Jumaat, 28 September 2007

Bhg 23

SUDAH tiga pagi tidur Melissa dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang dari masjid yang terletak tidak jauh dari situ. Alunan suara yang merdu serta mendayu-dayu itu seolah menyeru-nyeru namanya agar bangkit dan menghayati setiap kalimat yang yang dilagukan. Sungguhpun dia tidak memahami maksud azan tersebut, namun kalimat-kalimat itu bagaikan meresap ke hati dan membelai jiwanya. Mungkinkah suara muazin itu yang menambat hati atau bait-bait azan itu sendiri yang menyentuh kalbu?
Sebaik saja suara itu hilang dari pendengaran, Melissa bangkit lalu bersandar di kepala katil. Anak rambut yang hampir menutupi mukanya diselak ke belakang. Beberapa kali dia menguap sehingga matanya berair. Kantuknya masih bersisa. Melissa kembali merebahkan diri dan meletakkan kepalanya di bantal tetapi ternyata matanya tidak mahu pejam. Dia masih memikirkan tentang azan yang baru saja mengejutkan tidurnya. Bukannya dia tak pernah mendengar orang melaungkan azan di Kuala Lumpur, malah boleh dikatakan setiap hari dia mendengarnya. Tetapi azan yang didengari sebelumnya tidak pula menyentuh hatinya. ‘Kenapa ya tiba-tiba hati terpaut pada kalimah itu?’ soal Melissa sendiri.
Sejak berada di sini, hatinya sedikit tenang. Sudah lama dia tidak menikmati rasa tenang yang sebegini. Setiap saat jiwanya bergelora dan perasaannya sentiasa rusuh. Sejak mengetahui Alveena bukan ibu kandungnya dan sejak Papanya sering sibuk dengan model Sepanyol itu, hidupnya jadi terumbang-ambing. Jiwanya terasa kosong. Apa saja yang dilakukan serba tidak kena. Hiburan yang dia cari masih tidak mampu mengisi kekosongan itu. Teman-teman yang ditemui di pusat-pusat hiburan masih tidak mampu mengubat kesunyian hatinya. Dia rindukan ibunya… Siapa? Dia rindukan Alveena! Sungguhpun wanita itu bukan ibu kandungnya, namun wanita itulah yang mendidiknya sehingga dia remaja.
Melissa mencapai gambar yang sudah berulang-ulang kali direnungnya itu dari atas meja. Gambar wanita berbaju T putih dan berseluar jeans biru direnungnya sekali lagi. Wanita berkaca mata itu tersenyum riang sambil menggalas sebuah beg hitam di bahu kirinya. Di belakang gambar tersebut tertulis: Maria 1994. Kata ayahnya, gambar yang berlatar belakang Eifel Tower diambil sewaktu Maria masih menuntut di universiti di Perancis. Maknanya ketika itu ayah dan ibunya mungkin sedang hangat bercinta, Melissa membuat andaian sendiri.

MALAM itu mereka meluahkan perasaan masing-masing setelah beberapa bulan mereka berperang dingin, sering salah-menyalahkan satu sama lain. Melissa merangkul lengan Richard sambil tersedu-sedu. “Saya tidak mahu kehilangan Papa. Walaupun saya benci dengan perangai awak sekarang, tapi saya masih sayangkan awak. Awak ayah saya. Saya tahu awak boleh jadi ayah yang baik. Saya minta maaf sebab selalu mencaci awak. Saya tak sepatutnya buat begitu. Saya sepatutnya bagi peluang kepada awak kerana awak pernah jadi ayah yang baik. Awak cuma trauma dengan pemergian Alveena. Saya tak boleh salahkan awak saja. Sebenarnya kita sama-sama teruk kerana tidak tahu mengawal perasaan. Sepatutnya kita jadi lebih rapat, bukan semakin jauh begini,” ucap Melissa berselang-seli dengan sedunya.
Richard menepuk-nepuk bahu anak kesyangannya. Dia dapat rasakan betapa beratnya Melissa menanggung segala beban perasaan ketika itu. “Je vous aime (Saya sayang awak). Papa tahu awak gadis yang kuat. Awak kena mulakan hidup baru.”
“Kita mulakan hidup baru. Kita bina semula keluarga kita yang dah musnah,” bisik Melissa sambil menggenggam erat jemari ayahnya.
“Awak carilah Maria.” Wajah anaknya yang cengkung direnungnya penuh kasih sayang sambil mengusap pipinya lembut.
“Kita cari sama-sama. Saya mahu kita bina semula keluarga kita bersama Maria.” Melissa membalas renungan ayahnya penuh sayu.
Ucapan Melissa yang berupa sebuah harapan itu dibiarkan lama tanpa balasan. Richard membuang pandang ke luar cermin tingkap yang basah disimbahi hujan.
“Papa, kita cari mama sama-sama. Okey?”
Sekali lagi Richard merenung ke dalam anak mata Melissa. Ada sesuatu yang ingin diucapkan kepada puterinya itu tetapi mulutnya seakan terkunci. Dia tidak mahu menghancurkan hati Melissa sekali lagi dengan berita buruk itu. Dia pasti Melissa tidak akan dapat terima kenyataan itu. Dia tidak ingin melukakan lagi hati anaknya itu. Melissa sudah terlalu menderita.
“Sont vous bien ? (Papa, awak okey ke?)” soal Melissa mula merasa bimbang dengan perubahan riak pada wajah ayahnya.
