Rabu, 31 Oktober 2007

Bhg 37

Untuk makluman semua, tagboard kat sebelah tu ada masalah sikit. Saya tak tau apa masalah dia, tapi yang pasti tagboard tu suka makan mesej orang. Yang peliknya, kadang-kadang mesej tu muncul tapi bila buka sekali lagi hilang... Buat sesiap yang mesejnya tak ada kat situ saya mohon maaf. Bukan saya yang delete, tapi tagboard oggix tu yang buat hal.
Dan kalau ada apa-apa, jangan segan tinggalkan komen anda di ruangan comments di bawah atau di MyGuestbook kat sebelah bawah tangboard tu.
Okey, itu saja pesanan penaja... hehehehe... Selamat membaca.
******
PAGI yang ceria bertukar menjadi suram. Rumah berkembar dua tingkat itu bagaikan dilanda ribut taufan. Dr Mardhiah yang tidak pernah meninggikan suara dengan anak-anak itu tiba-tiba menyinga. Dia benar-benar meradang dengan Iskandar. Baginya, Iskandar sudah melampau, sanggup dia lakukan apa saja demi anak tidak sah itu.
“Umi tak akan benarkan. Umi tak akan terima budak tu sebagai menantu umi. Tidak sekali-kali, Is!” Suara Dr Mardhiah kembali kendur tetapi masih dalam nada marah.
“Umi… Is perlu izin dan restu umi,” rayu Iskandar. Umi dan abahnya dipandang silih berganti.
“Bila-bila masa umi boleh restu Is nak kahwin. Umi tak kisah dengan siapa pun Is nak kahwin tapi bukan dengan budak tu,” tegas Dr Munirah tanpa memandang sedikit pun ke wajah anaknya.
Prof. Khalidi yang duduk di sisi Iskandar hanya mampu melepaskan keluhan berat. Sejak tahu siapa Nudra sebenarnya, isterinya itu bukan saja membenci bekas tunang Iskandar tu, menyebut nama Nudra pun dia tidak mahu. Dia pun tidak faham mengapa Dr Mardhiah langsung tidak boleh terima hakikat itu dan memaafkan keluarga Nudra. Baginya, tidak ada apa yang perlu diungkitkan lagi kalau itu sudah suratan takdir buat gadis itu. Bukan salah Nudra pun…
“Umi, Is mintak maaf. Is akan teruskan juga niat Is. Is tak sampai hati tengok Nudra macam tu. Dalam keadaan dia tertekan begitu kita sepatutnya membantu dia, bukan menambah beban pada dia.” Dengan hati-hati Iskandar menyuarakan hasrat hati. Dengan penuh harapan dia menatap wajah ibunya agar ibunya bersetuju.
Bulat mata Dr Mardhiah memandang anaknya yang duduk di sisi kirinya. Sungguh dia tidak sangka Iskandar akan berkata begitu. Dia tidak menduga Iskandar tergamak melawan kata-kata mereka. “Iskandar!” Suara Dr Mardhiah semakin kuat menjerit nama anaknya.
Beberapa minit suasana di ruang tamu rumah itu jadi hening. Dr Mardhiah yang berblaus hijau muda kelihatan memicit-micit dahinya dengan tangan kiri. Prof. Khalidi pula tidak berkutik. Iskandar yang menyedari ketegangan itu membuang pandang jauh ke luar cermin sorong yang ditabiri langsir kain sheer yang nipis.
“Is sungguh-sungguh ke dengan apa yang Is cakap tadi?” soal Prof. Khalidi akhirnya. Dalam rasa marah dan kecewa, terselit juga rasa kagum pada anak terunanya itu kerana tegar dengan pendiriannya.
Dengan penuh yakin Iskandar mengangguk. Dia tidak mampu berselindung lagi. Biarlah umi dan abah hendak marah pun ketika ini dia tidak peduli lagi. Dia sudah melakukan yang terbaik buat semua.
Prof. Khalidi diam, tidak menyangka Iskandar sudah nekad dengan keputusannya. Cinta Iskandar begitu tegar terhadap Nudra. Dia dapat lihat kesungguhan hati Iskandar dari sinar yang terpancar dari mata anaknya itu.
Dr Mardhiah menjeling tajam kedua beranak itu. Dia tidak setuju dengan cara suaminya. Dia tidak suka kalau Prof. Khalidi masih hendak berkompromi dengan kehendak Iskandar. Bagi wanita separuh umur itu, keputusannya sudah muktamad: dia tidak akan terima Nudra sebagai menantu. Walau apa pun yang akan terjadi, dia akan tetap dengan keputusannya.
“Kalau dah itu yang Is putuskan, kita tak boleh nak menahannya. Kalau kita halang pun, bimbang nanti berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” ujar Prof. Khalidi, secara tidak langsung memberi keizinan kepada anaknya.
“Abang!” Sekali lagi mata Dr Mardhiah membuntang. Sungguh dia tidak menduga suaminya masih hendak menurut kehendak Iskandar. Sampai hati Prof. Khalidi tidak mahu berpihak kepadanya. Entah apa yang merasuk fikiran dua beranak itu pun, dia pun tak tahu. Entah apalah istimewanya Si Nudra itu sehingga Iskandar tergila-gilakannya begitu sekali dan sampai tidak boleh melupakan gadis itu. Fikirannya mula membuat andaian jahat.
“Kalau ALLAH dah tetapkan itu jodoh dia, nak buat macam mana? Walau macam mana kita halang sekali pun, dia akan bertemu juga. Dhia, jangan sampai ego menguasai hati kita hingga kita tak nampak satu pun kebaikan pada diri Nudra. ALLAH tak jadikan seseorang tu hanya keburukan saja yang ada pada dirinya. Semua manusia ada baik, ada buruknya,” nasihat Prof. Khalidi kepada isterinya. Entalah, sejak akhir-akhir ini Dr Mardhiah asyik meradang saja bila menyentuh hal Iskandar dan Nudra.
“Is ni dah termakan apa-apa ke sampai tak boleh nak lupa budak tu?” Dr Mardhiah membuat tohmahan.
“Astahfirullahal’azim, Dhia…” Prof. Khalidi menjeling isterinya sebagai isyarat dia tidak suka isterinya membuat tuduhan melulu.
Iskandar sekadar melepaskan keluhan, kesal dengan kata-kata ibunya itu. Dalam keadaan umi tidak dapat mengawal perasaannya dan abah pula sudah mula membuka mulut, Iskandar mula jadi tidak enak berada di antara keduanya. Rasa bersalahnya mula membuatkan dia tidak keruan. Beberapa kali dia meneguk liur.
“Manalah tahu, kalau dah selalu sangat makan minum kat sana...” ujar Dr Mardhiah lagi sambil menjeling ke arah Iskandar. Iskandar pula buat-buat tidak nampak saja. Hatinya cukup terguris dengan tuduhan itu.
“Kalau tak tahu betul ke salah, jangan tuduh sebarangan. Silap-silap cakap, jadi fitnah. Awak tak kenal Tok Ayah. Dia tu guru agama yang banyak ilmu. Saya pernah jadi anak murid dia. Tak mungkin dia terlibat dengan perkara khurafat macam ni,” balas Prof. Khalidi pula.
“Memanglah saya tak kenal dia dan saya tak tahu pun perangai dia macam mana. Sebab tu saya kena ada syak wasangka. Manusia zaman sekarang ni bukan boleh kira. Tok guru ke, tok bomoh ke… dah banyak yang kaki tipu.” Dr Mardhiah sudah jauh mengikut kata hati. Geram benar bila suaminya mula menyebelahi orang tua itu.
“Jaga mulut awak sikit bila bercakap. Orang tengah marah, macam-macam boleh kata. Jangan sampai awak menyesal dengan mulut sendiri.” Prof. Khalidi mula meninggi. Dia sudah tidak sabar lagi melayan radang isterinya walaupun hatinya mula merasa tidak enak dengan kata-kata yang keluar dari mulut Dr Mardhiah.
Suasana jadi sepi. Iskandar semakin serba-salah. Tak pernah dia tengok umi dan abah bertengkar begitu, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Lantaran itu dia merasa cukup bersalah. Direnungnya wajah umi yang muram itu. Dia tahu umi tidak berniat untuk menyakiti hatinya dan segala apa yang umi lakukan adalah demi kebaikannya. Tapi dia tidak boleh terima keputusan umi untuk menghalang dia dan Nudra berkahwin.
“Teruskan aje niat baik Is tu. Abah tak ada halangan.” Suara Prof. Khalidi membuatkan Dr Mardhiah dan Iskandar terkesima.
Iskandar merenung ke wajah ibunya dan dapat mengesan perubahan di wajah wanita itu. Iskandar tahu ibunya sangat terkejut. Dia tahu umi terluka dan kecewa dengan keputusan mendadak abah. Umi, maafkan Is... Is tak berniat nak lukakan hati umi sampai macam ni sekali. Percayalah, dalam dunia ini umi adalah wanita pertama di hati Is. Kasih umi tidak pernah luput dalam jiwa Is.
“Umi akan restu jika Is dapat buktikan budak tu bukan anak luar nikah, tapi selagi tak ada bukti, jangan harap umi nak benarkan,” ucap Dr Mardhiah, terus bangun dan meluru ke tingkat atas.
Tanpa sedar setitis air jernih jatuh di sudut mata Iskandar. Dia kebingungan, antara rasa gembira, terharu dan sayu, tidak tahu yang mana satu sedang mengocak hatinya ketika itu. Abah sudah memberikan kata putusnya, tinggal lagi umi yang masih berkeras dengan prinsipnya.
“Is, tabahkan hati. Banyakkan munajat kepada ALLAH. Mohon dipermudahkan…” Prof. Khalidi memeluk bahu anaknya erat.

Selasa, 30 Oktober 2007

Bhg 36

TERCUNGAP-CUNGAP Ruslina mencuri nafas selepas berjoging dua pusingan mengelilingi kolam bersama abangnya. Syameer yang sampai kemudian mendepang-depangkan tangannya sambil menarik dan menghembuskan nafas.
“Huh, baru dua pusingan dah pancit!” Ejek Syameer kepada adiknya.
“Alah, dah lama tak joging. Pancit la...” balas Ruslina tidak mahu kalah. Selepas membuat beberapa pergerakan badan dia terus duduk di atas rumput.
“Kalau Kak Nudra ada kan best?” ujar Syameer tiba-tiba. Teringat sewaktu Nudra masih tinggal di situ, selalu juga mereka bertiga joging bersama.
Ruslina mencebik. “Best apa?”
“Best la... Lina tak ingat ke masa-masa Kak Nudra kat sini? Kita kan selalu duduk-duduk tepi kolam ni hiburkan hati Kak Nudra.” Syameer turut melabuhkan punggungnya di sisi Ruslina. Pandangannya dilemparkan ke tengah. Sesekali air kolam itu berkocak apabila ada ikan yang berenang ke permukaannya.
“Tak ada apa yang nak diingatkan,” jawab Ruslina acuh tak acuh sambil berdiri lalu melangkah ke tepi kolam.
Syameer mengangkat bahu, tidak mengerti dengan sikap adiknya itu. “Lina tak nak jumpa dia? Hari tu Kak Nudra kata dia teringin sangat nak jumpa Lina. Dia dah tak sabar nak tengok wajah baru adik abang yang dah slim ni,” Syameer cuba menguja adiknya untuk bertemu Nudra.
Ruslina yang sedang memberi makan ikan di kolam buat-buat tidak dengar saja dengan pertanyaan abangnya tadi.
“Dengar tak apa abang tanya ni?” Suara Syameer sedikit meninggi. Segera dia menghampiri Ruslina di tepi kolam dan turut sama mencampakkan makanan ikan ke dalam kolam. Dia ingat Ruslina tidak dengar.
“Dengar...” jawab Ruslina masih acuh tidak acuh.
“Habis tu kenapa tak jawab?” tanya Syameer hairan. Wajah adiknya direnung seketika. “Jomlah, petang ni abang bawak Lina pergi jumpa Kak Nudra kat Air Hitam. Lusa abang dah nak fly,” ucap Syameer dengan ceria. Dia pasti Ruslina akan melompat gembira dengan cadangannya.
“Tak naklah...”
Berkerut kening Syameer mendengar jawapan Ruslina yang tidak disangka-sangak itu. “Kenapa? Bukan ke masa kat asrama dulu Lina yang beriya-iya nak jumpa Kak Nudra? Kenapa pulak hari ni tak nak?” Syameer semakin hairan dengan sikap adiknya.
“Tak naklah jumpa dia. Tak sangka Kak Nudra tu hasil perbuatan tak senonoh Mak Long.” Lancang sekali Ruslina menjawab. Nama Nudra dan Munirah begitu jelek sekali pada pendengarannya.
“Lina!” Syameer menyentap lengan Ruslina dengan kuat. Hampir tercampak bekas makanan ikan yang dipegang adiknya itu. Dia benar-benar terkejut dengan jawapan adiknya itu. Mereka saling bertatapan seketika.
“Kenapa ni? Sakit tau!” Ruslina menarik tangannya dengan kasar, cuba melepaskan dari cengkaman Syameer. Mukanya mencuka.
“Kenapa cakap macam tu? Jangan sekali-kali Lina cakap macam tu depan Kak Nudra atau Mak Long. Ingat tu! Kita tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Mungkin mereka berdua mangsa keadaan,” Syameer berkata seakan memberi amaran. Dia cukup kesal dengan sikap Ruslina yang sudah mula membenci kedua beranak itu.
“Dah kenyataan begitu. Kenapa tak boleh cakap pulak? Kenapa mesti kata mangsa keadaan kalau dah sah Mak Long yang buat? Mama pun cakap macam tu. Nenek pun... Semua orang bercerita benda yang sama. Kenapa pulak Lina tak boleh? Kenapa abang nak bela mereka pulak?” soal Ruslina bertubi-tubi dengan penuh rasa geram.
“Sebab Kak Nudra tak patut terima hukuman begini. Dia tak salah apa-apa,” tingkah Syameer sedikit keras. Hati Syameer bagai disentap mendengar ucapan adiknya yang dianggap celupar itu. Tak sangka Ruslina akan berubah menjadi seperti Nabila pula. Entah apa yang menghasutnya, Syameer tidak tahu. Dulu Ruslina tidak begitu... bisik hati Syameer kesal.
“Memang dia tak salah. Tapi Lina tak bolehlah nak terima. Lina jadi geli bila tengok Mak Long dan Lina rasa Lina akan rasa benda yang sama jugak bila berdepan dengan Kak Nudra.”
“Lina!”
“Dah lah... Lina tak nak bincang lagi pasal Kak Nudra. Dia bukan sepupu kita pun.” Ruslina terus berlalu tanpa menghiraukan Syameer yang cuba menahannya.
“Mak Long...” Syameer terkedu sebaik saja menoleh ke belakang dan melihat Munirah di situ. Ruslina yang berpapasan dengan makciknya itu langsung tidak pedulikan kehadiran makciknya yang berkerusi roda itu.
Syameer menghampiri lalu menolak Munirah dengan kerusi rodanya ke bawah pokok di tepi kolam. “Jangan ambil hati dengan kata-kata Lina tadi, Mak Long.” Syameer amat kesal dengan sikap dan kata-kata Ruslina yang tentunya telah disaksikan makciknya tadi.
Setelah mereka berada di bawah pokok gelang yang rendang itu, Syameer duduk di kerusi batu di situ.
“Tak apalah, Meer...” Munirah senyum. Syameer anak yang baik. Dia bangga dengan Syameer. Dia tidak seperti cucu-cucu Wan Anum Sophia yang lain. Mereka semua sudah dididik untuk berlagak sombong dan bangga dengan keturunan sendiri. Munirah merasa meluat memikirkan hal itu.
“Lina tak patut cakap macam tu kat Mak Long dan Nudra,” ucap Syameer yang masih merasa bersalah dengan makciknya.
“Lupakan aje. Lina tak faham dan hanya ikut cakap-cakap orang aje. Lagipun Lina mungkin masih terkejut. Dia kan baik dengan Nudra, tentulah dia rasa sangat kesal bila tahu perkara ni.”
Syameer angguk, mengakui kebenaran kata-kata Munirah. Dia pun fikir perkara yang sama juga, cuma dia tidak dapat terima kata-kata Ruslina yang mencemuh sepupunya yang malang itu. Tak apalah, mungkin satu hari nanti Ruslina akan insaf dan menarik balik kata-katanya tadi.
“Meer ada jumpa Nudra lagi lepas hari tu?” soal Munirah setelah Syameer hanya diam melayan fikiran sendiri.
“Tak”
“Mak Long teringin nak jumpa dia,” ujar Munirah sambil merenung jauh ke tengah halaman. Dia ingin sekali memeluk Nudra, ingin membelai dan memujuk hati anaknya yang tentunya tengah berduka ketika itu. Ingin dia bisikkan kepada Nudra bahawa segala yang mereka dakwa itu tidak benar belaka. Dia punya ayah yang sah. Sekarang Munirah yakin. Ya, dia semakin yakin! Nudra bukan anak hasil hubungannya dengan Safuan. Hubungan itu tidak pernah terjadi.
Wajah Munirah yang nampak tenang dan berseri itu direnungnya sebentar. Ucapan Munirah sebentar tadi membuatkan Syameer jadi serba-salah. Dia masih ingat apa yang pernah Nudra beritahunya sewaktu dia melawat Nudra dulu, Nudra tidak mahu berjumpa dengan ibunya dalam waktu terdekat ini.
“Meer, kalau kita dapat jumpa Pak Long Eusoff, alangkah baiknya? Mungkin kita boleh merawat duka di hati Nudra. Mak Long nak buktikan bahawa Nudra tu anak kami yang sah, bukan anak Safuan.Tanpa Pak Long Eusoff, kita tak boleh buat apa-apa.”
Lama Syameer membuang pandang ke tengah halaman. Kalau betul kata Munirah, dia akan berusaha mencari Eusoff. Wajah Nudra yang sugul sewaktu dia melawat tempoh hari mengundang simpatinya. Dia tahu Nudra sangat kecewa kerana terpaksa berpisah dengan Iskandar. Dia teringin sangat hendak mengembalikan sinar bahagia dalam hidup Nudra.
“Meer pun rasa macam tu. Bila tengok keadaan Nudra hari tu, Meer rasa Meer kena cari ayah Nudra. Dia sayang sangat dengan bekas tunang dia tu. Meer akan usahakan tapi Meer tak pasti boleh jumpa ke tidak,” balas Syameer tidak mahu Munirah terlalu berharap.
“Mak Long bergantung harap pada Meer aje…”
“Kita sama-sama berdoa ya Mak Long.” Tangannya diletakkan pada lengan Munirah.

