ambil hati dengan kata-kata Lina tadi, Mak Long.” Syameer amat kesal dengan sikap dan kata-kata Ruslina yang tentunya telah disaksikan makciknya tadi.
Setelah mereka berada di bawah pokok gelang yang rendang itu, Syameer duduk di kerusi batu di situ.
“Tak apalah, Meer...” Munirah senyum. Syameer anak yang baik. Dia bangga dengan Syameer. Dia tidak seperti cucu-cucu Wan Anum Sophia yang lain. Mereka semua sudah dididik untuk berlagak sombong dan bangga dengan keturunan sendiri. Munirah merasa meluat memikirkan hal itu.
“Lina tak patut cakap macam tu kat Mak Long dan Nudra,” ucap Syameer yang masih merasa bersalah dengan makciknya.
“Lupakan aje. Lina tak faham dan hanya ikut cakap-cakap orang aje. Lagipun Lina mungkin masih terkejut. Dia kan baik dengan Nudra, tentulah dia rasa sangat kesal bila tahu perkara ni.”
Syameer angguk, mengakui kebenaran kata-kata Munirah. Dia pun fikir perkara yang sama juga, cuma dia tidak dapat terima kata-kata Ruslina yang mencemuh sepupunya yang malang itu. Tak apalah, mungkin satu hari nanti Ruslina akan insaf dan menarik balik kata-katanya tadi.
“Meer ada jumpa Nudra lagi lepas hari tu?” soal Munirah setelah Syameer hanya diam melayan fikiran sendiri.
“Tak”
“Mak Long teringin nak jumpa dia,” ujar Munirah sambil merenung jauh ke tengah halaman. Dia ingin sekali memeluk Nudra, ingin membelai dan memujuk hati anaknya yang tentunya tengah berduka ketika itu. Ingin dia bisikkan kepada Nudra bahawa segala yang mereka dakwa itu tidak benar belaka. Dia punya ayah yang sah. Sekarang Munirah yakin. Ya, dia semakin yakin! Nudra bukan anak hasil hubungannya dengan Safuan. Hubungan itu tidak pernah terjadi.
Wajah Munirah yang nampak tenang dan berseri itu direnungnya sebentar. Ucapan Munirah sebentar tadi membuatkan Syameer jadi serba-salah. Dia masih ingat apa yang pernah Nudra beritahunya sewaktu dia melawat Nudra dulu, Nudra tidak mahu berjumpa dengan ibunya dalam waktu terdekat ini.
“Meer, kalau kita dapat jumpa Pak Long Eusoff, alangkah baiknya? Mungkin kita boleh merawat duka di hati Nudra. Mak Long nak buktikan bahawa Nudra tu anak kami yang sah, bukan anak Safuan.Tanpa Pak Long Eusoff, kita tak boleh buat apa-apa.”
Lama Syameer membuang pandang ke tengah halaman. Kalau betul kata Munirah, dia akan berusaha mencari Eusoff. Wajah Nudra yang sugul sewaktu dia melawat tempoh hari mengundang simpatinya. Dia tahu Nudra sangat kecewa kerana terpaksa berpisah dengan Iskandar. Dia teringin sangat hendak mengembalikan sinar bahagia dalam hidup Nudra.
“Meer pun rasa macam tu. Bila tengok keadaan Nudra hari tu, Meer rasa Meer kena cari ayah Nudra. Dia sayang sangat dengan bekas tunang dia tu. Meer akan usahakan tapi Meer tak pasti boleh jumpa ke tidak,” balas Syameer tidak mahu Munirah terlalu berharap.
“Mak Long bergantung harap pada Meer aje…”
“Kita sama-sama berdoa ya Mak Long.” Tangannya diletakkan pada lengan Munirah.

Jumaat, 26 Oktober 2007

Bhg 35

PAGI Ahad itu awal-awal lagi Nudra sudah berada di luar rumah, menyapu halaman dan menyiram pokok-pokok bunga dan cili yang ditanam bersama Hannah tenpoh hari. Hannah pula sibuk di dapur menyediakan sarapan.
Bunyi enjin kereta memasuki halaman mengejutkan Nudra yang sedang membongkok menyapu sampah.
Sebaik saja terpandang wajah lelaki yang baru saja melangkah keluar dari kereta itu, Nudra segera hendak berlalu masuk ke dalam rumah. Tetapi Iskandar terlebih dahulu menghampiri dan memberi salam.