“Je suis pas mal… (Saya okey…)”
“Habis, kenapa awak pandang saya macam tu?”
“Je vous manque (Saya rindukan awak). Je manque Alveena (Saya rindukan Alveena). Saya rindukan keluarga kita yang bahagia dulu,” ucap Richard dengan suara bergetar.
Melissa menahan nafasnya yang terasa sesak seketika. “Saya juga. Tapi kita perlu teruskan hidup tanpa dia,” ucap Melissa memujuk hati sendiri.
“Oui, je sais (Ya, saya tahu).”
Suasana sepi beberapa ketika. Masing-masing hanyut dengan perasaan sendiri.
“Puis-je demander à quelque chose ? (Papa, boleh saya tanya?)” Melissa memecah kesunyian.
“Bien… (Okey…)” balas Richard lembut.
“Aimez-vous Maria ? (Awak cintakan Maria?)”
Pertanyaan Melissa yang tidak disangka-sangka itu membuatkan Richard termenung seketika. Memori lama kembali menjengah ingatan. “Maria adalah masa lalu saya,” balas Richard setelah agak lama membiarkan Melissa menunggu jawapannya.
“Alveena juga masa lalu awak, tapi awak masih kenangkan dia. Mengapa awak tidak pernah terkenangkan Maria? Kenapa awak berpisah dengan dia? Ibu saya jahat ke? Atau awak memang tidak cintakan dia?” Sudah lama dia menyimpan persoalan itu dan malam itu barulah mampu dia luahkan. Dia amat berharap agar Richard dapat mnejawab sejujurnya.
“Maria adalah cinta saya yang pertama. Dia seperti matahari, memberi cahaya kepada hidup saya yang gelap gelita ketika itu,” jawab Richard akhirnya.
“Jadi, kenapa awak berpisah?”
“Awak tak perlu tahu. Biarlah saya simpan sedikit cerita itu untuk diri saya. Sekarang awak sudah tahu siapa ibu kandung awak. Awak pergilah cari dia.”
“Okey, saya hormati hak peribadi awak.”
“Merci, cher… (Terima kasih, sayang…) Awak anak yang baik.”

“Vous êtes le menteur! (Awak bohong!) Berapa ramai wanita yang awak cintai? Apa, awak tak boleh hidup tanpa seorang kekasih?” Jerit Melissa geram. Berita perkahwinan Richard dengan model Sepanyol yang diketahui melalui Michael petang tadi benar-benar menghancurkan hatinya. Kepercayaan dan kasih sayang yang hampir pulih buat Richard telah berkecai menjadi debu. Segalanya sudah musnah.
“Melissa, dengar dulu apa yang Papa nak cakap ni. Awak perlukan penjelasan dari saya,” pujuk Richard yang cuba merangkul tubuh Melissa tetapi segera ditolak oleh gadis itu dengan kasar.
“Ne moi touchez pas (Jangan sentuh saya). Awak tak ada apa-apa hubungan dengan saya lagi.”
“Melissa…” rayu Richard.
“Awak mengaku cintakan ibu kandung saya kerana dia yang mengubah hidup awak. Kemudian awak kata awak sayangkan Alveena sepenuh hati kerana dia bawa semangat baru setelah Maria tinggal dan kecewakan awak. Sekarang, apa lagi alasan awak untuk Si Belinda tu? Awak akan kata awak cintakan dia sepenuh jiwa kerana dia telah mengubat kesunyian awak selepas Alveena mati?”
“Non, je n'y ressemble pas (Tidak, saya bukan seperti yang awak sangka).”
“Ya, awak memang bukan seperti yang saya sangkakan. Saya sangka awak suami yang penyayang, awak ayah yang baik.”
“Mel, mon cher… (Mel, sayang…)” Tubuh Melissa dipeluknya erat. Melissa terkulai dalam pelukan Richard dengan sdu-sedannya. Dia benar-benar kecewa.
“Awak memang pandai memujuk. Memang patutlah kalau semua wanita gilakan awak.” Melissa sudah tidak pedulikan pujukan ayahnya. Hatinya sudah terguris luka.
“Je sais que vous êtes furieux. Calmez le bébé (Syyy… saya tahu awak tengah marah. Tenangkan fikiran awak, Mel).” Richard mengusap rambut Melissa yang masih dalam pelukannya dengan tangan kirinya. Tangan kanannya menepuk-nepuk belakang anaknya dengan lembut.
“Saya akan pergi dari hidup awak. Saya tak mahu ikut awak balik ke Perancis. Saya mahu bersama ibu saya walaupun saya tak pasti di mana dia berada. Tapi saya yakin saya akan jumpa dia. Saya akan cari sendiri sebab mengapa Maria tinggalkan awak. Saya tak akan maafkan awak kalau saya tahu awak berpisah dengan Maria kerana Alveena.” Melissa menolak tubuh ayahnya yang sasa itu dengan kedua belah tangan. Air matanya dibiarkan laju merentasi pipinya yang gebu itu. Dan tanpa memedulikan bicara Richard lagi dia terus berlari masuk ke kamarnya.
