Rabu, 29 Ogos 2007

Bhg 12

BAJU KURUNG biru laut yang penuh bersulam manik itu ditilik-tiliknya sekali lagi. Cantik! Nudra memuji hasil tangan sendiri. Semenjak mahir menyulam manik ini, dia mula cuba-cuba mengambil tempahan. Itupun atas desakan Hannah. Dan sejak dia mula mengambil tempahan, sudah ramai pula pelanggannya. Syukurlah, kerana rezekinya semakin bertambah. Dapat juga menampung keperluan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada Tok Ayah saja.
“Wah, cantiknya! Macam ni kalahlah sifu,” Hannah yang baru saja usai solat Isyak memuji.
Nudra yang masih leka dengan baju kurung kain sifon yang bercorak bunga berdiri itu mengukir senyuman. Puas rasanya melihat hasil kerja sendiri walaupun terpaksa bersengkang mata. Baju yang ditempah oleh anak Cikgu Hamid yang akan berkahwin hujung bulan itu digantung pada paku di tepi dinding. “Itulah, aku pun tak sangka baju ni jadi cantik macam gini. Bunga ros biru gelap ni makin naik serinya.”
“Kerja kau memang haluslah, Nudra. Kau ni memang teliti. Tak rugi aku habiskan masa ajar kau.” Hannah terus memuji, bangga kerana Nudra begitu kreatif menyusun manik-manik dengan kombinasi yang menarik. Dia yang menghadiri kelas menyulam itupun tidak secekap Nudra. Telekung sembahyang yang sudah berlipat kemas disidai pada rak di tepi dinding. Sebentar kemudian dia duduk di birai katil dengan sikat di tangannya.
“Err… pujian tu untuk sifu sebenarnya. Kalau sifu tak ajar betul-betul manalah anak murid ni nak pandai. Terima kasih ya sifu sayang!” ucap Nudra. Malu rasanya dipuji begitu kerana merasa Hannah jauh lebih baik dan berilmu berbanding dengan dia yang baru saja hendak belajar.
“Oh, terima kasih! Terima kasih! Untung aku, ada jugak yang sayang ya?” Ketawa Hannah memenuhi ruang. Hubungan mereka yang sangat rapat sejak dulu lagi, maklumlah mereka membesar bersama. Tambahan pula umur dia dan Hannah hanya tua dua bulan sahaja walaupun berlainan tahun. Dulu, ibu bapa Hannah tinggal di rumah yang didirikan di sebelah rumah Tok Ayah. Tetapi selepas lima tahun ayah Hannah meninggal dunia kerana diserang sakit jantung, emak Hannah yang juga dipanggil ‘mak’ memohon kerja sebagai jururawat di Arab Saudi. Sejak itu Hannah tinggal dengan Tok Ayah dan Mak Tok. Mak akan pulang setahun sekali iaitu pada Hari Raya Puasa. Sewaktu kecil dulu, Nudra akan turut gembira jika mak pulang ke Malaysia kerana mak akan bawa bermacam-macam hadiah dan makanan.
“Aku rasa sebab aku guna Japanese beads campur dengan manik yang besar-besar sikit ni, sebab tu dia macam naik seri sikit,” sambung Nudra lagi.
“Memanglah, sebab manik tu mahal sikit dari yang lain. Dia lebih berkilat dan berbentuk sikit. Memang berbaloilah kita pergi cari satu bandar Muar hati tu.” Hannah mengangguk-angguk setuju.
“Makin berserilah anak dara Cikgu Hamid tu. Dahlah dia tu cantik orangnya,” ujar Hannah mematikan lamunan Nudra.
“Zurifah tu, pakailah apa saja mesti cantik punya. Hmm… bilalah aku boleh merasa pakai baju cantik macam ni?”
“Oh, dah teringin sangat ke nak kahwin?” balas Hannah pantas. Mulutnya menjuih, mengejek Nudra yang kelihatan seperti sedang memasang angan.
“Aku? Nak kahwin? Oh, tolong sikit! Orang masih muda lagilah,” balas Nudra yang masih meneliti baju sulamannya untuk memastikan tidak ada benang yang tertinggal atau manik yang tercabut.
Hannah tertawa dengan telatah dua pupunya. Rambut kerinting separas bahu itu disikat dengan lembut berulang kali.. “Muda apa kalau dah cecah dua puluh tu. Lainlah kalau masih di menara gading. Kita ni memang dah patut kahwin pun cuma calonnya aje yang belum ada, ” balas Hannah bersahaja.
“Kalau aku ni dah patut kahwin pun, nak kahwin dengan siapa? Siapalah yang nak kat aku ni...”
Sekali lagi Hannah buat muka mengejek. “Ayat standard yang masih tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas…” Senda Hannah itu hanya dibalas dengan tawa kecil Nudra.
“Yalah, kalau kahwin tu boleh sorang-sorang tanpa ada pasangan, dah lama aku buat pelamin dan bersanding sorang-sorang.”
Ucapan Nudra itu membuatkan Hannah tertawa lucu. “Hmm… lupa pulak aku nak tanya. Cerita pasal kahwin ni baru aku teringat. Siapa lelaki tadi? Macam tetamu istimewa je... Dia makan tengah hari kat sini, aik?” soal Hannah kemudiannya. Tiba-tiba saja dia teringat kepada lelaki yang begitu rancak berbual di anjung rumah bersama Tok Ayah sewaktu dia pulang dari kelas menjahit petang tadi.
Nudra yang sedang menyimpan baju yang ditempah pelanggannya ke dalam almari segera menoleh lalu tersenyum. “Iskandar.”
“Iskandar? Siapa dia tu? Lain macam aje aku nampak senyum kau tu.” Berkerut-kerut kening Hannah dibuatnya. Siapa pula Iskandar tu? Nak kata saudara mara Tok Ayah, tak pernah pula dia dengar Tok Ayah menyebut nama itu.
“Bakal anak murid Tok Ayah,” jawab Nudra acuh tak acuh saja.
“Oh… Dia nak belajar kat sini aik?” Membulat mata Hannah memandang Nudra. Tangan Hannah yang sedang menyikat rambut terhenti.
“Kenapa? Tak boleh?” Nudra kembali duduk di depan mesin jahit yang terletak di sudut kiri bilik. Kain-kain tempahan pelanggan yang belum dijahit bersusun di atas rak di sebelahnya. Kain-kain itu semuanya sudah digunting seminggu yang lalu. Biasanya dia akan luangkan satu hari untuk kerja-kerja memotong kain sahaja. Tambahan pula kerjanya akan menjadi lebih cepat. Bila-bila masa terluang dia boleh menjahit baju-baju yag sudah dipotong. Tengah-tengah malam pun dia masih boleh lakukannya. Sebaliknya kerja memotong kain mengikut saiz dan potongan yang dikehendaki pelanggan tidak boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana kerja tersebut memerlukan tumpuan yang lebih dan mood yang baik. Haa… bukan menyanyi saja pelukan mood!
“Bukan tak boleh, tapi tak percaya. Dia tu macam… macam…” Hannah masih ragu.
“Macam apa?” sergah Nudra yang tersenyum-senyum melihat reaksi dua pupunya itu. Entah kenapa Hannah tidak percaya. Pelik!
“Macam orang pandai-pandai je. Maksud aku educatedlah. Cewah…” balas Hannah sambil terus menyikat rambutnya semula.
“Betullah tekaan kau tu. Dia tu baru balik oversea. Katanya, ayah dia pun anak murid Tok Ayah dulu.”
“Ooo… Dah dapat degree dari oversea rupanya. Tapi takkan nak belajar kat sini pulak?” soal Hannah masih belum puas hati dengan penjelasan Nudra.
“Baguslah sebab dia ada kesedaran. Kalau ada ilmu dunia saja tapi ilmu akhirat kosong pun buat apa, kan?” balas Nudra yang sedang menyusun kain-kain yang sudah bergunting itu menurut turutan tempahan. Keningnya terjungkit sedikit.
“Eh, kau ni detail je tahu pasal Si Iskandar tu. Kau kenal dia, aik?” Hannah mencapai kain baju di dalam bakul yang belum berlipat lalu melipatnya satu persatu.
Kali ini ketawa Nudra terlepas juga. “Dia kawan sekolah aku. Sebab tu kau nampak aku layan dia macam tu. Dah lama kenal, banyaklah ceritanya…”
“Oh, kawan sekolah! Patutlah masa dia nak balik tadi jenuh aje curi-curi pandang kat kau,” Hannah mengusik.
“Kau ni, macam-macamlah Hannah. Dia yang curi-curi pandang kat aku ke atau kau yang dok curi-curi mengintai dia?” balas Nudra sambil tersenyum.
“Eh, kita pulak! Kalau muka dah merah menyala tu apa nak sorok lagi?” Hannah mencebik mengejek. Nudra hanya mendengus kecil.
“Kata orang, sekilas ikan di laut… Tapi kali ni kena tukar peribahasa, sekilas ikan di pinggan,” sambung Hannah lagi sambil ketawa sendiri.