Salam yang diberikan hanya dijawab di dalam hati tanpa sedikit pun memandang ke wajah lelaki itu. Penyapu lidi di tangan disandarkan pada tiang rumah. “Awak cari Tok Ayah?” Nudra mencari alasan untuk tidak berlama-lama dan mengelak dari terus berhadapan dengan Iskandar.
“Saya cari awak.”
Nudra pandang ke wajah Iskandar sebentar dengan kening berkerut. Lelaki itu nampak resah meskipun suaranya tenang sahaja. Tanpa sepatah kata Nudra hanya menunggu Iskandar meneruskan bicara.
“Oh, Iskandar! Pagi-pagi kau datang, kau nak jumpa Tok Ayah ke?” Hannah yang menjenguk melalui pintu dapur menyapa, buat-buat tidak dengar sedangkan dia sudah memasang telinga sejak tadi.
“Ha’ah... aku ni, Hannah. Aku cari Nudra, bukan Tok Ayah. Aku tahu, Tok Ayah masih kat surau pagi Ahad macam ni. Ada kelas tajwid untuk wanita hari ni, kan?”
“Hmm... tahu pun! Buat apa cari Nudra?” tanya Hannah cuba memaniskan muka. Teruknya orang putus cinta... nanar tak menentu! Kesian aku tengok Si Iskandar tu. Hannah menggerutu dalam hati.
“Aku ada hal nak cakap dengan Nudra. Kau tak ke mana-mana, kan?” Sengaja Iskandar bertanya walaupun dia pasti Hannah tak ke mana-mana dan dia tak akan hanya berdua dengan Nudra.
“Yalah, aku kat dapur ni tengah masak nasi lemak ni. Kau sembanglah kat luar tu.” Segera Hannah masuk semula ke dalam rumah meneruskan kerjanya. Dalam diam dia mengulum senyum. ‘Padan muka! Tak hingin aku jemput masuk,’ gerutu Hannah yang masih geram dengan tindakan keluarga Iskandar terhadap Nudra.
“Nudra, saya tak tahu sama ada awak dah tahu ke belum. Mungkin Tok Ayah dah beritahu awak, tapi tak apalah saya nak cakap sendiri. Biar awak dengar dari mulut saya sendiri,” Iskandar meneruskan bicara setelah Hannah menghilang ke dapur.
Sekali lagi Nudra memandang lelaki berbaju melayu hitam itu dengan kening berkerut. “Apa dia?” soal Nudra dengan dada berdebar-debar. Apa lagi perkara penting yang ada antara kita Is?
Iskandar diam agak lama lalu berkata, “Saya nak lamar awak sekali lagi.”
Berdetak jantung Nudra tatkala mendengar suara Iskandar mengucapkan itu. Tiba-tiba saja kakinya terasa menggigil dan tapak tangannya berpeluh dingin. Seteguk air liur ditelan, terasa pahit sekali. “Tidak, Is!” Terpacul penolakan dari bibir Nudra.
“Kita kahwin. Walau apa pun yang akan terjadi…”
“Kita tak boleh… Saya… Saya tak macam orang lain,” pantas saja Nudra menjawab walaupun dengan suara tersekat-sekat.
“Nudra... Saya tak pernah kisah siapa awak. Saya dah niatkan sejak dulu lagi, awak adalah suri hidup saya. Saya dah janji dengan awak dan saya akan tunaikan janji saya tu.” Suara Iskandar bergetar sayu. Gadis berbaju kurung kain kapas berbunga-bunga kecil itu langsung tidak mahu mendengar penjelasannya.
“Is, saya nak masuk dulu. Saya rasa saya dah tak ada apa lagi yang perlu awak jelaskan. Awak tak perlu paksa diri awak untuk tunaikan janji awak. Jangan rasa bersalah. Sejak hari pertama keluarga awak menolak saya, saya sudah belajar lupakan awak. Anggaplah apa yang terjadi antara kita ni tak pernah berlaku,” ucap Nudra dengan suara perlahan.
“Saya tak boleh lupakan awak. Saya harap pengertian awak. Nudra, tolonglah!”
Nudra melepaskan keluhan. Kata-kata itulah yang tidak sanggup dia dengar lagi. Dia tidak mahu kembali mengingati cinta yang sudah punah itu. Yang dah berlalu, biarlah berlalu. Untuk apa dikenang lagi?
