Selasa, 20 November 2007

Bhg 43

SELEPAS menunaikan solat Subuh berjemaah dengan kedua orang tuanya di pagi Jumaat itu, Iskandar terus saja bersiap-siap untuk ke tempat kerja.
“Petang ni Is tak balik, umi. Is nak terus ke...”
“Nak ke mana? Muar lagi?” pintas Dr Mardhiah dengan mata membulat memandang ke wajah anaknya yang sedang mengenakan stokin di sofa. Di wajahnya terpancar rasa tidak puas hati.
Prof. Khalidi yang baru saja menuruni anak tangga memerhati anak dan ibu itu. Dia tersenyum sendiri. Tentu akan berlaku perang lagi di antara kedua beranak itu, getus hatinya. Kadang-kadang dia kasihan tengok Iskandar yang terpaksa menurut segala kehendak uminya demi untuk menjaga hatinya. Tetapi kemarahan Dr Mardhiah seperti tidak pernah surut. Rajuknya begitu panjang. Patutlah Rasulullah menyuruh mentaati ibu sampai tiga kali kerana wanita itu hatinya lembut, mudah terusik dan sukar untuk diubati jika hatinya dilukai.
Sejak Iskandar berkahwin dengan Nudra, ada saja perlakuan Iskandar yang tidak kena di mata Dr Mardhiah. Puas dia menasihati agar isterinya tidak terlalu menurut perasaan kerana bimbang terlepas cakap yang bukan-bukan. Maklumlah orang tengah marah, macam-macam yang boleh terkeluar dari mulutnya. Bukankah kata-kata ibu itu adalah doa buat anak? Kalau yang baik-baik tidak mengapalah,bimbang kalau ada yang tidak baik yang terlepas.
Dia pun hairan kenapa tiba-tiba saja isterinya berubah fikiran,sedangkan sewaktu Iskandar meminta izin buat kali kedua untuk mengahwini Nudra, Dr Mardhiah biasa-biasa saja. Tidak pula dia menghalang. Tetapi setelah Iskandar menikah,lain pula jadinya. Perangai isterinya itu pun semakin berubah. Kalau dulu dia ibu yang lembut dan penyayang, kini dia mudah benar naik angin terutamanya bila ada kaitan dengan menantunya. Setengah hari pun dia masih boleh berleter tak berhenti-henti.
Iskandar sekadar mengangguk, tidak mahu mendengar leteran ibunya pagi-pagi begitu. Nanti rosak mood untuk bekerja hari tu, fikirnya. Dibiarkan saja uminya melepaskan perasaan.
“Sampai bila Is nak macam ni? Hari minggu je hilang... hari minggu je hilang... Sesekali umi nak mintak tolong pun tak boleh,” rungut Dr Mardhiah, mula melancarkan serangannya. Iskandar satu-satu anaknya yang tinggal bersamanya,maka ketiadaan Iskandar di setiap hujung minggu membuatkan dia merasa sunyi. Biasanya ada saja aktivi mereka bersama, baik di rumah mahupun di luar. Ke mana saja dia pergi, Iskandar akan menemani.
“Umi, Is…” Iskandar tidak tahu bagaimana lagi hendak menerangkan kepada ibunya agar umi memahami situasinya yang tersepit itu.
“Umi tahu, Is nak jumpa isteri Is tu. Tapi takkanlah setiap minggu? Sesekali umi nak jugak ajak Is shopping ke, hantar umi ke saloon ke… Atau tolong-tolong abah bersihkan halaman tu. Dah le hari kerja pun payah nak jumpa, tiap-tiap hari balik lambat,” leter Dr Mardhiah lagi.
Iskandar menelan keluhan. “Minggu depan Is janji Is ada kat rumah. Tapi minggu ni, Is kena pergi jugak. Is dah janji dengan Nudra.” Hari Ahad nanti hari jadi Nudra, dia dah belikan hadiah untuk isterinya itu. Iskandar sangat berharap agar ibunya tidak terlalu berkeras.