Selasa, 28 Ogos 2007

Bhg 11

SEKEJAP saja biji-biji padi yang ditaburkan Nudra habis dipatuk anak-anak ayam yang seramai empat ekor itu. Asyik sekali Nudra memerhatinya. Terhibur pula hati melihat anak-anak ayam itu berebut-rebut.
Teringat semasa di rumah Nenek Sophia sewaktu dia mula-mula menjadi penghuni rumah itu dulu. Ketika itu dia baru berumur sepuluh tahun dan sepupu-sepupunya selalu berebut-rebut makanan bila tiba waktu makan. Waktu itu dia hanya memerhati dengan rasa hairan. Kalau waktu makan masing-masing akan berebut-rebut untuk mendapatkan bahagian yang lebih banyak. Mulut Bibik Surti akan bising memarahi mereka semua. Jika keadaan itu berlarutan sehingga Nenek Sophia muncul, mereka akan diam tidak berkutik. Kalau berani bersuara pun tentulah Nabila seorang sahaja yang becok mengadu itu ini kepada nenel. Nenek tak kisah kalau Nabila menjawab pun. Itukan intan payung nenek…
Nudra… lupakan saja kenangan kat rumah tu. Sekarang kau dah kembali ke sini, tempat yang lebih bermakna buat dirimu, tempat yang lebih aman dan lebih banyak memeori indah untuk dikenang. Hatinya berbisik mengingatkan. Segenggam biji padi dicampakkan lagi ke tanah. Nudra tersenyum riang melihat anak-anak ayam yang empat ekor itu lari berkeliaran kerana terperanjat dengan taburan biji padi itu.
“Assalamualaikum. Boleh tumpang tanya? Tok Ayah ada?”
Suara member salam itu membuatkan Nudra yang sedang asyik mengelamun sedikit tersentak. Dengan pantas dia menoleh sambil menjawab salam. Jantungnya berlari kencang sebaik saja terpandang seorang pemuda berkemeja hijau lengan pendek dan berseluar slack hitam berdiri sambil menghadiahkan senyuman di situ. Sebuah beg galas tersandang di bahu kirinya. Mata coklatnya terpaku pada wajah Nudra.
Pandangan Nudra turut terpaku pada pemuda di hadapannya. Tidak banyak yang berubah pada diri Iskandar, cuma badannya saja yang nampak semakin berisi dan membuatkan Iskandar nampak lebih matang. Rambutnya juga panjang sedikit berbanding di zaman sekolah dulu. Kulitnya pula semakin cerah, maklumlah bertahun tinggal di negeri orang putih. Kaca matanya yang berbentuk bulat itu menjadikan Iskandar nampak semakin segak. Oh, apa yang dah kau buat ni Nudra? Cepat-cepat Nudra menundukkan pandangan apabila menyedari mereka sudah terlalu lama berpandangan.
“Nudra Haneem?” Pemuda itu bersuara setelah beberapa ketika mereka bertukar sepi. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu teman lamanya di situ. Dia seakan tidak percaya dengan pandangan matanya sendiri.
Nudra hanya mengangguk perlahan sambil meneguk liur. Tekaknya terasa perit tiba-tiba. Suaranya bagaikan sudah hilang entah ke mana. Semangatnya seperti sudah melayang sebaik saja terpandang wajah Iskandar.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” soal Iskandar cuba mengawal hati yang bergelora. Dia agak hairan apabila bertemu Nudra di rumah Tok Ayah. Setahu dia, Nudra sahabatnya itu adalah cucu Wan Anum Sophia, pemilik kedai emas yang terkenal di daerah Muar. Rumah orang kaya itu terletak di bandar Muar. Siapa tidak tahu dengan rumah besar yang tersergam indah itu? Macam mana pula Nudra boleh berada di kampung ini? Iskandar bertanya sendiri.
“Saya yang patut tanya awak soalan tu, Is.” Nudra menguntum senyum. Debaran di dada masih belum hilang tetapi semakin berkurang.
Iskandar membalas senyuman Nudra. Nudra nampak lebih ayu dengan tudung merah jambu yang dipakainya. Kalau di zaman sekolah dulu Nudra masih nampak keanak-anakan, tapi kini gadis itu kelihatan lebih dewasa. Dengan kata lain, lebih manis…
“Saya macam tak percaya boleh jumpa awak kat sini. Tak sangka semudah ini saya boleh bertemu cucu Wan Anum Sophia. Saya ingat, bila saya balik ke Malaysia mungkin setahun dua lagi saya boleh tengok muka awak atau langsung tak akan jumpa. Rupanya baru seminggu saya tiba, hari ni saya dah jumpa. Macam mimpi pulak…” Entah kenapa sewaktu di Australia dulu nama Nudra Haneem sring berlagu di hatinya.
Bicara Iskandar membawa kembali fikiran Nudra yang sudah jauh melayang. “Is, maaflah sebab lupa nak jemput awak duduk. Saya terperanjat sangat tadi.” Nudra tergesa-gesa meletakkan bekas berisi padi di atas para di tepi rumah lalu mencuci tangannya dengan air di tempayan.
“Saya tahu, awak memang macam tu. Suka sangat mimpi siang-siang. Dalam kelas dulu pun awak suka berangan.”
Kata-kata Iskandar membuatkan Nudra malu sendiri. Iskandar masih ingat rupanya tabiat dia yang satu itu, fikir Nudra. Selalu juga dia ‘tertangkap’ dengan guru matematiknya. Tidak dinafikan dia suka berangan dan bermimpi di dalam kelas. Mungkin kerana itulah dia tidak pandai macam Iskandar dan teman-teman yang lain. Patutlah keputusan SPM-nya tak sehebat teman-teman yang lain.
Sebentar kemudian mereka sudah berada di anjung rumah. “Jemputlah duduk, Is. Maaf saya tak boleh ajak awak masuk ke dalam, tuan rumahnya tak ada. Tok Ayah ke kedai, belum balik lagi. Hannah pulak belum balik dari kelas menjahit.”
“Tak apa. Kat sini pun okey jugak. Hannah tu siapa?” tanya Iskandar setelah mereka duduk di anjung rumah yang agak luas itu. Di situ diletakkan satu set kerusi dengan sebuah meja kopi. Semuanya tersusun kemas. Di sebelah kiri rumah, dibina terdapat sebuah bangunan sederet seperti rumah kedai. Di situlah agaknya kelas-kelas agama yang dikendalikan oleh Tok Ayah. Iskandar memerhati sambil memerhati sekeliling. Halaman yang luas itu nampak bersih tanpa sehelai daun kering pun padahal pokok-pokok tumbuh keliling rumah. Agaknya Nudralah yang mengerjakan halaman sehingga cantik dan bersih begini. Untungnya Tok Ayah ada cucu yang boleh diharap dan rajin seperti Nudra.
“Hannah tu cucu Tok Ayah, dua pupu saya. Dia pun tinggal sekali,” jelas Nudra yang duduk di kerusi yang tidak jauh dari Iskandar.
“Oh, begitu! Hmm… Awak ada terima poskad saya tak?” Iskandar bertanya setelahsepi seketika.
Pertanyaan Iskandar membuatkan wajah Nudra berubah rona. Poskad yang diterima lebih setahun yang lalu itu banyak mengubah hidupnya. Poskad itu jugalah yang membuatkan dia ‘ditimpa perasaan’ seketika sehinggakan hatinya berlagu riang beberapa hari berikutnya. Tetapi itu cuma sekejap saja kerana dia harus sedar diri. Lagipun Iskandar terus sepi kemudiannya. “Ada. Terima kasih atas ingatan,” jawab Nudra cuba menyembunyikan rasa malu kerana ‘terlebih’ perasan sewaktu menerima poskad itu.
“Kenapa tak balas? Saya ingat awak tak terima kerana tersalah alamat ke apa…”
Nudra mencebik. Rasa lucu dengan pertanyaan Iskandar. “Nak hantar kat siapa? Nak balas macam mana kalau alamatnya pun awak tak bagi? Sydney tu bukan awak sorang aje yang duduk, Iskandar…”
Iskandar mengecilkan mata. Dia sedikit keliru dengan pernyataan Nudra. Dia tidak pasti samada Nudra serius ataupun bergurau. “Poskad pertama tu memanglah saya tak tulis alamat sebab saya lupa. Lepas tu saya pulak poskad kedua memberitahu alamat saya supaya senang awak hantar kuih raya ke, kad raya ke… Hmmm… Usahkan kuih raya, serdak pun tarak! Dan sebelum saya balik ni pun saya ada poskan sekeping lagi poskad untuk bagitahu kepulangan saya. Manalah tahu kot kot ada orang nak jemput kat airport. Tapi kesian saya… berangan sorang-sorang. Rupanya tak ada orang ingat pun,” balas Iskandar dengan nada berjenaka. Ketika itu dia benar-benar mengharapkan balasan daripada Nudra kerana dia ingin sekali mengetahui khabar berita gadis yang seorang itu. Malangnya segala harapan tinggal harapan.
Bulat mata Nudra memandang lelaki berkulit cerah itu. Sedikit pun jenaka Iskandar tidak mencuit hatinya sebaliknya dia merasa terkejut dengan pernyataan temannya. “Apa awak kata? Awak ada kirim tiga poskad? Saya tak salah dengar ke?” Perkataan tiga itu ditekankan.
“Awak berangan lagi, Nudra?” usik Iskandar sambil tersenyum.
Pertanyaan itu membuatkan Nudra tersengih. Dia tahu Iskandar mengejeknya. “Mungkin poskad awak tu tak sampai ke tangan saya…” ucap Nudra perlahan. Dia yakin, kalau benar ada poskad kedua dan ketiga untuknya, tentulah poskad itu ‘tersangkut’ di bilik Nenek Sophia dan masuk ke bakul sampah. Bukankah nenek sudah beri amaran kepadanya agar tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki?
“Saya ingat awak dah tak sudi jadi kawan saya, maklumlah awak tu siapa. Cucu Wan Anum Sophialah katakan. Cucu diakan ada kelas yang tersendiri.”
Nudra menggeleng. Iskandar, kalau awak tahu macam mana hidup saya sebagai cucu nenek, awak tak akan cakap macam tu. Awak tentu akan kata: kasihan awak Nudra, dilahirkan sebagai cucu orang tua tu. Hati Nudra berkata sendiri.
“Mana ada, Is. Saya pun manusia biasa, tak ada istimewanya jadi cucu nenek saya tu. Saya tak balas bukan sebab saya tak sudi atau tak ingat. Saya masih ingat kawan-kawan saya dulu. Tapi saya betul-betul tak tahu tentang poskad awak yang kedua dan ketiga tu,” jelas Nudra. Senyum yang terukir di bibirnya hambar saja.
“Lupakan aje pasal poskad tu. Perkara dah lama. Saya pun dah balik, dah jumpa pun awak ni. Oh, ya! Lupa pulak saya nak tanya, apa awak buat kat rumah Tok Ayah ni?” Iskandar tersedar yang dia sudah terlanjur bicara. Tidak sepatutnya dia membuat Nudra merasa bersalah begitu.
“Saya memang tinggal kat sini sekarang. Saya bantu Tok Ayah ajar mengaji kat sekolah agama dia ni.”
“Dah lama awak kat sini?”
“Dah dekat enam bulan. Saya dah serasi kat sini. Ini tempat saya membesar, tempat saya bermain.”
“Oh, ya? Bukan ke awak tinggal dengan Wan Anum Sophia tu?” Iskandar masih hairan melihat Nudra berada di situ.
Nudra menggeleng lalu tunduk. ‘Ini rumah dan kampung saya, tempat jatuh bangun saya suatu ketika dulu. Hidup saya bahagia di sini, bukan di rumah besar itu.’ Nudra terus berbicara sendiri.
“Dulu saya di besarkan di sini. Bila Mak Tok meninggal, saya pindah ke rumah Nenek Sophia. Masa tu umur saya sembilan tahun,” terang Nudra panjang lebar. Iskandar mendengar penuh minat.
Baru dia tahu cerita Nudra yang sebenarnya. Padanlah kata teman-teman sekaloah dulu, Nudra dia tidak seperti cucu-cucu Wan Anum Sophia yang lain. Dia sendiri tidak kenal dengan semua cucu orang kaya itu. Tetapi dari cakap-cakap orang, mereka semuanya sombong dan berlagak belaka.
“Awak pulak buat apa cari Tok Ayah?” Nudra mengubah topik. Dia tidak mahu Iskandar bertanya lebih lanjut. Bercerita tentang Nenek Sophia buat hatinya jadi walang. Kalau boleh dia tidak ingin sesaat pun mengingati kenangan selama di rumah nenek.
“Saya datang ni nak belajar.”
“Nak belajar? Maksud awak dengan Tok Ayah? Takkanlah…” Nudra seakan tidak percaya dengan jawapan Iskandar. Dia ingat Iskandar hanya bergurau. Takkanlah seorang graduan lulusan luar negara hendak belajar di sekolah agama yang tidak seberapa ini. Mustahil…
“Eh, kenapa tak percaya pulak? Saya nak timba sebanyak mana ilmu agama dari Tok Ayah sementara saya dapat kerja. Inilah masa yang paling sesuai sebab bila saya dah kerja nanti, masa saya sudah terhad. Ayah saya kata, Tok Ayah tu guru yang bagus. Banyak ilmu yang kita boleh dapat daripad dia. Ayah saya yang suruh saya ke sini. Ayah saya pun pernah berguru dengan Tok Ayah dulu,” terang Iskandar penjang lebar. Matanya terarah kepada seekor tupai yang sedang melompat dari satu dahan ke satu dahan di pokok rambutan.
“Oh, ya ke? Tak sangka ya, orang dah belajar tinggi-tinggi tapi masih nak mengaji kat sini lagi. Inikan macam sekolah pondok, apa kelasnya?” Sengaja Nudra menduga Iskandar. Sukar untuk Nudra percaya pengakuan temannya itu kerana Nenek Sophia selalu merendah-rendahkan usaha Tok Ayah. Bagi nenek, belajar agama ni tidak akan ke mana. Lagipun sekolah agama yang Tok Ayah usahakan ini apalah sangat; setakat mengajar budak-budak fardhu ain dan beberapa orang murid dewasa yang datang secara sukarela. Semuanya serba kekurangan. Astagfirullahal’azim… Mengapalah fikiran nenek begitu sekali? Ilmu akhirat ni bukan sahaja untuk dunia, tapi pastinya sebagai bekalan kita ke akhirat.
“Menuntut ilmu ni tak ada hadnya, Nudra. Kat mana-mana dan dengan siapa pun kita boleh timba ilmu tu selagi kita tahu ilmu tu berfaedah. Empat tahun saya di Sydney, saya banyak tumpukan pada ilmu dunia saja. Sementara saya belum kerja dan sibuk ni, lebih baik saya manfaatkan masa dengan cari ilmu akhirat. Rohani kita pun perlukan makanan sama seperti jasad kita. Jika jiwa kita kosong, hidup kita tidak tenteram,” balas Iskandar panjang lebar. Itulah yang dia dinasihatkan ayahnya sejak dia kembali ke tanah air.
Terpegun Nudra dengan pendirian Iskandar. Bangga sungguh dia mempunyai sahabat yang mempunyai kemahuan yang begitu. Mengapa nenek tidak berfikiran terbuka macam orang lain? Kenapa nenek selalu ingat dia saja yang bagus dan dia saja yang betul? Nudra menelan keluhan. “Awak merancang hidup begitu sekali ya, Is? Tak macam saya, langsung tidak ada perancangan dan matlamat. Saya kagum ada sahabat macam awak,” ucap Nudra dengan rasa rendah hati. Terasa diri sendiri begitu jauh ketinggalan dengan sahabat yang seorang ini.
Iskandar memandang sekilas pada Nudra. Kata-kata itu seolah-olah menyimpan makna yang sangat dalam. “Saya taklah sehebat yang awak sangka dan saya tak adalah lebih baik dari awak. Setiap manusia ALLAH jadikan ada kelebihan dan kekurangannya. Kalau saya belajar sampai ke oversea pun bukan bermakna saya ni hebat sangat. Mungkin rezeki saya kat situ. Jangan awak rasa rendah diri, Nudra. Awak tentu ada kelebihan yang tak ada pada saya.”
Sahabat aku ni masih macam dulu, kalau bercakap ada saja hujahnya cuma bezanya dia nampak lebih dewasa. Nasihat dan perangsang yang diberikan Iskandar membakar semangat Nudra. Dia senang dengan kata-kata begitu kerana selama ini orang hanya merendah-rendahkannya saja.
“Lagipun, saya memang dah diajar macam tu sejak kecil. Setiap apa yang dilakukan perlu ada perancangan.” Sebelum sempat Nudra berkata apa-apa, Iskandar sudah kembali bersuara.
“Awak memang beruntung sebab ada keluarga yang sempurna. Ada ibu dan ayah yang boleh berikan awak panduan untuk jalani hidup. Tapi saya? Saya hanya menurut arah sendiri yang saya sendiri tak tahu ke mana tujuannya. Sungguhpun saya hidup dalam keluarga yang besar, tapi saya seperti anak yatim piatu. Tak ada siapa-siapa yang nak tunjukkan saya jalan yang betul.” Terpacul luahan hati Nudra tanpa diduga. Nudra sendiri tidak menyangka yang dia akan mengucapkan begitu kepada Iskandar. Selama ini segala rasa itu hanya tersimpan jauh di lubuk hati, tidak pernah terluahkan dan terucap kepada sesiapa pun.
“Lah, Nudra! Saya mintak maaf. Saya tak ada niat nak buat awak rasa macam tu. Saya beritahu tu bukan nak bangga-bangga diri atau nak menunjuk-nunjuk. Saya sekadar bercerita.” Iskandar merasa kesal. Dia baru sedar dengan siapa dia bercakap. Dia bercakap dengan Nudra yang tidak punya ayah, yang selalu merasa diri serba kekurangan. Dia sudah terlajak bicara sehingga wajah Nudra berubah riak. Dia sungguh kesal dengan bicaranya tadi.
“Eh, tak ada apa-apalah Is! Saya tahu awak tak macam tu. Saya kenal siapa sahabat saya ni.” Sekuntum senyuman sengaja diukirkan sebagai tanda dia bersungguh dengan ucapannya.
“Awak masih rendah hati macam dulu. Itulah kelebihan awak yang tak ada pada orang lain.” Puji Iskandar seikhlas hati. Dia memang senang berkawan dengan Nudra sejak dulu lagi. Nudra tidak sombong seperti kebanyakan cucu Wan Anum Sophia yang lain.
“Lepas SPM dulu apa awak buat?” soal Iskandar setelah masing-masing melayan perasaan seketika.
“Saya? Hmm… saya nak buat apa lagi Is kalau result SPM saya pun nyawa-nyawa ikan je? Nenek memang tak benarkan saya belajar lagi. Otak saya yang tak cerdik ni kalau terus belajar pun mungkin akan habiskan duit dia aje. Tak berbaloi… Jadi untuk tidak terus jadi penganggur kehormat sampai ke tua, sambil-sambil tolong Tok Ayah saya uruskan sekolah dia ni.” Dia jadi segan dengan Iskandar. Jika dibandingkan dengan Iskandar yang sudah berjaya meraih segulung ijazah, begitu jauh dia ketinggalan.
Iskandar termenung sejenak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Ada kelainan dari nada suara Nudra sebentar tadi. Hairan juga, Nudra sepatutnya mempunyai peluang yang cerah untuk menyambung pelajaran. Tentulah wang bukan punca masalah kerana gadis itu bukan tak berduit. Setakat untuk menyambung pelajaran rasanya tidak menjadi masalah. Baginya, sekali gagal bukan bermakna terus gagal. Kejayaan ada di mana-mana dan kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
“Apa yang awak buat sekarang pun satu benda yang sangat mulia. Janganlah awak rasa rendah diri. Mungkin itu yang lebih baik buat awak, siapa tahu? Apa yang ALLAH tetapkan itu tentulah ada sebabnya. Kita tak nampak semua tu. Hanya dia yang Maha Mengetahui.”
Nudra mengangguk-angguk. Kata-kata Iskandar ada benarnya dan sedikit sebanyak menyejukkan hatinya. Sekurang-kurangnya Iskandar tidaklah memandang rendah padanya dan tidak juga menyalahkannya.
“Awak langsung diam lepas sekolah dulu. Ada orang bagitahu saya, awak dah kahwin. Saya pun ingat bila jumpa awak ni, dah berderet anak awak,” sambung Iskandar lagi.
Ucapan Iskandar itu membuatkan Nudra tertawa geli hati. Serentak dengan itu juga wajahnya merona merah. “Kahwin? Bila masa pulaklah saya kahwin, Is? Dengan siapa pulak tu? Lagipun siapalah yang nak kat saya ni?”
“Awak ni tak habis-habis merendah diri. Setahu saya ramai yang menanti awak, tapi awak aje yang jual mahal. Atau awak tunggu seseorang?” usik Iskandar.
“Awak ni Is, suka sangat kata saya macam tu. Kalau saya ni ramai yang nak, dah lama saya jadi mak orang. Tapi dari dulu sampai sekarang usahkan nak berkahwin, kawan pun belum ada,” balas Nudra, sedikitpun tidak ambil hati dengan gurauan Iskandar.
BUNYI enjin motor masuk ke halaman rumah mematikan perbualan dua sahabat lama itu. Iskandar segera bangun lalu melangkah ke arah Tok Ayah yang baru saja pulang dari kedai. Nudra mengekori dari belakang.
“Assalamualaikum, Tok Ayah.” Iskandar menyalami dan mencium tangan Tok Ayah yang baru saja turun dari motosikalnya.
“Waalaikumussalam warahmatullah. Ini Iskandar, ya? Oh, dah besar panjang… Dulu Tok Ayah tengok masa Iskandar masih sekolah rendah lagi. Abah kamu sihat? Malam tadi ada dia telefon Tok Ayah, bagitahu pasal kedatangan kamu ni,” Tok Ayah menyapa mesra. Bungkusan plastik berisi lauk-pauk yang masih di dalam bakul motosikalnya dihulurkan kepada Nudra dan gadis itu terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Raut wajah Tok Ayah memikat hati Iskandar. Ada sesuatu yang membuatkan Iskandar merasakan dia sudah jatuh kasih kepada lelaki tua bertubuh sasa itu. Senyumannya nampak ikhlas dan mesra. Wajahnya tenang mendamaikan. “Ya, saya Iskandar. Itulah… abah kata dah lama benar dia tak jumpa Tok Ayah. Dia nak datang, tapi abah ada seminar pulak kat Singapore. Abah dan umi kirim salam. ”
Tok Ayah menjawab salam sambil meletakkan motosikalnya di tepi rumah. “Dah lama Iskandar sampai? Tok Ayah ke kedai sekejap, cari lauk untuk masak tengah hari. Nudra dah bising kononnya peti ais dah kosong. Nampaknya memang rezeki Iskandar hari ni nak makan kat sini.”
Iskandar tersenyum lebar. “Oh, lama tu tak lama jugak tapi sempatlah bertukar-tukar cerita dengan Nudra.”
Tok Ayah mengangkat kening, sedikit hairan. Setahu dia Nudra tidak akan duduk berbual dengan mana-mana lelaki yang baru dikenalinya, jauh sekali untuk bercerita panjang. tambahan pula lelaki itu bukan muhrimnya.
Melihat wajah Tok Ayah yang penuh tanda tanya itu, Iskandar tersenyum. “Nudra tu kawan satu sekolah dengan saya dulu. Kami sama kelas sejak tingkatan satu lagi,” jelas Iskandar. Bimbang juga kalau-kalau Tok Ayah memikirkan yang bukan-bukan apabila melihat mereka berdua sahaja tadi. Tok Ayah kan guru agama, tentu saja perkara-perkara begitu amat dititik beratkan.
“Oh, macam tu… Eh, marilah kita masuk ke dalam. Atau Iskandar nak duduk kat anjung tu aje? Kalau Tok Ayah, Tok Ayah lebih suka kat situ. Angin semulajadi ni lebih nyaman daripada kipas angin.” Tok Ayah menepuk bahu anak muda itu dengan mesra.
“Okey jugak kat situ. Rasanya lebih santai…”


Nota:

Salam manis buat semua... saya dah kembali! Tapi maaf kerana agak terlambat post n3 ni. Saya baru saja lepas exam PTK. Biasalah... orang gomen kenalah periksa.