Jumaat, 26 Oktober 2007

Bhg 35

PAGI Ahad itu awal-awal lagi Nudra sudah berada di luar rumah, menyapu halaman dan menyiram pokok-pokok bunga dan cili yang ditanam bersama Hannah tenpoh hari. Hannah pula sibuk di dapur menyediakan sarapan.
Bunyi enjin kereta memasuki halaman mengejutkan Nudra yang sedang membongkok menyapu sampah.
Sebaik saja terpandang wajah lelaki yang baru saja melangkah keluar dari kereta itu, Nudra segera hendak berlalu masuk ke dalam rumah. Tetapi Iskandar terlebih dahulu menghampiri dan memberi salam.
Salam yang diberikan hanya dijawab di dalam hati tanpa sedikit pun memandang ke wajah lelaki itu. Penyapu lidi di tangan disandarkan pada tiang rumah. “Awak cari Tok Ayah?” Nudra mencari alasan untuk tidak berlama-lama dan mengelak dari terus berhadapan dengan Iskandar.
“Saya cari awak.”
Nudra pandang ke wajah Iskandar sebentar dengan kening berkerut. Lelaki itu nampak resah meskipun suaranya tenang sahaja. Tanpa sepatah kata Nudra hanya menunggu Iskandar meneruskan bicara.
“Oh, Iskandar! Pagi-pagi kau datang, kau nak jumpa Tok Ayah ke?” Hannah yang menjenguk melalui pintu dapur menyapa, buat-buat tidak dengar sedangkan dia sudah memasang telinga sejak tadi.
“Ha’ah... aku ni, Hannah. Aku cari Nudra, bukan Tok Ayah. Aku tahu, Tok Ayah masih kat surau pagi Ahad macam ni. Ada kelas tajwid untuk wanita hari ni, kan?”
“Hmm... tahu pun! Buat apa cari Nudra?” tanya Hannah cuba memaniskan muka. Teruknya orang putus cinta... nanar tak menentu! Kesian aku tengok Si Iskandar tu. Hannah menggerutu dalam hati.
“Aku ada hal nak cakap dengan Nudra. Kau tak ke mana-mana, kan?” Sengaja Iskandar bertanya walaupun dia pasti Hannah tak ke mana-mana dan dia tak akan hanya berdua dengan Nudra.
“Yalah, aku kat dapur ni tengah masak nasi lemak ni. Kau sembanglah kat luar tu.” Segera Hannah masuk semula ke dalam rumah meneruskan kerjanya. Dalam diam dia mengulum senyum. ‘Padan muka! Tak hingin aku jemput masuk,’ gerutu Hannah yang masih geram dengan tindakan keluarga Iskandar terhadap Nudra.
“Nudra, saya tak tahu sama ada awak dah tahu ke belum. Mungkin Tok Ayah dah beritahu awak, tapi tak apalah saya nak cakap sendiri. Biar awak dengar dari mulut saya sendiri,” Iskandar meneruskan bicara setelah Hannah menghilang ke dapur.
Sekali lagi Nudra memandang lelaki berbaju melayu hitam itu dengan kening berkerut. “Apa dia?” soal Nudra dengan dada berdebar-debar. Apa lagi perkara penting yang ada antara kita Is?
Iskandar diam agak lama lalu berkata, “Saya nak lamar awak sekali lagi.”
Berdetak jantung Nudra tatkala mendengar suara Iskandar mengucapkan itu. Tiba-tiba saja kakinya terasa menggigil dan tapak tangannya berpeluh dingin. Seteguk air liur ditelan, terasa pahit sekali. “Tidak, Is!” Terpacul penolakan dari bibir Nudra.
“Kita kahwin. Walau apa pun yang akan terjadi…”
“Kita tak boleh… Saya… Saya tak macam orang lain,” pantas saja Nudra menjawab walaupun dengan suara tersekat-sekat.
“Nudra... Saya tak pernah kisah siapa awak. Saya dah niatkan sejak dulu lagi, awak adalah suri hidup saya. Saya dah janji dengan awak dan saya akan tunaikan janji saya tu.” Suara Iskandar bergetar sayu. Gadis berbaju kurung kain kapas berbunga-bunga kecil itu langsung tidak mahu mendengar penjelasannya.
“Is, saya nak masuk dulu. Saya rasa saya dah tak ada apa lagi yang perlu awak jelaskan. Awak tak perlu paksa diri awak untuk tunaikan janji awak. Jangan rasa bersalah. Sejak hari pertama keluarga awak menolak saya, saya sudah belajar lupakan awak. Anggaplah apa yang terjadi antara kita ni tak pernah berlaku,” ucap Nudra dengan suara perlahan.
“Saya tak boleh lupakan awak. Saya harap pengertian awak. Nudra, tolonglah!”
Nudra melepaskan keluhan. Kata-kata itulah yang tidak sanggup dia dengar lagi. Dia tidak mahu kembali mengingati cinta yang sudah punah itu. Yang dah berlalu, biarlah berlalu. Untuk apa dikenang lagi?
“Awak jangan buat mudah dengan sebuah perkahwinan. Perkahwinan bukan untuk dicuba-cuba. Awak tak boleh terima saya kalau awak tak sungguh-sungguh. Kalau sekadar simpati saja, semua tu tak menjamin apa-apa. Mendirikan masjid tu perlu niat yang ikhlas, supaya masjid yang awak bina tu tidak mudah goyah. Awak juga perlu restu emak dan ayah awak. Kalau tidak, hidup tidak akan tenang sampai bila-bila,” nasihat Nudra dengan ikhlas. Dia tidak mahu pernikahan mereka akan menemui kegagalan jika tanpa restu orang tua Iskandar.
Iskandar termangu dengan peringatan yang diberikan Nudra itu. “Nudra, saya sungguh-sungguh. Saya akan buktikan apa yang saya ucapkan.”
Nudra biarkan kata-kata Iskandar dibawa angin lalu. Dia tidak ingin menyimpan apa-apa harapan. Bahagia untuknya hanyalah khayalan belaka...

MEMBUNTANG mata Azida memandang adiknya yang sedang memerhati ikan di akuarium di patio rumahnya. Kata-kata yang baru terlafaz dari mulut Iskandar itu membuatkan dia benar-benar terkejut. Sungguh tidak dia sangka Iskandar mempunyai niat sebegitu. “Tak salah ke telinga Kak Long ni dengar apa yang Is cakap tadi?” Azida meminta kepastian kerana dia masih tidak mahu percaya apa yang di ucapkan adiknya sebentar tadi. Dia berharap Iskandar sekadar bergurau.
Pantas Iskandar menoleh. Sebuah senyuman tersungging di hujung bibirnya. Kaca mata yang hampir melurut ke hidung diangkat sedikit dengan hujung jari telunjuk. “Kenapa, Kak Long ingat Is main-main? Is serius…” Iskandar berkata sambil melabuhkan punggungnya di bangku yang menghadap kakaknya. Sorot matanya sarat dengan duka. Fikirannya jauh melayang entah ke mana.
Azida mengetap bibir. “Abah dan umi macam mana?” Hanya kedua orang tuanya yang ada dalam fikiran Azida ketika itu. Jangan sampai Iskandar membelakangkan umi dan abah hanya kerana cintanya. Kebimbangan Azida terus membelit hatinya.
“Abah dan umi pasti tak setuju. Is tahu, mereka tak akan benarkan Is kahwin dengan Nudra sebab mereka dah putuskan macam tu. Tapi Is dah nekad. Hati Is dah bulat sebab hati kecil Is mengatakan apa yang Is buat ni adalah betul. Niat Is ikhlas bukan kerana nafsu saja. Is dah banyak kali mohon petunjuk DIA dan Is yakin dengan apa yang Is rasa. Is pasti suatu hari nanti umi dan abah akan terima Nudra juga, ” balas Iskandar tanpa memandang kakaknya.
“Iskandar… tak semudah tu. Kak Long tak setuju. Kalau Is dah tetap dengan pendirian Is, Kak Long tak akan memihak pada Is. Sanggup Is jadi nak buang keluarga kerana seorang Nudra,” protes Azida yang tidak setuju dengan rancangan adiknya. Suaranya sedikit meninggi. Angin sungguh rasanya dengan pendirian Iskandar yang hanya memikirkan perasaannya saja dan langsung tidak mahu fikirkan hati dan perasaan orang lain. Kenapa Iskandar jadi begitu?
“Kak Long… Is tak kata Is akan tinggalkan keluarga. Is tak akan sesekali jadi anak derhaka. Biar umi dan abah tak akan tahu. Biarlah semua ni jadi rahsia dulu.”
“Habis tu, Is nak kahwin tanpa pengetahuan umi dan abah? Is nak kahwin senyap-senyap? Apa ni Is?” Azida hampir terjerit. Dia tidak percaya dengan pengakuan Iskandar. Dan dia tidak akan setuju dengan rancangan itu. Iskandar sudah melampau.
“Is dah fikirkan masak-masak. Is kesiankan Nudra. Is dah beri janji pada Nudra dan Is tak sanggup nak mungkirinya. Is tak akan berhenti mencintai dia. Is minta pengertian Kak Long. Tolonglah rahsiakan semua ni dari umi dan abah. Adik juga tak boleh tahu. Is perlukan semua. Is perlukan abah dan umi, Is perlukan keluarga Is dan dalam masa yang sama juga Is perlukan Nudra. Sebab itu Is tak mahu mereka semua tahu,” balas Iskandar dengan tenang, cukup yakin dengan pendiriannya.
Azida termenung seketika. Dia tetap tidak akan setuju dengan rancangan Iskandar. Dia tidak faham mengapa Iskandar boleh berfikiran begitu. Dia sangat yakin umi dan abah akan menentang. Dan Azida juga tidak tahu bagaimana Iskandar akan menjelaskan semua ini kepada mereka nanti. Azida tidak nampak perkara ini akan jadi mudah. Dia yakin semuanya akan jadi amat rumit sekali. Dan bagaimana dia nanti dia akan mampu mengunci mulut dan bersubahat dengan kerja gila adiknya ini? Oh, Iskandar! Tolonglah jangan buat Kak Long pening begini…
“Is dah nekad?” Azida bertanya lemah, masih cuba menduga keyakinan adiknya. Dia berharap hati Iskandar masih berbelah-bagi.
“Ya, nekad. Is akan hadapi apa jua tentangan dan rintangan,” lafaz Iskandar dengan tenang sekali.
“Is, ke mana perginya taat Is selama ni? Ke mana hilangnya hormat Is pada umi dan abah? Is lebih sayangkan Nudra dari umi dan abah. Kenapa, Is?” soal Azida sambil matanya mencerun memandang Iskandar. Rasa hendak menangis saja bila mengenangkan kedegilan adiknya ini. Kesal! Kalau boleh mahu ditelannya Iskandar hidup-hidup. Tak pernah dia rasakan amat marah kepada adiknya begitu. Sekejapan dia memejamkan mata, cuba menenangkan hati yang panas membara. Dia cuba bersabar dan mempraktikkan apa yang dia pelajari tentang ilmu psikologi selama ini, tetapi berhadapan dengan situasi itu dia jadi kalah dengan perasaannya.
“Sayang dan cinta tu dua perkara yang tak sama. Is sayangkan umi dan abah. Sayang Is tak pernah luak untuk mereka. Is ada tanggungjawab untuk umi dan abah. Tanpa umi dan abah Is tak akan lahir ke dunia. Walau datang bidadari sekalipun taat dan hormat Is tak pernah berubah untuk umi dan abah.”
Azida mendengus. “Cakap memang pandai! Habis tu kenapa nak kahwin jugak dengan Nudra? Kenapa tak sanggup lupakan Nudra kalau Is sayangkan abang dan umi? Kenapa masih nak kahwin dengan sedangkan umi tak setuju kalau taat Is masih tak berbelah bagi?” soal Azida geram.
“Nudra adalah cinta Is. Is tak pernah dapat lupakan dia. Is dah lukakan hati dia, jadi Is mesti ubati luka tu.” Iskandar tunduk. Kak Long memang pandai menggoyah hati orang.
“Abah dan umi pasti akan kecewa. Kak Long takut mereka akan anggap Is anak derhaka kalau mereka tahu tindakan Is yang bodoh tu. Is tak pernah fikir ke?”
Suasana hening seketika. Azida tunduk merenung lantai. Dia tidak tahu bagaimana lagi hendak memujuk untuk mengubah hati adiknya itu.
“Untuk sementara waktu ni abah dan umi tak akan tahu kecuali Kak Long yang beritahu. Is tak akan berpaling lagi.”
“Bagaimana Is nak hidup bahagia tanpa restu umi dan abah? Sanggup Is hidup dalam pembohongan? Macam mana Is nak jadi suami yang baik kalau dalam diri Is sendiri masih ada perkara yang rahsia? Is tak boleh taat dalam derhaka. Jangan menipu diri sendiri. Jangan tipu ummi dan abah juga. Hidup Is akan susah. Kak Long tak nampak, Is boleh hidup tenang dalam pelarian begitu. Is, Is kerja kat KL, abah dan umi jugak kat KL. Dah tentu kalau Is kahwin dengan Nudra Is akan bawak dia tinggal dengan Is kak KL. Is ingat abah dan umi tu tak ada mata, tak ada telinga?” soal Azida geram.
“Kak Long... Kak Long jangan salah faham. Kak Long ni terlebih emosional. Perempuan memang emosional bila bercakap pasal hal nikah kahwin ni. Seorang kaunselor tidak sepatutnya melibatkan emosi sendiri dalam menangani apa jua kes. Is tengah dalam sesi kaunseling dengan Kak Long ni tapi Kak Long dah campur adukkan dengan hal peribadi,” ucap Iskandar cuba berlucu. Dia tahu kakaknya tidak akan terima apa jua alasannya untuk kahwin dengan Nudra.
Azida mencebik. “Banyaklah Is punya kaunseling. Cinta budak kat sekolah tupun tak adalah teruk macam Is ni. Kak Long tak nak keluarga kita berantakan hanya kerana cinta Is yang buta tu,” balas Azida yang menjadi guru kaunselor di sekolah berasrama penuh di situ. Buat pertama kali Azida memprotes hubungan Iskandar dengan Nudra padahal sebelum ini dialah yang menjadi penyokong utama. Tidak, dia tidak akan benarkan perkara itu terjadi!
Kata-kata Azida disambut ketawa panjang Iskandar. Berjaya juga dia menguja kemarahan kakak sulungnya itu.
“Hati orang tua ni ibarat sutera, lembut tetapi sukar dijaga. Kalau itu keputusan Is, Kak Long harap Is dapat lakukan perkara ni macam tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak,” nasihat Azida lagi kerana hatinya sarat dengan rasa bimbang. Kali ini dia terpaksa mengalah. Dia tahu Iskandar sudah tetap dengan niatnya dan tidak boleh diubah lagi. Dia hanya mampu memanjatkan doa ke hadrat Yang ESA agar tidak ada hati-hati yang terluka. Tak sanggup rasanya melihat keluarganya berpecah-belah nanti. Wajah tenang Iskandar yang berbaju kemeja biru muda itu direnungnya dalam-dalam.
Kalau sudah terpaksa, dia akan menyokong Iskandar walaupun tanpa kerelaan hatinya. Iskandar adalah adik kesayangannya. Sejak kecil Iskandar rapat dengannya. Apa saja masalah Iskandar akan merujuk kepadanya untuk meminta nasihat. Hmm... mungkin kerana sudah terbiasa menasihati adik yang manja itulah membawa kepada dia menjadi kaunselor hingga kini…
“Walau apa cara sekali pun Is akan dapatkan dia kembali,” ujar Iskandar seakan berikrar pada diri sendiri.
“Jangan over confiden, Is… Nanti sakitnya lebih dalam dari apa yang Is pernah rasa dulu.” Iskandar yang sudah berdiri dipandangnya sekali lagi. “Macam mana kalau Nudra menolak?” duga Azida lagi. Azida masih cuba untuk melunturkan semangat Iskandar walaupun baru sebentar tadi dia sudah mengaku kalah.
“Is yakin, dia adalah jodoh yang ALLAH tetapkan buat Is,” ujar Iskandar dan terus berlalu pergi.
“Is, dengan cakap Kak Long... Kalau Is nak selamat, cakap dulu dengan umi dan abah. Biar mereka tahu anak mereka ni dah nak kahwin sangat. Terpulang pada abah dan umi setuju atau tidak. Selepas tu terserahlah pada Is...”