Dan malam itu juga dia meninggalkan Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur dengan sebuah azam. “Walau ke hujung dunia pun saya akan cari ibu sampai dapat. Saya nak kenal wanita yang mengandungkan saya. Walaupun mungkin saya tak dapat sayangkan dia seperti saya sayangkan Alveena, tapi sebelum saya menutup mata saya nak jumpa dia. Saya akan cari sebab mengapa ibu tinggalkan Papa. Saya yakin, semua ini salah Papa. Papa memang tak guna!” ucap Melissa sambil mengusap foto di tangannya.

Khamis, 27 September 2007

Bhg 22

PETANG tadi selamatlah mereka ditunangkan dalam majlis serba ringkas di rumah Tok Ayah. Tidak ada siapa pun datang, selain keluarga Iskandar saja. Sophia dan Munirah sendiri tidak hadir apatah lagi makcik-makciknya yang lain. Bagi Nudra, baguslah begitu, jika tidak tentu ada saja celanya majlis yang sederhana itu.
"Nudra, terima kasih sebab terima lamaran saya. Awak dah jadi tunang saya sekarang. Alhamdulillah..." Suara Iskandar di hujung talian membuatkan ingatan Nudra terhadap keluarga kandungnya terhenti.
Buat pertama kali berbual di telefon, Nudra jadi serba-salah dan kekok. Bimbang juga dia kalau kena sound dengan Tok Ayah, tapi bila Tok Ayah buat-buat tak nampak sewaktu melintas masuk ke biliknya sebentar tadi, Nudra merasa lega. Oh, malu dan takut dengan Tok Ayah... Tapi dengan ALLAH? Astaghfirullah... Nudra malu sendiri.
"Sama-sama. Tapi pertunangan ini bukanlah tiket untuk kita berbuat sesuka hati." Nudra mengingatkan. Dia tidak mahu mereka terlalu bebas seperti pasangan yang lain.
"Terima kasih kerana ingatkan saya. Sebab tu saya pilih awak jadi untuk jadi teman hidup supaya awak boleh ingatkan saya sampai bila-bila," ujar Iskandar.
Ketika itu Nudra merasa mukanya berbahang kerana malu.
"Nudra, awak masih ada kat situ ke?" Iskandar bertanya setelah agak lama Nudra tidak membalas kata-katanya.
"Hmm..."
"Kenapa awak diam? Awak masih bermimpi macam selalu ke? Saya dah jadi tunang awak pun, awak masih berangan. Atau awak dah tak sabar nak jadi pengantin?”Iskandar terus mengusik.
Jenaka Iskandar membuatkan Nudra tersenyum bahagia. Wajahnya yang merah semakin merona, malu diusik begitu. Cepat-cepat dia menekup mulut, bimbang kalau-kalau Tok Ayah keluar dari biliknya. "Awak selalu cari peluang nak kenakan saya. Siapa yang tak sabar, awak atau saya? Setahu saya, belum pun sempat saya jawab surat awak, awak dah hantar rombongan meminang. Nasib baik Tok Ayah mengerti dan nenek saya pun baik hati, kalau tidak..."
Kedengaran ketawa Iskandar di sebelah sana. "Kalau tidak apa? Awak menangis tak berlagu ya?" usik Iskandar lagi. Dapat dia bayangkan betapa wajah Nudra yang putih bersih itu bertukar menjadi merah. Pernah suatu ketika dulu adiknya Nasyrah bertanya mengapa dia menyukai Nudra dan betapa adiknya itu ketawa hingga mengalir air mata apabila jawapannya adalah kerana dia suka melihat muka Nudra yang memerah ketika menahan malu.
"Is, awak pun berangan jugak ke?" Soal Nudra mematikan lamunan Iskandar.
"Berangan? Hmm... Saya tengah bayangkan muka awak, tentu merah padam kan?"
"Kenapa awak ngada-ngada sangat malam ni?"
"Saya tak ngada-ngada. Saya cakap yang benar. Salah ke? Sehari tak jumpa, saya takut lupa. Sebab tu kalau boleh setiap masa saya nak bayangkan muka awak je," balas Iskandar diiringi senyuman nakal di hujung bibirnya.
"Oh, kalau depan Tok Ayah bukan lagi main baik dan sopan lagi awak ya! Kalau dengan saya awak berani nak usik itu ini." Nudra yang duduk bersila di lantai sambil menghadap meja telefon membetulkan duduknya lalu bersandar pada dinding dan telefon ditarik ke atas ribaan.
"Nudra..."
"Hmmm..."
"Saya nak tanya satu soalan. Sebelum saya tanya, awak janji dengan saya dua perkara. Boleh?" Pinta Iskandar dengan lembut. Kali ini giliran Iskandar pula membetulkan duduknya daripada bersandar di kepala katil, dia sudah terbaring.
"Boleh." Agak lama juga Nudra membiarkan pertanyaan Iskandar berlalu dibawa angin malam sebelum menjawabnya.
"Okey, saya janji. Pertama, awak kena jawab semua solan saya bila saya tanya. Kedua..." Iskandar diam seketika. Nudra menunggu penuh debar. "Kedua, awak janji... Ah, biarlah! Nanti lain kali aje yang kedua tu..." sambung Iskandar sambil tersenyum sendiri.
Nudra turut tersenyum. Apa-apalah, Is! "Okey, saya janji jika awak boleh janji dengan saya untuk tidak tanya yang bukan-bukan. Apa yang awak nak tanya?" Semakin laju jantung Nudra berdegup menunggu pertanyaan Iskandar yang seterusnya.