“Lagi-lagi Nudra! Lagi Nudra!” Hati Dr Mardhiah semakin radang apabila mengetahui kenapa Iskandar beriya-iya sangat hendak ke sana.
Sekali lagi Iskandar menelan keluhan. Rungutan ibunya bagaikan selumbar yang menyucuk di hati. Ngilu. Wajah bersih Nudra silih berganti dengan wajah umi yang sedang meradang itu.
“Dah Dhia yang tak bagi Is bawak Nudra ke KL ni, kenalah dia berulang-alik setiap minggu. Kalau Nudra tinggal dengan kita kan senang,” Prof, Khalidi yang sudah menjangka ‘perang’ isterinya itu cuba membela Iskandar. Dia merasa Dr Mardhiah sudah keterlaluan mendera perasaan anak menantunya itu. Dia faham dengan dilema Iskandar; ditelan mati emak, diluah mati isteri…
“Oh, jangan mimpilah Dhia nak benarkan budak tu tinggal kat sini!” balas Dr Mardhiah sambil melirik penuh makna kepada anaknya.
Iskandar mengeluh lagi. Tapi dalam hati saja. “Kenapa umi benarkan jugak Is kahwin dengan Nudra kalau umi tak suka Is bersama dia?” Terpacul pertanyaan yang sudah lama tersimpan di hati Iskandar.
“Umi hanya benarkan, umi tak kata umi akan terima dia dan umi tak kata juga umi akan benarkan Is jumpa dia,” bersahaja Dr Mardhiah membalas. Sakit hatinya kepada keluarga Wan Anum Sophia yang penipu itu masih belum terubat.
“Dah kahwin, mestilah nak jumpa. Kalau tak, baik tak payah kahwin. Dhia, rasionallah sikit… Berdosa kita halang suami isteri bertemu,” celah Prof. Khalidi dengan suara meninggi. Dia mula merasa panas hati dengan karenah isterinya.
“Umi, Is hanya mintak umi izinkan Is jumpa Nudra seminggu sekali je. Takkan itu pun tak boleh? Apa saja syarat umi, akan Is turuti. Is tak akan susahkan sesiapa pun sebab Is tahu apa yang Is dah lakukan dulu betul,” pinta Iskandar dengan suara perlahan. Dia tidak tahu sampai bila umi akan memusuhi Nudra. Setiap detik dia berdoa agar ALLAH bukakan hati umi untuk menerima Nudra sebagai menantunya. Di ketika itu dia dan Nudra akan hidup seperti pasangan suami isteri yang lain.
“Ooo…Is rasa betul? Sakitkan hati umi tu Is kata betul?” Keras suara Dr Mardhiah menyindir Iskandar.
Iskandar menggeleng-geleng. Bertekak dengan umi memang tidak akan buat dia menang. Menambah luka di hati adalah. Tapi apa nak buat, umi tetap umi… Sayang dan hormatnya kepada umi tidak sedikit pun luak.
“Iskandar nak turut syarat Dhia tu pun dah cukup baik. Kalau Is berkeras jugak bawak Nudra ke KL atau Is terus pergi dan langsung tak balik, siapa yang susah? Siapa yang rugi? Ikutkanlah kepala batu Dhia tu!” Prof. Khalidi bersuara lagi. Kali ini suaranya lebih keras dan tegas.
“Buatlah kalau berani. Umi tak akan maafkan sampai bila-bila. Umi tak halang Is kahwin pun dah satu rahmat. Jangan nak lebih-lebih. Is tak sedar, sakitkan hati ibu tu satu dosa. Umi kecil hati, Is tahu?”
“Sudahlah, Dhia… Tak baik diungkit-ungkit perkara lepas. Yang Dhia marah ni pun anak Dhia jugak. Yang Dhia tak suka tu isteri Is jugak, menantu Dhia. Kalau ditakdir Is jadi ayah, takkan anak dia pun Dhia nak benci? Sudah-sudahlah, Dhia... Iskandar ni nak berjalan jauh petang nanti. Dhia membebel bukan-bukan, kalau apa-apa jadi nanti siapa yang menyesal?” Prof. Khalidi berkhutbah panjang walaupun dia tahu nasihatnya itu akan dibiarkan saja berlalu bersama angin lalu.