Jumaat, 17 Ogos 2007

Bhg 10: entry bonus

Caesar Karaoke and Musical Lounge malam minggu itu penuh dengan pengunjung yang datang untuk menghiburkan hati. Di satu sudut kelihatan seorang gadis sedang duduk merenung gelas yang airnya hanya tinggal sesuku sahaja. Mukanya nampak berserabut dan fikirannya terus kacau. Suasana hiruk-pikuk dengan lampu warna-warni yang menyuluh ke sana ke mari itu menambahkan sakit kepalanya. Di sebelahnya pula seorang pemuda Cina bertubuh sasa dengan baju kemeja hitam sedang menghirup minuman. Telinga dan hidungnya bertindik dengan subang kecil berbentuk kapak.
“Melissa, takkan you nak termenung aje? Cheer up, girl! Life must go on. You masih muda babe!” Michael menepuk tangan Melissa yang diletakkan di meja. Sejurus kemudian air bewarna merah yang masih penuh di gelas diteguknya rakus sehingga habis. Melissa hanya membalas dengan sebuah senyuman nipis. Malam itu dia tidak berminat untuk bersuka ria. Dia lebih banyak memikirkan tentang hal yang baru dijelaskan Richard beberapa minggu yang lalu.
Mel, you better try this.” Beberapa biji pil di letakkan ke atas meja. Matanya bersinar cemerlang memandang ke wajah Melissa yang nampak muram saja. Dia amat berharap agar Melissa akan mengambilnya kali ini.
Melissa hanya merenung pil itu dengan bermacam perasaan. Hatinya berbelah bagi. Teruja juga dengan kata-kata ‘perangsang’ Michael sebentar tadi. Sudah banyak kali Michael memujuknya untuk mengambil pil khayal itu, tetapi dia masih utuh dengan pprinsipnya. Tetapi dia tidak ppasti sampai bila keteguhan itu dapat dipertahankan. Kalau diturutkan perasaan, mahu saja dia menelan pil itu sekaligus. Biar saja masalah yang membelenggu hidupnya kini terus luput dari ingatan. Kalaupun segala masalah itu tidak hilang, mungkin dia pula yang dihantar ke ‘syurga’. Bukankah itu lebih bagus dari terus menderita begini? Hmm… Mungkin di ‘syurga’ sana dia akan bertemu dengan Alveena yang baik hati itu. Fikirannya hampir diracuni oleh kata-kata Michael dan bisikan jahat hatinya.
Setelah agak lama membisu, Melissa melepaskan tawanya tetapi pedek saja. Mujurlah fikiran yang berserabut itu masih waras, masih ingat dengan pesan Alveena yang dipanggil ‘mummy’ itu. Kata Alveena, biarlah apa pun yang terjadi jangan sampai terjebak dengan dadah atau apa saja yang berkaitan dengannya. Sekali kita cuba, kita tidak akan berpatah balik. Dadah bukanlah penyelesai segala masalah. Ya, dia akan ingat sampai bila-bila nasihat itu. Kalau tidak kerana dia sayangkan Alveena, dia tidak akan ingat nasihat berharga itu.
“Kalau you tak nak ambil pil ni, you minum ajelah seberapa banyak yang you suka. Don’t worry, I belanja. Let’s enjoy, Mel! Jangan pecahkan kepala you dengan benda-benda remeh-temeh. Just forget it. Yang dah mati tak akan balik semula,” Michael terus memberi kata-kata semangat. Melissa adalah teman sekolejnya. Sebelum ini dia tidak begitu rapat dengan gadis Perancis itu kerana Melissa jarang-jarang hendak keluar seperti sekarang. Dulu, dia ‘anak mummy’. Ke mana saja dia pergi pasti bersama mummynya itu. Sewaktu di kolej dulu mereka semua menggelarkan Alveena sebagai Victoria kerana rupa dan gayanya ada sikit-sikit macam isteri David Beckham, pemain bola sepak England yang terkenal itu. Dia mula sedar temannya itu mula hilang arah sejak Alveena meninggal dunia. Gadis itu mula mencampuri teman-teman di pusat-pusat hiburan. Melissa selalu juga bercerita masalahnya kepada Michael lantaran itu dia banyak tahu tentang gadis bermata biru itu.
Michael menyuakan satu lagi gelas berisi air merah kepada Melissa. Tetapi Melissa memandangnya dengan pandangan curiga. Gaya Michael malam itu agak berlainan daripada biasa.
“You jangan takut, I tak ada letak apa-apa.” Michael ketawa, seolah-olah mengerti apa yang sedang bermain di fikiran gadis berblaus putih lengan pendek itu. Melissa yang sedikit cuak meneguk liur. Dia jadi semakin tertekan bercampur takut. Dia tidak mahu terjebak dengan perkara-perkara yang buruk sungguhpun dia tahu tempat itu penuh dengan keburukan. Hmm… kalau dia takut dengan segala keburukan itu, sepatutnya awal-awal lagi dia tidak berada di situ.
En tout cas, merci (Anyway, thank you). Sorry, Michael tonight I dah minum banyak sangat.”
Hi, Michael!” sapa gadis dengan baju T hitam tanpa lengan dan berseluar jeans lalu berdiri di sebelah Michael. Kepalanya dilentokkan sedikit kebahu pemuda itu sambil tertawa manja. Rambut di bahagian hadapan yang hampir menutup matanya diwarnakan berbelang-belang merah dan perang. Sebatang rokok yang masih menyala terselit diantara dua batang jari tangan kanannya.
Pandangan Melissa mencerun pada gadis yang meliuk-lintukkan badannya seperti pokok ditiup angin itu. Gedik! Bisik hati Melissa dengan rasa meluat. Haa… gedik! Itulah antara perkataan bahasa Melayu yang paling suka dia sebut. Cute aje bunyinya…
“Hai, Nabila! Bila you turun ke JB ni?” soal Michael sambil menarik tangan Nabila duduk di sebelahnya kemudian mengisyaratkan kepada bartender yang sedang membancuh minuman di hadapannya supaya menuangkan segelas lagi untuk diberikan kepada gadis genit itu. Lelaki India itu segera menurut permintaan pemuda itu lalu menghulurkan kepada Nabila. Pantas saja tangan Nabila mencapai gelas lalu dihirupnya seteguk.
“Dah dua hari I ada kat sini. Malam tadi pun I ke sini and I cari you, tapi tak jumpa. You ke mana?” rengek Nabila dengan suara yang lunak dan manja.
Oh, I see… Sorry dear, next time kalau you nak datang bagitahu awal-awal. I ada hal malam tadi.”
It’s okaylah darling. Err… Ini kawan baru you ke?” ucap Nabila sambil mengangkat kening kepada Melissa sebagai tanda perkenalan. “Or your special girl?” bisik Nabila ke telinga Michael lalu ketawa.
No, she’s my ex-classmate. Kita orang dah lama kenallah. Parents dia French. Tapi Melissa ni dah jadi orang Melayu,” beritahu Michael lalu melepaskan ketawa yang panjang. Melissa hanya mengangguk.
Oh, really? Kenapa dah jadi Melayu pulak?” Nabila mengerutkan keningnya hairan dengan gurauan pemuda Cina itu. Suaranya terus manja seperti kanak-kanak merengek minta dibelikan gula-gula.
“You tak tengok ke, muka dia pun ada rupa orang Melayu juga walaupun not so much. Mungkin dah banyak makan nasi lemak dan teh tarik itu pasal muka pun dah bukan muka French lagi. Tinggal mata aje masih biru,” jawab Michael bertujuan mengusik Melissa yang nampak tidak ceria malam itu.
What ever!” Balas Melissa sambil tersenyum. Terhibur juga hatinya dengan gurauan pemuda di sebelahnya itu.
Nice knowing you,” ucap Nabila sambil menghulurkan salam perkenalan kepada Melissa. Segera Melissa menyambutnya. Nabila yang bermata kuyu itu mengangguk-angguk. Rokok yang sudah tinggal separuh disedutnya dalam-dalam lalu asapnya dihembuskan keluar dengan gaya yang seksi dan menggoda. Berkepul-kepul asap itu naik ke udara lalu bercampur dengan udara yang nampak kelam kerana mungkin sudah tepu dengan asap rokok pengunjung-pengunjung lain.
Melissa hanya memerhati gelagat gadis berangsa Melayu itu. “Merci (Terima kasih),” balas Melissa sepatah. Dia tidak beminat untuk berbual-bual dengan sesiapa pun malam itu apatah lagi dengan gadis Melayu yang nampak terlebih gedik itu. Gedik and over! Hati Melissa terus menggerutu. Dia benar-benar meluat dengan gelagat Nabila.
Merci? What’s that?” soal Nabila dengan kening terjungkit sedikit.
Michael dan Melissa tergelak serentak. “It means terima kasih,” jawab Melissa sambil mengulum senyuman. Lucu pula melihat wajah nabila dengan mata terkebil-kebil itu.
“You ada sedara-mara orang Melayu ke? Atau you ni memang ada darah campuran Melayu? Manalah tahu, zaman penjajah dulu your moyang kahwin dengan gadis Melayu. Eh, Michael, Perancis ada menjajah Malaysia ka? I failed la bab-bab sejarah ni,” Nabila berkata dengan suara tersekat-sekat lantas ketawa terkekeh-kekeh. Rokok yang sudah habis disedut itu ditenyehnya pada tempat abu rokok di tepi bar.
Michael turut ketawa terbahak-bahak. “Nabila you ni ‘very the terukla…’ Perancis mana ada jajah Tanah Melayu maa. Dulu mana ada Malaysia lagi my friend… You ni harap muka aje cantik tapi ‘very the stupid maa…’ Padanlah you failed itu paper.”
Ucapan Nabila membuatkan hatinya tersentuh. Serta-merta dia teringatkan kata-kata Richard tempoh hari. Bila mengenangkan siapa ibu kandungnya yang sebenar, kepalanya semakin berserabut. “No, my parents are French. I tak ada campuran Melayu atau apa-apa keturunan lain dari Malaysia. Kalau Arab, yes. Because my father ada mixed French and Arabian,” nafi Melissa tegas. Benci sungguh kalau orang memperkatakan tentang asal keturunannya. Perkara itu amat sensitif buat masa itu. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibunya adalah berasal dari Malaysia dan bukannya Perancis. Dia masih tidak percaya…
Ketawa Nabila dan Michael terhenti dan keduanya saling berpandangan. Sebentar kemudian Nabila menyuakan sekotak rokok kepada Melissa dengan harapan gadis itu akan kembali ceria dan dapat bersuka-ria bersama mereka serta melupakan kedukaannya. Bukankah orang-orang yang datang ke situ hendak bergembira? Kalau mahu sedih-sedih duduk aje kat rumah, gumam Nabila.
Melissa tersenyum tawar. “No, thanks. I tak merokok.”
“Eii…tak sangka you boleh cakap Melayu dengan fasih! Well… apa salahnya you cuba ni. Kata orang, kalau tak cuba tak tahu. Sebagai tanda persahabatan.” Nabila masih cuba memujuk Melissa untuk menerima rokok yang dihulurkan. Matanya menjeling Michael yang sedang tersenyum penuh makna kepadanya.
Sorry, I’ve got to go. I ada janji dengan my friend. See you…” Melissa yang semakin tidak selesa dengan kedua sahabat yang nampaknya sudah mabuk itu tergesa-gesa bangun dan tanpa berlengah lagi dia terus meninggalkan mereka tanpa menoleh lagi.


**
Saya akan bercuti selama seminggu di Kelantan, terengganu dan Johor. Ni mood nak cuti nih... dah ternampak2 muka emak, abah n laksa, laksam, nasi dagang, nasi lemak ikan aye, jala mas.... Kalau ada rezeki, saya akan update. insyaALLAH. Selamat bercuti bagi yang bercuti. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah orang tersayang...