“Awak jangan buat mudah dengan sebuah perkahwinan. Perkahwinan bukan untuk dicuba-cuba. Awak tak boleh terima saya kalau awak tak sungguh-sungguh. Kalau sekadar simpati saja, semua tu tak menjamin apa-apa. Mendirikan masjid tu perlu niat yang ikhlas, supaya masjid yang awak bina tu tidak mudah goyah. Awak juga perlu restu emak dan ayah awak. Kalau tidak, hidup tidak akan tenang sampai bila-bila,” nasihat Nudra dengan ikhlas. Dia tidak mahu pernikahan mereka akan menemui kegagalan jika tanpa restu orang tua Iskandar.
Iskandar termangu dengan peringatan yang diberikan Nudra itu. “Nudra, saya sungguh-sungguh. Saya akan buktikan apa yang saya ucapkan.”
Nudra biarkan kata-kata Iskandar dibawa angin lalu. Dia tidak ingin menyimpan apa-apa harapan. Bahagia untuknya hanyalah khayalan belaka...

MEMBUNTANG mata Azida memandang adiknya yang sedang memerhati ikan di akuarium di patio rumahnya. Kata-kata yang baru terlafaz dari mulut Iskandar itu membuatkan dia benar-benar terkejut. Sungguh tidak dia sangka Iskandar mempunyai niat sebegitu. “Tak salah ke telinga Kak Long ni dengar apa yang Is cakap tadi?” Azida meminta kepastian kerana dia masih tidak mahu percaya apa yang di ucapkan adiknya sebentar tadi. Dia berharap Iskandar sekadar bergurau.
Pantas Iskandar menoleh. Sebuah senyuman tersungging di hujung bibirnya. Kaca mata yang hampir melurut ke hidung diangkat sedikit dengan hujung jari telunjuk. “Kenapa, Kak Long ingat Is main-main? Is serius…” Iskandar berkata sambil melabuhkan punggungnya di bangku yang menghadap kakaknya. Sorot matanya sarat dengan duka. Fikirannya jauh melayang entah ke mana.
Azida mengetap bibir. “Abah dan umi macam mana?” Hanya kedua orang tuanya yang ada dalam fikiran Azida ketika itu. Jangan sampai Iskandar membelakangkan umi dan abah hanya kerana cintanya. Kebimbangan Azida terus membelit hatinya.
“Abah dan umi pasti tak setuju. Is tahu, mereka tak akan benarkan Is kahwin dengan Nudra sebab mereka dah putuskan macam tu. Tapi Is dah nekad. Hati Is dah bulat sebab hati kecil Is mengatakan apa yang Is buat ni adalah betul. Niat Is ikhlas bukan kerana nafsu saja. Is dah banyak kali mohon petunjuk DIA dan Is yakin dengan apa yang Is rasa. Is pasti suatu hari nanti umi dan abah akan terima Nudra juga, ” balas Iskandar tanpa memandang kakaknya.
“Iskandar… tak semudah tu. Kak Long tak setuju. Kalau Is dah tetap dengan pendirian Is, Kak Long tak akan memihak pada Is. Sanggup Is jadi nak buang keluarga kerana seorang Nudra,” protes Azida yang tidak setuju dengan rancangan adiknya. Suaranya sedikit meninggi. Angin sungguh rasanya dengan pendirian Iskandar yang hanya memikirkan perasaannya saja dan langsung tidak mahu fikirkan hati dan perasaan orang lain. Kenapa Iskandar jadi begitu?
“Kak Long… Is tak kata Is akan tinggalkan keluarga. Is tak akan sesekali jadi anak derhaka. Biar umi dan abah tak akan tahu. Biarlah semua ni jadi rahsia dulu.”
“Habis tu, Is nak kahwin tanpa pengetahuan umi dan abah? Is nak kahwin senyap-senyap? Apa ni Is?” Azida hampir terjerit. Dia tidak percaya dengan pengakuan Iskandar. Dan dia tidak akan setuju dengan rancangan itu. Iskandar sudah melampau.
“Is dah fikirkan masak-masak. Is kesiankan Nudra. Is dah beri janji pada Nudra dan Is tak sanggup nak mungkirinya. Is tak akan berhenti mencintai dia. Is minta pengertian Kak Long. Tolonglah rahsiakan semua ni dari umi dan abah. Adik juga tak boleh tahu. Is perlukan semua. Is perlukan abah dan umi, Is perlukan keluarga Is dan dalam masa yang sama juga Is perlukan Nudra. Sebab itu Is tak mahu mereka semua tahu,” balas Iskandar dengan tenang, cukup yakin dengan pendiriannya.