“Dia bukan menantu Dhia! Dan Dhia tak akan benarkan dia mengandungkan cucu Dhia.” Dr Mardhiah terus mencapai beg tangannya lalu mengatur langkah ke pintu dengan pantas.
Iskandar terkedu. Kata-kata uminya benar-benar mengguris hati. Tetapi cepat-cepat dia mengejar uminya dan menahan wanita itu di muka pintu. Tangan Dr Mardhiah diraih, kemudian dikucupnya penuh kasih meskipun hati sendiri tercalar pedih.
Iskandar yang masih terkilan dengan ucapan uminya tetapi digagahkan juga untuk memujuk wanita itu. “Umi, Is sayangkan umi. Jangan buat Is terus tersepit macam ni. Berilah Is peluang untuk hidup bahagia bersama pilihan Is. Is tahu Is dah lukakan hati umi sebab kahwin dengan Nudra. Is mintak maaf dan Is tak akan berhenti minta maaf. Kalau umi tak bagi Is ke Muar minggu ni pun, tak apa. Is akan turut cakap umi. Tapi Is merayu… tolonglah jangan marah-marah atau benci Is dan Nudra lagi. Janganlah sampai umi kata umi tak benarkan Nudra menjadi ibu kepada anak-anak Is. Kami kahwin untuk memanjangkan zuriat, bukan untuk berseronok saja. Umi, fahamilah perasaan Is…” Suara Iskandar kedengaran sebak. Dia sanggup lakukan apa saja asalkan umi dapat maafkan dia. Itulah satu-satunya harapan dia ketika ini. Sekali lagi tangan ibunya dikucup lembut. Dan setitis air mata lelaki jatuh lagi di pagi Jumaat itu…

KOTAK hadiah yang berbalut dengan kertas putih berbunga hati berwarna merah itu direnungnya lama. Wajah tenang Nudra yang mulus jelas terbayang di ruang mata. Sampai bila dia perlu ‘berperang’ dengan umi kerana Nudra? Sampai bila dia akan terus berjauhan dengan Nudra begitu? Sampai bila Nudra sanggup lalui semua ini? Adakah Nudra akan terus setia menanti, kalau saban minggu ada saja alasan yang harus dia berikan untuk tidak pulang menemuinya? Ya TUHAN, satukanlah hati kami untuk selama-lamanya…
“Abang mintak maaf sebab tak dapat balik. Ada hal yang umi mintak abang tolong hujung minggu ni.” Iskandar memulakan bicara setelah beberapa ketika dibiarkan Nudra menunggu di talian.
“Oh…” Nudra sedikit kecewa tetapi tidak dizahirkan. Dia sudah pun masakkan lauk kegemaran Iskandar petang tadi. Tetapi apa nak buat, itulah harga yang harus dia bayar bila menjadi menantu yang dibenci mertua. Dia tidak salahkan Iskandar kerana dia wajib taat kepada ibunya dan dia tidak berhak menghalangnya. Dia masih ingat pesan Tok Ayah; anak lelaki walaupun sudah punya keluarga sendiri tetapi ketaatan terhadap ayah dan ibu masih tidak berubah, dan masih jadi keutamaan. Tidak seperti orang perempuan yang berkahwin, ketaatannya sudah beralih kepada suami.
Iskandar yang mendengar suara isterinya itu tahu, Nudra pastinya kecewa. Dia sudah berjanji sejak seminggu yang lalu akan balik ke kampung untuk meraikan harijadi Nudra. Dan dia sudah membelikan hadiah istimewa untuk isterinya. Tapi apa nak buat, dia terpaksa akur dengan kehendak umi kerana itulah janjinya pada diri sendiri.