“APA kena dengan adik awak tu?” Rahmi yang sedang membetulkan mentol lampu di bilik air bertanya. Berita yang disampaikan isterinya sebentar tadi membuatkan dia terfikir-fikir akan rancangan Iskandar yang dirasakan tidak ada kewajarannya itu.
“Entahlah… dah puas Ida nasihat, dia masih tetap nak kahwin jugak dengan Nudra. Degil betul Is tu sekarang. Dulu dia tak macam tu,” keluh Azida sambil memasukkan kain-kain kotor ke dalam bakul cucian.
“Adik awak tu protes dalam diam tu. Hebat benar cinta Iskandar tu,ya? Cantik sangatkah bakal adik ipar awak tu sampai Iskandar jadi nanar macam tu sekali?” Rahmi yang tidak pernah melihat Nudra bertanya. Ingin juga dia tengok macam mana rupanya Nudra tu sehingga Iskandar gila bayang begitu sekali.
“Entahlah… Cantik sangat tu tidaklah, kata orang sedaplah mata memandang. Tapi budak tu nampak baik dan sopan. Alah, orang lelaki ni kalau dah mabuk asmara, cantik ke tak cantik ke apa dia peduli? Eii... geramnya saya!”
Rahmi ketawa dengan rungutan isterinya. Jarang dia lihat Azida naik angin macam tu sekali, lebih-lebih lagi dengan adik kesayangannya. “Awak geram sebab awak letakkan perasaan awak sebagai seorang kakak. Awak melihat dari sudut bertentangan. Cuba awak letak diri awak dalam diri Iskandar. Cuba awak fahami apa yang dia rasa. Dia kan adik kesayangan awak? Dan awak jugak seorang kaunselor, tentu awak lebih memahami.”
“Ida kesal dengan sikap Is. Ida tak kisah sangat status Nudra tu sebab Ida rasa itu bukan salah dia. Dia tak boleh dihukum atas dosa orang lain. Perkara tu biarlah… dah itu takdir dia. Tapi Ida tak sangka Is sanggup nak kahwin tanpa bagitahu umi dan abah,” luah Azida lagi tetapi kali ini dengan suara lebih perlahan. Dia tidak dapat menahan hati dari terus merasa kecewa.
“Biarlah… manalah tahu kisah cinta Iskandar-Nudra ni nanti akan jadi lagenda cinta suatu hari nanti macam kisah Romeo-Juliet tu,” ujar Rahmi berjenaka.
Azida mendengus, melepaskan rasa geramnya yang masih belum reda. “Entahlah, susah saya nak terima perkara ni. Selama ni saya ingat Is tu anak yang taat, dengar cakap umi dan abah. Tapi kerana perempuan…”
“Sebab tu orang kata cinta tu buta,” balas Rahmi sambil tertawa panjang.

Khamis, 25 Oktober 2007

Bhg 34

ANGIN yang bertiup agak keras menjadikan suasana malam itu dingin sekali. Sesekali kilat di langit memancar menandakan hujan akan turun tidak lama lagi. Iskandar bersandar di kerusi malas di anjung rumah sambil fikirannya jauh menerawang kepada gadis bernama Nudra. Hatinya tidak tenang sejak beberapa hari yang lalu. Fikirannya semakin kusut dan tidak mampu dia merungkainya sendirian. Sayu hatinya mengenangkan kasih yang tidak kesampaian.
Dari dalam kamar Nudra, sayup-sayup kedengaran suara gadis itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Surah Al-Kahfi yang dibacanya membuatkan hati Iskandar semakin syahdu. La Tahzan... Janganlah bersedih. Ya, Nudra juga sedang memujuk hatinya agar tidak bersedih ketika itu. Kalau boleh ingin sekali dia menghampiri gadis itu, menyelami segala duka yang sedang ditanggung dan mengubati segala luka di hati Nudra. Tetapi tak mungkin... Biarlah dia di sini, menemani gadis itu dari kejauhan dan mendengar suara merdu itu mengadu kesedihan kepada TUHAN-nya.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi enjin motosikal dan tak lama selepas itu kelihatan cahaya lampu motosikal tersebut menuju masuk ke halaman. Iskandar merasa sedikit lega. Orang yang dinanti sudah tiba. Tidak sabar-sabar lagi dia hendak bertemu Tok Ayah. Dia ingin berbicara dari hati ke hati dengan orang tua itu. Mungkin ini adalah peluang terakhir buatnya untuk membuat keputusan yang terbaik. Selalunya, bicara dan nasihat Tok Ayah adalah kalimat yang berhikmat. Kata-kata Tok Ayah bagaikan embun yang menyirami rumput di pagi hari. Sejuk hati mendengarnya… Lantaran itu dia amat menghormati dan menyayangi Tok Ayah.
“Dah lama tunggu?” soal Tok Ayah selepas salamnya dijawab Iskandar.
“Agak lama jugak. Saya ke surau tadi. Tapi semua orang dah tak ada. Pelik jugak, biasanya malam Sabtu macam ni, Tok Ayah mengajar kelas tafsir,” jawab Iskandar selepas mencium tangan Tok Ayah.
Tok Ayah duduk di kerusi malas yang terletak di hadapan Iskandar. “Ada kenduri doa selamat rumah Wak Supardi tadi. Dia nak ke Mekah buat umrah lusa. Sebab tu kelas tafsir tu dibatalkan.”
Iskandar mengangguk-angguk. Semua itu tidak menarik perhatiannya. Yang ada dalam kepalanya sekarang adalah untuk memberitahu hasratnya kepada Tok Ayah. Dia mahu minta pendapat dan nasihat Tok Ayah tentang hal itu walaupun dia tahu Tok Ayah tidak mungkin akan menyebelahinya.
"Nudra tahu kamu ada kat luar ni?" tiba-tiba Tok Ayah bertanya setelah dilihat Iskandar termenung panjang. Suara Nudra mengaji sudah hilang dari pendengaran.
"Tak. Err… tak tahu, saya tak pasti,” jawab Iskandar tergagap-gagap. Dia merasa bersalah pula kerana datang ke rumah Tok Ayah walaupun tahu Tok Ayah tiada di rumah. Walaupun Nudra berada di dalam dan dia hanya duduk di luar rumah tanpa pengetahuan gadis itu, tapi tentulah tidak manis juga. Kalau ada sesiapa yang tahu, boleh jadi fitnah.
Dia tidak tahu Nudra sedar atau tidak kedatangannya dan dia pun tidak mahu mengganggu. Biarlah Nudra tidak tahu tak mengapa, itu lebih baik. Dia tidak mahu kedatangannya akan menambah kesedihan gadis itu. Lagipun Tok Ayah tidak ada di rumah dan Hannah pula dengar khabarnya ada kursus keusahawanan di Kuala Lumpur sejak beberapa hari yang lalu. Jadi tidak moleklah kalau dia menegtuk pintu memberitahu kedatanganya ketka semua orang tiada di rumah.
“Tak apa. Tok Ayah bukan apa… Biarlah dia tak tahu kamu ada kat sini takut nanti dia makin tak tentu arah. Dia masih terkejut tu,” ujar Tok Ayah yang dapat mengesan rasa bersalah Iskandar pada wajah Iskandar.
Iskandar hanya mengangguk lega. Lalu dia diam dan merenung jauh ke dalam gelap malam, mencari ketika yang sesuai untuk menyatakan hasratnya.
"Kenapa, Iskandar? Nampak macam ada perkara penting yang kamu nak beritahu Tok Ayah. Kamu nampak gelisah, tidak tenang macam selalu. Serahkan segala urusan pada DIA, Iskandar." Tok Ayah berkata lagi setelah Iskandar diam sahaja.
Iskandar menelan keluhan sambil meraup muka. Memang betul apa yang dijangka, Tok Ayah sudah dapat membaca gelora di hatinya. Dengan Tok Ayah dia tidak mampu menyembunyikan apa-apa perasaan pun.
“Ada hal penting yang kamu nak bagitahu Tok Ayah ke?” ulang Tok Ayah sekali lagi.
Diam lagi. Dia cuba menyusun ayat untuk meluahkannya kepada Tok Ayah. Berat sungguh mulutnya untuk memulakan bicara. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Tidak seperti di rumah Kak Long tadi, bukan main bersemangat lagi dia. Tapi bila berdepan dengan Tok Ayah, dia merasa seperti kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa ketika disoal gurunya. Dia merasa seperti seorang peguam di mahkamah yang kehilangan hujah untuk membela diri.
“Iskandar…” Tok Ayah cuba menyedarkan Iskandar dari lamunannya.
“Saya tak boleh lupakan Nudra.” Iskandar bersuara juga akhirnya.
Ucapan setulus hati itu membuatkan Tok Ayah tersenyum. Dia mengerti perasaan anak muda di hadapannya tetapi dia tidak mahu Iskandar terlalu menurut kata hati. “Bersihkan hati kamu dengan zikir dan doa. Jangan biarkan nafsu mengatasi iman dan akal. Semua ini adalah ujian yang harus kamu tempuhi. ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA kalau dia tidak mampu. ALLAH itu Maha Mengetahui, Is.” Tok Ayah menunggu penjelasan Iskandar seterusnya. Dia tahu, ada perkara yang lebih penting dari itu yang ingin disampaikan anak muda itu kepadanya.
“Tapi saya rasa saya sudah nekad. Saya tak akan lepaskan Nudra.” Iskandar kembali bersemangat. Walau apa pun yang bakal terjadi, dia tidak akan sia-siakan kasihnya pada Nudra. Dia akan hadapi apa jua rintangan yang bakal terbentang di hadapan.
Dalam samar-samar cahaya lampu Tok Ayah merenung jauh ke dalam anak mata Iskandar. Kemudian dia pula diam seolah-olah sedang memikirkan maksud kata-kata Iskandar. “Apa maksud kamu, Iskandar?” soal Tok Ayah ingin kepastian walaupun dia sudah dapat membaca apa yang tersirat dihati anak muda berbaju melayu teluk belanga itu.
Iskandar berdehem, membasahkan tekak yang terasa kering. Dadanya berdebar-debar untuk mengucapkan kata yang mungkin akan mengejutkan Tok Ayah tetapi dia tekadkan hati. Kalau Tok Ayah menentang, dia akan terus cuba yakinkan Tok Ayah. “Tok Ayah, saya dah nekad nak ambil Nudra jadi isteri saya. Saya tetap akan menikahi Nudra walau siapa pun Nudra tu. Saya yakin dengan apa yang saya rasa.” Lancar saja Iskandar menuturkannya. Tak tahan lagi rasanya hendak memendamkan hasrat itu sendirian. Dan sebaik saja kata-kata itu terlucut dari bibirnya, perasaannya jadi lega sedikit dan hatinya kembali tenang. Itulah keputusan yang telah dia buat. Apa pun penerimaan Tok Ayah, dia sudah tidak peduli. Biarlah apa pun yang akan terjadi, dia akan sedia lalui.
Tok Ayah tersandar di kerusi. Nafanya disedut dalam-dalam, cuba merenung kata-kata Iskandar sebentar tadi dari sudut yang lain pula. Dia tidak mahu segera meningkah, tidak mahu segera membantah. Dia tidak mahu anak muda yang sedang kebingungan itu semakin bingung dan penasaran. Dia cuba letakkan dirinya di tempat Iskandar. Dia cuba menyelami hati Iskandar sedalam yang boleh. “Kamu sungguh-sungguh dengan kata-kata kamu tadi?” Tok Ayah masih mencari kepastian.
Wajah Tok Ayah ditatapnya seketika. Dia mencari jawapan dari wajah Tok Ayah yang tetap tenang itu.
Iskandar angguk. “Bertahun saya simpan kasih saya untuk Nudra. Selama saya di luar negara saya cuba menilai hati dan cinta saya. Di sana saya mencari kekuatan untuk menolak perasaan yang tumbuh sejak mula saya kenal dia. Saya bisikkan pada hati saya bahawa itu hanyalah cinta monyet yang tidak ke mana. Tapi semakin saya pergi jauh, semakin saya tolak segala rasa yang ada semakin ia dekat dengan saya. Bila saya pulang ke Malaysia, saya rasa saya tidak ada harapan untuk bertemu dengan Nudra lagi. Malah saya menyangka mungkin Nudra sudah berpunya. Dan saya tak pernah menjangka akan berjumpa Nudra secara kebetulan di sini. ALLAH temukan saya dengan Nudra begitu mudah sekali. Dan saya rasa Nudra adalah cinta yang saya cari.” Iskandar sudah tidak malu meluahkannya kepada Tok Ayah. Biarlah apa pun tanggapan Tok Ayah kepadanya, biarlah Tok Ayah kata dia tidak tahu malu pun dia tidak kisah. Yang penting sekarang biar Tok Ayah tahu betapa kesungguhannya ketika itu.
Luahan hati Iskandar membuatkan Tok Ayah terpaku sebentar. Rasa bersalah pula kerana menidakkan perasaan yang suci itu. Kalau Iskandar tidak bersungguh, tak mungkin tanpa segan-silu dia mengucapkan begitu. Dia dapat rasakan betapa beratnya perasaan yang ditanggung oleh kedua-dua anak muda itu. Lebih-lebih lagi Nudra, tentulah dia merasa lebih terhina kerana tahu siapa dirinya. Sejak putusnya hubungan Iskandar, gadis itu nampak sugul dan tidak bermaya. Hidupnya bagaikan sudah hilang serinya. Tok Ayah sangat simpati.
“Iskandar, kamu dah beritahu umi dan abah kamu niat kamu ni?” soal Tok Ayah sambil memandang tepat ke wajah Iskandar.
Iskandar menggeleng. Pertanyaan itu sudah diduganya.
“Iskandar, pengorbanan menuntut kekuatan hati yang padu. Perkahwinan tanpa restu orang tua banyak rintangannya. Kamu bincang dulu dengan umi dan abah kamu. Mintak pandangan mereka. Cuba pujuk sekali lagi, manalah tahu mereka sudah berubah hati. Tok Ayah doakan semuanya dipermudahkan,” nasihat Tok Ayah dengan mata redup merenung anak muridnya.
Iskandar mengangguk-angguk. “Saya tahu. Saya sudah bersedia untuk berkorban apa saja asalkan saya dapat memiliki Nudra. Saya cuba Tok Ayah... Saya cuba sekali lagi untuk pujuk umi dan abah. InsyaALLAH.” Wajah Iskandar nampak ceria sedikit. Kata-kata Tok Ayah menyuntik sedikit semangat buatnya.
“Jangan kamu buang emak ayah kamu semata-mata kerana cinta. Bercintalah kerana ALLAH kerana cinta kerana ALLAH itu lebih mulia dan diredhai. Berlindunglah dari syaitan yang direjam,” nasihat Tok Ayah lagi dengan wajah serius.
Iskandar tunduk. Nasihat Tok Ayah meresap ke jiwanya. Ya, ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung... “Tidak sesekali saya akan lupakan umi dan abah. Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya,” ucap Iskandar bersungguh-sungguh.