Azida termenung seketika. Dia tetap tidak akan setuju dengan rancangan Iskandar. Dia tidak faham mengapa Iskandar boleh berfikiran begitu. Dia sangat yakin umi dan abah akan menentang. Dan Azida juga tidak tahu bagaimana Iskandar akan menjelaskan semua ini kepada mereka nanti. Azida tidak nampak perkara ini akan jadi mudah. Dia yakin semuanya akan jadi amat rumit sekali. Dan bagaimana dia nanti dia akan mampu mengunci mulut dan bersubahat dengan kerja gila adiknya ini? Oh, Iskandar! Tolonglah jangan buat Kak Long pening begini…
“Is dah nekad?” Azida bertanya lemah, masih cuba menduga keyakinan adiknya. Dia berharap hati Iskandar masih berbelah-bagi.
“Ya, nekad. Is akan hadapi apa jua tentangan dan rintangan,” lafaz Iskandar dengan tenang sekali.
“Is, ke mana perginya taat Is selama ni? Ke mana hilangnya hormat Is pada umi dan abah? Is lebih sayangkan Nudra dari umi dan abah. Kenapa, Is?” soal Azida sambil matanya mencerun memandang Iskandar. Rasa hendak menangis saja bila mengenangkan kedegilan adiknya ini. Kesal! Kalau boleh mahu ditelannya Iskandar hidup-hidup. Tak pernah dia rasakan amat marah kepada adiknya begitu. Sekejapan dia memejamkan mata, cuba menenangkan hati yang panas membara. Dia cuba bersabar dan mempraktikkan apa yang dia pelajari tentang ilmu psikologi selama ini, tetapi berhadapan dengan situasi itu dia jadi kalah dengan perasaannya.
“Sayang dan cinta tu dua perkara yang tak sama. Is sayangkan umi dan abah. Sayang Is tak pernah luak untuk mereka. Is ada tanggungjawab untuk umi dan abah. Tanpa umi dan abah Is tak akan lahir ke dunia. Walau datang bidadari sekalipun taat dan hormat Is tak pernah berubah untuk umi dan abah.”
Azida mendengus. “Cakap memang pandai! Habis tu kenapa nak kahwin jugak dengan Nudra? Kenapa tak sanggup lupakan Nudra kalau Is sayangkan abang dan umi? Kenapa masih nak kahwin dengan sedangkan umi tak setuju kalau taat Is masih tak berbelah bagi?” soal Azida geram.
“Nudra adalah cinta Is. Is tak pernah dapat lupakan dia. Is dah lukakan hati dia, jadi Is mesti ubati luka tu.” Iskandar tunduk. Kak Long memang pandai menggoyah hati orang.
“Abah dan umi pasti akan kecewa. Kak Long takut mereka akan anggap Is anak derhaka kalau mereka tahu tindakan Is yang bodoh tu. Is tak pernah fikir ke?”
Suasana hening seketika. Azida tunduk merenung lantai. Dia tidak tahu bagaimana lagi hendak memujuk untuk mengubah hati adiknya itu.
“Untuk sementara waktu ni abah dan umi tak akan tahu kecuali Kak Long yang beritahu. Is tak akan berpaling lagi.”
“Bagaimana Is nak hidup bahagia tanpa restu umi dan abah? Sanggup Is hidup dalam pembohongan? Macam mana Is nak jadi suami yang baik kalau dalam diri Is sendiri masih ada perkara yang rahsia? Is tak boleh taat dalam derhaka. Jangan menipu diri sendiri. Jangan tipu ummi dan abah juga. Hidup Is akan susah. Kak Long tak nampak, Is boleh hidup tenang dalam pelarian begitu. Is, Is kerja kat KL, abah dan umi jugak kat KL. Dah tentu kalau Is kahwin dengan Nudra Is akan bawak dia tinggal dengan Is kak KL. Is ingat abah dan umi tu tak ada mata, tak ada telinga?” soal Azida geram.
“Kak Long... Kak Long jangan salah faham. Kak Long ni terlebih emosional. Perempuan memang emosional bila bercakap pasal hal nikah kahwin ni. Seorang kaunselor tidak sepatutnya melibatkan emosi sendiri dalam menangani apa jua kes. Is tengah dalam sesi kaunseling dengan Kak Long ni tapi Kak Long dah campur adukkan dengan hal peribadi,” ucap Iskandar cuba berlucu. Dia tahu kakaknya tidak akan terima apa jua alasannya untuk kahwin dengan Nudra.