Iskandar sengaja membiarkan sepi mengisi ruang di antara mereka. Sengaja dia ingin mendera perasaan Nudra kerana dia ingin berbicara lebih lama lagi. Ishkk... Teruknya Iskandar! Ejek hatinya kepada diri sendiri.
"Is..." Nudra semakin gelisah.
"Ya, saya ada ni."
"Okey, cakaplah. Saya dengar ni." Nudra cuba mengawal debaran.
"Nudra, betul ke awak sayangkan saya? Betul ke saya tidak bertepuk sebelah tangan?"
Rambut yang hampir menutup muka diselak ke belakang. Pertanyaan Iskandar yang tidak disangka-sangka itu membuatkan Nudra malu sendiri. Apalah Iskandar ni, itupun nak tanya! Perlukah dia menjawabnya lagi setelah lamarannya diterima?
‘Is, perlu ke saya jawab kalau awak dah tahu jawapannya? Perlukah lagi awak nak tanya soalan macam tu? Bukankah ikatan pertunangan ini merupakan satu tanda bahawa bahawa saya sudah serahkan sebahagian hati saya untuk awak?’ bicara hati Nudra.
“Is, awak dah janji tak akan tanya soalan yang pelik-pelik kan?”
“Eh, pelik ke soalan saya tu?”
“Peliklah bila susah saya nak jawab. Saya ni ketinggalan sikit kalau bab-bab macam ni. Saya tak biasa nak cakap terus-terang tentang hati dan perasaan. Saya tak pandai. Saya malu. Awak janganlah buat saya serba-salah macam ni.”
“Jadi, macam mana saya nak tahu perasaan awak terhadap saya?” soal Iskandar masih belum puas hati selagi dia tidak dengar sendiri dari mulut Nudra tentang hatinya.
“Boleh ke kalau saya tak jawab soalan tu? Saya mintak maaf, Is.” Suara Nudra seakan merayu.
Di hujung talian kedengaran suara Iskandar tertawa perlahan. “Hmm… saya tak paksa. Tapi kalau awak jawab bukan ke lebih baik? Tidaklah saya terfikir-fikir.”
Nudra terdiam seketika. Pertanyaan Iskandar mendera perasaannya. Dia jadi serba-salah. Bagaimana hendak meyakinkan Iskandar? Bahasa apa yang harus dia gunakan? Dia sungguh malu untuk mengakui tentang perasaannya, apatah lagi mengucapkan sayang dan cinta. Oh, boleh pitam dibuatnya kalau betul-betul Iskandar hendak dia buat begitu!
“Lamaran awak dah diterima, apakah itu masih belum cukup membuktikan segalanya?” ucap Nudra perlahan. Dia harap Iskandar mengerti dengan maksud kata-katanya.
Ucapan itu membuatkan Iskandar termenug seketika. "Ya, itu yang saya nak dengar. Saya tak paksa awak mengucapkannya, cuma saya nak dengar awak mengaku terima lamaran saya ini bukan sebab orang lain. Terima kasih, Nudra. Saya mengerti sekarang. Okeylah, saya rasa awak dah mengantuk. Kita berhenti dulu. Mungkin sebulan lagi saya akan ke rumah Tok Ayah. Apa-apa hal, saya telefon lagi. Sebelum tidur jangan lupa baca doa. Assalamualaikum."

SUARA deheman Nasyrah mengejutkan Iskandar yang baru saja menyandarkan belakangnya di sofa. Nasyrah meletakkan buku yang dipegangnya ke atas meja kopi lalu melabuhkan punggungnya di sisi abangnya. “Lama bergayut…” usik Nasyrah.
“Ingatkan nak letak nescafe ke secawan, ini buku pulak dia hidangkan untuk kita,” ucap Iskandar sambil mencapai buku bertajuk Human Anatomy tulisan Peter H. Abarahams milik adiknya itu. Usikan Nasyrah seolah-olah tidak didengarinya.
“Adik ingat dah kenyang dah bersembang dengan buah hati tadi, jadi tak adalah adik nak buat air ke apa. Oh, adik lupa! Orang dah kering air liur… Nantilah jap lagi adik bancuhkan,” sakat Nasyrah lagi.
“Ada-ada ajelah adik ni! Tak apalah, dah malam ni. Tak elok minum manis-manis, kan? Bakal doktor tentu lebih tahu.” Iskandar meletakkan semula buku tersebut setelah membelek-beleknya seketika.
“Okeylah, kalau macam tu. Lega! Seronok semacam je adik nampak abang malam ni. Hmm… bergayut dengan buah hati ek? Eh, lupa! Dah jadi tunang…”
“Oh, adik pasang telinga ya! Tak baik tau curi-curi dengar perbualan orang,” balas Iskandar sambil tersenyum. Wajahnya nampak berseri-seri.
“Hmm…pasanglah telinga besar mana pun, tak adanya boleh nak curi-curi dengar kalau dah cakap berbisik-bisik macam tu.”
Usikan Nasyrah mengundang tawa Iskandar. Matanya bersinar riang
“Tak sangka ya, dapat jugak abang tackle secret admire abang sejak sekolah tu. Ingatkan dah putih mata.”
Sekali lagi Iskandar tergelak. “Tengok oranglah!” Balas Iskandar sekadar berjenaka.
“Adik tahulah, abang adik ni memang macho. Siapa tak nak dengan Iskandar bin Prof. Khalidi… Arkitek yang bakal tersohor seantero dunia.” Serentak itu juga tawa kedua-dua beradik itu memecah.