Rabu, 24 Oktober 2007

Bhg 33

TIGA kuntum bunga ros putih; lambang cinta sejati, itu terjemahannya. Lama Nudra merenung kuntuman bunga yang terletak di meja sisi di tepi katilnya. Bunga itu pemberian Iskandar yang disampaikan melalui Hannah pagi tadi . Nudra mengulang baca kata-kata yang tertera pada kad yang tergantung di situ;

ALLAH mengetahui yang terbaik,
DIA memberi ujian untuk menguji kita,
Kadang cinta melukai hati,
supaya hikmahnya bisa tertanam teguh di jiwa
Jika kita kehilangan cinta, maka pasti ada alasan disebaliknya,
Alasan yang kadang sulit untuk dimengerti,
namun kita tetap harus percaya bahwa DIA mengambil sesuatu,
DIA akan memberi yang lebih baik lagi.

Iskandar.

Tiba-tiba saja air matanya gugur ke pipi. Cinta sejati? Apalah maknanya semua ni? Kalau bunga ros putih itu lambang perpisahan mungkin ya. Is, semuanya sudah musnah. Antara kita sudah tidak ada apa-apa lagi. Jadi untuk apalah kuntuman ros yang melambangkan cinta sejati itu kalau sekadar meletakkan harapan kosong dan melukai hati semata?
“Nudra, ada tamu istimewa nak jumpa kau,” Hannah yang menjenguk di muka pintu memberitahu.
Nudra hanya menoleh sambil mengangkat kening. “Siapa?” Suara Nudra kedengaran masih lemah. Wajah Iskandar terbayang di ruang mata. Dia berharap agar tetamu istimewa yang dimaksudkan Hannah itu bukannya Iskandar. Tolonglah, aku tak mahu jumpa dia lagi! Jerit hati Nudra.
“Syameer, cucu Nenek Sophia. Pakailah tudung tu. Aku suruh dia masuk sini, kau tu masih takkuat lagi kalau nak ke depan,” ujar Hannah seolah memberi arahan.
“Kat sini?” soal Nudra sedikit ragu sambil mencapai tudung yang terletak di tepi katil. Tak pernah sekali pun lelaki bukan muhrim masuk ke bilik tidurnya. Tok Ayah pun jarang sekali masuk kecuali ada hal mustahak sahaja.
“Tak apa, Tok Ayah yang suruh. Dia ada kat depan tu. Kau masih tak kuat,” balas Hannah meyakinkan Nudra.
Nudra hanya mengangguk. Dia cuba bangkit lalu bersandar di kepala katil. Kepalanya masih terasa berat.
Sebentar kemudian seorang lelaki berkemeja lengan pendek warna biru laut menjengah di muka pintu. Sebuah senyuman dilemparkan kepada Nudra. “Nudra, boleh Meer masuk?”
Hannah pula duduk di hujung katil Nudra, menemani kedua sepupu itu berbual.
“Syameer, masuklah. Lamanya Nudra tak jumpa Meer… Macam mana Meer boleh sampai ke sini, ni?” Suara Nudra kedengaran sedikit ceria sebaik saja terpandang senyuman Syameer. Kedatangan Syameer petang agak mengejutkan. Sungguh dia tak sangka Syameer akan datang melawatnya. Selama hampir dua tahun dia di sini,tidak pernah sekali pun Syameer menjenguk dia dia di sini. Bertanya khabar pun tidak pernah,tiba-tiba diamuncul sewaktu dia demam begini. Nudra merasa sedkit terharu.
Syameer meletakkan bungkusan buah-buahan ke atas meja di sisi katil. Sebentar pandangannya tertumpu pada kuntuman ros putih yang menghiasi meja dan sempat juga menangkap kata-kata yang tertulis pada kad yang tergantung di situ. Kasihan Nudra, malangnya datang bertimpa-timpa seperti perumaan melayu; sudah jatuh di timpa tangga. “Yalah, lama sungguh kita tak jumpa, kan? Pagi tadi Meer telefon Tok Ayah, nak tanya macam mana nak ke sini. Ingat nak datanglah bila-bila, nak jumpa Nudra. Mak Long yang mintak Meer tengokkan Nudra. Bila Tok Ayah beritahu Nudra demam, Meer terus datang,” jelas Syameer.
‘Buat apa ibu suruh tengokkan aku? Dia nak lihat macam mana aku terima semua ni? Dia nak tahu macam mana keadaan aku yang tersiksa kerana perbuatannya yang dulu?’ bisik hati Nudra sayu tatkala nama ibunya disebut Syameer. Terbayang wajah wanita yang dunianya hanyalah di atas kerusi roda di sekitar rumah besar itu saja. Ah,mungkin itulah balasan yang ibu terima atas dosa yang telah dia lakukan dulu. Nudra… kau tak ada hak nak menghukum dosa pahala orang. Seburuk-buruk dia, dialah yang menanggung segala jerih perih mengandung selama sembilan bulan dan dialah yang menderita sakit melahirkan kau ke dunia. Tidakkah kau merasa bersyukur kerana dia masih mahu membawa kau ke dunia ini dengan segala aib yang tidak terbasuh dengan selaut air mata?
“Ibu apa khabar?” Suara Nudra sedikit bergetar sebaik saja lidahnya menyebut ‘ibu’. Terlalu janggal dan asing rasanya menyebut panggilan itu.
“Mak Long?” Sebentar Syameer pandang wajah Nudra. Dia tahu Nudra hanya sekadar berbasa-basi bertanyakan ibunya. “Mak Long macam biasa. Nudra pulak macan mana boleh sampai demam macam ni sekali? Tok Ayah kata malam tadi sampai kena bawak ke hospital. Nasib baik tak kena tahan…” ujar Syameer sangat mengambil berat. Lebih dua tahun dia tidak bertemu dengan Nudra, rindu benar rasanya pada sepupunya itu.
Nudra tertawa perlahan. Tawanya kedengaran hambar saja di telinga Syameer. Wajah Nudra juga pucat, tidak berseri seperti dulu-dulu. Teruknya bahana cinta Iskandar… Hati Syameer mendesis.
“Kenapa ketawa pulak? Apa yang lucunya? Dah okey ke belum ni?” soal Syameer sedikit hairan.
“Kalau dah ketawa tu, tandanya dah okey sikitlah tu,” sampuk Hannah yang hanya diam sejak tadi. Seronok pula melihat kemesraan Nudra dan sepupunya itu.
Serentak tawa Nudra dan Syameer memecah.
“Lucu pulak bila kenangkan kenapalah Tok Ayah bawak Nudra ke hospital. Padahal demamnya sikit je. Hannah dan Tok Ayah tu risaunya lebih-lebih.” Nudra membetulkan duduknya. Kepalanya masih terasa pening-pening lalt. Tudung yang hampir menutupi matanya ditarik ke belakang sedikit.
“Ha’ah,kalau demam sikit takkan malam-malam Tok Ayah usung kau ke hospital,” Hannah mencelah sekali lagi.
“Betul kata Hannah, kalau demam sikit-sikit takkanlah Tok Ayah susah payah nak bawak Nudra ke hospital jauh-jauh macam tu. Sekarang ni demam biasa-biasa pun tak boleh buat-buat main tau. Macam-macam virus ada sekarang ni. Tapi Meer rasa pun, ni bukan demam biasa. Ni tentu demam sebab patah hati ni…” balas Syameer sudah berani berjenaka kerana melihat Nudra tertawa begitu.
Nudra tersenyum tawar sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap cermin di sebelah kirinya. “Entahlah… Perkara yang terjadi tiba-tiba ni buat Nudra rasa terkejut sangat. Nudra tak sangka macam ni sekali nasib Nudra,” keluh Nudra dengan nada sayu. Wajahnya berubah duka. Dia cuba mengawal emosinya agar tidak ketara pada pandangan Syameer. Dia tidak perlukan simpati sesiapa. Dia sudah berjanji untuk melupakan segalanya. Gagal bercinta bukan bermakna seluruh hidup akan musnah. Mungkin ini adalah permulaan baru hidupnya ke arah kehidupan yang lebih baik lagi. Mengapa melihat kegagalan itu dari sudut yang tidak baik saja sedangkan banyak pengajaran yang boleh dikutip dari kesakitan yang dialami.
“Iskandar masih sayangkan Nudra, kan? Dia pun tentu serba-salah. Meer dapat rasakan tentu dia juga kecewa macam Nudra.”
“Mana Meer tahu? Meer tak kenal dia. Kalau dia sayang pun dah tak ada makna lagi buat Nudra. Pertunangan kami pun dah putus. Pelamin angan kami pun dah musnah.” Nudra terus tunduk tatkala mengenangkan cinta yang tidak kesampaian itu.
“Bunga ros putih tu...”
“Oh, tak ada kena-mengena! Ros putih lambang kematian,” ujar Nudra dalam senyuman hambar.
“Ros putih lambang cinta sejati. Setahu Meer, bunga kemboja je lambang kematian sebab orang tanam kat pusara.”
Sekali lagi Nudra tertawa hambar. Dia tahu Syameer cuba menghiburkan hatinya. Sudahlah Meer... bunga ros putih ke, kuning ke, hijau ke... bunga tahi ayam sekali pun tak ada makna apa-apa lagi bagi Nudra buat masa ni. Hatinya sudah tertutup untuk apa-apa lagi yang bernama cinta.
“Lina apa cerita? Nudra dengar dia dah tinggal kat asrama sekarang. Setahun tak jumpa rindu sungguh Nudra kat dia.” Nudra mengubah topik. Dia tidak mahu Iskandar jadi perbualan mereka. Nama itu buat hatinya jadi pilu.
“Ha’ah, dia ada kat Pusat Matrikulasi, Kuantan. Nudra nak tau, Lina dah kurus sekarang. Hari tu dia bagitahu Meer, berat badan dia dah turun lima kilo,” beritahu Syameer cuba mewujudkan suasana ceria. Dia cuba untuk menghiburkan hati sepupunya itu agar Nudra melupakan segala kedukaannya buat sementara.
Wajah Nudra nampak ceria sedikit. “Iye? Eii… tak sabar Nudra nak jumpa dia. Tentu makin cantik adik Nudra sorang tu. Lina diet ke sampai kurus tu? Ni tentu sebab dah ada buah hati. Kan dulu dia ada kata, dia nak kuruskan badan bila ada pakwe. Kalau tak, dia suka je montel cam tu.” Nudra tertawa perlahan mengingatkan telatah sepupunya itu. Tak dapat dia bayangkan kalau Ruslina yang montel itu sudah jadi kurus.
“Agaknya sibuk sangat belajarlah tu sampai kurus tu. Eh, tak tahulah pulak kalau sebab boyfriend. Meer pun tak pasti. Hmm… kalau Nudra nak jumpa dia mungkin bulan depan sebab Lina cuti semester. Nanti Meer bawak dia ke sini. Mungkin Meer off masa tu,” ujar Syameer riang.
Nudra hanya tersenyum nipis tatkala mendengar cadangan Syameer. Entahlah… dia tidak teruja untuk bertemu Ruslina yang pernah menjadi teman baiknya di rumah besar itu. Dia malu untuk bertemu sepupunya itu bila mengenangkan siapa dia sebenarnya.
“Meer, Mak Ngah tak marah ke Meer datang ni? Nenek jugak... Kalau mereka tahu Meer datang jenguk anak luar nikah macam Nudra ni...”
“Nudra... jangan sekali-kali Nudra cakap macam tu lagi. Janji dengan Meer? Mama tahu Meer ke sini, dia tak kata apa-apa pun. Nenek aje yang tak tahu. Ah, biarlah dia!” pintas Syameer yang tidak selesa apabila Nudra mula mengungkit hal itu.
“Apa tidak betul apa yang Nudra cakap tu?” soal Nudra kembali. Suaranya kedengaran lemah tidak bermaya.
“Nudra, apa buktinya?”
Lama waktu dibiarkan sepi. Ya, apa buktinya? Ah, bukankah Pak Long Safuan sendiri sudah mengaku yang dia adalah anaknya? Tapi siapa Eusoff? Kenapa pula dia berbintikan Eusoff? Ah, rasa nak pecah kepala Nudra fikirkan semua itu!
Dalam sepi yang menyelubungi mereka, tiba-tiba saja Syameer teringatkan Uncle Eusoff yang mendakwa dia adalah ayah kandung Nudra. Sebentar dia jadi bingung. Siapa ayah Nudra sebenarnya? Dia cuba mencantumkan satu-persatu peristiwa yang berlaku dan mereka-reka cerita sendiri. Ah, macam main jigsaw puzzle pulak! Gumam Syameer sendiri.
“Kenapa Meer, tiba-tiba je mengeluh?” soal Nudra hairan. Tiba-tiba saja dia lihat kening Syameer berkerut-kerut. Tak mungkin Syameer memikirkan perkara yang sama seperti yang melintas fikirannya sebentar tadi.
“Tak ada apa-apalah, Nudra. Baru Meer ingat, Meer nak ke Holland masa tu. Mungkin Meer lama sikit kat sana. Baru Meer ingat, ada hal mustahak yang Meer nak settlekan. So, mungkin tak dapatlah Meer nak cuti sama-sama dengan Lina dan Nudra. Ingatkan nanti bolehlah kita berkumpul semula macam kat rumah nenek dulu,” jawab Syameer berbohong. Dia tidak mahu Nudra tahu apa yang ada dalam fikirannya tadi. Biarlah Nudra tidak tahu. Dia tidak mahu memberi harapan kerana dia juga masih belum pasti.
“Nudra nak jumpa Mak Long?” tanya Syameer sekadar menduga.
Nudra menggeleng. “Biarlah dulu. Buat masa ni Nudra belum bersedia nak jumpa ibu. Nudra tahu, ibu pun sedih. Tapi satu hari nanti Nudra akan jumpa ibu juga. Nudra nak tahu apa sebenarnya yang berlaku.”
Tak mungkin dalam masa terdekat ini dia hendak bertemu ibunya. Hatinya masih ada sedikit rasa terkilan kerana perbuatan ibu yang lalu. Dia tidak mahu hubungan mereka semakin renggang. Biarlah dulu...