Azida mencebik. “Banyaklah Is punya kaunseling. Cinta budak kat sekolah tupun tak adalah teruk macam Is ni. Kak Long tak nak keluarga kita berantakan hanya kerana cinta Is yang buta tu,” balas Azida yang menjadi guru kaunselor di sekolah berasrama penuh di situ. Buat pertama kali Azida memprotes hubungan Iskandar dengan Nudra padahal sebelum ini dialah yang menjadi penyokong utama. Tidak, dia tidak akan benarkan perkara itu terjadi!
Kata-kata Azida disambut ketawa panjang Iskandar. Berjaya juga dia menguja kemarahan kakak sulungnya itu.
“Hati orang tua ni ibarat sutera, lembut tetapi sukar dijaga. Kalau itu keputusan Is, Kak Long harap Is dapat lakukan perkara ni macam tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak,” nasihat Azida lagi kerana hatinya sarat dengan rasa bimbang. Kali ini dia terpaksa mengalah. Dia tahu Iskandar sudah tetap dengan niatnya dan tidak boleh diubah lagi. Dia hanya mampu memanjatkan doa ke hadrat Yang ESA agar tidak ada hati-hati yang terluka. Tak sanggup rasanya melihat keluarganya berpecah-belah nanti. Wajah tenang Iskandar yang berbaju kemeja biru muda itu direnungnya dalam-dalam.
Kalau sudah terpaksa, dia akan menyokong Iskandar walaupun tanpa kerelaan hatinya. Iskandar adalah adik kesayangannya. Sejak kecil Iskandar rapat dengannya. Apa saja masalah Iskandar akan merujuk kepadanya untuk meminta nasihat. Hmm... mungkin kerana sudah terbiasa menasihati adik yang manja itulah membawa kepada dia menjadi kaunselor hingga kini…
“Walau apa cara sekali pun Is akan dapatkan dia kembali,” ujar Iskandar seakan berikrar pada diri sendiri.
“Jangan over confiden, Is… Nanti sakitnya lebih dalam dari apa yang Is pernah rasa dulu.” Iskandar yang sudah berdiri dipandangnya sekali lagi. “Macam mana kalau Nudra menolak?” duga Azida lagi. Azida masih cuba untuk melunturkan semangat Iskandar walaupun baru sebentar tadi dia sudah mengaku kalah.
“Is yakin, dia adalah jodoh yang ALLAH tetapkan buat Is,” ujar Iskandar dan terus berlalu pergi.
“Is, dengan cakap Kak Long... Kalau Is nak selamat, cakap dulu dengan umi dan abah. Biar mereka tahu anak mereka ni dah nak kahwin sangat. Terpulang pada abah dan umi setuju atau tidak. Selepas tu terserahlah pada Is...”

“APA kena dengan adik awak tu?” Rahmi yang sedang membetulkan mentol lampu di bilik air bertanya. Berita yang disampaikan isterinya sebentar tadi membuatkan dia terfikir-fikir akan rancangan Iskandar yang dirasakan tidak ada kewajarannya itu.
“Entahlah… dah puas Ida nasihat, dia masih tetap nak kahwin jugak dengan Nudra. Degil betul Is tu sekarang. Dulu dia tak macam tu,” keluh Azida sambil memasukkan kain-kain kotor ke dalam bakul cucian.
“Adik awak tu protes dalam diam tu. Hebat benar cinta Iskandar tu,ya? Cantik sangatkah bakal adik ipar awak tu sampai Iskandar jadi nanar macam tu sekali?” Rahmi yang tidak pernah melihat Nudra bertanya. Ingin juga dia tengok macam mana rupanya Nudra tu sehingga Iskandar gila bayang begitu sekali.
“Entahlah… Cantik sangat tu tidaklah, kata orang sedaplah mata memandang. Tapi budak tu nampak baik dan sopan. Alah, orang lelaki ni kalau dah mabuk asmara, cantik ke tak cantik ke apa dia peduli? Eii... geramnya saya!”
Rahmi ketawa dengan rungutan isterinya. Jarang dia lihat Azida naik angin macam tu sekali, lebih-lebih lagi dengan adik kesayangannya. “Awak geram sebab awak letakkan perasaan awak sebagai seorang kakak. Awak melihat dari sudut bertentangan. Cuba awak letak diri awak dalam diri Iskandar. Cuba awak fahami apa yang dia rasa. Dia kan adik kesayangan awak? Dan awak jugak seorang kaunselor, tentu awak lebih memahami.”