“Dah… dah… Jangan nak puji bukan-bukan lagi. Nanti kembang hidung abang ni!”
“Kembang pun tak apalah, janji dah ada yang sayang,” balas Nasyrah pula. Sekali lagi ketawa mereka memenuhi ruang.
“Abang, macam mana abang pikat Kak Nudra tu? Dia tu kan macam pendiam sikit? Tambah pulak cucu Wan Anum Sophia dan duduk pulak dengan tok guru sekolah agama. Wah, hebat betul halangan tu!” Nasyrah bersuara lagi setelah ketawa mereka reda.
“Adik ingat mudah ke nak tackle dia? Huh, berpeluh abang dibuatnya tau! Susahnya macam Hang Tuah nak pinang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Mahmud. Kak Nudra adik tu tak macam gadis-gadis zaman sekarang yang mudah menjaja cinta di mana-mana…”
Nasyrah ketawa terkekeh-kekeh. “Huh, dasyat dia punya perbandingan! Macamlah abang tahu macam mana Hang Tuah pinang Puteri Gunung Ledang tu. Entah-entah Hang Tuah tak jumpa pun puteri tu. Oppss… gadis-gadis yang abang maksudkan tu, termasuk adik sekali ke? Kalau ya, memang nak kena!” Sebelum sempat Iskandar menghabiskan ucapannya Nasyrah sudah memotong.
“Eh, abang baca sejarah la! Tak macam adik tu yang asyik study mayat je… Adik abang ni tentulah tak termasuk dalam gadis-gadis yang macam tu. Gadis-gadis yang abang maksudkan tu tak ada kat sini.” Iskandar mengenyit mata.
Nasyrah ketawa lagi. Kalau dengan Iskandar, kerjanya ketawa aje. Kata umi, mereka berdua memang tak boleh berjumpa, kalau jumpa memang tak kering gusi. Asyik terekeh-kekekh aje. “Hah, sambung balik cerita abang pikat Kak Nudra tu…”
“Itulah, bila orang bercerita sibuk nak menyampuk. Kan habis mood abang tadi. Dah hilang feel…”
Nasyrah mencebik. “Ngada! Tak malu!” Nasyrah sambil buat muka mengejek.
“Okeylah, abang sambung balik. Tapi jangan potong stim tau!”
“Yalah! Yalah!” Nasyrah membetulkan duduknya. Kedua-dua belah kakinya diangkat lalu bersila di atas sofa. Tangannya diletakkan di atas peha sambil menopang dagu.
“Adik nak tau, satu malam abang tak tidur sebab nak karang surat untuk Kak Nudra. Abang tak tahu macam mana nak luahkan perasaan abang kat dia.”
“Oh, ya ke! Tak sangka mat rock dah tukar jadi mat jiwang. Tak apa, kerana cintalah katakan…” Nasyrah tak dapat bayangkan apalah yang ditulis abangnya di dalam surat tersebut. Bahasa bunga-bunga ke? Aduhai, abang aku seorang!
“Yalah, adik tak percaya ke? Tapi abang tak adalah tulis bahasa bunga-bunga. Manalah abang reti nak puitis-puitis ni. Kan adik kata abang ni mat rock… Kalau nak lukis pelan bangunan tu abang tahulah.”
“Taklah, bukan tak percaya tapi rasa hairan sikitlah. Macam manalah abang adik yang brutal ni boleh tulis surat cinta.” Nasyrah tergelak. Tak dapat dia bayangkan macam manalah bunyi surat Iskandar tu.
Iskandar turut tergelak dengan komen adiknya. “Tapi malangnya surat tu tak ada balasan. Kak Nudra senyap aje macam tak ada apa-apa. Langsung tak ada respon. Bila terserempak pun dia buat-buat tak faham. Macam nak gila abang tunggu jawapan dia. Last-last abang give up menunggu. Siksa ooo… Abang tebalkan muka, luahkan depan-depan dia. Just imagine dik, macam mana muka abang masa tu. Hijau, biru, ungu semua colour ada kat muka abang ni. Macam badut pun ada,” cerita Iskandar sambil membayangkan perasaannya ketika itu.
Nasyrah tidak dapat menahan ketawanya lagi. Lucu sungguh rasanya cerita abangnya itu. Tapi bila dibayang-bayangkan, macam romantik pula. Nasyrah tahu, abangnya benar-benar menyayangi Nudra. Sejak sekolah lagi abangnya itu menaruh minat pada cucu Wan Anum Sophia itu.
“Tok Ayah tak marah ke abang mengurat cucu dia? Dia tu kan alim? Satu lagi, mudah pulak abang dapat green light dari Wan Anum Sophia. Dia tu macam cerewet plus berlagak sikit.”
“Alah, abang bukan dating macam orang sekarang, lalu apa masalah Wan Anum Sophia nak halang pulak? Abang pun tahulah nak jaga maruah Kak Nudra dan Tok Ayah, jugak maruah keluarga kita. Selalunya kalau abang berbual dengan Kak Nudra, dua pupu dia yang duduk sekali tu ada sama. Bila difikir-fikirkan, lebih elok macam tu. Selain dari menghindari perkara tak baik, kita rasa macam ada satu cabaran dan ia menguatkan hati kita untuk mendapatkannya. Kata orang, easy come easy go,” ucap Iskandar bersungguh-sungguh.