Selasa, 23 Oktober 2007

Bhg 32

WAN MUNIRAH meletakkan kitab suci al-Quran yang baru saja selesai dibacanya ke atas meja di sisi katil. Air mata yang masih basah di pipi disekanya dengan hujung jari. Dalam hati dia berdoa agar munajatnya diterima ALLAH SWT. Di bermohon agar doanya dimakbulkan TUHAN Rabbul Jalil. Dia bermohon agar segala dosa yang membalut dirinya diampuni TUHAN Yang Maha Pengasih. Itu saja kemampuan dan kudrat yang dia ada.
Dia sudah lama menderita dan menanggung semua ini sendirian. Kepulangan Safuan adalah kemuncak segala derita selepas kematian ayahnya, Wan Mursyid. Saat-saat kembalinya Safuan inilah yang paling dia takuti selama ini. Dia tahu, suatu hari Safuan akan kembali tetapi tidak disangka di saat-saat begini, di saat-saat Nudra akan melangsungkan hari bahagianya. Semuanya seperti sudah dirancang. Kasihan Nudra! Tentu dia tidak akan maafkan ibunya ini...
Dia bukan takut hendak berhadapan dengan Safuan kerana dia sudah tanggung lebih dari itu. Dia takut dengan penerimaan Nudra kerana silapnya juga enggan mengisahkan apa yang telah berlaku lebih dua puluh tiga tahun yang silam. Dia hati gadis yang tidak berdosa itu telah tercalar dengan parah. Nudra pastinya cukup kecewa, lebih-lebih lagi berita itu mengakibatkan segala-galanya musnah. Impian Nudra musnah, kebahagiaan Nudra turut juga musnah. Dan Nudra pasti akan membencinya sampai bila-bila.
Kalau sebelum ini Wan Anum Sophia memberi amaran agar dia menyimpan rahsia ini sendiri, sekarang rahsia itu bukan lagi rahsia. Bukan setakat adik-adik dan anak-anak buahnya saja yang tahu, tapi kini pekong di dada keluarga Sophia telah terbongkar. Tiada apa lagi yang hendak disembunyikan, tiada apa lagi yang hendak dirahsiakan. Emaknya sudah tidak boleh kata apa-apa lagi. Anak kesayangan dia sendiri yang membuka pekong keluarga. Selama ini dia yang membela dosa anak yang menconteng arang ke mukanya. Sekarang biarlah dia rasakan akibatnya! Di sebalik kekesalan itu Munirah merasa kemenangan berpihak kepadanya. Dia puas!
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hatinya berat mengatakan Nudra itu bukan hasil perbuatan Safuan, tetapi adalah buah cintanya dengan Eusoff. Tapi, bagaimana dia hendak membuktikannya? Bagaimana dia hendak jelaskan kepada Nudra bahawa segala yang nenek katakan itu tidak betul belaka? Bagaimana dia hendak menyanggah dakwaan Safuan? Mahukah Nudra mendengar kata-katanya? Mahukah Nudra percaya? Selama ini dia jarang mengambil tahu hal anaknya, dia ambil mudah dengan segala pertanyaan Nudra, jadi mahukan Nudra mendengar kata-katanya pula ketika ini?
Dan kebelakangan ini juga dia sering mimpikan Eusoff. Dia nampak Eusoff tersenyum padanya, melambai-lambai padanya. Wajah Eusoff ada di segenap ceruk biliknya. Dia dapat rasakan Eusoff masih hidup. Dia seakan terdengar desahan nafas Eusoff di birai telinganya. Dan dia dapat nikmati cinta Eusoff kembali membelai jiwanya.
Cerita Syameer suatu ketika dulu kembali dalam ingatan. Mengapa dulu dia tidak percaya dengan cerita Syameer? Mengapa dia tidak mahu mendengar cerita Syameer sepenuhnya? Kenapa dia tidak minta Syameer mencari lelaki yang mengaku dirinya Eusoff itu? Munirah diburu kekesalan.
Mimpi itu membuatkan dia berharap agar Eusoff masih hidup. Dia berdoa agar segala cerita emaknya selama ini palsu belaka. Dia mula meragui kejujuran Wan Anum Sophia. Sekarang ini barulah dia mula meragui ibunya sendiri, barulah dia dapat rasakan banyak perkara yang wanita itu sembunyikan darinya. Eusoff… dia perlukan Eusoff saat ini. Hanya Eusoff yang dapat membuktikan bahawa Nudra itu adalah anak mereka yang sah. Tapi mungkinkah orang yang ditemui Syameer itu adalah Eusoff? Harapan Munirah kembali pudar.
TUHAN…di mana suamiku? Kalau benar dia masih hidup, temuilah kami anak-beranak dalam situasi yang cukup mulia. Munirah tunduk. Dia jadi malu kepada ALLAH SWT kerana hanya tahu meminta tetapi tidak pernah berusaha. Bagaimana untuk dia berusaha andainya kudratnya terbatas setakat di atas kerusi roda ini? Bagaimana dia mampu mencari suaminya selagi terpenjara di rumah besar kepunyaan Wan Anum Sophia ini?
Tidak! Aku akan usahakan. Kalau benar Eusoff masih hidup, aku berjanji pada diri sendiri untuk temukan Nudra dengan ayahnya. Biar semua orang tahu Nudra itu anak dia dan Eusoff. Biar semua orang sedar bahawa perkara terkutuk itu tidak pernah terjadi. Tiba-tiba saja keyakinannya semakin kuat bahawa Nudra adalah anak dia dengan Eusoff. Air mata Munirah kembali merembes lalu membasahi pipinya yang masih suci dengan wuduk. Matanya sudah bengkak kerana tidak henti-henti menangis sejak siang tadi.
“Syameer... di mana Syameer? Mak Long nak Syameer carikan Pak Long Eusoff. Mak Long yakin, orang yang Syameer temui tu adalah suami Mak Long. Mak Long yakin, Meer...” rintih Munirah sendiri.

“MAK LONG… Maaf, kalau saya buat Mak Long terjaga,” Syameer merasa bersalah kerana mengejutkan Munirah dari tidurnya.
Munirah yang baru saja membuka mata melemparkan senyuman. Syameer sedikit kaget melihat Munirah tersenyum begitu kerana Mak Longnya jarang bereaksi begitu. “Oh, Meer! Meer dengar Mak Long panggil tadi ke?”
Syameer terpinga-pinga. Bila masa Mak Long panggil dia? Tak ada pulak dia dengar... Dia masuk ke bilik ni pun sekadar hendak menjenguk makciknya ini kerana bimbang dengan keadaan Munirah selepas kejadian beberapa hari lepas, tetapi dia nampak Munirah terlena di kerusi rodanya. Dia hendak mengejutkan Munirah untuk tidur di katil tetapi belum sempat dia bersuara, wanita itu sudah terjaga.
“Hmmm... Mak Long panggil saya ke? Maaf, saya tak dengar. Tapi mujurlah saya terlintas nak datang jenguk Mak Long ni. Ada apa Mak Long?” Syameer terus duduk di kerusi, di sebelah kerusi roda Mak Longnya. Hatinya sedikit sayu tatkala menatap wajah Munirah yang dalam kesedihan itu. Meskipun selama ini wajah Mak Long sentiasa murung, namun sejak terbongkar rahsia itu Mak Long nampak bertambah sedih. Dia dapat rasakan penderitaan yang ditanggung Mak Long selama dua puluh tiga tahun itu. Padanya, Mak Long tidak bersalah apa-apa tetapi mengapa dia yang menanggung semua ini? Mengapa Pak Long Safuan masih boleh bebas dan hidup aman bahagia? Tetapi amankah lelaki bangsat itu? Bahagiakah dia? Syameer berfikir kembali. Siapakah yang akan aman kalau hidup diburu dosa? Siapakah yang akan bahagia kalau hidup dalam pelarian?
“Oh, tak apa! Mak Long baru aje terlelap sekejap. Mujur Meer masuk, nanti Mak Long tertidur sampai pagi kat kerusi ni,” balas Munirah sambil membetulkan duduknya. Sekejapan dia termenung panjang. Mimpikah aku? Tak mungkin Syameer mendengar panggilannya...
“Ada apa Mak Long cari saya? Ada apa-apa yang boleh saya tolong ke?” Syameer bertanya kembali setelah Munirah diam agak lama. Wanita itu seperti masih dalam mimpi.
“Meer... Meer masih simpan ke gambar yang Meer tunjukkan pada Mak Long dulu?” soal Munirah. Dia cuba menguntumkan senyuman kepada Syameer yang sedang merenungnya. Telekung sembahyang yang masih di ribaan dilipat kemas lalu diletakkan di atas katil.
“Maksud Mak Long, gambar kahwin tu? Gambar yang Uncle Eusoff bagi kat saya tu?” tanya Syameer kembali, inginkan kepastian. Dia merasa sedikit hairan apabila tiba-tiba saja Mak Long bertanya tentang hal itu sedangkan dulu Mak Long juga yang beriya-iya mengatakan suaminya sudah mati dan memberi amaran agar dia tidak lagi menyentuh hal itu. Tapi tak apalah, mungkin Mak Long sudah mengubah fikirannya setelah apa yang berlaku kini.
Munirah mengangguk. Segunung harapan diletakkan pada Syameer. Dalam hati dia berdoa agar jawapan yang Syameer berikan nanti tidak akan mengecewakannya. “Syameer masih simpan?”
Syameer menggeleng. Munirah mengeluh tanda kecewa.
“Saya dah pulangkan kepada orang tu. Kenapa Mak Long?” Syameer tidak sabar mengetahui apa yang sedang dalam fikiran wanita berwajah sayu itu.
Munirah tunduk dan diam beberapa ketika. “Meer ada jumpa dia lagi ke?” Munirah masih menyimpan harapan.
Syameer semakin hairan. Nampaknya Munirah bersungguh-sungguh tentang gambar itu. “Dah lama saya tak ke Amsterdam. Kali ini saya lebih banyak terbang ke sebelah timur; ke Jepun, Korea… Tapi kenapa, Mak Long?”
“Tak apalah, nak buat macam mana. Mungkin tak ada rezeki kami...” balas Munirah agak kecewa.
“Mak Long, dulu...”
“Syameer, Mak Long rasa betullah gambar yang Meer tunjukkan dulu tu gambar kahwin Mak Long, dan Mak Long rasa betullah orang yang Meer jumpa tu Pak Long Eusoff,” pintas Munirah. Agak payah juga ia hendak meluahkan kata-kata itu kerana dia belum betul-betul yakin dengan bisikan nalurinya.
Syameer merenung wajah Munirah, seolah tidak percaya dengan pengakuan itu. “Betul ke Mak Long?” soal Syameer lagi. Dia jadi agak kelirudengan sikap Mak Long yang tiba-tiba saja berubah itu. Namun hatinya berbunga riang.
Munirah angguk. “Mak Long rasa Mak Long dah mula yakin yang Pak Long kamu masih hidup. Dia tak mati. Semua itu bohong belaka. Mak Long tak tahu apa tujuan nenek mengatakan dia dah mati.”
Syameer tergamam. Nenek? Kenapa dengan nenek? Kenapa nenek banyak sangat simpan rahsia? Apa yang nenek mahu sebenarnya? Syameer semakin curiga dengan neneknya. Terlalu banyak perkara yang menjadi rahsia keluarga ini. Rasa bangganya pada nenek mulai berkurangan, begitu juga dengan rasa hormatnya.
“Apa yang buat Mak Long ubah fikiran?” Syameer menyoal.
“Safuan... Safuan yang buat Mak Long fikirkan balik nasib Mak Long dan Nudra. Mak Long tak boleh terima bila dia berani mengaku Nudra itu anak dia. Hanya Pak Long kamu yang boleh buktikan bahawa Nudra adalah anak yang sah. Dia anak kami.”
Sekali lagi Syameer tergamam. Cerita apa ni? Dia masih belum mengerti dan semakin keliru. “Saya tak faham...”
“Meer, dah banyak malam Pak Long datang dalam mimpi Mak Long. Mak Long dapat rasakan denyut nadinya. Mak Long dapat dengar bisikannya. Mak Long mula yakin dia masih ada. Meer tak bohong... Mak Long tahu Meer tak bohong. Jadi, kali ni Mak Long nak Meer tolong Mak Long. Meer sayangkan Nudra, tak?”
“Mak Long... Saya akan tolong Mak Long cari Uncle Eusoff. Saya akan tolong Nudra sebab saya sayangkan dia. Dia dah macam adik saya sendiri,” jawab Syameer sambil memegang erat tangan Mak Longnya.
“Terima kasih, Meer... Terima kasih.” Munirah merebahkan badannya. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Bibirnya mengukir senyuman penuh harapan.
Syameer hanya memerhati perlakuan Munirah dengan seribu macam perasaan dan persoalan. Ada ketika dia merasa kasihan dengan keadaan Mak Long Munirah. Di ketika yang lain pula dia merasa aneh dan ingin sangat mengetahui rahsia di sebalik wajah sedih wanita bermata coklat itu. Wanita ini terlalu banyak memamah duka dan menelan kepahitan hidup.