Bhg 9

SOPHIA tidak bergerak-gerak dari kerusi sejak tadi. Pandangannya jauh dilemparkan ke luar rumah. Kelihatan air kolam di tepi halaman nampak tenang disimbahi cahaya merah matahari senja. Kalaulah hatinya setenang itu alangkah bahagianya! Tetapi hati dan perasaannya tidak begitu. Bukan saja saat ini, malah sudah bertahun jiwanya bergelora dan meronta. Di sebalik ketegasannnya terlindung semangat yang semakin rapuh dan luntur. Dia semakin lemah sebenarnya… Terasa dia semakin hampir dengan kenyataan dan dia semakin bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Dia belum bersedia untuk menghadapi kejatuhan.
Sophia memicit-micit tengkuknya yang terasa tegang. Fikirannya semakin kusut selepas kehadiran tetamu yang tidak diundang sebentar tadi. Lelaki itu hadir bersama seribu satu memori yang sudah lama dia simpan kejap-kejap daripada pengetahuan anak cucunya. Janganlah sampai terbongkar kerana dia tidak sanggup berhadapan dengan mereka nanti. Tentunya dia akan dicemuh, dan yang paling menakutkan andainya mereka menyisihkan dirinya. Ke mana dia hendak pergi? Rasanya tiada siapa pun yang akan sudi membelanya nanti. Walau ke hujung dunia pun dia lari namun rasanya dosa itu terus melekat di tubuhnya.
Segalanya bermula empat puluh tahun yang lalu apabila dia berjaya meletakkan dirinya sebagai isteri Wan Mursyid dan ibu kepada Munirah. Ya, segalanya bermula di situ…
“Abang Wan jangan bimbanglah. Wan Munirah ni akan kita jaga baik-baik macam anak kita sendiri. Percayalah…” ucap Sophia sambil memandang ke wajah Wan Mursyid penuh simpati. Lelaki yang duduk bersila tidak jauh darinya itu nampak sugul. Dia masih dalam kesedihan kerana kehilangan isteri sejak sebulan yang lalu.
Sophia kemudiannya mendakap bayi yang sedang tidur lena di ribaannya. Pipinya yang mulus dikucupnya perlahan tanpa menganggu tidurnya. Di sebelahnya pula seorang bayi lelaki lagi yang sudah enam bulan umurnya juga sedang tidur lena di tilam.
Wan Mursyid hanya memerhati perlakuan Sophia. Hatinya diserang hiba. Terbayang-bayang wajah Farhah yang sedang mengucup bayi itu. Sudah sebulan Farhah pergi namun kenangan bersamanya masih basah dalam ingatan. Bayi di pangkuan Sophia dipandangnya dengan rasa sayu. “Abang tak ada pilihan. Hanya kamu yang abang harapkan.” Dengan payah Wan Mursyid menuturkannya. Sebentar kemudian pandangannya beralih kepada ibu mertuanya di sebelah Sophia. Mereka sudah hendak pulang ke Kota Bharu dan meninggalkannya bersama bayi itu. Bagaimana nanti? Bagaimana dia hendak menjaga bayi itu sendirian? Wan Mursyid masih memikirkan nasib puterinya selepas itu.
“Abang Wan, bagi ajelah kita bawak balik bayi ni. Bila-bila abang hendak jenguk dia, abang boleh ke sana atau kita yang bawa dia ke sini.” Sophia merasa sedikit riang dengan pengakuan Wan Mursyid secara tidak langsung tadi. Kata-kata itu seperti memberi harapan kepadanya. Hati Sophia terus berbunga.
“Betul kata Sophia, tu. Kat sini tak ada siapa yang hendak menjaganya. Kalau kat sana, mak dengan Sophia boleh tengok-tengokkan. Kamu tak payah risau.” Hajah Wan Asmah yang mendiamkan diri sejak tadi mencelah pula.
“Tapi saya tak sanggup berpisah dengan Munirah, mak. Tak sampai hati rasanya nak biarkan dia dibawa pergi. Dia tu kenangan saya dengan Farhah. Kelantan tu bukannya dekat, mak. Kalau setakat Melaka atau Johor Bahru tu sanggup lagi saya nak ulang-alik. Sudahlah saya kehilangan Farhah, takkan saya nak lepaskan Munirah pula? Biarlah dia kat sini, buat serikan rumah yang dah sunyi tak bermaya ini,” ucap Wan Mursyid lemah.
“Tapi macam mana kita nak jaga dia? Tadi abang jugak yang suruh kita jaga dia. Mak pun bukan boleh nak lama-lama kat sini.” Sophia semakin tidak sabar menunggu penjelasan Wan Mursyid. Dia yakin dengan bisikan hatinya.
“Tak apalah, Mursyid. Bagilah mak dengan Sophia bawa anak kamu ni balik. Budak ni masih kecil. Kamu nak jaga pun bukannya pandai. Kalau dah besar tu, mak tak hairan. Kamu pun sibuk dengan kedai kamu tu. Takkan kamu nak kahwin lain dalam masa terdekat ni?”
Wan Mursyid tidak menjawab pertanyaan ibu mertuanya, sebaliknya dia bangun lalu melangkah ke muka pintu. Pandangannya terlontar pada kolam buatan sendiri yang dibina khusus atas permintaan isterinya Wan Anum Farhah. Lama dia berdiri di situ, tenggelam bersama kenangan arwah isterinya suatu ketika dahulu.
Sebentar kemudian dia berpaling dan dengan langkah perlahan menghampiri Hajah Wan Asmah. Wanita tua itu hanya memerhati menantunya yang sudah duduk bersila di hadapannya.
Wan Mursyid menarik nafas dalam-dalam. Sukarnya hendak membuat keputusan yang tidak selari dengan nalurinya. “Mak, saya mintak maaf. Mungkin terlalu awal untuk saya buat keputusan macam ni. Saya bukan nak khianati kesetiaan saya pada Farhah. Demi TUHAN, saya masih sayangkan dia dan akan tetap sayangkan dia sampai bila-bila. Tapi demi Munirah, saya minta izin mak untuk ambil Sophia sebagai isteri saya.” Tenang saja Wan Mursyid melafazkannya membuatkan emak mertuanya seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Hajah Wan Asmah terkedu seketika. Begtiu juga dengan Sophia, dia terus tunduk tidak berani panggung kepala.
Dan sejak itulah dia menjadi isteri Wan Mursyid menggantikan kakaknya, Farhah yang meninggal kerana tumpah darah sewaktu melahirkan Munirah. Dia tumpahkan segala kasih dan sayang kepada Munirah dan suaminya sepenuh hati. Kadang-kadang dia lebih utamkan Munirah berbanding Safuan, anaknya sendiri. Namun, dia masih merasa serba kurang di sisi Wan Mursyid. Dia tidak mampu memiliki hati lelaki itu.
Sungguhpun dia sudah menjadi isteri lelaki itu, namun dia tidak memiliki segala yang dipunyai oleh kakaknya termasuklah hati Wan Mursyid sendiri. Sejak dia dilamar Wan Mursyid lagi, dia dapat rasakan suaminya itu tidak mencintainya. Dia dinikahi hanyalah untuk menjaga anak mereka, Munirah sahaja. Pada mulanya dia dapat terima mereka seadanya, namun lama kelamaan perasaan yang dipendam menjadi kudis di hati. Dia merasa diperalatkan dan tidak dihargai sebagai seorang isteri.
“Munirah adalah milik abang, juga milik Farhah. Walaupun dia sudah tidak ada, segala-gala yang ada di sini tetap milik Farhah. Abang bina rumah ini dengan kayu cengal sebagai lambang keteguhan cinta abang pada Farhah. Lagipun abang nak rumah ni kukuh dan teguh sampai ke anak cucu. Abang buat sepuluh bilik, sebab abang nak lapan orang anak. Tapi Kak Farhah kamu tak mahu. Dia tak suka anak ramai sebab dia pun hanya ada dua beradik. Kata Farhah, dia nak semua anak cucu tinggal berkumpul di sini. Dia tidak mahu anak-anak pergi jauh. Biar semua dapat uruskan kedai emas tu supaya terus berkembang dan jadi sebuah empayar,” ucap Wan Mursyid di suatu petang ketika mereka sedang minum-minum sambil mengambil angin di beranda rumah.
Kata-kata itu meracun hati dan perasaannya. Dari sayang bertukar dendam. Wan Mursyid langsung tidak mengindahkan perasaannya. Sia-sia saja dia menjaga dan membelai Munirah seperti anak sendiri. Dan sejak itu hatinya mulai tawar. Ya, Munirah itu milik Kak Farhah… Rumah itu juga milik Kak Farhah. Dia ingat itu! Maka, dia tidak akan menganggap Munirah itu anaknya sampai bila-bila. Ucapan Wan Mursyid itulah yang membuatkan dia semakin iri dengan arwah kakak sendiri. Abang ipar yang sudah menjadi suaminya itu seperti mahu mengingatkan dia bahawa dia tidak mungkin akan menggantikan tempat Farhah. Rasa cemburu dan dendam terus menanah lalu menjadi kudis di hati. Farhah tentu bahagia bersama lelaki ini dan tentunya kebahagian itu tidak sama seperti yang dia nikmati setelah memilikinya. Cemburunya membuatkan dia berjanji pada diri sendiri, segala milik Wan Anum Farhah akan jadi miliknya. Dia akan buktikan kepada Wan Mursyid! Dan kini dia sudah buktikannya…
Kakaknya selalu beruntung. Apa saja yang dia impikan akan tercapai. Dia masih ingat kakaknya pernah berkata, dia hendak berkahwin dengan lelaki kacak dan kaya sahaja. Tidak lama selepas itu keluarga Wan Mursyid masuk meminang. Wan Anum Farhah memang beruntung, semua yang dia impikan sudah jadi kenyataan.
Berlainan pula dengan dirinya, nasibnya tidak sebaik kakaknya. Dia berkahwin dengan lelaki pilihan ibu. Kononnya hendak mendekatkan hubungan keluarga yang jauh. Kata ibu, Abdul Ghani adalah lelaki yang baik dan hebat. Maklumlah dia dating dari keluarga yang berpelajaran. Siapa tak kenal dengan Dr Abdul Fatah yang mempunyai klinik gigi di bandar Muar itu? Abdul Ghani pula baru saja lulus ijazah kedoktoran dari universiti di London. Kata ibu, Abdul Ghani tu sedap mata memandang dan nampak penyayang. Memang benarlah Abdul Ghani itu baik dan romantis orangnya tetapi malang sekali menantu pujaan ibu itu rupanya ‘terlebih romantik’. Tidak sampai dua tahun mereka mendirikan rumah tangga, suaminya itu sudah buat onar. Dia menikah lagi dengan teman sepejabatnya yang juga isteri orang. Hati siapa tidak luluh, hati siapa tidak walang bila suami yang diharapkan dapat menumpang teduh buat perangai di belakang? Ketika itu dia sedang mengandungkan anak pertama mereka. Selepas dia bersalin, Abdul Ghani menjatuhkan talak dan dia terus menjanda sehinggalah Wan Mursyid melamarnya enam bulan kemudian.
Semua itu sudah berlalu lebih empat puluh tahun yang lalu. Sophia menarik nafas dalam-dalam. Dadanya terasa sesak. Kata-kata Fadhil yang tiba-tiba muncul semalam kembali terngiang-ngiang di telinga. Sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu menyentap hatinya. Dia mula sedar bahawa hidup ini ibarat roda, tak selamanya dia akan berada di atas. Dia mula merasa hampir dengan zaman kejatuhan itu. Terlalu banyak dosa yang telah dia lakukan. Terlalu banyak kepincangan yang telah dia tinggalkan. Rumah ini jadi saksi…
Ah, ini Wan Anum Sophialah! Sophia tidak pernah gentar hadapi segala cabaran. Sejarah telah membuktikan Sophia sentiasa akan mendapat apa yang dia hajatkan. Sophia tidak pernah dan tidak akan mengaku kalah selagi belum berjuang. Semangat Sophia kembali menguasai diri...