“Hmm… abang dah pandai berfalsafah nampak?”
“Okeylah macam tu, sekurang-kurangnya bertambah satu lagi kepandaian abang. Ibnu Sina pun banyak kemahiran dia…” Iskandar mencuit dagu adiknya lalu dibalas dengan cebikan oleh Nasyrah.

Rabu, 26 September 2007

Bhg 21

KEEMPAT-EMPAT anak Sophia bersama suami masing-masing masih sabar menanti emak mereka bersuara. Biasanya jika Sophia memanggil ke semua anak-anaknya berkumpul di ruang keluarga itu, tentulah ada perkara mustahak yang hendak dibincangkan.
Munirah yang duduk paling jauh di atas kerusi rodanya sudah maklum dengan perkara yang akan dibincangkan nanti, tentu saja berkaitan dengan lamaran untuk Nudra oleh keluarga Prof. Khalidi. Dia menanti penuh debar kerana banyak perkara yang sedang bermain di benaknya. Selama ini dia hanya fikirkan tentang pertanyaan Nudra tentang ayahnya tetapi dia lupa bahawa suatu hari nanti Nudra akan dilamar orang. Bagaimana nanti dia akan menjawab kepada bakal besannya? Bolehkah mereka terima Nudra andai mereka tahu perkara sebenar?
“Mak nak bagitahu, ada orang masuk meminang Nudra.”
Suasana jadi gamat seketika dengan berita tak disangka-sangka itu.Masing-masing hendak bertanya dan memberi pendapat sendiri.
“Mereka datang sini?” suara Sarah meningkah.
“Siapa Prof. Khalidi tu? Mak kenal?” Syahirah pula bertanya.
“Bila rombongan tu datang?” Hasani, suami Syahirah pula menyampuk.
“Senyap-senyap budak tu ada jugak orang berkenan,” komen Shabudin yang duduk di kiri isterinya, Sarina.
“Mereka ke rumah Ayah Ngah kamu tiga empat hari lepas. Wan Mustakim yang bagi tahu mak dan mak terus ke rumah dia siang tadi. Itulah yang mak rasa terkilan sikit. Sikit pun Nudra tu tak ingatkan mak ni. Dia lupa nenek dia masih hidup,” ucap Sophia sambil menjeling tajam Munirah yang duduk di hujung bilik.
Munirah tunduk dan diam saja. Dia tidak tahu kenapa emaknya berkata begitu. Setahu dia, Sophia tidak pernah nak ambil peduli dengan Nudra. Hmm… mungkin nikah kahwin Nudra adalah perkara penting baginya. Dalam diam Munirah menelan keluhan.
“Jadi, Ayah Ngah dah terima?” soal Syahirah dengan mata membulat memandang Sophia. Wajahnya berubah sedikit. Sebentar kemudian pandangannya beralih kepada Munirah. Dia yang tidak tentu arah dengan berita itu.
“Itu yang mak nak bincang ni. Kata putus belum diberi,” jawab Sophia sambil mengedipkan mata kepada anak bongsunya, menghantar isyarat agar Syahirah tidak terlebih bicara.
Semua pandangan tertumpu ke arah Munirah. Mereka menanti reaksi kakak sulung mereka seterusnya. Munirah hanya diam. Dia tidak berani bersuara kerana dia pasti suaranya tidak pernah ‘laku’ dalam keluarganya sendiri.
“Itu kena tanya Kak Murni. Nudra tu anak dia,” Shabudin mengajukan pendapatnya. Dia merasa selama ini Munirah sering dipinggirkan sedangkan dia anak yang paling tua.
Sophia mengalihkan pandangan ke arah Munirah yang tunduk merenung lantai. Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan kerana dia sendiri sedang mencari keputusan yang terbaik untuk masa depan Nudra. Dalam fikirannya ada perkara yang lebih hebat lagi berbanding dengan lamaran tersebut.
“Apa salahnya terima aje pinangan tu? Nudra tu dah berapa umur dia? Dua puluh dua tahun, kan? Kan dah patut kahwin dah… Dah lewat pun,” suara Zuki, suami Sarah yang hanya menjadi pemerhati telatah ipar-duainya sejak tadi. Dia tidak tahu apa-apa tentang hal keluarga itu sebenarnya.
“Tak ada salah, tapi banyak masalah!” Tingkah Sarina dengan suara sedikit meninggi. Dia tidak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi nanti andainya apa yang mereka rahsiakan selama ini terbongkar.
Sekali lagi semua mata terarah kepada Munirah. Munirah hanya mampu menelan ludah. Dia tahu apa maksud adiknya itu. Ya, dia sendiri sedang kalut memikirkan masalah yang bakal timbul nanti.
“Sebab tulah mak panggil kamu berkumpul ni. Mak nak mintak pendapat kamu semua. Munirah, kamu macam mana? Dah sedia nak berdepan dengan semua ini?”
Pertanyaan Sophia itu bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya. Demi TUHAN, dia tidak sanggup untuk berdepan dengan masalah yang bakal timbul nanti. Kalau selama ini dia masih mampu mengangkat muka kerana tidak siapa pun yang tahu selain keluarganya, tapi kalau semuanya terbongkar nanti sanggupkah dia menghadapinya? Apakah jawapan yang bakal diberikan kepada Nudra nanti? Bagaimana pula dengan keluarga pihak lelaki, sanggupkah mereka menerima Nudra?