Isnin, 22 Oktober 2007

Bhg 31

RINTIK-RINTIK hujan yang turun bagaikan irama mengiringi tangisan sendunya. Kilat dan guruh yang sesekali bergema di angkasa bagaikan gelora di jiwanya. Alam seakan mengerti apa yang sedang melanda di hati. Perasaannya? Hanya ALLAH saja yang tahu betapa hatinya ketika itu. Dia sendiri tidak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaannya. Yang pasti hatinya sudah hancur berkecai, remuk seperti kaca terhempas ke batu. Kalau boleh, biarlah dia tidak wujud lagi di muka bumi ini sebaik saja dia mengetahui berita pilu itu. Astagfirullahal’azim… Nudra, apa yang sudah kau melalut ni?
“Tak mungkin! Tak mungkin dia ayah aku!” Hatinya terus menjerit. Namun zahirnya, Nudra terus bungkam. Sudah tidak tertanggung rasanya beban perasaan yang dia tanggung. Dia kesal dengan kenyataan yang diterima sejak beberapa hari yang lalu. Bukan saja rasa kesal, malah segala macam perasaan berkumpul di dada lalu membuakan nafasnya sesak.
Kalaulah dia tahu perkara itulah yang akan disampaikan kepadanya hari itu, mati hidup balik pun dia tidak akan ke rumah Nenek Sophia. Biarlah dia tidak tahu, biarlah dia tidak kenal siapa ayahnya pun tak mengapa kalau sekadar membuatkan dia merasa sangat malu dan benci. Demi TUHAN, dia tidak sanggup untuk mengakui lelaki itu adalah ayahnya. Patutlah Tok Ayah payah benar hendak berterus-terang apabila dia mendesak semalam. Patutlah ibu sentiasa mengelak bila dia bertanya tentang ayah.
Ketika dia ke rumah nenek semalam, kelibat ibu langsung tidak kelihatan. Ibu memang sengaja tidak mahu bertemu dengannya, sengaja hendak mendera perasaannya. Argg... ibu! Kalau tidak kerana ibu, dia tidak akan terima aib yang begini.
Nudra mengesat air mata yang terus basah ke pipi dengan belakang tapak tangan. Dia benci! Dia malu untuk mengakui dia adalah cucu Wan Anum Sophia. Tetapi ada juga sekelumit rasa puas hati dalam dirinya. Padan dengan muka nenek! Tindakan nenek itu telah memalukan diri sendiri.
Dulu, nenek bukan main lagi bangga dengan keturunannya. Konon, anak cucu Wan Anum Sophialah yang paling bagus, paling sopan dan tertib. Kalau dengan orang lain, nenek selalu pandang rendah. Orang lain ada saja yang tak kenanya, serba kurang. Dia aje yang sempurna. Cerewet nenek bukan sebarang cerewet. Nenek cerewet dengan mulutnya sekali. Itu yang Nudra tak tahan sangat, dia tak tahan bila nenek berleter dan mengata sesedap mulut saja. Waktu itu hilang segala adab sopan yang nenek agung-agungkan selama ini. Sekarang baru dia tahu, di sebalik nama yang nenek gahkan itu rupanya ada cerita busuk yang nenek simpan.
Nah, lihat sekarang! Di mana tingginya maruah keluarga Wan Anum Sophia yang nenek banggakan sangat dulu tu? Anak-anak Wan Anum Sophia sendiri buat selingkuh sesama sendiri sehingga melahirkan seorang anak yang bernama Nudra Haneem? Bermaruahkah kalau anak-anak sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral itu?
Nudra merapatkan matanya, cuba melupakan segala kisah hidup yang penuh duka-lara itu. Kalau boleh dia ingin pergi dari bumi yang wujudnya segala makhluk ALLAH ini kerana dia merasa sangat malu. Dia malu dengan perbuatan ibu dan dia malu dengan status dirinya. Tapi di mana? Alam ini milik ALLAH... Oh, TUHAN, mengapa begini takdirku? Rintih Nudra sayu.
Kepalanya terasa berat dan berdenyut-denyut. Nudra memicit-micit dahi dan kepala tetapi kesakitan itu tidak juga berkurangan. Baju sejuk dan selimut tebal yang menyelimuti tubuhnya masih tidak dapat mengurangkan kesejukan yang terasa hingga ke tulang. Tangannya yang dingin dapat mengesan haba panas di dahi Nudra. Demamkah Nudra?
“Nudra…” Suara Hannah singgah di gegendang telinganya. Cepat-cepat dia berpaling ke arah dinding. Matanya dipejam rapat-rapat. Nafasnya ditahankan berpura-pura tidur pulas. Dia tidak sanggup berdepan dengan Hannah apatah lagi berbicara tentang hal itu. Dia malu… sungguh malu!
“Nudra, bangunlah. Kau belum makan sejak siang. Tok Ayah mintak aku panggilkan. Tok Ayah risau sangat bila kau tak keluar-keluar bilik sejak pagi.” Bahu Nudra digoncangnya berkali-kali tetapi perlahan. Tangannya mengesan rasa hangat dari tubuh Nudra.
“Nudra? Kenapa ni? Apa yang dah terjadi?” bertubi-tubi Hannah menghamburkan soalan. Dia cepat-cepat duduk melutut dan merentap kedua belah lengan Nudra. “Kau demam ni Nudra…” sambung Hannah. Dipeluknya Nudra dengan erat. “Nudra, kau demam ni… Badan kau panas betul.” Jerit Hannah bersama air mata yang sudah mencurah turun dari tubir matanya lalu bersatu dengan air mata Nudra. Nudra membatu. Pandangannya kosong merenung siling.
“Tok Ayah! Tok Ayah!” Hannah semakin kalut. Dia semakin resah dengan keadaan Nudra yang hanya membatu dan membisu.
Sebentar saja Tok Ayah sudah menjengah di muka pintu. “Kenapa? Apa dah jadi?” Wajah orang tua itu tetap tenang seperti biasa namun suaranya bergetar penuh bimbang. Bermacam-macam andaian bermain di fikirannya. Janganlah Nudra bertindak di luar jangkaan, doanya sejak siang tadi.
Hannah melepaskan pelukan pada tubuh Nudra. Matanya yang berair diseka dengan belakang tangan. Nafasnya sudah tersekat-sekat menahan esakan. “Badan Nudra ni panas sangat, Tok Ayah. Dia demam panas ni.”
Tok Ayah menghampiri. Dahi Nudra dirasanya dengan tapak tangan. Panas. Terkumat-kamit mulut Tok Ayah membaca sesuatu. “Demam. Ambilkan air sejuk dan tuala. Jarang kepala Nudra dengan tuala basah tu biar kurang sikit panasnya.”
Tanpa banyak soal Hannah meluru ke dapur dan beberapa minit kemudian datang dengan semangkuk air dan sehelai tuala kecil.
“Basahkan tuala tu dan letakkan kat dahi Nudra. Biarkan dia rehat sekejap. Tok Ayah nak masakkan bubur sekejap. Nudra tak makan sejak pagi lagi. Hannah tengokkan dia. Apa-apa nanti, panggil Tok Ayah,” pesan Tok Ayah lalu melangkah ke pintu.
Hannah mengangguk dan cepat-cepat menghampiri Nudra yang terbaring lemah itu.

“TOK AYAH! Cepat Tok Ayah! Tengok Nudra ni…”
Sekali lagi jeritan Hannah mengejutkan Tok Ayah. Kitab di tangan diletakkan ke atas meja bulat di tepi kerusi. Segera dia meluru ke bilik Nudra yang terletak di sebelah kiri bilik tidur.
“Kenapa dengan Nudra ni, Tok Ayah? Meracau bukan-bukan. Badan dia ni panas sangat.” Tangisan Hannah bergema memenuhi ruang sebaik saja Tok Ayah masuk ke dalam bilik.
Tok Ayah duduk bersila di tepi katil lalu membaca kalimah-kalimah suci. Dihembusnya muka Nudra yang nampak pucat tidak bermaya. Setitis air mata jatuh di hujung mata Tok Ayah. Hannah semakin sebak melihat Tok Ayah menangis begitu. Dia dapat rasakan apa yang Tok Ayah rasakan ketika itu. Air matanya semakin laju membasahi pipi.
“Kita tak ada pilihan. Kita kena bawak jugak Nudra ke hospital. Takkan nak biarkan Nudra macam ni? Kalau apa-apa jadi, jangan sampai kita yang menyesal nanti.” Tok Ayah seakan berkata kepada diri sendiri.
Hannah tunduk. Fikirannya kembali mencari makna ucapan Tok Ayah. Sewaktu kata-kata itu masuk ke telinganya, otaknya tidak dapat memproses dengan baik apa yang didengarinya. Dia jadi bingung seketika. Benar, mereka sudah tiada pilihan. Nudra perlu mendapat rawatan segera. Suhu badan Nudra semakin panas.
“Macam mana? Malam-malam ni mana ada teksi. Nak mintak tolong suami Zulifah ke?” Sepatah pertanyaan meluncur laju dari bibir Hannah. Di tengah-tengah malam macam ni, mana ada teksi untuk bawa Nudra ke hospital yang jauhnya lebih 30 kilometer itu? Klinik yang dekat-dekat situ pun tentu semuanya dah tutup. Mana ada klinik yang buka 24 jam di situ.
Tok Ayah terus berlalu keluar. Pertanyaan Hannah dibiarkan sepi. Hannah membelai lembut rambut Nudra yang sedang memejamkan mata.

SETENGAH JAM kemudian Iskandar sudah berada di depan pintu rumah Tok Ayah. Terburu-buru dia datang apabila mendengar suara Tok Ayah yang meminta tolong. Dalam tenang suara Tok Ayah dia dapat mengesan getarannya. Sebaik saja telinganya menangkap nama Nudra dalam getar suara Tok Ayah, dia sudah menjangka ada sesuatu yang telah terjadi pada gadis itu.
“Kenapa dengan Nudra?” Pertanyaan yang sudah berkali-kali difikirkan untuk ditanya kepada Tok Ayah di sepanjang perjalanan menuju ke rumah Tok Ayah tadi akhirnya meluncur juga sebaik saja Tok Ayah menjawab salamnya di muka pintu.
“Demam. Badannya panas tiba-tiba. Tok Ayah nak mintak tolong kamu hantarkan ke hospital. Mujur kamu masih belum balik ke KL.”
Nudra, kasihan awak! Saya tahu kenapa awak jadi begitu. Saya tak berdaya hendak menolong. Ini semua kerana salah saya. Hati Iskandar berbisik sendiri. Sayu perasaannya melihat keadaan Nudra yang lemah dipapah oleh Hannah. Wajahnya pucat sekali dan matanya tertutup rapat. Dia tahu Nudra sedang menanggung beban perasaan yang maha hebat. Siapa tidak sedih, siapa tidak terkejut apabila mendapat berita seburuk itu.
Iskandar termanggu. Dia hanya memerhati Tok Ayah membantu Hannah memapah Nudra menuruni anak tangga, serba-salah antara hendak membatu atau tidak. Dalam berkira-kira itu, mereka sudah sampai ke bawah. Barulah dia terburu-buru turun membukakan pintu kereta. “Ke mana Tok Ayah?” Iskandar sudah lupa ke mana arah tuju mereka.
“Hospital.” Tanpa membantah lagi Iskandar terus memecut laju.

“AKU buntu, Hannah. Aku tak tahu apa yang aku dah buat.”
Hannah memandang Iskandar tidak berkelip. Dia tidak berniat untuk membalas kata-kata Iskandar yang lebih kepada luahan hati itu. Dia hanya menunggu Iskandar berkata lanjut.
“Aku tak sampai hati tengok Nudra macam tu. Kasihan dia… Kalau aku sendiri pun aku tak mampu nak terima kenyataan sepahit itu.” Iskandar terus mengomel. Dia tidak peduli apa pun yang bakal Hannah katakan nanti.
“Kita sepatutnya beri dia kekuatan dan sokongan, bukan tambah beban padanya.” Sengaja Hannah berkata begitu untuk menyindir Iskandar.
Iskandar menghela nafas panjang lalu dihembusnya dengan kuat. Ucapan gadis bertudung coklat itu seolah-olah menghiris-hiris hatinya. Pedih! Tapi kata-kata Hannah itu memang benar, Nudra perlukan sokongan bukan penghinaan. Yang bersalah bukan dia dan dia tidak sepatutnya menerima penghinaan sebagai hukuman ke atas apa yang telah berlaku. Lelaki yang telah menghancurkan seluruh hidup ibunya itulah yang sepatutnya dihukum. Iskandar meraup mukanya. Rasa kesal dengan sikap ibunya masih belum hilang. Umi, kenapa umi tidak dapat terima Nudra?
“Aku tak faham kenapa manusia sangat tak adil? Kenapa lelaki yang jadi penyebab segala aib ni boleh dibiar bebas tetapi Nudra pula yang terima akibatnya?” Suara Hannah berubah menjadi sebak. Dia tidak sampai hati melihat Nudra diperlakukan begitu. Baginya, apa yang terjadi dua puluh lima tahun yang lalu adalah sejarah hitam yang tiada kena mengena dengan Nudra. Rasa benci kepada lelaki yang bernama Safuan terus meluap-luap di hatinya. Lelaki itulah puncanya! Jerit hati Hannah yang masih panas membara.
“Manusia yang tak adil itu kau maksudkan aku dan keluarga aku, kan?” soal Iskandar yang terasa dengan luahan hati Hannah.
Senyuman yang terukir di bibir Hannah jelas nampak sinis sekali. “Terpulang. Aku tak tujukan pada sesiapa tapi tak tahulah kalau kau yang makan ladanya.” Entah kenapa sakit hatinya terpalit pada lelaki itu. Iskandar sepatutnya tidak selemah itu! Dia sepatutnya perjuangkan cintanya, bukan hanya menurut kata orang saja. Agaknya lelaki memang begitu… Masa bercinta sanggup buat apa saja, lautan api pun sanggup direnangi. Huh, manis mulut di bibir saja! Baru diduga sedikit sudah mengalah sebelum berjuang. Hannah terus menyumpah di dalam hati.
Air liur yang melalui kerongkong rasa seperti berpasir. Perit dengan sindiran tajam Hannah sebentar tadi. Iskandar menyandarkan badannya pada dinding. Tok Ayah masih belum keluar dari surau. Sebentar tadi dia minta tunggu sekejap untuk tunaikan solat sunat sementara menungu doktor memeriksa Nudra di bilik kecemasan.
“Aku sayangkan Nudra.” Untuk pertama kalinya dia mengucapkan kata-kata begitu di depan orang lain selain Nudra sendiri. Mukanya terasa panas menahan malu.
Pantas Hannah menoleh dan wajah Iskandar direnungnya sebentar. “Lalu? Untuk apa ucapan itu kalau kau tak boleh buktikannya? Tak ada maknanya, Is kalau kau tak mahu pertahankan sayang dan cinta kau tu. Ucapan saja tak memadai,” ujar Hannah yang memang sudah terbakar hatinya. Meluat sungguh dia mendengar ucapan itu.
“Tapi aku tak mampu melawan takdir. Aku masih ada ibu dan ayah yang perlu aku taati. Aku tiada pilihan selain menurut kehendak mereka. Dengan kuasa apa lagi dapat aku tolak semua takdir ni? Cakap dengan aku, Hannah…”
Getar suara Iskandar membuatkan Hannah jatuh kasihan. Suara Iskandar yang lirih membuatkan hatinya panas jadi sejuk serta-merta. Dia tidak punya jawapan untuk pertanyaan itu. Dia mengerti, Iskandar juga dalam dilema. Sebagai seorang anak yang taat, dia tiada pilihan. Hannah membasahkan bibirnya yang terasa kering. Matanya turut berkaca sebaik saja terpandang ada air yang bertakung di kelopak mata lelaki itu.
“Aku tak tahu. Aku juga tak ada jawapan untuk pertanyaan kau tu. Aku mintak maaf sebab emosi. Mungkin aku tak letakkan diri aku pada tempat kau lalu aku boleh kata macam-macam. Sebenarnya aku kesian tengok Nudra, dia terlalu kecewa.” Perlahan Hannah mengucapkannya. “Aku jugak faham perasaan kau dan aku tak boleh nak salahkan kau, cuma aku rasa kau belum cukup tabah untuk berdepan dengan dugaan cinta. Kau dah tewas sebelum berjuang,” sambung Hannah lagi setelah agak lama mereka saling mendiamkan diri.
Terkedu Iskandar mendengar kata-kata Hannah yang benar-benar mengusik hati dan menginsafkannya. Ya, dia hanya menurut tanpa cuba berjuang mempertahankan cinta mereka. Dia langsung tidak berusaha membuktikan bahawa segala janji pada Nudra adalah setulus hatinya. Nudra, saya akan buktikan janji saya...