“Abang tahu Nudra kecewa. Abang pun kecewa jugak tak dapat nak jumpa Nudra. Abang dah rindu sangat nak tengok muka Nudra, nak peluk Nudra. Nudra marah ke?”
“Err… taklah. Takkanlah Nudra nak marah abang pulak?” balas Nudra, cuba menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu memberatkan fikiran Iskandar. Alah, Nudra… Biarlah sesekali Iskandar berehat bersama uminya di hujung minggu. Bukan selalu pun… Pujuk hatinya lagi.
Walaupun Nudra menidakkan, Iskandar yakin di hati isterinya bukan begitu. Ah, Nudra! Kau selalu mengalah walaupun hatimu terluka. “Tapi abang dah janji dengan Nudra, abang nak balik nak celebrate birthday Nudra. Abang Hadiah Nudra dah pun abang beli.”
“Oh, ya ke? Terima kasih. Tak apalah, bang. Abang simpan hadiah tu dan bawak minggu depan. Hadiah tu masih boleh simpan, kan? Kalau tak boleh pun, nak buat macam mana… mungkin bukan rezeki Nudralah tu.” Nudra sedikit teruja dengan kata-kata Iskandar tadi. Suaranya ceria. Apalah hadiah yang Iskandar belikan untuknya, ya? Baju? Kasut? Macam-macam yang Nudra cuba bayangkan.
Iskandar ketawa mendengar ucapan Nudra. Terhibur sedikit hatinya mendengar suara lunak itu di hujung talian. Hatinya yang gundah kembali senang. “Kalau rosak pun nanti abang belikan baru. Nudra nak tahu tak apa yang abang belikan tu?” Iskandar buat-buat bertanya. Tak sabar rasanya hendak memberitahu Nudra apa yang hadiahnya itu. Kalau hendak tunggu Nudra bertanya, sampai kucing bertanduklah jawabnya…
“Apa dia?” Wajah Nudra berseri-seri. Dia juga sudah tidak sabar hendak mengetahuinya. Hendak bertanya, terasa macam beriya-iya benar. Mujurlah Iskandar faham apa yang tersirat di hatinya.
“Hmm… nak tahu ke? Nanti tak surprise lagi,” balas Iskandar sambil tersenyum bahagia.
“Ala…tadi abang jugak yang tanya Nudra nak tahu ke tidak,” rengek Nudra dengan suara manja “Tapi tak apalah, Nudra pun rasa lebih suka kalau abang buat surprise. Nudra tunggu sampai abang balik minggu depan,ya,” sambung Nudra lagi
“Kalau macam tu, okeylah…” Bahagianya hati mendapat isteri yang memahami seperti Nudra. Tak sangka, sebelum kahwin bukan main tegas lagi. Kalau diusik lebih-lebih sikit, pasti Nudra akan berkhutbah panjang. Kadang-kadang bila datang nakalnya kerana rindu sangat hendak mendengar suara yang merdu itu, dia sengaja mengusik. Ketika itu barulah dia dapat mendengar Nudra berceramah panjang. Barulahdia boleh mendengar suara Nudra lebih lama. Jahatnya dia ketika itu! Nampaknya pilihannya memang tepat. Bukankah isteri yang baik itu adalah isteri yang menyenangkan hati suami?
“Abang dah makan ke?” tanya Nudra yang teringat pada asam pedas ikan pari yang belum berusik di dapur. Kalau Iskandar balik, tentu dia makan dengan berselera sekali. Perut Nudra pun sudah menjerit kelaparan. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam, patutlah dia lapar sangat.
“Belum. Abang belum balik pun lagi. Abang masih kat office ni. Sekejap lagi nak baliklah ni. Nudra dah makan? Nudra masak apa untuk makan malam ni?” Perut Iskandar turut berkeroncong bila bercerita pasal makanan. Barulah dia teringat yang dia belum makan sejak tengah hari tadi. Selepas solat Jumaat tadi dia terburu-buru balik ke pejabat kerana ada mesyuarat dengan jurutera dari Jerman.