Khamis, 16 Ogos 2007

Bhg 8

PANDANGAN mereka bersatu untuk beberapa ketika. Tiada patah kata yang terucap. Sophia benar-benar tergamam sebaik saja melihat lelaki itu yang menunggunya sejak tadi. Beberapa kali dia meneguk liur, membasahkan kerongkongnya yang terasa perit. Sungguh dia tidak sangka lelaki itu yang menjadi tetamunya hari ini. Kalaulah dia tahu lelaki itu adalah tetamunya, sudah pasti awal-awal lagi dia tidak akan menemuinya. Tetapi semuanya sudah terlambat. Silapnya juga kerana tidak bertanya dulu kepada Bibik Surti siapakah tetamunya sebelum dia turun tadi.
“Apa khabar Wan Anum Sophia?” Lelaki bersuara garau itu menyapa. Tenang saja suaranya setenang wajahnya. Perwatakannya masih sama seperti dahulu namun wajahnya sudah mula menampakkan garis-garis usia. Lelaki berkemeja petak-petak biru itu nampak jauh lebih kurus berbanding dua puluh tahun yang lalu. Rambutnya pun sudah memutih dengan uban.
“Alhamdulillah, kita sihat. Kita kira kamu pun sihat kalau dilihat dari segi zahirnya. Rasanya tak perlulah kita bertanya khabar lagi.” Sophia menyusun kata, penuh sopan dan tertib
“Ya, begitulah adanya… Kau tak perlu tanya apa-apa tentang aku. Aku hanya ada satu tujuan datang ke sini dan tentunya kau pun tahu.” Fadhil terus berbicara tenang. Pandangannya masih tidak lepas dari wajah Sophia. Wanita itu masih tetap anggun bergaya dan wajahnya tidak banyak dimamah usia. Tutur katanya masih sopan dan teratur namun tetap terasa juga sinisnya. Pandangan Sohia tetap penuh curiga seperti dulu-dulu juga.
“Terus-terang saja, apa tujuan kamu datang ke mari?” Sophia buat-buat bertanya walaupun dia dapat mengagak mengapa Fadhil muncul semula setelah begitu lama menghilangkan diri. Sophia tetap mengukir senyuman walaupun hati di dalam bagai diamuk badai. Dia bimbang andainya segala cerita lama akan terbongkar dengan kehadiran lelaki ini..
Fadhil menarik nafas dalam-dalam. Senyuman Sophia yang penuh makna membuatkan hatinya terasa pedih. Wan Anum Sophia… mulutnya berbisa bukan main! “Sudah genap dua puluh tahun Wan Mursyid pergi…” Fadhil tidak meneruskan bicaranya. Biarlah Sophia mengerti sendiri maksudnya.
Ucapan itu menggoncang hati Sophia. Kata-kata yang berupa ingatan yang terpacul dari mulut lelaki berkulit sawo matang itu membuatkan Sophia jadi sedikit kalut. “Lalu?” pintas Sophia pantas, pura-pura tidak mengerti dengan sebaris ayat yang penuh makna itu. Wajah tenang Fadhil direnungnya tajam. Dadanya semakin dihimpit resah. Mungkinkah segala yang tersimpan selama ini akan terbongkar jua? Oh, dia tidak ingin sesekali mebayangkannya!
“Aku tahu, kau dah faham maksud aku. Tak payahlah nak berselindung lagi, Sophia!” Fadhil berkata tegas. Sungguhpun Sophia sedaya-upaya menyembunyikan rasa tidak senang dan rasa terperanjatnya kerana kehadirannya di situ, namun dia masih dapat membaca riak di wajah wanita itu. Dia sudah bersedia untuk dihalau jika itu yang bakal dilakukan oleh Sophia. Dia sanggup hadapi apa jua kemungkinan asal saja apa yang dia ingin sampaikan akan terlaksana.
“Kamu bercakap tentang apa?” Sophia bertanya dengan suara lembut tetapi tegas. Matanya membundar seolah-olah memberi amaran kepada Fadhil agar tidak membicarakan kisah lama.
“Aku bercakap tentang anak cucu kau. Selama dua puluh tahun kau hidup dalam kepura-puraan, kau biarkan segala keburukan tersimpan kejap sedangkan anak dan cucu kau hidup menderita. Kau harus bersyukur kerana masih belum terlambat untuk membaiki kesilapan kau selama ini. Kau masih diberi peluang untuk bertaubat, Sophia.”
Sophia mendengus perlahan. “Kamu tahu siapa kita, kan? Kamu tahu apa yang kita suka dan apa yang kita tidak, kan? Kamu tahu siapa kamu dan siapa kita, kan? Kita berdua ada perjanjian. Kamu ingat tu!” Sophia terus mengasak. Perasaannya yang berkocak cuba dilindungi.
“Ya, aku tahu siapa kau. Sebab itu akau datang. Aku mahu ingatkan kau bahawa kubur sudah memanggil-manggil kita. Aku tak mahu terlambat. Sophia, kerana aku tidak mahu jadi saksi di akhirat nanti. Aku tidak mahu disoal di akhirat mengappa aku menyembunyikan kebenaran. Sophia, apalah sangat melanggar sebuah perjanjian berbanding dengan dosa yang telah kau buat? Kau ingat kau boleh terus aman begini? Kau fikir dengan menidakkan hak orang lain kau akan selamanya selamat? Kau harus ingat bahawa ada Yang lebih berkuasa dari kita, makhluk yang lemah ini.” Fadhil terus berceramah. Dia perlu sedarkan Sophia sebelum terlambat. Umurnya dan umur Wan Anum Sophia pun sudah sampai di hujung waktu. Janganlah sampai dia yang terlambat menyampaikan kebenaran kalaupun Sophia tidak sedar akan hal itu.
Sophia membetulkan duduknya. Dia semakin resah dan tidak selesa. Sesekejap dia membetulkan selendang panjang yang menutup sebahagian rambutnya yang disanggul kemas itu. “Orang tak akan tahu siapa dirinya selagi kamu tak buka mulut. Jangan kamu nak malukan keluarga kita dengan cerita kamu yang tak mungkin akan dipercayai sesiapa pun. Lebih-lebih lagi anak cucu kita, mereka tentu tak percaya. Kalau kamu bimbang kerana budak tu sudah besar panjang dan perlu menikah, lupakan saja kebimbangan kamu itu. Dia tidak ada masalah nak kahwin kerana dia sememangnya tak punya wali.” Sophia berkata penuh yakin. Di hujung bibirnya terukir sekuntum senyuman nipis, penuh makna.
“Tapi dia ada hak. Hak seorang anak dan hak seorang manusia. Kau berhutang dengan dia!”
Sophia menggeleng-geleng. “Siapa kata? Kamu pandai-pandai buat cerita sendiri. Kita tak berhutang apa-apa dengan dia. Kita tak pernah buang dia. Dia masih dalam jagaan kita. Lagipun dia tidak ada apa-apa lagi untuk dituntut. Semuanya dah jadi hak kita. Dia tidak berhak apa-apa pada kita. Kalau kamu bercakap pasal kedai emas, ingatlah Fadhil, kita dan anak-anak kita yang usahakan hingga jadi besar macam sekarang. Kalau harapkan Munirah, tentu dah lama lingkup.”
Fadhil beristigfar dalam hati. Takbur sungguh perempuan ni, bisik hatinya. “Kamu jangan takbur sangat, Sophia. Semua tu rezeki dari ALLAH.” Fadhil sekali lagi mengingatkan. Dia yang jadi takut mendengar kata-kata Sophia yang cukup bongkak itu.
Kita rasa kamu perlu diam. Sebentar tadi kamu memang tetamu kita, tapi kalau kamu dah berbicara melewati peraturan rumah ini, kita berhak persilakan kamu pergi,” bicara Sophia masih sopan namun tetap angkuh.
Lelaki berkemeja putih itu senyum saja dengan kata-kata Sophia. Biar apa pun penerimaan dan tindakan Sophia, dia tidak kisah. Sudah lama dia biarkan Sophia hidup di sebalik bayangan masa silam. Sudah begitu lama wanita itu hidup selesa tanpa rasa bersalah. Kali ini biarlah wanita itu berhadapan dengan realiti. Biar dia sedar bahawa hanya waktu saja yang berlalu tetapi sejarah tidak pernah meninggalkannya.
“Aku dah lama diam, Sophia. Dan aku dah puas diam. Sekarang tiba masanya aku bersuara. Tak usahlah kau nak berselindung lagi. ALLAH itu Maha Adil,” ucap Fadhil dengan tegas.
Sambil berpeluk tubuh Sophia bangkit dari kerusi menuju ke tingkap yang terletak di sebelah kiri ruang. Kata-kata Fadhil membuatkan nafasnya memburu. Dadanya terasa sesak dengan memori semalam.
Fadhil hanya memerhati tingkah Sophia. Dia pasti wanita itu tidak senang duduk selepas ini. “Sophia, kau sudah lama hidup dalam alam khayalan ciptaan kau sendiri. Kau tutup segala cela keluarga Wan Mursyid sehingga tak siapa pun lagi bercerita kal itu. Semuanya nampak cantik dan mulus saja. Kau dah hapuskan nama Wan Mursyid, nama Wan Anum Farhah dari ingatan anak-anak. Tapi kau tak akan hapuskan dosa semalam. ALLAH tu Maha Adil, Sophia. Kau kena ingat tu. Sampai bila kau nak berselindung di sebalik khayalan kau?” Fadhil masih belum jemu berceramah. Dia sudah tidak peduli siapakah Wan Anum Sophia itu. Kalau dulu dia hanyalah penasihat Wan Mursyid, lantas dia tidak berani melawan kata-kata isteri bosnya. Namun sekarang, dia tidak ada apa-apa hubungan dengan keluarga ini sekadar saudara sesama Islam. Dan sekrang dia sedang menunaikan tugas sebagai saudara seIslam iaitu: berpesan-pesan kepada kebenaran!
Pandangannya tertumpu ke arah Sophia yang duduk membelakanginya. Wanita itu tidak jauh berubah meskipun waktu sudah dua puluh tahun berlalu. Sungguhpun garis-garis usia sudah mula menyerlah pada kerut di dahinya namun wanita itu masih kelihatan muda dari usia sebenarnya. Yalah, siapa tidak kenal dengan Wan Anum Sophia, wanita anggun dan kaya-raya itu? Malah tidak keterlaluan jika dia dikatakan salah seorang wanita paling cantik di daerah Kota bahru satu ketika dulu.
“Kita tak suka orang lain ganggu hidup kita. Jangan sekali-kali nak ungkit kisah lama apatah lagi nak mengajar kita begitu begini. Kita tahu apa yang kita buat. Kamu sendiri nampak keadaan keluarga kita. Kita hidup aman damai dengan anak cucu kita. Kamu aje yang masih sakit hati dan dendam. Lupakanlah, Fadhil. Semuanya dah berlalu. Wan Mursyid pun tak ada. Wan Anum Farhah pun dah luput dari ingatan orang. Jangan ganggu keluarga kita lagi!” Ucap Sophia dengan suara meninggi. Pantang benar baginya kalau ada yang hendak menunjuk lebih pandai.
Fadhil tergamam. Selama dia mengenali Sophia, tidak pernah sekali pun wanita itu meninggikan suara. Tidak mungkin wanita yang terkenal dengan bersopan serta penuh tatatertib itu sudah berubah. Tidak mungkin tempoh dua puluh tahun mampu mengubah perawakannya.
“Kau memang takut dengan masa silam. Kau masih dihambat bayangan Farhah. Kau takut pada bayang kau sendiri!” Pantas saja Fadhil menangkis. Rahangnya menggertap menahan perasaan geram. Meluat benar dia dengan sifat ego manusia seperti Sophia. Manusia angkuh yang berselindung di sebalik kekuatan sebuah nama. Ada apa pada nama?
“Tidak!” Suara Sophia semakin meninggi. Dia berpaling ke arah Fadhil yang masih duduk tersandar di kerusi jati. Hatinya sakit, benar-benar sakit. Dia bersandar pada dinding di tepi jendela.
Fadhil senyum sinis. Memang benar wanita ini sudah berubah. Atau mungkin kerana keresahannya dan ketakutannya yang membuatkan Sophia hilang pertimbangan? Ucapan tidak itu menzahirkan perasaan gentarnya. Wan Anum Sophia akan hilang taringnya satu hari nanti. Saat itu dia mahu lihat ego wanita itu menyembah bumi. Tunggulah…
“Sophia, sampai bila kau nak menipu diri sendiri? Hakikat yang dah tersurat adalah kenyataan yang harus kau terima. Walau ke hujung dunia pun kau lari, takdir itu tetap ada bersama kau. Kau tak boleh menipu diri sendiri. Aku tahu kau takut orang tahu siapa Munirah sebenarnya dan apa yang dah terjadi empat puluh tahun yang lampau. Kau juga takut orang tahu siapa cucu kau tu sebenarnya. Kau takut orang tahu kelemahan kau kerana selama ini kau dipandang hebat. Kau hebat kerana kau berselindung di sebalik kemasyhuran dan kemewahan yang kau rampas dari keluarga Wan Mursyid sedangkan kau tak punya apa-apa. Lihat saja sekarang… Belum pun aku cakap apa-apa, kau dah histeria. Satu hari nanti Safuan akan balik ke sini dan ketika itu kau tak boleh berselindung lagi.” Ketawa Fadhil memecah. Dia merasa kemenangan berpihak kepadanya. Tidak selamanya tupai yang pandai melompat itu berada di dahan saja. Ya, Wan Anum Sophia yang egois hampir tewas!
Sophia menarik nafas dalam-dalam lalu menahannya seberapa lama dengan mata terpejam rapat, sebelum melepaskan nafas itu dengan hembusan yang panjang. Kepalanya tergeleng-geleng, pada masa yang sama tangan kanannya memicit-micit dahi. Tubuhnya terasa menggigil menahan kemarahan. Sakit benar hatinya dengan kata-kata yang berbaur ugutan itu.
“Aku mintak diri dulu. Maaf sebab datang tanpa diundang. Aku sekadar laksanakan tanggung jawab aku sebagai seorang hamba ALLAH. Aku dah tak ada masa yang panjang untuk terus tanggung beban rahsia ni. Di usia macam kita ni, kita dah patut ingat tentang alam yang satu lagi. Tak selamanya kita menongkat langit. Ingat-ingatlah pada kematian, Sophia!” Nasihat Fadhil begitu tajam sekali. Tanpa berlengah dia terus bangkit dari kerusi dan tanpa menunggu kata-kata balasan dari Sophia, dia terus melangkah ke pintu. Sophia yang memerhati langkah yang diatur Fadhil dan membiarkan saja lelaki itu meninggalkannya dengan perasaan berkecamuk.

FADHIL terus melangkah tanpa menoleh lagi. Dadanya terasa lapang. Fikirannya kembali tenang setelah beberapa hari kusut memikirkan persoalan yang belum selesai. Dia tidak akan hidup tenang selagi apa yang tersimpan selama ini tidak terungkai dan dibongkar.
Wan Mursyid adalah sahabat baiknya malah lebih seperti adiknya sendiri. Seorang lagi sahabatnya ialah Wan Mustakim, adik Wan Mursyid. Mereka bertiga sangat akrab sejak dari bermain guli hinggalah berguru silat. Sungguhpun Wan Mursyid dan Wan Mustakim adalah anak tukang emas terkenal dan kaya-raya di negeri Kelantan, namun mereka berdua langsung tidak sombong. Mereka tetap seperti orang kampung biasa. Setelah dewasa dan berkahwin dengan Farhah, Wan Mursyid berpindah ke Muar untuk membuka cawangan kedai emasnya di sana manakala Wan Mustakim meneruskan pengajiannya di Mesir. Dia turut membantu Wan Mursyid menguruskan perniagaannya sehinggalah Wan Mursyid berkahwin pula dengan Sophia. Sejak itu dia pulang terus ke kampungnya di Pasir Puteh kerana tidak setuju dengan keputusan mendadak Wan Mursyid mengahwini Sophia.
Fadhil mendongak ke langit. Terlalu banyak yang ingin dia kenangkan dan terlalu banyak yang ingin dia ucapkan kepada Wan Anum Sophia sebentar tadi. Dia juga lupa untuk bertanya khabar tentang Munirah dan anaknya yang langsung tidak dia ketahui namanya. Dia juga ingin bertanya tentang Wan Mustakimtetapi dia sudah tiak tahan melihat kesombongan dan keangkuhan Sophia. Perempuan itu terlalu pandai berpura-pura.
Sebelum meninggalkan rumah besar itu, Fadhil menoleh sebentar. Rumah yang sebahagian besarnya didirikan dengan kayu cengal itu ada sejarahnya sendiri. Wajah Wan Mursyid terbayang di ruang mata. Rahangnya menggertap. Dia tahu di mana dia berada sekarang. Suatu masa dahulu, sejarah silam yang ditulis dengan limpahan darah telah tercatat di situ, yang seterusnya menjadi satu kisah panjang melewati seluruh keluarga Wan Mursyid. Terlalu banyak perkara buruk pernah terjadi. Cahaya gemilang yang terus bernyala di situ pun belum tentu dapat memadamkan api dendam dari waktu silam. Jauh di lubuk hatinya, dia terus saja berdoa agar ALLAH turunkan petunjuk-NYA buat Sophia.