Rabu, 10 Oktober 2007

Bhg 30

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN dari saya buat semua pembaca Izinkan Aku... baik yang selalu muncul di tagboard ataupun yang secara diam-diam saja. Saya mohon ampun dan maaf andainya selama saya menulis di maya ini ada yang menyentuh hati mana-mana pihak atau terkasar bahasa semasa bercanda di tagboard. Ini adalah entry saya yang terakhir sebelum kita semua menyambut lebaran. InsyaALLAH kalau diizinkan ALLAH dan diberikan kesempatan dan kekuatan, saya akan sambung semula selepas cuti hari raya.
********************
SUASANA di ruang tamu rumah kayu itu dibalut sepi. Sepi, sesepi-sepinya… Iskandar pandang Tok Ayah, orang tua itu tetap tenang seperti selalu. Kemudian dia kalihkan ke arah Nudra yang duduk tidak jauh dari situ. Gadis itu tunduk tanpa suara. Kesepian dan kebisuan itu membuatkan dia semakin resah gelisah.
Iskandar masih bingung dengan apa yang terjadi. Hatinya masih berat hendak menerima keputusan orang tuanya. Sukarnya untuk dia terima kenyataan apabila umi dan abah mahu dia batalkan perkahwinannya dengan Nudra. Dia juga tidak mengerti mengapa mereka sanggup korbankan perasaannya sedangkan mereka tahu kasih dan cintanya hanya untuk Nudra. Meskipun dia tahu alasan umi cukup kukuh, namun sukarnya untuk dia memahami apatah lagi menerima kenyataan itu. Iskandar benar-benar tidak mengerti! Dia jadi penasaran. Di dadanya penuh gelora, bagaikan dilanda tsunami. Payah… memang payah! Iskandar menelan keluhan.
“Iskandar, kamu tentu faham kenapa umi dan abah kamu buat keputusan macam tu.” Bicara Tok Ayah memecah sunyi.
Suara Tok Ayah membuatkan dada Iskandar sekali lagi bergegar. Faham? Kenapa dia saja yang perlu faham? Mereka yang sepatutnya kena faham dengan hatinya, hati Nudra… Kenapa mereka hendak menghalang dia dan Nudra mengecapi bahagia? Tidakkah mereka tahu hatinya dan hati Nudra bagaimana? Mahu saja dia menjerit, meluahkan rasa marah yang terpendam di dada. Biar Tok Ayah juga faham. Biar Tok Ayah tahu. Biar umi dan abah juga mengerti apa yang dia tanggung ketika ini. Tapi, semuanya tersekat di kerongkong. Semuanya termampat di dada. Sakit!
Marah? Marahkah dia pada umi dan abah? Tidak… Dia tidak pernah ada rasa marah kepada mereka. Dia cuma kesal. Tapi dia sedar, umi dan abah tak salah kerana orang tuanya bertindak berdasarkan kewajaran. Alasan umi dan abah sudah cukup kuat untuk memutuskan pertunangan dan membatalkan perkahwinan mereka tetapi dia masih tidak dapat terima kenyataan itu. Lalu… kenapa dia kecewa sangat? Entah! Iskandar berperang dengan perasaan sendiri. Rambutnya dilurut ke belakang dengan kedua belah tangan. Fikirannya makin kusut, makin berserabut bila mengenangkan semua itu.
“Tok Ayah tahu Iskandar kecewa. Tapi apa nak buat, semua dah berlaku. Tok Ayah mintak maaf sebab tak beritahu perkara ni awal-awal. Bukan Tok Ayah nak rahsiakan semua ni, tapi Tok Ayah rasa perkara ni tak sepatutnya timbul. Nudra tak ada wali, jadi tak ada masalah.” Suara Tok Ayah kedengaran sedikit sebak. Yalah, siapa yang tidak pilu mengenangkan nasib cucunya yang seorang itu? Dia sendiri tidak menyangka perkara ini akan jadi begini rumit.
Hati Iskandar yang bergelora sedikit tenang tatkala matanya menatap wajah Tok Ayah yang sentiasa mendamaikan itu. Kadang-kadang dia hairan, setiap kali berdepan dengan Tok Ayah hatinya jadi cair seperti ais yang diletakkan di tengah panas matahari. Dia kalah dengan renungan dan redup pandangan Tok Ayah. Entah apa ilmu yang Tok Ayah pakai, entah apa ayat yang Tok Ayah baca… “Tak apalah Tok Ayah. Saya tak salahkan Tok Ayah. Saya yang patut mintak maaf bagi pihak keluarga saya. Kami sudah melanggar janji.”
Nudra yang duduk agak jauh di tepi dinding mengesat hidungnya yang sudah merah dan matanya yang basah. Sedikit pun gadis itu tidak panggung kepala. Dia malu untuk menatap wajah Iskandar. Hinanya dirasakan diri ini... Apalah pandangan Iskandar padanya ketika ini agaknya?
Sekali lagi Iskandar pandang Tok Ayah. Dia amat harapkan simpati Tok Ayah padanya dan lebih-lebih lagi pada Nudra. Dia masih berharap agar Tok Ayah dapat lakukan sesuatu untuk menyelamatkan hubungan mereka berdua.Tak sampai hati rasanya untuk terus melihat kesedihan Nudra. Dia merasa amat bersalah kerana dia yang membina harapan, dia yang nyalakan api cinta dalam diri mereka lalu tiba-tiba harapan itu musnah dan api yang sedang hangat membara hendak dipadamkan begitu saja. Dan dia tidak sanggup membiarkan Nudra menghadapi segala kesedihan dan kedukaan ini sendirian. Kejam sungguh rasanya kalau dia turut menokok kesedihan itu di hati gadis yang disayangi.
Pandangan Tok Ayah masih padanya, penuh simpati. Ruang tamu rumah papan yang sederhana besar itu terasa semakin hangat dan membahang. Kipas yang berputar ligat dengan kelajuan maksimum itupun masih tidak mampu mendinginkan suasana. Kalenjar adrenalinnya semakin laju merembeskan hormon yang menyebabkan jantungnya berdegup semakin kencang. Tubuhnya sudah basah disimbah keringat.
Iskandar menoleh sekali lagi ke arah Nudra lalu menarik nafas dalam-dalam. “Tok Ayah, tak adakah jalan lain untuk kami? Tak adakah pilihan lain?” Tiba-tiba saja Iskandar bertanya begitu. Pertanyaan yang dia sendiri anggap tidak bermakna itu dihamburkan juga. Iskandar cuba bersuara setenang mungkin, menyembunyikan resah dan gelisah yang sedang merajai hati. Bukankah hidup ini sentiasa dihadapkan dengan dua pilihan? Bukankah dia yang berhak untuk membuat keputusan? Dia sedia terima Nudra walau siapa pun ibu dan ayahnya. Nudra gadis suci. Dalam hal itu Nudra tak salah apa-apa pun. Dia tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku dua puluh tiga tahun yang lalu.
Tok Ayah senyum. Dia bukan tidak faham gelora di hati anak muda ini. Bukan dia tidak kasihan dengan cucu kesayangannya. Tapi keputusan bukan di tangannya. Dia tidak ada kuasa untuk menghalang Prof. Khalidi suami isteri untuk menghalang anak terunanya dari berkahwin dengan Nudra. Dia tidak boleh memaksa orang.
Ya ALLAH, KAU tabahkanlah dua hati anak muda di hadapanku ini. KAU berikanlah mereka kekuatan dan keteguhan iman untuk hadapi segala ujian-MU ini. Tok Ayah terus berdoa di dalam hati.
“Iskandar, itu keputusan orang tua kamu. Tok Ayah tak ada kuasa, Is. Tapi Tok Ayah hanya mampu berdoa kebahagiaan kamu berdua. Kalau ada jodoh, satu hari nanti kamu akan bertemu juga.”
“Tok Ayah…” Suara Iskandar hampir tidak kedengaran. Panggilan Iskandar membuatkan Tok Ayah dan Nudra menoleh hampir serentak ke arah anak muda berbaju Melayu biru gelap itu, menunggu Iskandar meneruskan katanya.
“Saya ada satu permintaan…” Iskandar menoleh ke arah Nudra. Tok Ayah angguk tanda mengerti lantas meminta diri ke bilik solatnya.

“NUDRA…” Iskandar bersuara setelah beberapa ketika kesepian memenuhi ruang antara mereka.
Nudra masih tidak panggung kepala. Panggilan Iskandar hanya dibalas dengan anggukan. Kalau boleh dia tidak mahu berada di situ, bertentang mata dengan lelaki bernama Iskandar. Dia malu,cukup malu…. Dia seolah kehilangan seluruh jiwanya. Memandang wajah Iskandar pun dia tidak sanggup lagi. Bukan dia benci, bukan dia marah. Tapi… Entahlah! Sejak Tok Ayah memberitahu tentang kedatangan Prof. Khalidi dan Dr Mardiah untuk memutuskan hubungan dia dan Iskandar, dia jadi seperti orang bisu. Lidahnya bagai sudah diikat-ikat untuk tidak memberi sebarang kenyataan. Kerongkongnya bagai disumbat-sumbat agar tidak bersuara. Baginya, segala-galanya sudah berakhir. Dia tidak punya pilihan selain dari terima apa saja yang bakal berlaku nanti. Siapalah dia untuk membantah?
Kesal? Marah? Kecewa? Entah… dia sendiri bingung dengan apa yang dia rasa ketika itu. Jiwanya tidak mampu menilai perasaannya lagi. Segalanya kelam dan suram. Mungkin juga semua perasaan itu sudah bergabung menjadi satu, atau mungkin dia sudah tidak punya apa-apa perasaan lagi lalu ia menjadi kosong!
“Saya minta maaf. Saya tak tahu menahu tentang hal ni. Saya pun tak dapat halang umi dan abah untuk batalkan perkahwinan kita. Saya tahu perkara ini tak sepatutnya terjadi.”
Ucapan maaf yang terlafaz dari bibir Iskandar sudah cukup untuk meremukkan hati dan perasaannya. Tiada kata-kata yang dapat dia ucapkan untuk membalasnya. Dia sedar, hubungannya dengan Iskandar yang baru saja bermula sudah pun sampai ke penghujungnya.
Dalam hal ini dia tidak salahkan Iskandar. Tidak juga kepada kedua ibu bapanya. Siapa yang hendak bermenantukan anak sepertinya? Kalau dia di tempat Dr Mardiah pun, mungkin dia juga akan melakukan perkara yang sama. Siapa yang hendak berbesan dengan orang yang pernah melakukan dosa sekeji itu? Siapalah hendak menjadikan menantu anak yang bercelaru nasab sepertinya? Kesedihan terus menyelubungi hati Nudra.
“Nudra, saya bingung. Saya tak dapat fikir dengan baik saat ini. Saya kesal dengan tindakan umi dan abah. Bagi saya, siapa pun awak, saya sedia terima. Hati saya dan cinta saya hanya untuk awak saja. Saya benar-benar tersepit. Kalau diberi pilihan untuk saya tidak hadapi situasi begini, alangkah baiknya…” ujar Iskandar setelah sepi kembali menemani keduanya. Nudra masih diam tanpa suara di kerusi makan yang tidak jauh dari situ.
‘Saya jugak bingung, Is. Apakah perlu kita gadaikan maruah kerana cinta? Saya manusia biasa, punya hati dan perasaan. Saya tak mampu menolak rasa kecewa ini. Tapi, saya akan cuba sedaya mungkin untuk hadapinya dengan tabah. Saya tahu, awak juga mampu menghadapinya,’ bicara Nudra dalam hati. Untuk diluahkan kepada Iskandar, dia tidak mampu. Peti suaranya bagaikan sudah terkunci, bagaikan sudah tidak berfungsi lagi.
“Saya tak tahu kenapa umi dan abah sanggup lakukan semua ini. Kenapa semua ni terjadi di saat-saat akhir macam ni? Cuma tinggal sebulan lagi, Nudra. Saya tak faham! Saya tak faham!” Iskandar meluahkan perasaannya yang terpendam yang tidak mampu diucapkan di depan Tok Ayah tadi. Pandangannya jauh menembusi dinding.
Iskandar sandarkan kepalanya di kerusi rotan berkusyen itu sambil matanya dipejamkan. Dia seolah-olah cuba melupakan segala kemelut di hati. Nudra terus membatu, sedikit pun tidak berganjak mahupun bersuara. Kebisuan Nudra membuatkan Iskandar semakin resah. Sikap Nudra semakin membingungkan.
“Nudra, cubalah awak katakan sesuatu. Awak jangan tambahkan rasa bersalah saya ni. Makin awak diam, makin bingung saya dibuatnya,” rayu Iskandar. Dia tidak mampu untuk menyelami hati tunangnya ini.
Nudra mengetap bibir. Perit. Sendu di hati di sisihkan ke tepi. Dia cuba mencari kekuatan dari sinar cinta yang terpancar dari mata Iskandar. Beberapa detik dibiarkan berlalu. “Tindakan umi dan abah awak tak salah. Dia berhak lakukan begitu kerana saya tak layak untuk jadi menantu mereka. Saya pun malu Is kalau dia sanggup terima saya.” Akhirnya Nudra bersuara. Kata-kata yang diucapkan itu menghiris hati sendiri.
“Awak tak kisah? Awak tak rasa apa-apa? Awak dah lupa ke, tak sampai sebulan pun lagi hari yang kita sama nantikan tu akan tiba? Awak tak rasa rugi ke bila mana setiapdetikyang mendebarkan kita tunggu tapi berakhir dengan cara begini? Awak yakin awak sanggup hadapi semua ni, Nudra?”
Nudra mengangkat muka. Dari jauh direnungnya mata teman yang kini bagai sumur tak berdasar. Pemuda itu menggeleng dan tidak mampu berkata apa-apa. Dadanya terasa sebak. Iskandar tidak tahu hatinya. Iskandar tidak nampak luka yang menjalar di segenap urat nadinya. Wajah Iskandar direnungnya sejenak. “Is, awak ingat mudah ke saya nak lupakan semua ni? Awak ingat senang ke saya nak telan kenyatan sepahit ni? Saya tak tahu… saya tak tahu apa nak kata lagi. Saya terima apa saja takdir yang ada di depan saya. Saya yakin dengan ketentuan ILAHI. Kuatkan hati, Is… ALLAH sedang menguji kita. Kalau dah bukan jodoh kita, nak buat macam mana? Itu saja yang mampu memujuk hati saya ketika ini. Buat apa dikenang perkara yang tak akan berlaku kalau sekadar melukakan hati sendiri,” balas Nudra dengan suara tersekat-sekat. Air mata yang hampir gugur cuba ditahankan. Dia tidak mahu menangis di depan Iskandar. Dia tidak mahu meraih simpati dan menambah kedukaan lelaki itu.
Suasana kembali sepi. Masing-masing kehilangan kata. Biarlah hati saja yang berbicara…