“Masakan kegemaran abanglah. Nudra tahu abang suka makan ikan pari masak asam pedas. Nudra pun belum makan lagi sebab Nudra tunggu abang. Tapi tak apalah, sekejap lagi Nudra makan.” jawab Nudra cuba melindungi rasa sayu dan terkilannya.
Perut Iskandar terasa semakin lapar sebaik saja mendengar asam pedas ikan pari tu. Air tangan Nudra memang kena dengan seleranya. Apa saja yang Nudra masak semuanya sedap hatta air kopi yang dibancuh isterinya itu pun sangat lazat. “Sedapnya… Rugilah abang. Hmm… lapar abang dibuatnya dengar asam pedas Nudra tu. Bau dia sampai ke sinilah. Nanti Nudra tolong makan untuk abang tau. Kalau tak lalu makan sorang-sorang, bayangkan abang ada kat depan temankan Nudra makan.”
Tawa Nudra memecah di hujung talian. Kedengaran merdu sekali di telinga Iskandar. Rindunya bukan kepalang… Kalau ada sayap mahu saja dia terbang.
“Sekarang jugaklah abang balik ke Muar,” gurau Iskandar.
“Eh, jangan! Kan abang ada janji dengan umi? Jangan macam tu, nanti kecik lagi hati umi tu. Abangkan dah janji dengan Nudra tak akan buat umi kecik hati lagi? Lain kali kalau abang balik Nudra masak untuk abang lagi. Abang tu cepatlah balik, mandi dan makan. Nanti perut tu masuk angin.” Cepat-cepat Nudra melarang. Dia tidak mahu Iskandar mungkiri janji dengan uminya lagi.
“Baiklah sayang… Okeylah, abang dah nak balik ni. Jaga diri tau!” Lembut saja bisikan Iskandar menyejukkan hati Nudra.
“Okey, abang pun sama, jaga diri.”
“Abang rindu…” ucap Iskandar. Tiba-tiba saja perasaannya diburu sayu. Kenapa dia dan Nudra tidak boleh bersama seperti orang lain? Inikah balasannya kerana melawan cakap umi? Inikah balasannya kerana derhaka pada ibu yang melahirkannya? Ya ALLAH,ampunilah dosaku ini. Batin Iskandar terus menjerit pilu.
“Nudra pun rindu kat abang,” balas Nudra perlahan memutus lamunan Iskandar.
“Okey, sayang…Nanti hari Ahad, birthday Nudra abang telefon lagi. Tunggu tau!” Pesan Iskandar bersungguh-sungguh.
“Baiklah. Nudra akan tunggu.”
“Kirim salam kat Tok Ayah dan Hannah.”
“InsyaALLAH. Untuk Nudra?” soal Nudra manja.
Iskandar tergelak. “Untuk Nudra… peluk cium abang buat isteri abang yang manja ni.”
Ucapan itu membuatkan Nudra tersenyum bahagia. Sekurang-kurangnya kata-kata Iskandar mampu melunakkan hatinya. Dia harus mengerti…
“Untuk abang?” pinta Iskandar pula, masih enggan memutuskan talian.
Kali ini giliran Nudra pula yang tergelak. “Untuk abang, salam sayang dari Nudra.”
“Tak nak peluk, tak nak cium?” Iskandar terus bercanda. Dia dapat bayangkan wajah Nudra ketika itu, tentu sudah merah padam menahan malu.
“Err…jugak!” Nudra termalu sendiri. Walaupun sudah lebih tiga bulan mereka kahwin tetapi dia masih tidak mampu mengelak dari rasa malu dengan suaminya itu.
“Tak nak sebut?” duga Iskandar lagi dalam tawa mesranya.
“Yalah, peluk cium untuk abang jugak.”
Tergelak Iskandar apabila Nudra mengucapkannya dengan teragak-agak. “Okey, Nudra… Terima kasih. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Sehingga talian terputus senyuman Nudra masih tak lekang dari bibir.