“Budak tu kerja apa? Oh, lupa nak tanya! Nama apa budak tu?” Sarah bertanya lagi. Dia tidak kisah dengan apa yang akan berlaku nanti, tetapi dia amat kisah dengan siapa Nudra berkahwin.
“Nama budak tu Iskandar. Baru dapat kerja. Budak tu baru balik dari oversea, lulusan architecture,” terang Sophia seolah-olah dia hafal dengan biodata Iskandar.
“Jangan bimbang, dik. Laki Erisha, Tengku Rafiq tu lagi kelaslah… Budak Iskandar tu baru nak kerja, duit pun entah ke mana lagi. Tengku Rafiq dah ada company sendiri..Mak bapak dia pun makan gaji juga, tak ada syarikat besar macam besan adik tu. Mereka tu orang biasa-biasa je tak macam menantu adik, kerabat diraja.” Sarina yang terlebih dahulu dimaklumkan oleh Sophia tentang bakal menantu Munirah itu pula menyampuk. Dia tahu kenapa adiknya itu bertanya begitu. Dia faham sangat dengan perangai Sarah yang tidak boleh kurang daripada orang lain. Lebih-lebih lagi kalau pasal Erisha. Semenjak Erisha menjadi menantu kerabat diraja itu makin menjadi perangai adiknya yang seorang itu.
“Macam mana, Munirah?” Suara Sophia meninggi di sebalik suara-suara anak menantunya yang mula berbicara sesama sendiri. Suasana kembali sepi.
“Terpulang pada emak,” jawab Munirah lemah. Dia terpaksa menyerahkan segala keputusan itu kepada emaknya kerana dia sendiri tidak tahu apakah keputusan yang terbaik buat Nudra sebenarnya.
"Kalau macam tu, apa-apa keputusan yang mak buat kamu jangan menyesal."
"Tapi macam mana dengan..." Syahirah tidak meneruskan bicaranya apabila terpandang jelingan tajam Sophia.
"Mak tahu apa yang mak buat!" Tegas suara Sophia membuatkan semua yang ada di situ terus hilang suara.

Selasa, 25 September 2007

Bhg 20

ANGIN petang yang berpuput lembut sesekali menyentuhi wajahnya. Burung-burung ciak rumah yang sekejap-sekejap hinggap di tepi bumbung rumah dan sekejap-sekejap pula terbang ke sana ke mari menarik perhatian Nudra. Sungguh riang dan bebas makhluk TUHAN itu! Bisik hatinya.
Hannah yang duduk tidak jauh dari situ sejak tadi hanya memerhati telatah dua pupunya itu. Jasad Nudra saja ada di situ tetapi fikiran entah ke mana. Sejak dua tiga hari ini Nudra lebih banyak termenung daripada biasa. Tentu dia sedang fikirkan tentang kata-kata Nenek Sophia tempoh hari. Kasihan Nudra andainya Nenek Sophia benar-benar memaksa Tok Ayah menolak pinangan Iskandar. Meskipun
Hannah tahu, Nudra sukakan Iskandar walaupun Nudra tidak pernah mengakuinya secara terang-terangan. Dari reaksi Nudra kebelakangan ini, dia dapat rasakan apa yang tersirat di hati gadis itu. Dari sinar mata Nudra yang terpancar indah setiap kali berhadapan dengan Iskandar sudah cukup mebuktikan di hati gadis itu ada cinta yang membara.
“Aku tak dapat bayangkan kalau Nenek Sophia paksa jugak Tok Ayah pulangkan cincin tu.” Hannah cuba menguji hati sepupunya.
Pantas Nudra menoleh. Berkerut dahinya memandang ke wajah Hannah yang buat-buat khusyuk menjahit butang pada baju tempahannya. “Kau agak-agak nenek akan buat macam tu ke? Kau rasa Tok Ayah akan tunduk ke dengan kehendak nenek?” Suara Nudra menggambarkan kegelisahannya.
Hannah tertawa gelihati melihat wajah Nudra yang jelas kelihatan cemas saja. “Oh, jadi betullah kau ni tengah fikir pasal tu dan betulah kau pun memang ada hati dengan Is? Sebelum ni tak nak ngaku. Malu tapi mahu...”
Wajah Nudra yang putih bersih itu serta-merta berubah merah padam. Barulah dia sedar yang Hannah sengaja hendak memerangkapnya dengan pertanyaan begitu. “Aku malu dengan Is kalau betul-betul nenek tolak pinangan dia. Tok Ayah pun mesti malu jugak.”
“Betul ke setakat malu aje? Kau tak takut kecewa?” Suka benar dia bila melihat Nudra tidak tentu arah begitu. Sesekali buat sepupunya itu menggelabah seronok juga.
Nudra menggigit bibir. Ternyata dia sudah terperangkap dengan kata-kata sendiri. “Err… entahlah, Hannah. Aku pun tak tahu dengan perasaan aku sebenarnya.”
“Depan Is kau jual mahal, control ayu... Sekarang, kau gelabah tak tentu pasal.”
Nudra sekadar mengangkat bahu. Dia masih mengharapkan jawapan dari pertanyaannya tadi. Hendak bertanya sekali lagi, terasa malu pula. Nampak sangat dia tidak sabar-sabar hendak menunggu keputusan nenek. Alah, memang ya pun… Nudra ketawa dalam hati. Ishkk… kalaulah nenek tahu, mahu ditelannya aku hidup-hidup. Tentu nenek akan kata aku anak dara gatal dan tak reti malu!