“Ida kesal dengan sikap Is. Ida tak kisah sangat status Nudra tu sebab Ida rasa itu bukan salah dia. Dia tak boleh dihukum atas dosa orang lain. Perkara tu biarlah… dah itu takdir dia. Tapi Ida tak sangka Is sanggup nak kahwin tanpa bagitahu umi dan abah,” luah Azida lagi tetapi kali ini dengan suara lebih perlahan. Dia tidak dapat menahan hati dari terus merasa kecewa.
“Biarlah… manalah tahu kisah cinta Iskandar-Nudra ni nanti akan jadi lagenda cinta suatu hari nanti macam kisah Romeo-Juliet tu,” ujar Rahmi berjenaka.
Azida mendengus, melepaskan rasa geramnya yang masih belum reda. “Entahlah, susah saya nak terima perkara ni. Selama ni saya ingat Is tu anak yang taat, dengar cakap umi dan abah. Tapi kerana perempuan…”
“Sebab tu orang kata cinta tu buta,” balas Rahmi sambil tertawa panjang.

Khamis, 25 Oktober 2007

Bhg 34

ANGIN yang bertiup agak keras menjadikan suasana malam itu dingin sekali. Sesekali kilat di langit memancar menandakan hujan akan turun tidak lama lagi. Iskandar bersandar di kerusi malas di anjung rumah sambil fikirannya jauh menerawang kepada gadis bernama Nudra. Hatinya tidak tenang sejak beberapa hari yang lalu. Fikirannya semakin kusut dan tidak mampu dia merungkainya sendirian. Sayu hatinya mengenangkan kasih yang tidak kesampaian.
Dari dalam kamar Nudra, sayup-sayup kedengaran suara gadis itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Surah Al-Kahfi yang dibacanya membuatkan hati Iskandar semakin syahdu. La Tahzan... Janganlah bersedih. Ya, Nudra juga sedang memujuk hatinya agar tidak bersedih ketika itu. Kalau boleh ingin sekali dia menghampiri gadis itu, menyelami segala duka yang sedang ditanggung dan mengubati segala luka di hati Nudra. Tetapi tak mungkin... Biarlah dia di sini, menemani gadis itu dari kejauhan dan mendengar suara merdu itu mengadu kesedihan kepada TUHAN-nya.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi enjin motosikal dan tak lama selepas itu kelihatan cahaya lampu motosikal tersebut menuju masuk ke halaman. Iskandar merasa sedikit lega. Orang yang dinanti sudah tiba. Tidak sabar-sabar lagi dia hendak bertemu Tok Ayah. Dia ingin berbicara dari hati ke hati dengan orang tua itu. Mungkin ini adalah peluang terakhir buatnya untuk membuat keputusan yang terbaik. Selalunya, bicara dan nasihat Tok Ayah adalah kalimat yang berhikmat. Kata-kata Tok Ayah bagaikan embun yang menyirami rumput di pagi hari. Sejuk hati mendengarnya… Lantaran itu dia amat menghormati dan menyayangi Tok Ayah.
“Dah lama tunggu?” soal Tok Ayah selepas salamnya dijawab Iskandar.
“Agak lama jugak. Saya ke surau tadi. Tapi semua orang dah tak ada. Pelik jugak, biasanya malam Sabtu macam ni, Tok Ayah mengajar kelas tafsir,” jawab Iskandar selepas mencium tangan Tok Ayah.
Tok Ayah duduk di kerusi malas yang terletak di hadapan Iskandar. “Ada kenduri doa selamat rumah Wak Supardi tadi. Dia nak ke Mekah buat umrah lusa. Sebab tu kelas tafsir tu dibatalkan.”
Iskandar mengangguk-angguk. Semua itu tidak menarik perhatiannya. Yang ada dalam kepalanya sekarang adalah untuk memberitahu hasratnya kepada Tok Ayah. Dia mahu minta pendapat dan nasihat Tok Ayah tentang hal itu walaupun dia tahu Tok Ayah tidak mungkin akan menyebelahinya.
"Nudra tahu kamu ada kat luar ni?" tiba-tiba Tok Ayah bertanya setelah dilihat Iskandar termenung panjang. Suara Nudra mengaji sudah hilang dari pendengaran.
"Tak. Err… tak tahu, saya tak pasti,” jawab Iskandar tergagap-gagap. Dia merasa bersalah pula kerana datang ke rumah Tok Ayah walaupun tahu Tok Ayah tiada di rumah. Walaupun Nudra berada di dalam dan dia hanya duduk di luar rumah tanpa pengetahuan gadis itu, tapi tentulah tidak manis juga. Kalau ada sesiapa yang tahu, boleh jadi fitnah.