Rabu, 15 Ogos 2007

Bhg 7

“NENEK memang macam tu. Akak jangan ambil kira dengan orang tua tu. Dia bukan betul sangat.” Mubin berkata penuh emosi sambil mengetuk-ngetuk meja dengan jari telunjuknya. Tangan sebelah lagi memegang puntung rokok yang tinggal separuh.
Nudra yang duduk di sudut bilik tersenyum kelat. Anak Mak Lang Sarah itu memang lain sikit perangainya. Perangai gila-gilanya membuatkan dia tidak begitu disenangi oleh sepupu-sepupunya yang lain. Tetapi Mubin adalah antara cucu kesayangan Nenek Sophia kerana dia pandai mengambil hati orang tua itu walaupun di belakang nenek dialah pengkritik nombor satu. Politik Mubin memang sangat bagus! Di depan nenek, lembut lidah dari gigi. Kalau nenek suruh buat apa-apa, semua boleh aje tetapi nanti habis orang dikerahnya. Kalau bab mengampu, Mubinlah juaranya. Itu yang buat Nudra kadang-kadang payah hendak percaya dengan kata-kata Mubin.
“Akak buat je apa yang akak suka. Kalau akak ikut sangat peraturan nenek tu, akak tak akan ke mana. Sampai matilah akak duduk kat rumah ni, macam katak bawah tempurung. Nenek tu nak ikut zaman enam puluhan dia, mana boleh. Ini zaman moden, orang perempuan pun dah boleh ke bulan. Tengok macam saya ni, saya buat apa yang saya fikir betul. Kalau ikut cakap nenek, tak ke manalah kita,” Mubin terus membakar semangat Nudra.
Nudra memandang kosong ke arah Mubin, tanpa perasaan. Nasihat itu seperti angin lalu saja, payah hendak masuk ke hatinya. Ucapan berupa cadangan itu ada betulnya tetapi sikap Mubin yang suka bermuka-muka itu membuatkan Nudra jadi meluat. Lelaki bertubuh tegap dengan rambut lurus dan agak panjang itu bukan boleh dipercayai sangat. Lain di depan, lain pula di belakang. Kalau bab ini, jauh lebih baik Nabila yang mulut lepas itu. Anak Cu Syira itu tidak pandai berpura-pura. Apa yang dia kata, itulah yang di hatinya. Tetapi Mubin lain, sukar hendak meneka hatinya.
“Awak lainlah. Awak pandai ambil hati nenek. Kak Nudra ni siapalah… Anak terbuanglah katakan,” ucap Nudra merendah diri sekaligus menempelak sepupunya itu.
Ketawa Mubin memecah, terasa lucu dengan kenyataan Nudra. Dia tidak kisah kalau orang kata dia kaki bodek pun. Memang ya pun… Tetapi dengan membodek itulah dia berjaya dapat apa yang dia mahu dan impikan. Tengok sekarang, muda-muda lagi dia sudah memiliki kedai emas sendiri di Segamat kerana nenek sudah berikan kepercayaan kepadanya. Kata orang, usaha tangga kejayaan. Tak kiralah macam mana cara usaha itu dilakukan. Yang penting dia sudah berusaha untuk mencapai cita-citanya dan dia telah berjaya. Orang lain yang asyik dengki tu, apa mereka dapat? Bila dia dah dapat apa yang dia nak, semua pakat-pakat dengki. Teruk betullah metaliti dia orang ni…
Ruslina yang sedang asyik menelaah pelajaran menoleh lalu menjuihkan bibir apabila mendengar ketawa Mubin. Mubin kalau ketawa macam nak runtuh bangunan dibuatnya. Begitu juga kalau menyanyi, satu rumah akan bingit dengan suara sumbangnya. Walaupun perangai Mubin begitu dan suka pulak mengampu nenek tetapi dia lucu dan baik hati. Itu yang buat Ruslina tidak kisah sangat dengan perangai Mubin.
“Apa lainnya? Nak hidup, kenalah bijak. Cubalah bodek-bodek nenek tu sikit. Kalau akak nak tahu kelemahan nenek, dia tu pantang kena puji. Kalau akak puji dia melambung, jawabnya terbanglah segala ego dan marah nenek. Tambah-tambah kalau sebut pasal awet mudanya. Mahu nenek senyum sampai ke telinga. Satu lagi, bahasa mesti bagus. Mulut kena manis. Cakap dengan nenek mesti berlapik, jangan main hentam saja! Jangan sekali-kali kata tidak. Kenalah mengayat sikit, barulah dapat apa yang akak nak.” Mubin menghembus asap rokok yang disedutnya dengan kasar ke udara. Berkepul-kepul asap itu terbang bercampur dengan zarah-zarah udara bersih.
Nudra menjeling tajam sambil mengibas-ngibas udara yang sudah tercemar dengan asap rokok. Dia tidak suka tabiat Mubin yang kuat merokok itu. Dahlah merokok depan orang, tak pandai langsung hormat perasaan orang. Teruk betullah! Nudra merungut sendiri.
“Hey, kalau nak nak merokok pun jangan sampai meracun orang lain. Nak merokok, kat luarlah. Tahulah cucu kesayangan nenek, tapi takkanlah tak boleh hormat orang lain?” tingkah Ruslina yang melihat sikap tidak sopan Mubin sebentar tadi.
“Tak suka orang merokok, eh? Haa, nanti kalau dapat laki kuat merokok macam aku ni baru dia tahu. Waktu tu semuanya bau wangi,” Mubin mengejek.
“Kak Nudra jangan peduli sangat dengan Abang Mubin Kepala Senget tu. Dia tu bukan betul sangat. Kalau Kak Nudra ikut kepala dia nanti akak pun jadi ‘senget’ sama,” sampuk Ruslina yang duduk di kerusi menghadap ke tingkap.
“Eh, awak budak-budak lagi. Jangan nak menyampuk cakap orang tua. Baca buku tu dulu sampai habis. SPM pun belum lulus dah sibuk nak mengutuk orang. Jangan nak jadi macam orang lain yang suka dengki-dengki tuh. Jadi diri awak sendiri, tau?” balas Mubin dengan nada bergurau. Dia suka mengusik Ruslina kerana Ruslina sporting, tak macam Nabila yang panas baran dan tidak boleh dibawa bergurau. Dengan Nudra pun dia segan sedikit kerana Nudra ni pendiam orangnya.
“Tak apa, akak tengah nak menuntut jadi cucu kesayangan nenek ni. Manalah tau kalau-kalau dapat kedai emas sebijik,” Nudra mengenyit mata kepada Ruslina. Dia sekadar menyindir Mubin saja.
“Oh, ya ke? Haa… nanti jangan lupa ambil Lina jadi akauntan akak tau. Kalau tak dapat jadi akauntan pun, manager pun jadilah.” Ruslina membalas sambil menjeling ke arah Mubin. Mubin buat-buat tidak dengar sindiran sepupu-sepupunya itu. Katalah apa yang dia orang nak kata pun, semua itu tidak menjadi kudis baginya. Yang senang, dia.
“Kalau akak nak kerja jugak, nanti saya bagitahu nenek. Alah, perkara mudah je tu! Saya akan tolong nanti.” Mubin tidak mempedulikan perbualan Ruslina dan Nudra. Dia tidak pernah ambil hati walau apa pun yang kata-kata yang ditujukan kepadanya. Macam tak ada perasaan. Itulah yang sering diungkapkan oleh Ruslina kepada sepupunya.
“Ambil ajelah Kak Nudra kerja kat kedai emas abang tu. Haa… lantik Kak Nudra jadi manager ke. Tak boleh ke?” Ruslina tergelak kecil dengan ucapan sendiri.
“Diamlah budak mumayyiz! Suka sangat menyampuk cakap orang tua Orang suruh baca buku tak nak. Menyibuk hal orang,” herdik Mubin lagi. Dia suka buat Ruslina marah. Budak bertubuh ‘sihat’ itu suka melayan ‘gilanya’.
Ruslina mencebik lalu tertawa kecil. “Suka-suka hati je cakap orang mumayyiz…”
Janji Mubin membuatkan Nudra sedikit teruja namun masih ada keraguan di hatinya. Dia tidak pernah ada keyakinan pada diri sendiri. “Tapi Kak Nudra nak kerja apa ya? Kak Nudra ni bukannya ada kelulusan apa-apa pun.”
Bulat mata Mubin memandang Nudra. “Lah… nak kerja tapi tak tahu pulak apa nak buat. Akak ni teruk betullah! Patutlah kalau nenek marah pun. Eh, akak tahu tak, nenek tu pantang betul kalau orang yang tak ada cita-cita tau! Orang putih kata, tak ada vision. Haa… macam Vision 2020 tu. Orang lemah macam akak ni pada nenek memang layak duduk rumah aje.”
Nudra sekadar tersenyum malu. Apa yang dikatakan Mubin itu tidak disangkalnya kerana ada benarnya. Tetapi dia jadi begitu kerana nenek juga. Nenek yang membuat dia jadi pasif dan tidak bermaya. Dia selalu dianggap tidak berguna dan menyusahkan, lantaran itu segala kata nista itu melekat di hatinya dan menjadikan dia terus-terusan jadi lemah dan tidak bersemangat. Nenek dan makcik-makciknya selalu merendah-rendahkan kebolehnnya, justeru dia terus jadi takut untuk berdepan dengan dunia luar.
“Eh, saya nak keluar jap. Nak pergi ambil Erisha kat sekolah. Hari ni laki dia tu balik lambat. Nanti mengamuk pulak cikgu sorang tu. Saya pergi dulu tau! Malam nanti saya bagi tahu nenek. Akak fikir-fikirlah nak buat apa untuk masa depan akak.” Mubin sudah bangun sambil mencapai anak kunci dan kotak rokoknya di atas meja.
“Okey. Terima kasih Mubin.” Nudra yang terganggu bacaan novelnya sejak tadi mengangguk.
“Jangan lupa ambil Kak Nudra jadi manager kat kedai abang tau!” Jerit Ruslina masih mahu bergurau. Nudra tersenyum sambil menggeleng-geleng dengan telatah lucu Ruslina itu.
Mubin yang sudah sampai di muka pintu kembali menoleh. “Banyaklah manager engkau! Kak Nudra, satu lagi saya lupa nak bagi tahu. Surat-surat personal akak tu simpan elok-elok. Sekarang Nabila tengah jadi spy nenek. Dia tengah nak bodek nenek tu, so akak jaga-jaga. Saya dengar akak dah kantoi hari tu...” Ruslina dan Nudra saling bertatapan. Kini Nudra sudah tahu bagaimana poskad itu boleh berada di tangan nenek.

SEBAIK saja pintu bilik yang tidak berkunci itu di tolak, lagu ‘Crazy Frog’ memenuhi ruang bilik yang sederhana besar itu. Pandangan Nudra tertumpu pada setiap dinding bilik yang dicat dengan warna yang berlainan itu. Dinding sebelah katil dicat warna merah kusam, dinding yang bertentangan pula dicat warna putih dan dinding yang bertingkap itu berwarna biru gelap. Kemudian pandangan beralih pada lantai yang dihiasi karpet putih daripada bulu kambing, di hujung katil pula berselerak dengan majalah dan pakaian yang belum di cuci. Di sudut kiri pula televisyen terpasang tanpa siaran.
Itulah kali pertama dia menjengah ke bilik Nabila yang sentiasa memusuhinya itu. Lantaran itu dia jarang hendak berurusan dengan Nabila dan kalau boleh tidak ingin langsung ada apa-apa kaitan dengannya. Usahkan berurusan, bercakap pun jika perlu saja. Sepupunya yang ‘terlebih berlagak’ itu seolah-olah tidak hairan dengan kehadirannya di rumah besar itu. Dia terus tercegat di muka pintu, tidak berani untuk terus melangkah masuk. Bimbang pula kalau Nabila menuduhnya menceroboh. Malas dia hendak bertekak dengan orang seperti Nabila nanti perkara sejengkal akan jadi sedepa. Bosan!
“Hah, kenapa ni tercegat kat sini? Nak curi-curi masuk ya?” sergah Nabila yang berseluar pendek separas peha dengan baju tanpa lengan dari arah belakang. Matanya bulat merenung Nudra yang nampak terkejut dan sedikit cuak. Tangannya mencekak pinggang.
Pantas Nudra berpaling tatkala mendengar sergahan itu. “Kak Nudra nak jumpa Bila. Tadi Kak Nudra ketuk pintu tapi tak berjawab. Kak Nudra bukak la pintu ni. Ingatkan Bila tidur ke apa,” jawab Nudra cuba mengawal gemuruhnya. Dia hanya menunggu apa saja tindakan Nabila seterusnya. Perempuan itu bukan boleh dijangka, perkara kecil pun boleh kecoh satu rumah.
“Betul ke cari aku? Atau sengaja nak masuk masa aku tak ada. Kau nak apa sebenarnya? Nak jadi spy ya?” soal Nabila dengan kasar. Kemudian dia terus masuk ke dalam bilik dan melanggar bahu Nudra dengan sengaja.
Nudra mengetap bibir, geram sungguh dengan tuduhan tak berasas itu. Tindakan Nabila melanggar bahunya dengan sengaja itupun dirasakan sungguh tidak sopan. “Eh, Kak Nudra tak adalah nak jadi macam Bila tu. Suka menceroboh bilik orang!” balas Nudra berani. Rasa geramnya mengatasi rasa takut sekiranya Nabila mengadu kepada nenek atau Mak Ngah Sarah.
Nabila mendekatkan mukanya pada wajah Nudra sehingga gadis itu terdorong sedikit ke belakang. “Hey, jangan nak tuduh orang sebarangan! Dah la menceroboh bilik orang, suka-suka cakap orang begitu begini. Dasar anak pungut tak sedar diri!”
Nudra berundur setapak ke belakang. Dadanya berombak-ombak menahan perasaan. Dia tahu siapa dirinya. Tak payahlah Nabila hendak ingatkan pula. Sudah banyak kali Nabila menghinanya sebagai anak pungut dan terbuang. “Bila tak payahlah nak buat innocent. Betul kan Bila masuk ke bilik Kak Nudra ambil poskad tu dan bagi kat nenek? Apa tujuan Bila sebenarnya?” Nudra semakin berani untuk berhadapan dengan anak Cu Syira itu. Apa nak jadi, jadilah! Buat baik pun salah, buat jahat apatah lagi…
Nabila mengangkat bahu. “Apa yang kau sibuk sangat ni? Dah tahu buat salah dengan nenek, apa hal pulak kau datang nak serang aku ni?” Nabila sudah menyinga. Suaranya mula meninggi.
“Salah apa? Apa yang salah? Terima poskad dari seorang teman pun salah ke?”
Nabila tertawa mengejek. “Ooo… dari seorang teman. Bukan kekasih ke?”
“Nabila, Kak Nudra datang ni bukan nak bergaduh. Kak Nudra cuma nak tanya kenapa awak ambil poskad tu? Apa tujuan awak sebenarnya? Awak sengaja nak tengok nenek marahkan Kak Nudra, kan?”
“Tak kuasa aku saja nak tengok kau kena marah. Aku tak buat macam tu pun nenek memang dah benci dengan kau. Aku ambil tu sebab nak ajar kau supaya tahu peraturan kat rumah ni. Kalau nak bercinta pun tak payah nak sembunyi. Kalau tak ada benda tak elok, kau tak sorok-sorokkan?”
Nudra sudah malas hendak melayan angin Nabila. Makin dilayan makin sakit hatinya. Tanpa berlengah lagi dia terus angkat kaki dan berlalu ke biliknya. Suara ketawa Nabila terus mengiringi langkahnya.