Selasa, 9 Oktober 2007

Bhg 29

“TAK BOLEH! Dhia tak akan benarkan Is kahwin dengan Nudra!” tegas Dr Mardhiah penuh emosi. Wajahnya mencuka menahan marah. Terkejut sungguh dia dengan penjelasan Sophia tadi. Tak sangka Tok Ayah yang alim itu sanggup menyembunyikan perkara itu dari mereka. Dia merasa tertipu. Selama ini mereka telah diperbodohkan oleh keluarga Wan Anum Sophia yang tersohor itu.
“Dhia, kita tak boleh buat keputusan tergesa-gesa macam ni. Kita kena tanya Is dulu,” pujuk Prof. Khalidi, cuba menyejukkan hati isterinya. Dia tahu Dr Mardhiah kesal dan marah. Dia juga begitu, tetapi dia masih boleh bersabar.
“Dhia tak peduli. Kita putuskan pertunangan Iskandar dengan Nudra secepat mungkin. Apa saja perjanjian kita dengan keluarga Wan Anum Sophia kira dah terbatal serta merta. Dhia tak boleh terima benda ni. Dhia malu!” Dr Mardiah tidak mempedulikan pujukan suaminya. Hatinya benar-benar tercalar. Dia bukan hendak menghina atau memandang rendah pada gadis malang seperti Nudra, tetapi dia sangat terkilan kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Mengapa baru sekarang? Mengapa setelah Nudra dan Iskandar sudah bertunang dan perkahwinan mereka sudah begitu hampir barulah Wan Anum Sophia hendak membuka rahsia? Mengapa? Persoalan itu terus mengasak fikirannya.
“Dhia, jangan diturutkan sangat marah tu. Jangan ikut perasaan tu. Tarikh tu dah terlalu hampir, kita tak boleh nak batalkan macam tu aje. Dah banyak persiapan kita buat. Kalau kita boleh pejam mata aje apa yang kita belanjakan tu sebab nak puaskan hati kita tak apalah, tapi macam mana dengan hati dan perasaan anak-anak kita? Hancur hati mereka kalau kita putuskan di saat-saat akhir macam ni. Kita tak boleh langgar janji sesuka hati. Kita ni ada adat. Nanti apa kata, Tok Ayah, apa kata Wan Anum Sophia?” nasihat Prof. Khalidi dengan suara perlahan. Bukan dia tidak kecewa dengan apa yang dia dengar tadi, tetapi fikirannya masih mampu berfikir secara rasional.
“Sekarang ni bukan masalah janji, tapi masalah kita ni dah kena tipu. Ini perkara besar, bukan main-main. Ini soal maruah dan melibatkan keturunan kita nanti. Dhia tak peduli, apa nak jadi jadilah. Bukan kita yang mulakan, bukan salah kita. Kita aje yang kesiankan orang, kita aje yang fikir perasaan orang. Kita aje yang nak jaga adat, nak jaga segala… Tapi orang ada ke nak beradat dan beradab dengan kita? Orang ada ke nak fikir perasaan kita?” Dr Mardhiah terus emosi. Dia sudah terlalu marah dan kecewa. Pantang benar dirinya dibohongi. Selama ini dia menghormati keluarga Wan Anum Sophia tetapi rupanya maruah mereka tidak segah nama yang sering dijulang itu.
Prof. Khalidi mengeluh. Kata-kata isterinya betul belaka tetapi mereka tidak boleh turutkan kata hati dan tidak boleh hendak tundingkan jari kepada sesiapa. “Dhia tak kesian ke dengan Is, dengan Nudra? Is tu sayangkan Nudra sungguh-sungguh. Takkan Dhia sanggup lihat Is merana?” Prof. Khalidi masih cuba memujuk isterinya. Sekilas dia pandang ke wajah Dr Mardhiah di sebelah.
“Dhia lebih kesian dengan Is kalau dia kahwin dengan perempuan macam tu. Dhia tak nak cucu-cucu kita lahir dari perut ibu yang tak sah keturunannya. Dhia tak kisah kalau Dhia rugi banyak mana pun, semua tu dah tak jadi hal buat Dhia. Yang penting majlis tu tak akan terjadi dan Nudra tak akan kahwin dengan Is. Nudra tak akan jadi menantu Dhia. Titik.” Dr Mardhiah berkata tegas.
“Nudra tak salah apa-apa. Dia sendiri kalau diberi pilihan tak ingin dilahirkan macam tu.” Prof. Khalidi terus memandu dengan tenang. Dia tahu isterinya cukup kecewa. Dia sendiri juga seakan tidak mahu percaya mendengar berita yang cukup mengejutkan itu. Kalaulah bukan Wan Anum Sophia yang bercerita, mati hidup balik pun dia tidak akan percaya. Nudra budak baik, dari keluarga baik-baik. Tok Ayah tu dari keturunan alim ulamak. Kenapa terjadi perkara macam tu dalam keluarga terhormat tu? Prfo Khalidi masih tidak dapat membenarkan fikiran warasnya menerima kenyataan itu.
“Memang budak tu tak salah. Tapi cara dia dilahirkan tu yang salah, tak sah dalam hukum dan undang-undang. Dengar nama Wan Anum Sophia, semua orang ingat mereka orang baik-baik tapi rupanya indah khabar dari rupa. Abang tahu tak, anak yang terhasil tanpa nikah ni tujuh keturunan barulah bersih nasabnya?” Dr Mardhiah masih belum puas melepaskan rasa terkilannya.
“Eh, Dhia ni… mana Dhia dapat pendapat macam tu? Dalam Islam tak ada sebut pun. Jangan pandai-pandai nak buat fatwa sendiri. Seorang manusia yang dilahirkan ke dunia tak mewarisi dosa pahala mak bapak dia. Mereka tak ada kaitan dengan apa yang mak bapak mereka buat sebelum mereka lahir,” tukas Prof. Khalidi.
“Perkara tak elok ni orang akan bercakap dan ingat sampai bila-bila. Itu yang orang kata sampai tujuh keturunan tu. Walau disorok macam mana pun, akhirnya akan terbongkar jugak. Tengok, benda ni dah jadi dua puluh tiga tahun lepas, tapi timbul jugak kemudiannya. Yang tanggung akibatnya bukan orang yang melakukan perbuatan terkutuk tu, tapi anak yang dilahirkan hasil hubungan itulah yang menanggung malu. Memanglah manusia dilahirkan bersih dan tak mewarisi dosa mak ayah dia, tapi aibnya tetap orang kenang. Rasulullah SAW jugak suruh pilih calon isteri yang baik keturunannya supaya dapat zuriat yang baik kerana itu adalah tujuan utama sebuah perkahwinan. Dhia bukan tak kasihan dengan Nudra tu, tapi Dhia tak boleh terima dia tu anak luar nikah, anak yang dah kacau nasab keturunannya.” Dr Mardiah masih tetap tegas dengan pendiriannya.
“Betul kata Dhia tu, tapi tak salah kalau kita teruskan. Mungkin orang akan mengumpat, mencela tapi semua tu tak lama. Lagipun dah dekat sangat dengan majlis tu. Abang rasa tak patut kita hancurkan harapan mereka. Abang bimbang Is akan kecewa, begitu jugak dengan Nudra. Abang tengok budak Nudra tu okey je… Cantik, sopan, ada didikan agama. Dia boleh jadi isteri dan ibu yang baik untuk Is.”
“Dhia tak sanggup bang.... Dhia tak sanggup orang kata menantu Dhia tu anak haram. Mana Dhia nak letak muka Dhia ni? Ramai lagi gadis yang cantik, sopan dan beragama. Anak kita Si Iskandar tu bukannya tak ada rupa sehingga terdesak sangat nak kahwin dengan orang macam Nudra tu.” Dr Mardhiah menggeleng-geleng. Dia tidak akan terima Nudra jadi menantunya walau apa sekali pun alasan yang diberikan.
Prof. Khalidi hanya mampu menggeleng. Nampaknya hati isterinya sudah tertutup untuk menerima Nudra menjadi menantunya. Mungkin kerana rasa kecewanya itu yang membuatkan hati Dr Mardiah keras seperti batu. Biasanya isterinya tidak begitu Dia kenal isterinya bagaimana. Dr Mardiah wanita yang lemah lembut dan sarat dengan kasih sayang tetapi mungkin kerana kepercayaannya sudah dinodai maka dia jadi begitu.

SEBUAH keluhan berat terlepas dari dada Iskandar. Agak lama mukanya diraup dengan kedua belah tapak tangan. Kepalanya terasa berat memikirkan apa yang baru saja didengarinya dari mulut abahnya sendiri. Seluruh jiwanya menjerit, menidakkan kenyataan itu.
“Umi, abah... katakan macam mana Is nak percaya semua ni betul? Katakan semua ni hanya rekaaan saja,” Iskandar berkata lemah.
“Entahlah, Is. Abah pun susah nak percaya. Tapi inilah kenyataan yang harus kita terima,” jawab Prof. Khalidi. Wajah anaknya dipandang penuh simpati. Dia mengerti apa yang sedang Iskandar rasakan saat ini.
“Is tak boleh kahwin dengan Nudra!” Dr Mardhiah bertegas. Dia sudah tidak peduli apa yang bakal Iskandar katakan.
Kata-kata itu umpama sebuah beban berat yang menghempap kepalanya. Perasaannya terhenyak. Sekali lagi Iskandar melepaskan keluhan. “Umi...” Tiada kata yang mampu dia ucapkan. Lidahnya jadi kelu.
“Kami dah putuskan. Is tak ada pilihan lain,” ujar Dr Mardhiah lagi. Prof. Khalidi hanya membatu, tidak sampai hati untuk bersuara. Tidak tahu di pihak siapa yang harus dia sebelahi. Dia kasihankan Iskandar dan dia juga memahami keputusan isterinya.
“Umi, Nudra tu baik orangnya. Kita tak boleh buat macam ni kat dia. Dalam hal ni Nudra tak salah apa-apa, kenapa pulak dia yang harus terima akibatnya?” Iskandar berkata perlahan, cuba mempertahankan cintanya yang bakal musnah walaupun dia tahu keputusan umi tak mungkin akan berubah lagi. Dia masih berdoa uminya mengubah pendirian. Umi tidak sepatutnya menghukum Nudra atas kesalahan orang lain. Nudra sendiri pastinya tidak pernah minta dilahirkan apatah lagi dalam keadaan aib begitu.
“Umi tak kata Nudra tu tak baik, tapi bukankah lebih baik kita cari orang yang lebih baik lagi dari dia? Is nak ke kahwin dengan budak macam tu? Nabi sendiri menganjurkan kita cari bakal isteri dari keturunan baik-baik supaya dapat lahirkan zuriat yang baik-baik dan mendapat anak yang soleh dan solehah. Is masih muda, masih ada ruang untuk mencari calon isteri yang solehah. Dalam dunia ni masih ada perempuan yang seribu kali lebih baik dari budak tu” Hujah Dr Mardhiah dengan lembut tetapi cukup menghiris hati Iskandar.
Dr Mardhiah menoleh ke arah Iskandar. Wajah Iskandar yang sugul itu sedikit sebanyak mengundang simpatinya. Dia dapat lihat kekecewaan pada wajah itu. Dia tahu betapa hancurnya hati Iskandar dengan keputusannya. Dia juga tahu betapa anaknya itu mencintai Nudra Haneem dengan sungguh-sungguh. Tetapi dia tidak boleh mengubah keputusannya hanya kerana itu. Biarlah Iskandar kecewa seketika, dia tidak mahu anaknya kecewa buat selama-lamanya. Manalah tahu kalau-kalau nanti perangai Nudra juga sama dengan keturunannya. Perkahwinan bukan untuk dibuat main. Kalau kahwin, biarlah sekali saja...
Iskandar merasa jiwanya kosong, semangatnya terbang entah ke mana. Dunia ini terasa kelam dan tak bermaya. Hatinya menjerit nama Nudra. Ya, Nudra yang dia cintai! Hanya Nudra yang bakal menyerikan hidupnya. Hanya Nudra yang akan jadi suri di hatinya. Dia tidak bermaksud untuk melawan kata-kata ibunya. Apa yang dikatakan Dr Mardiah itu memanglah betul, itu dia tidak nafikan. Tapi bagaimana dengan Nudra? Bagaimana dengan cintanya yang telah lama subur di hati? Ya TUHAN, mengapa dia perlu berada di persimpangan ini?
“Kita jangan sampai tertipu dengan perasaan cinta. Cinta tu boleh buat orang jadi tak waras, jadi nanar. Orang selalu kata cinta tu buta. Biarlah cinta saja yang buta, jangan sampai kita turut sama jadi buta hati kerana cinta. ALLAH anugerahkan kita akal. ALLAH sediakan pilihan untuk kita buat keputusan, jadi gunakanlah akal yang dikurniakan itu untuk buat pilihan yang terbaik untuk kesejahteraan hidup di masa depan,” Prof. Khalidi pula mencelah dengan falsafahnya, diiringi ketawa yang sengaja dibuat-buat. Dia tidak ingin memberatkan perasaan Iskandar yang tentunya ketika ini sedang kacau-bilau. Dia juga tidak mahu memenangkan anaknya di depan Dr Mardiah kerana tidak mahu lagi bertengkar dengan isterinya yang sedang marah itu.
Sepi terus menyelubungi ketiga-tiga beranak itu. Tiada kata-kata yang ingin diucapkan Iskandar. Dia merasa seperti orang tewas yang sudah ditawan pihak lawan. Bermacam-macam tindakan buruk yang mula meracun fikirannya. Kalaulah dia punya kuasa untuk bertindak berani… Alangkah! Ya ALLAH, lindungilah aku dari syaitan yang direjam. Mohon Iskandar dalam hati.
“Umi rasa terkilan sebab Is tak siasat dulu asal-usul keturunannya. Tok Ayah yang baik dengan Is pun tak ada nak cerita apa-apa. Kalau berterus-terang apa salahnya, Umi pun mungkin boleh terima kalau kita tahu perkara ni lebih awal. Tak adalah umi terkejut sangat. Ini tak, dah nak langsung baru bagitahu. Umi rasa macam kena tipu dan dipermain-mainkan,” Dr Mardiah terus meluahkan rasa tidak puas hatinya. Tangannya terus rancak menyusun majalah-majalah lama ke dalam kotak. Sengaja dia sibuk-sibukkan diri untuk melupakan seketika segala masalah tentang Nudra.
“Mungkin Tok Ayah sendiri tak tahu,” balas Prof. Khalidi tidak mahu bersangka buruk. Lagipun dia amat menghormati bekas tok gurunya itu. Matanya masih tertancap pada skrin televisyen yang sedang menayangkan siri dokumentari ‘National Geographic’.
Pandangan Iskandar jatuh pada bunga kristal yang menghiasi meja kopi di hadapannya. Dia tahu kata-kata ayahnya itu hanya untuk menyejukkan hati umi yang sedang hangat membara. Dia mengerti perasaan emaknya. Umi tentulah amat terperanjat apabila mendapat tahu bakal menantunya itu anak yang lahir hasil daripada hubungan yang tidak sah. Dia sendiri merasa terkejut dan tidak percaya perkara aib itu berlaku dalam keluarga terhormat seperti keluarga Wan Anum Sophia. Dia juga masih tidak dapat terima kenyataan bahawa perkara itu terjadi kepada gadis yang bakal menjadi isterinya.
“Mustahil! Mereka semua sengaja nak sembunyikan perkara sebenar. Kalau bapak dia tak muncul, agaknya sampai beranak-pinak pun kita tak tahu keturunan menantu kita tu macam tu. Konon keturunan baik-baik, dihormati... Rupanya indah khabar dari rupa. Siapa sangka keturunan Wan Anum Sophia begitu perangainya,” Dr Mardhiah terus mencemuh.
Riak wajah Iskandar terus berubah mendengar kata-kata uminya. Dia merenung sayu ke wajah Dr Mardhiah dengan dengan isyarat agar ibunya tidak terus memburukkan Nudra dan keluarganya. Tidak sanggup rasanya untuk dia mendengar cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada gadis yang dicintainya.
"Sudah-sudahlah kita mengata, mengutuk keturunan orang. Tak baik. Jangan sampai ALLAH balikkan kutukan tu pada kita semula. Na'uzubillah... Mungkin itu ujian untuk keluarga mereka. Itu bahagian mereka. Kita tak rasa apa yang mereka rasa. Bahagian kita kita tak tahu lagi macam mana. Kalau dah tak nak, tak suka, duduk diam-diam. Nak putus, putuskan cara baik. Jangan sampai kita bermusuh pulak dengan keluarga Wan Anum Sophia dan Tok Ayah tu. Jangan nak ungkit-ungkit lagi. Buat tambah dosa aje." Prof. Khalidi berkhutbah panjang. Dia faham dengan perasaan isterinya tetapi dia tidak mahu Dr Mardhiah terlalu mengikut perasaan lalu meluahkannya sesuka hati. Dia juga faham dengan perasaan Iskandar apabila mendengar cemuhan yang keluar daripada mulut ibunya sendiri. Tentulah anaknya itu merasa sedih. Di ketika manusia sedang marah beginilah syaitan memainkan jarumnya.
"Umi, abah... Is harap kita tak bincang lagi hal ni. Kalau dah begitu kehendak umi dan abah, Is tak boleh buat apa-apa lagi. Mungkin bukan jodoh Is dengan Nudra. Is mintak diri dulu," ucap Iskandar dengan rasa kecewa dan terus naik ke biliknya. Prof. Khalidi dan Dr Mardiah saling berpandangan.