Dia tidak tahu Nudra sedar atau tidak kedatangannya dan dia pun tidak mahu mengganggu. Biarlah Nudra tidak tahu tak mengapa, itu lebih baik. Dia tidak mahu kedatangannya akan menambah kesedihan gadis itu. Lagipun Tok Ayah tidak ada di rumah dan Hannah pula dengar khabarnya ada kursus keusahawanan di Kuala Lumpur sejak beberapa hari yang lalu. Jadi tidak moleklah kalau dia menegtuk pintu memberitahu kedatanganya ketka semua orang tiada di rumah.
“Tak apa. Tok Ayah bukan apa… Biarlah dia tak tahu kamu ada kat sini takut nanti dia makin tak tentu arah. Dia masih terkejut tu,” ujar Tok Ayah yang dapat mengesan rasa bersalah Iskandar pada wajah Iskandar.
Iskandar hanya mengangguk lega. Lalu dia diam dan merenung jauh ke dalam gelap malam, mencari ketika yang sesuai untuk menyatakan hasratnya.
"Kenapa, Iskandar? Nampak macam ada perkara penting yang kamu nak beritahu Tok Ayah. Kamu nampak gelisah, tidak tenang macam selalu. Serahkan segala urusan pada DIA, Iskandar." Tok Ayah berkata lagi setelah Iskandar diam sahaja.
Iskandar menelan keluhan sambil meraup muka. Memang betul apa yang dijangka, Tok Ayah sudah dapat membaca gelora di hatinya. Dengan Tok Ayah dia tidak mampu menyembunyikan apa-apa perasaan pun.
“Ada hal penting yang kamu nak bagitahu Tok Ayah ke?” ulang Tok Ayah sekali lagi.
Diam lagi. Dia cuba menyusun ayat untuk meluahkannya kepada Tok Ayah. Berat sungguh mulutnya untuk memulakan bicara. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Tidak seperti di rumah Kak Long tadi, bukan main bersemangat lagi dia. Tapi bila berdepan dengan Tok Ayah, dia merasa seperti kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa ketika disoal gurunya. Dia merasa seperti seorang peguam di mahkamah yang kehilangan hujah untuk membela diri.
“Iskandar…” Tok Ayah cuba menyedarkan Iskandar dari lamunannya.
“Saya tak boleh lupakan Nudra.” Iskandar bersuara juga akhirnya.
Ucapan setulus hati itu membuatkan Tok Ayah tersenyum. Dia mengerti perasaan anak muda di hadapannya tetapi dia tidak mahu Iskandar terlalu menurut kata hati. “Bersihkan hati kamu dengan zikir dan doa. Jangan biarkan nafsu mengatasi iman dan akal. Semua ini adalah ujian yang harus kamu tempuhi. ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA kalau dia tidak mampu. ALLAH itu Maha Mengetahui, Is.” Tok Ayah menunggu penjelasan Iskandar seterusnya. Dia tahu, ada perkara yang lebih penting dari itu yang ingin disampaikan anak muda itu kepadanya.
“Tapi saya rasa saya sudah nekad. Saya tak akan lepaskan Nudra.” Iskandar kembali bersemangat. Walau apa pun yang bakal terjadi, dia tidak akan sia-siakan kasihnya pada Nudra. Dia akan hadapi apa jua rintangan yang bakal terbentang di hadapan.
Dalam samar-samar cahaya lampu Tok Ayah merenung jauh ke dalam anak mata Iskandar. Kemudian dia pula diam seolah-olah sedang memikirkan maksud kata-kata Iskandar. “Apa maksud kamu, Iskandar?” soal Tok Ayah ingin kepastian walaupun dia sudah dapat membaca apa yang tersirat dihati anak muda berbaju melayu teluk belanga itu.
Iskandar berdehem, membasahkan tekak yang terasa kering. Dadanya berdebar-debar untuk mengucapkan kata yang mungkin akan mengejutkan Tok Ayah tetapi dia tekadkan hati. Kalau Tok Ayah menentang, dia akan terus cuba yakinkan Tok Ayah. “Tok Ayah, saya dah nekad nak ambil Nudra jadi isteri saya. Saya tetap akan menikahi Nudra walau siapa pun Nudra tu. Saya yakin dengan apa yang saya rasa.” Lancar saja Iskandar menuturkannya. Tak tahan lagi rasanya hendak memendamkan hasrat itu sendirian. Dan sebaik saja kata-kata itu terlucut dari bibirnya, perasaannya jadi lega sedikit dan hatinya kembali tenang. Itulah keputusan yang telah dia buat. Apa pun penerimaan Tok Ayah, dia sudah tidak peduli. Biarlah apa pun yang akan terjadi, dia akan sedia lalui.