Selasa, 14 Ogos 2007

Bhg 6

JE TE HAIS! Je te hais!” (Saya benci! Saya benci!) Jerit Melissa sekuat hati. Lelaki yang tingginya hampir enam kaki itu tergamam mendengar sumpah seranah anak gadisnya di muka pintu rumah. Dahinya berkerut-kerut, cuba mengerti apa yang diucapkan oleh gadis manis yang menyambut kepulangannya itu.
Richard membuka tali lehernya yang sudah terungkai sedikit itu dicampaknya ke atas almari di tepi pintu. Lelaki itu kelihatan lesu dan tidak terurus. Butang kemeja putihnya terbuka hingga ke paras dada. Dia memandang Melissa dengan pandangan kosong. Dengan langkah terhuyung-hayang Richard melangkah masuk dan menghempaskan diri ke sofa tanpa menyapa gadis yang masih tercegat seperti patung itu.
Keadaan Richard yang kusut masai itu benar-benar buat darah Melissa mendidih. Rasa benci, meluat dan kecewa silih berganti di hatinya. Lebih menyakitkan hati apabila terhidu bau masam wine bercampur dngan bau minyak wangi Estee Lauder yang selalu dipakai oleh Belinda, teman wanita ayahnya. Oh, daddy! Kenapa daddy keluar juga dengan perempuan jahat tu? Jerit hati Melissa penuh kesal.
Tu n'es pas hais je. Vous détestez votre destin. Vous vous détestez, Mel. (Awak tak benci saya. Awak benci pada takdir. Awak benci diri awak sendiri, Mel). Awak sebenarnya tak boleh terima kenyataan yang awak sudah kehilangan Alveena. Awak juga tak boleh terima yang awak bukan anak dia,” balas Richard dengan bahasa yang bercampur-campur. Dia sudah terlentang di sofa kulit dengan matanya tertutup rapat. Mulutnya terus mengomel tetapi tidak pasti buah butirnya.
Tu es horrible. Tu n'es pas mon père! (Awak memang teruk! Awak bukan ayah saya). Awak bukan Richard yang dulu. Mon père était mort. (Daddy saya sudah mati).” Melissa berpeluk tubuh, mencari kekuatan dari diri sendiri. Rasa kesal terus menguasai diri. Mengapa semua ini perlu terjadi kepada keluarganya? Kenapa kebahagiaan mereka tidak berpanjangan? Kenapa orang sebaik Alveena harus pergi dulu? Mengapa mummy mesti mati? Mengapa bukan Richard yang begitu mudah berubah itu? Atau Belinda yang teruk dan merosakkan hubungannya dengan Richard itu? Jerit hati Melissa.
Richard ketawa sekuat hati. “Oui, je sais que je suis fou. (Ya, saya memang teruk). Tapi awak lagi teruk. Awak sama saja dengan emak awak yang bodoh itu,” ucap Richard. Dia sudah biasa berbahasa Melayu dengan Melissa. Entah kenapa, sejak datang ke Malaysia dia merasakan anak gadisnya itu semakin serasi dengan suasana dan kehidupan di sini. Melissa juga semakin fasih dengan bahasa Melayu dan setiap kali Melissa bertutur bahasa tersebut dia merasa seolah berada di masa lalunya.
Alveena n'est pas ma mère. (Alveena bukan emak saya). Awak jugak yang kata begitu, bukan? Kenapa awak sampai hati menghina Alveena begitu? Dulu awak sangat sayangkan dia,"balas Melissa geram. Sayangnya kepada Richard sudah bertukar menjadi meluat. Richard yang dulunya bapa yang penyayang kini sudah jauh berubah. Lelaki itu bukan lagi bapa yang mengasihinya sepenuh hati. Lelaki itu sudah gila dan menyakitkan hati. Setiap kali bertemu mereka akan bertengkar dan bertengkar. Oh, bilakah akan berakhir semua ini? Atau ini baru saja permulaan?
Je ne parle pas d'Alveena, mais de votre mère. (Saya cakap ni bukan pasal Alveena, tapi pasal mak awak).” Selamba saja Richard membalas dalam fikiran yang separuh sedar itu. Otaknya sudah dikuasai air syaitan yang entah berapa banyak telah memasuki pembuluh darahnya malam itu.
Melissa menutup muka dengan kedua belah tangannya. Air mata yang hampir menitis ke pipi disekanya dengan kasar. Sekali lagi hatinya luluh mendengar ucapan yang terlepas dari mulut Richard. Alveena emak yang baik, bagaimana dia hendak terima hakikat bahawa wanita itu bukan ibu kandungnya? Bagaimana dapat dia lupakan belaian dan kasih sayang Alveena sedangkan sejak kecil dia sentiasa bersama wanita itu?
Je veux retournent en France (Saya nak balik ke Perancis). Saya mahu cari emak saya. Saya tak mahu tinggal dengan awak lagi. Awak pun bukan ayah saya,” ucap Melissa yang amat kecewa dengan sikap bapanya itu. Melissa menarik nafas dalam-dalam sambil meluruskan kaki. Dalam hati dia berdoa akan menemui ibu kandungnya dan dia kebahagiaan yang telah hilang itu akan kembali semula dalam dirinya.
Votre mère n'est pas une Française. Elle est un Malay. Elle est un Malaisien. (Emak awak bukan orang Perancis. Emak awak orang Melayu. Dia orang Malaysia),” balas Richard perlahan.
Suara Richard jelas di pendengaran Melissa tetapi dia masih keliru. Dahinya berkerut-kerut, tidak mengerti maksud kata-kata ayahnya. Emaknya orang Malaysia? Orang Melayu? Mustahil! Melissa bingung. “Que voulez-vous dire? (Maksud awak?)”
Vous savez que je veux dire. Je ne veux pas me répéter.” (Awak tahu apa yang saya kata. Saya tak mahu ulang lagi).”
Melissa bangun lalu menerkam lelaki yang masih kaku di sofa panjang itu. Berkali-kali ditumbuknya dada lelaki itu dengan kedua belah tangan. Lelaki berusia empat puluh tahun itu terus bangkit kerana tersentak dengan tindakan Melissa yang tidak disangka-sangka itu. Richard terpinga-pinga seperti orang baru tersedar dari tidur.
Le papa, est-ce que c'est vrai? (Daddy, benarkah?)” Melissa menggoncang tangan ayahnya. Suaranya lirih meminta simpati. Lapan belas tahun dia hidup tanpa mengenali siapakah wanita yang mengandungkannya. Alangkah malangnya!
Melissa yang terkulai di Richard terus diraih ke dalam pelukannya. Hati lelakinya diburu sayu dan kesal. Sebentar kemudiandia meleraikan pelukan lalu air mata anak gadis itu disekanya dengan ibu jari. Wajah Melissa direnungnya penuh kasih. Mukanya yang bulat, matanya yang bundar dihiasi alis yang lentik dan kulitnya yang putih kuning itu adalah milik ibunya. Itulah lukisan wajah yang tidak pernah luput dalam memori Richard. Wanita keturunan Melayu-Cina itu adalah cinta pertamanya dan wanita yang paling dia cintai, namun jodoh mereka tidak panjang. Tapi setelah ditinggalkan Maria, dia cuba meracun fikirannya untuk terus membenci wanita itu. Ya, Maria yang teruk!
Oui, cher… (Benar, sayang). Emak awak ada di Malaysia ni. Salah satu sebab saya kerja di sini kerana saya mahu cari dia. Saya mahu awak jumpa emak awak suatu hari nanti. Saya tak tahu macam mana hendak bercerita kerana selepas Alveena meninggalkan kita, kita sudah jadi orang lain. Saya tahu awak perlukan seorang ibu sebab itu saya cuba berbaik dengan Belinda,” bisik Richard. Setitis air terjatuh dari tubir matanya. Rasa sayu menguasai hati lelakinya. Dia kehilangan kedua-dua wanita yang dicintainya sepenuh hati. Dan dia tahu, suatu hari nanti dia akan kehilangan Melissa juga. Wanita... macam bunga yang kembang. Suatu hari ia akan layu jua...
Je déteste cette dame. Elle a détruit notre rapport.” (Saya tidak suka perempuan tu. Dia dah rosakkan hubungan kita),” tegas Melissa dengan mata mencerun. Air mata Richard tidak mampu mengubat luka di hatinya.
Je sais, mais je l'aime. (Saya tahu. Tapi saya sayangkan dia).”
Melissa menolak tubuh ayahnya lalu terduduk di tepi sofa. Dia benci bila ayahnya berkata begitu. Dia merasakan ayahnya sudah mengkhianati cinta terhadap Alveena. Daddy memang teruk!
“Pergilah cari emak awak. Dia tentu rindukan awak,” ucap Richard sambil bersandar ke sofa. Dia sudah bersedia untuk melepaskan Melissa pergi.

Isnin, 13 Ogos 2007

Bhg 5

“KAK ZIRA, tolonglah jangan potong rambut saya sampai pendek. Ini saja yang saya ada untuk diri saya. Mak Tok marah benar kalau saya potong sampai pendek maca m ni. Dia kata tak baik perempuan berupa macam lelaki.” Suara Nudra tenggelam timbul dalam tangisan yang cuba ditahankan. Pilunya hati diperlakukan begitu, terasa diri langsung tidak disayangi dan dihargai. Sedihnya bila diri diperlakukan seperti banduan yang baru masuk penjara. Hah, rumah ni memang macam penjara pun! Bukan penjara… tapi neraka!
Kak Zira mendengus kasar. “Diam ajelah! Aku menurut arahan nenek kau. Dia suruh gunting pendek, aku gunting pendeklah. Faham?” herdik Kak Zira. Matanya bulat memandang Nudra melalui cermin besar di hadapannya. Padanya, setiap suruhan Wan Anum Sophia itu adalah arahan dan setiap arahan wajib dipatuhi. Dia kan makan gaji dengan Wan Anum Sophia, seharusnyalah dia taat dengan segala arahan majikannya. Kalau dia engkar, tentulah Wan Anum Sophia akan marah dan dia tiada lagi peluang untuk bekerja di situ. Silap-silap haribulan, gajinya pula yang dipotong. Dia bukan tidak kenal dengan Wan Anum Sophia yang tegas itu. Majikannya itu nampak saja lembut dan sopan tetapi hatinya tidak selembut gerak-gerinya.
“Kak…” Nudra tidak dapat meneruskan kata. Suaranya bertukar menjadi esakan yang sayu.
Kak Zira hanya mencerlun melalui cermin tanpa sedikit pun rasa belas. “Buat apa simpan panjang-panjang. Awak tu anak dara, gadis sunti bukannya nenek-nenek nak simpan rambut panjang. Kalau tak kemas, nanti orang kata anak dara tak tahu jaga diri. Malulah Puan Sophia ada cucu macam kamu. Lagipun susah nak jaga kalau panjang sangat. Nanti macam-macam haiwan buat sarang kat kepala tu,” bebel Kak Zira sambil meneruskan kerjanya.
“Nenek tak suka budak-budak simpan rambut panjang macam ni. Kalau nak jadi cucu Wan Anum Sophia kau kena kemas dan sentiasa nampak cantik. Kau tak tengok nenek kau tu? Semua orang cemburu dengan kecantikan dia. Kau kena ikut cakap dia kalau kau nak selamat dan jadi kebanggaannya. Tengok akak ni, dah berbelas tahun akak kerja dengan dia, tak ada masalah apa-apa. Dapat naik gaji lagi ada…” sambung Kak Zira dengan suara meninggi.
‘Akak tu kaki bodek!’ Sumpah Nudra di dalam hati. Air matanya terus laju membasahi pipi. Apalah malangnya nasib, pulang ke pangkuan keluarga sendiri tetapi tak ubah seperti dihumbankan ke pusat tahanan. Ada ibu pun bukannya boleh bermanja dan menumpang kasih. Apatah lagi nenek dan saudara-mara yang lain, langsung tiada kemesraan dan kasih sayang yang boleh diharapkan. Jauh lebih baik tinggal bersama Tok Ayah dan Mak Tok dulu, sungguh pun mereka tu hanya datuk saudara tetapi kasih sayang mereka tidak pernah luntur sedikit pun. Walaupun hidup sederhana namun hati senang-lenang...
“Saya tak mahu potong rambut ni,” ucap Nudra tegas sambil cuba bangun dari kerusi tetapi cepat-cepat Kak Zira menekan bahunya sehingga dia terduduk semula. Mulutnya mengaduh kesakitan.
Tangan Kak Zira yang tadinya begitu rancak menggunting terhenti seketika. Kepala Nudra ditunjalnya dengan hujung jari telunjuk. Nudra mengetap gigi menahan geram dan sakit hati diperlakukan begitu. “Diamlah! Kalau kau nak rambut kau ni jadi elok, baik kau jangan mengomel yang bukan-bukan. Kalau nak rambut engkau jadi macam badut sarkis, jeritlah kuat-kuat. Orang nak bagi dia cantik, dia bising pulak!” jerkah Kak Zira sambil menolak bahu Nudra pula. Nudra mengaduh kesakitan. Tetapi hatinya lebih sakit sebenarnya.
“Mak Tok tak suka saya berambut pendek…” Nudra masih cuba mempertahankan kehendaknya. Kalaulah Mak Tok tahu, tentulah Mak Tok juga akan sedih. Mak Toklah yang menggalakkan dia menyimpan rambut panjang. Setiap malam Mak Tok akan menyapu minyak kelapa yang sudah dicampur dengan daun pandan pada rambutnya. Kata Mak Tok, petua itu adalah untuk mengelakkan rambut dari beruban. Kemudian Mak Tok akan menyikat rambutnya dari atas ke bawah sebanyak seratus kali dan Nudra akan jadi tukang kira.
“Hey, Mak Tok engkau tu dah tak adalah! Dah mati. Orang mati mana boleh nampak rambut engkau ni panjang ke, pendek ke… Hey, dengar sini! Rambut ni akan panjang semula bukannya pendek terus. Kalau pendek terus pun lagi elok. Engkau tu tak tahu jaga kebersihan. Dah belasan umur pun masih comot macam budak kecil. Dah jadi cucu Wan Anum Sophia ni tak bolehlah nak macam kat kampung lagi.” Kak Zira terus menghina tanpa mempedulikan perasaan gadis itu. Rayuan Nudra dan tangisan Nudra langsung tidak menyentuh hatinya.
“Walaupun saya orang kampung, saya tahulah jaga kebersihan diri. Saya tahu macam mana nak jaga rambut biar sihat. Saya cuci dengan syampu paling kurang seminggu sekali. Tiap-tiap hari saya minyakkan dan tiap-tiap malam saya sikat seratus kali,” beritahu Nudra seolah-olah cuba meyakinkan wanita muda berambut perang itu walaupun dia tahu Kak Zira tidak akan mendengar kata-katanya. Biar Kak Zira tahu yang dia juga tahu menjaga rambut seperti orang lain walaupun dia asalnya orang kampung. Mak Tok tu, rambutnya tak beruban sampai tua sebab dia tahu macam mana nak jaga. Tak macam Kak Zira; nama aje pendandan rambut, umur baru tiga puluh tahun tapi uban dan merata kat kepala. Konon tak nak bagi orang nampak uban tu, diwarnakan rambut tu tanpa mengira halal haramnya.
Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menjerit sekuat-kuatnya. Tapi dia tahu, tidak ada ertinya dia bertindak sedemikian kerana tidak mungkin ada sesiapa pun yang akan membela nasibnya. Air mata Nudra terus laju membasahi pipi.
“Hah, dah sudah! Kan cantik tu...” Kak Zira tersenyum puas. Sudah lama dia cemburu dengan kecantikan rambut Nudra, dan kali ini satu peluang baginya untuk lakukan sesuka hati terhadap rambut gadis ini. Rambutnya yang hitam berkilat itu dirasakan tidak sesuai dengan gadis bernama Nudra. Entah kenapa dia merasakan Nudra tidak sepatutnya dianugerahkan rambut secantik itu.

MALAM itu sewaktu di meja makan, dia menjadi bahan ketawa. Kalau tidak kerana ibu beriya-iya memujuknya makan, dia pasti tidak akan bersama-sama ahli keluarga yang lain menikmati makan malam. Biarlah lapar, biarlah perutnya sakit asalkan telinga dan hatinya tidak sakit mendengar ejekan makcik-makcik dan sepupu-sepupunya.
“Wah, Nudra! Rambut baru nampak?” sapa Cu Syira sebaik saja dia menghampiri meja makan. Senyum sinis terukir di bibirnya.
Nudra buat-buat tidak dengar. Dia tahu Cu Syira menyindirnya. Makcik yang bongsu itu mana pernah nak senangkan hatinya. Ah, semua orang kat dalam rumah ini memang menyakitkan hatilah! Jerit Nudra di dalam hati.
Nudra duduk dengan malas di kerusi yang paling jauh agar tersorok dari pandangan Nenek Sophia. Kalau boleh, dia tidak mahu nenek ternampak perubahan pada rambutnya. Tapi semua itu adalah mustahil. Tambahan pula dengan rambutnya yang sudah berubah gaya seperti lelaki, tentulah menjadi tarikan dan perhatian nenek. Tentu nenek begitu teruja hendak melihat penampilannya yang baru seperti mana yang dia inginkan. Ya ALLAH, seumur hidup dia tidak pernah berambut pendek begitu. Rasanya mahu dia tarik kain yang mengalas meja buat menutup kepala.
“Eh, ada orang dah tukar imejlah! Dulu model gadis kampung, sekarang dah jadi model tomboy gitu. Lepas ni kau boleh join kawan-kawan aku yang tomboy tu. Tentu havoc giler…” Nabila yang baru muncul pula menyapa. Matanya bersinar riang seolah-olah seronok sangat melihat perubahan pada Nudra. Semua yang berada di meja makan ketawa dengan kata-kata Nabila. Segalanya menyakitkan hati ketika itu hatta bunyi sudu dan garfu pun boleh buat perasaannya terbakar.
Nudra terus membatu. Dan setiap orang yang masuk ke ruang makan akan mentertawakannya kecuali kedua-dua anak Mak Ngah Sarina; Syameer dan Ruslina. Ruslina nampak terkejut sementara Syameer pula buat-buat tidak perasan. Nudra menahan hati dan mulut dari berkata-kata. Bimbang juga kalau terlepas kata-kata yang akan tidak sepatutnya nanti. Maklumlah hati sedang panas terbakar oleh api kemarahan, macam-macam boleh jadi. Marah itukan percikan api yang ditiupkan syaitan, jadi kalau diturutkan rasa marah tu samalah seperti kita menurut bisikan syaitan. Pesan Tok Ayah itu masih Nudra ingat.
Munirah yang duduk di sebelah hanya membisu. Sesekali Munirah melirik kearah anak gadisnya yang kelihatan serba tidak kena itu. Kasihan… tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Nudra tahu, ibu cuba menyabarkannya. Ibu… ibu tak pernah hendak membelanya bila dihina begitu. Sampai bila ibu akan bersikap begini? Kadang-kadang dia sangat sedih bercampur geram dengan sikap ibu. Kalau macam ni, lebih baik dia tidak kenal siapa ibunya. Dia ingat, wanita yang bergelar ibu adalah manusia berhati mulia yang sedia membela dan berada di sisi baik di waktu suka mahupun duka. Rupa-rupanya ibu yang melahirkannya itu tidak begitu. Hati ibu bagaikan ais yang beku. Hati ibu bukan seperti air sungai yang tidak pernah henti mengalir. Sedihnya hati kerana tiada tempat hendak mengadu.
“Hah Nudra, kan cantik rambut macam tu… Ini tidak, macam orang tua-tua je dengan rambut panjang mengerbang. Duduk kat ceruk kampung bolehlah selekeh tapi duduk kat bandar ni nenek kenalah kemas.” Kata-kata Nenek Sophia menambahkan sakit di hati. Nudra buat tidak endah saja dengan komen neneknya. Seleranya mati. Nasi yang ditelan terasa berpasir. Dia hanya menjamah sedikit saja nasi yang terhidang lalu cepat-cepat mencuci tangan. Itu pun kerana untuk tidak memburukkan keadaan. Kemudian dia terus berlari ke belakang rumah dengan air mata yang mula mengalir tidak henti-henti.