Tok Ayah tersandar di kerusi. Nafanya disedut dalam-dalam, cuba merenung kata-kata Iskandar sebentar tadi dari sudut yang lain pula. Dia tidak mahu segera meningkah, tidak mahu segera membantah. Dia tidak mahu anak muda yang sedang kebingungan itu semakin bingung dan penasaran. Dia cuba letakkan dirinya di tempat Iskandar. Dia cuba menyelami hati Iskandar sedalam yang boleh. “Kamu sungguh-sungguh dengan kata-kata kamu tadi?” Tok Ayah masih mencari kepastian.
Wajah Tok Ayah ditatapnya seketika. Dia mencari jawapan dari wajah Tok Ayah yang tetap tenang itu.
Iskandar angguk. “Bertahun saya simpan kasih saya untuk Nudra. Selama saya di luar negara saya cuba menilai hati dan cinta saya. Di sana saya mencari kekuatan untuk menolak perasaan yang tumbuh sejak mula saya kenal dia. Saya bisikkan pada hati saya bahawa itu hanyalah cinta monyet yang tidak ke mana. Tapi semakin saya pergi jauh, semakin saya tolak segala rasa yang ada semakin ia dekat dengan saya. Bila saya pulang ke Malaysia, saya rasa saya tidak ada harapan untuk bertemu dengan Nudra lagi. Malah saya menyangka mungkin Nudra sudah berpunya. Dan saya tak pernah menjangka akan berjumpa Nudra secara kebetulan di sini. ALLAH temukan saya dengan Nudra begitu mudah sekali. Dan saya rasa Nudra adalah cinta yang saya cari.” Iskandar sudah tidak malu meluahkannya kepada Tok Ayah. Biarlah apa pun tanggapan Tok Ayah kepadanya, biarlah Tok Ayah kata dia tidak tahu malu pun dia tidak kisah. Yang penting sekarang biar Tok Ayah tahu betapa kesungguhannya ketika itu.
Luahan hati Iskandar membuatkan Tok Ayah terpaku sebentar. Rasa bersalah pula kerana menidakkan perasaan yang suci itu. Kalau Iskandar tidak bersungguh, tak mungkin tanpa segan-silu dia mengucapkan begitu. Dia dapat rasakan betapa beratnya perasaan yang ditanggung oleh kedua-dua anak muda itu. Lebih-lebih lagi Nudra, tentulah dia merasa lebih terhina kerana tahu siapa dirinya. Sejak putusnya hubungan Iskandar, gadis itu nampak sugul dan tidak bermaya. Hidupnya bagaikan sudah hilang serinya. Tok Ayah sangat simpati.
“Iskandar, kamu dah beritahu umi dan abah kamu niat kamu ni?” soal Tok Ayah sambil memandang tepat ke wajah Iskandar.
Iskandar menggeleng. Pertanyaan itu sudah diduganya.
“Iskandar, pengorbanan menuntut kekuatan hati yang padu. Perkahwinan tanpa restu orang tua banyak rintangannya. Kamu bincang dulu dengan umi dan abah kamu. Mintak pandangan mereka. Cuba pujuk sekali lagi, manalah tahu mereka sudah berubah hati. Tok Ayah doakan semuanya dipermudahkan,” nasihat Tok Ayah dengan mata redup merenung anak muridnya.
Iskandar mengangguk-angguk. “Saya tahu. Saya sudah bersedia untuk berkorban apa saja asalkan saya dapat memiliki Nudra. Saya cuba Tok Ayah... Saya cuba sekali lagi untuk pujuk umi dan abah. InsyaALLAH.” Wajah Iskandar nampak ceria sedikit. Kata-kata Tok Ayah menyuntik sedikit semangat buatnya.
“Jangan kamu buang emak ayah kamu semata-mata kerana cinta. Bercintalah kerana ALLAH kerana cinta kerana ALLAH itu lebih mulia dan diredhai. Berlindunglah dari syaitan yang direjam,” nasihat Tok Ayah lagi dengan wajah serius.
Iskandar tunduk. Nasihat Tok Ayah meresap ke jiwanya. Ya, ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung... “Tidak sesekali saya akan lupakan umi dan abah. Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya,” ucap Iskandar bersungguh-sungguh.