“NUDRA…”
Nudra tidak mengendahkan suara yang menyapa. Dia malu untuk berhadapan dengan sesiapa jua di saat ini. Rasanya mahu saja dia menyorok kat atas pokok tepi kolam tu. Bukannya dia tidak biasa memanjat pokok sewaktu di kampung dulu. Air mata yang masih basah di pipi disekanya dengan hujung jari. Syameer melabuhkan punggungnya di sisi Nudra.
“Apa yang dah jadi sebenarnya? Kenapa macam ni? Cuba cerita kat Meer…”
Pertanyaan Syameer tidak berjawab. Nudra menahan sendu yang semakin mencengkam. Kehadiran Syameer menambahkan rasa pilu di hati. Tambahan pula dia sangat malu dengan rambutnya pendek macam budak tomboy itu. ‘Tomboy’- itulah gelaran baru yang diberikan Nabila sebentar tadi. Aduh, sungguh memalukan!
“Kenapa nangis ni?” Syameer bertanya lagi. Dia seolah-olah tidak tahu-menahu dengan apa yang terjadi meskipun dia sendiri menyaksikan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Dia benar-benar simpati dengan nasib sepupunya itu.
Dia tanya kenapa? Dia tak nampak ke apa yang berlaku di ruang makan tadi? Dia tak tahu ke, betapa malunya dia diperlakukan begitu oleh ahli keluarga yang lain? Syameer ni pekak ke buta? Nudra menyumpah-nyumpah di dalam hati. Kemarahannya terlampias kepada Syameer. Nudra bangkit untuk pergi. Dia ingin menjauhkan diri dari sesiapa saja. Agaknya beginilah amalan dalam keluarga Wan Anum Sophia yang dihormati ramai itu. Oh, alangkah buruknya mereka!
“Duduk dulu…” Syameer menarik tangan Nudra dengan pantas sehingga Nudra hampir terjatuh tetapi dia masih sempat mengimbangi badannya.
“Nudra nak naik ke bilik!” Nudra berusaha melepaskan pergelangan tangannya daripada cengkaman Syameer.
“Nudra, duduk dulu. Meer nak cakap ni. Meer tahu Nudra tengah sedih.” Suara anak bujang Mak Ngah Sarina itu kedengaran seakan memujuk. Dia begitu simpati dengan nasib sepupunya itu.
Nudra akur. Hatinya kembali sejuk sedikit tatkala terpandang wajah Syameer. Keikhlasan terpancar dari sinar matanya.
Keduanya membisu beberapa ketika. Bunyi cengkerik menjadi irama latar belakang mengisi ruang sepi antara mereka. Sesekali bunyi riuh di ruang makan yang terletak di tengah rumah singgah di gegendang telinganya. Darahnya kembali tersirap. Ah, itu tengah ketawakan aku la tu! Tuduh Nudra di dalam hati.
“Meer tahu, Nudra sedih sebab rambut Nudra dah pendek, kan?”
Nudra hanya mengangguk perlahan. Air matanya kembali membasahi pipi tanpa dapat ditahankan lagi. Sedih benar rasa hati bila mengenangkan rambutnya yang panjang itu sudah jadi begini. Aduhai…
“Boleh Lina join?” Tiba-tiba saja Ruslina muncul. Sebelum keduanya menjawab, Ruslina sudah duduk di sisi Nudra. Tangannya memaut bahu Nudra yang sedang tunduk. Dia turut simpati dengan apa yang telah terjadi terhadap Nudra. Dia sendiri merasa kesal kerana rambut Nudra yang lurus panjang itu sudah jadi sangat pendek.
“Sabarlah Kak Nudra. Lina tahu perasaan akak macam mana.” Ruslina cuba memujuk. Nudra angguk.
“Nudra jangan sedih sangat. Kalau orang gelakkan Nudra, Nudra diam aje. Biarkan mereka. Nudra baru di sini, mungkin Nudra belum biasa dengan karenah nenek. Dia nak yang terbaik buat cucunya,” nasihat Syameer, mengulangi kata-kata yang selalu diucapkan emaknya.
“Terbaik Meer kata? Nudra kena ejek, kena ketawa macam ni pun Meer kata baik?” bentak Nudra geram. Dia tidak peduli lagi apa yang mereka nak kata padanya. Kesabarannya sudah mencapai tahap maksima. Kalau Nenek Sophia mahu dia kembali kepada Tok Ayah pun itu lebih baik lagi.
“Meer faham perasaan Nudra. Jangan menangis lagi. Rambut Nudra tu masih boleh panjang lagi. Kalau Nudra malu nak ke sekolah, ada caranya…” Nasihat Syameer tak ubah seperti pakar motivasi pula.
Nudra angkat kepala. Dahinya berkerut-kerut, cuba memahami maksud kata-kata . Wajah Syameer yang bersahaja itu direnung dalam-dalam. Sepupunya itu selau saja berkias-kias. Kadang-kadang sukar baginya hendak menelah kata-kata Syameer. Kemudian dia memandang Ruslina pula meminta pendapat. Gadis itu hanya mengangkat bahu saja kerana dia sendiri tidak faham apa yang ingin disampaikan abangnya.
“Nudra, setiap yang cantik itu perlu disimpan kat tempat yang baik. Kalau kita ada barang yang cantik, yang mahal… kita mesti letak dia elok-elok, bungkus dia kemas-kemas supaya orang lain tak boleh pegang, tak boleh tengok. Betul tak?” ujar Tok Ayah tenang.
Dalam samar-samar cahaya lampu di tepi rumah itu Syameer merenung wajah Nudra. Kecantikan gadis itu memang terserlah tidak pernah dia nafikan dan kadangkala menggetarkan hati lelakinya. Kecantikan yang tidak diwarisi daripada ibunya, tetapi mungkin daripada ayahnya. Bagaimana rupa ayah Nudra ya? Itulah yang sering menjadi tanda tanya dalam dirinya.
“Maksud Meer, Meer nak Nudra pakai tudung?” soal Nudra dengan dahi berkerut.Ruslina membuntangkan mata kepada abangnya.
Syameer mengangguk sambil tersenyum, gembira kerana Nudra memahami maksud kiasannya. Sudah lama Syameer mahu melihat Nudra mengenakan tudung iaitu sejak mula-mula dia datang lagi tiga tahun yang lalu. Sungguhpun mereka ada pertalian darah, namun mereka tetap bukan muhrim dan masih sah untuk berkahwin. Baginya, biarlah kecantikan yang dimiliki gadis itu terpelihara dengan cara yang sepatutnya.
“Kecantikan pemberian Ilahi itu bukan untuk dijadikan tontonan umum. Ia adalah milik ALLAH dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh melihatnya. Meer, Mubin, Ezzad, Pak Ngah dan Pak Long semuanya tak boleh tengok. Lina pun sama, aurat tu kena jaga. Lagipun, ia hanyalah pinjaman saja. ALLAH suruh kita jaga dengan baik.” Syameer terus berkhutbah.
Nudra tunduk. Dia akui apa yang diucapkan Syameer itu betul. Tok Ayah pun pernah berpesan begitu sewaktu meninggalkannya di sini dulu. Sungguhpun dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk dengan kecantikan yang ada padanya tetapi kadang-kadang timbul juga perasaan bangga apabila dipuji. Rambut lurus hitam berkilat itu sentiasa menjadi tarikan dan perhatian orang. Kata Ruslina, dia boleh jadi model iklan syampu. Ah, itu hanya gurauan Ruslina! Takkanlah dia nak jadi model pulak… Nanti tak cukup mulut Nenek Sophia berleter dan tentulah juga akan mengecewakan Tok Ayah, seorang guru agama yang terkenal itu.
“Tapi Tok Ayah kata tak baik buat sesuatu tuntutan agama tu kerana orang lain, bukan kerana ALLAH SWT,” balas Nudra masih ragu-ragu. Tetapi dia teringat pesanan Tok Ayah suatu ketika dulu supaya dia menjaga auratnya apabila sudah baligh nanti. Mungkin peristiwa itu berlaku untuk menyedarkannya agar menurut pesanan Tok Ayah dan menunaikan tuntutan agama.
“Tak apalah, mula-mula sebab orang. Tapi lama-lama mungkin dengan sendiri hati kita jadi ikhlas,” nasihat Syameer lagi.
Sekuntum senyuman terukir di bibir Nudra. “Nenek tak patut buat Nudra macam ni! Nenek sengaja nak sakitkan hati Nudra. Nenek memang bencikan Nudra sejak dulu lagi. Bagi Nenek, Nudra ni memang tak guna.” Nudra melepaskan rasa yang telah lama terbuku di dada. Dengan Syameer dan Ruslina dia boleh luahkan apa saja perasaannya. Di antara sepupu-sepupunya, hanya dua beradik itu saja yang dia rapat serta percaya walaupun baru dua tahun dia kenali. Yang lain-lain semuanya menyakitkan hati saja.
Syameer menarik nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyakinkan Nudra yang dia juga sama seperti cucu-cucu nenek yang lain kerana dia sendiri nampak perbezaan layanan yang diberikan nenek kepada Nudra. Entah apalah yang nenek marah sangat dengan Nudra sehinggakan dia begitu bencikan gadis kecil itu.

PERISTIWA itu sudah berlalu enam tahun yang lalu namun masih segar dalam ingatan. Sejak itu dia merasakan semua penghuni rumah itu tidak menyayanginya. Mereka semua tidak ada belas kasihan. Ah, orang kaya memang sombong dan berlagak! Sumpah Nudra sendiri.
Wajah yang putih bersih itu diusap dengan kedua belah tangan. Setitis air jernih jatuh ke pipi. Kalaulah Mak Tok masih ada, tentulah dia tidak ‘tercampak’ ke rumah besar ini. Kalaulah dia bukan cucu Wan Anum Sophia… Astaghfirullahal’azim. Mengapa begitu sekali fikiranmu, Nudra? Mengapa kau kesali takdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa? Nudra mengusap mukanya sekali lagi, kali ini dengan penuh rasa insaf.
Kadang-kadang dia tidak mampu menghalang rasa kesal dilahirkan sebagai cucu Wan Anum Sophia meracun hatinya. Apa tidaknya; sejak dia menghuni rumah ini kebebasan tiada langsung buat dirinya, baik percakapan mahupun perbuatan. Di mata Nenek Sophia dia adalah punca segala masalah. Ada-ada saja salah yang dicarinya. Cakap salah, tak cakap pun salah. Duduk diam dikatakan malas, kalau buat kerja ada saja yang yang tidak kena. Pendek kata segalanya langsung tidak elok di mata nenek. Nudra jadi bosan sebosan-bosannya.
Dia benar-benar kesal dengan tindakan nenek mengambil poskad kiriman Iskandar dari biliknya tempoh hari. Dia tidak tahu apa silapnya sehingga nenek begitu marah sekali. Takkanlah hanya dengan kata rindu yang terungkap pada poskad itu menjadi satu kesalahan besar. Kalau ya pun, mengapa dia pula yang dimarahi? Bukan dia yang menulisnya. Dia pun tidak tahu kenapa Iskandar menulis begitu, mungkin sekadar ucapan biasa yang tidak bermaksud apa-apa. Yalah, mereka kan sudah lama tidak bertemu. Tentulah rindu... rindu seorang teman buat seorang teman. Salah ke? Buat apa nenek nak kecoh-koceh kerana Iskandar bukan kekasihnya. Ah, nenek memang sengaja nak cari salah aku!
Menjadi sebahagian daripada keluarga Wan Anum Sophia sepatutnya dia hidup bahagia. Nenek Sophia dari keturunan orang berada. Rangkaian kedai emas yang dimiliki sejak turun temurun sudah terkenal serata negeri Kelantan dan kini berkembang ke negeri Johor pula. Kata orang, kalau jadi anak cucu Wan Anum Sophia tak perlu hendak bersusah payah mencari kerja. Duduk goyang kaki pun masih boleh hidup senang, petik jari semua dapat. Mungkin ya bagi cucu-cucu nenek yang lain tetapi tidak untuknya. Si Nabila tu, apa saja yang dia nak pasti nenek turuti. Mubin pulak, muda-muda lagi nenek sudah serahkan kedai emas di Batu Pahat untuknya. Erisha pula adalah cucu kebanggan nenek kerana menjadi menantu kerabat di raja.
Sewaktu tinggal bersama Tok Ayah dan Mak Tok dulu, dia selalu fikir bahawa orang kaya hidupnya tentu bahagia. Maklumlah waktu itu hidup bersama Tok Ayah dan Mak Tok cukup sederhana, makan pakai ala kadar sahaja. Hendak merasa pakai baju baru, tunggulah hari raya. Tidak seperti di rumah Nenek Sophia, semuanya mewah-mewah belaka. Nenek akan memastikan anak cucunya makan makanan yang bagus-bagus dan enak-enak saja. Tidak pernah sekali pun Nudra tengok mereka makan dua atau tiga jenis lauk-pauk saja. Kebiasaannya akan penuh satu meja dengan pelbagai hidangan yang enak-enak. Begitu juga dengan pakaian, nenek akan memastikan anak cucunya tampil dengan anggun dan terutama apabila di khalayak ramai. Lantaran itu semuanya berjenama dan jika hendak menempah pakaian nenek akan pastikan mereka akan ke butik yang tertentu sahaja.
Kehidupan di rumah besar ini benar-benar buat dia merasa rimas dan terkongkong. Dia tidak bebas buat apa saja dan keluar ke mana saja yang dia suka. Semuanya kena ikut peraturan dan arahan nenek. Malangnya kehendak dan kesukaannya sering saja tidak selari dengan kehendak dan kesukaan nenek. Mungkin kerana sejak kecil lagi dia sudah biasa hidup sederhana.
Walaupun hidup dikelilingi kemewahan, namun sejak tinggal bersama nenek lapan tahun yang lalu, kebahagiaan seolah-olah tiada langsung dalam kamus hidupnya. Sejak mula dia datang lagi, nenek sudah menunjukkan kebenciannya. Nenek tidak pernah berwajah manis atau memandangnya mesra tetapi penuh curiga. Ucapannya sering saja menghiris perasaan dan melukakan hati. Entah kenapa nenek benci sangat dengan dirinya, dia sendiri masih tertanya-tanya. Kalau ikutkan rasa hati dia tidak ingin tinggal di rumah ini tetapi apakan daya sejak pemergian Mak Tok ke rahmatullah, Tok Ayah menghantarnya ke sini kerana tidak ada siapa yang boleh menjaganya.
Sekarang dia sedar, wang ringgit dan kemewahan bukanlah lambang kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan itu datang apabila hati dan jiwa tenang. Di rumah itu dia tidak ernah merasa tenang. Sungguhpun penghuninya ramai namun masing-masing hidup penuh hasad dengki sesama sendiri sedangkan darah yang mengalir dalam tubuh badan mereka adalah sama warnanya. Nampak saja pada zahirnya sesama mereka akrab dan mesra, tetapi di dalam hati hanya ALLAH saja yang tahu. Nudra sudah dapat membaaca sikap masing-masing sejak tinggal di situ.