“Kau ni memang suka kat Iskandar kan? Mengaku ajelah, Nudra. Takkan kau nak berselindung lagi. Dengan aku pun kau tak nak terus-terang. Bukan ke dah terang lagi bersuluh, buat apa nak berahsia lagi?” Baju yang sedang dijahitnya di letakkan ke atas meja lalu menghampiri Nudra yang sedang duduk di tepi tingkap.
“Teruk tak kalau aku mengaku aku sukakan dia?” Sekali lagi muka Nudra merona merah. Malu sungguh dia hendak mengakui perasaannya yang satu itu.
Soalan Nudra yang berupa jawapan itu membuatkan Hannah tertawa. Entah kenapa dia merasakan kata-kata itu lucu sekali. “Suka aje ke? Kau tak sayang kat dia ke? Aku rasa kalau setakat suka je, tak adalah kau nanar macam ni.”
“Kenapa kau gelak?” Nudra menolak sedikit badan Hannah. Tersinggung juga apabila perasaannya dipersendakan begitu. “Bencilah! Ini yang aku malas nak cakap ni…” Dia pura-pura berjauh hati.
“Okey… Okey… Aku tak gelak lagi. Sorry! Aku bukan nak gelakkan kau tapi aku rasa soalan kau tu kelakar, sebab tu aku ketawa. Betul tak aku kata, kau bukan setakat suka je kat dia?” Hannah menekup mulut cuba menahan tawanya yang masih bersisa. Matanya berair-air.
Wajah Nudra sudah berubah muram. “Alah… janganlah merajuk. Tak ada orang nak pujuk ni. Is pun tak datang…” usik Hannah lagi sambil mencubit pipi gadis berblaus biru itu.
“Jangan nak ngada. Cakap bukan-bukan… Sekali Tok Ayah dengar tak ke malu? Nanti dia kata, apalah cucu aku ni gatal sangat ni…” Nudra meletakkan jari telunjuknya ke bibir, mengisyaratkan agar Hannah tidak bising-bising.
“Yalah! Yalah! Aku tak bising lagi. Tapi mengakulah dulu. Tak salah pun kalau kau mengaku. Kau kan tak lama lagi akan jadi tunang Iskandar.” Hannah masih tidak jemu menggiat sepupunya.
“Hannah, kau tak jawab lagi soalan aku. Asyik gelak aje tak sudah-sudah. Kau ni tersalah makan ubat ke apa?” Majalah NUR yang di beleknya sejak tadi di letakkan kembali ke atas rak di sebelah yang penuh dengan bermacam-macam majalah.
“Apa yang kau tanya tadi? Lupalah…”
“Hannah!” Suara Nudra separa menjerit. Geram sungguh dengan sikap Hannah. “Aku tanya, agak-agak nenek paksa Tok Ayah tak? Dan Tok Ayah nak ikut tak cakap nenek tu?”
“Aku pun tak pasti, Nudra. Tapi aku agaklah, Tok Ayah tak akan tunduk dengan perempuan macam Wan Anum Sophia tu. Lagipun aku rasa takkanlah nenek kau tu nak malukan diri dia dengan pulangkan balik cincin tu? Dia kan tak suka imej dia tercemar. Kalau dia buat macam tu, tentu menjatuhkan nama Wan Anum Sophia yang gah tu. Kalau dia tolak pinangan Iskandar macamlah dia menolak tuah. Kalau dia sanggup buat macam tulah, ‘something wrong somewhere’ lah tu… Kalaulah Iskandar tu pun masih tak memenuhi kriteria menantu pilihan orang tua tu, aku tak tahulah lelaki macam mana lagi yang dia nak cari untuk cucu dia ni. Nak tunggu anak raja ke datang meminang? Tak tahulah pulak kalau dia nak kau jadi anak dara tua,” balas Hannah panjang lebar.
Sebuah keluhan terlepas dari mulut Nudra. Dia tak yakin neneknya akan lakukan perkara yang membahagiakan hidupnya. Nenek Sophia itu tidak boleh dijangka tindakan dan keputusannya. Kalau dulu bukan main lagi nenek menghalangnya dari bekerja, tapi tak semena-mena nenek suruh dia membantu Tok Ayah di sekolah agama Tok Ayah ni. Begitu jugak bila dia minta untuk bertemu Tok Ayah. Setiap kali dia minta untuk pulang ke kampung sekejap, nenek pasti naik angin. Lalu dia tidak pernah berani lagi untuk mengutarakan keinginannya itu sehinggalah petang itu nenek yang menghantarnya ke sini. Betapa hatinya melonjak gembira ketika dapat kembali semula ke sini, bertemu dengan Tok Ayah dan Hannah semula adalah satu rahmat besar buatnya. Tak tahulah kalau tindakan nenek ni ada agenda dan helahnya sendiri. Terserahlah kepada takdir ALLAH. Yang penting dia dapat jumpa Tok Ayah dan Hannah dan dia bahagia di sini.
“Kau pun belum jawab soalan aku. Tapi aku rasa aku dah tahu. Tengok muka engkau yang merah padam bila aku tanya tadi pun aku dah tahu apa yang tersirat dalam hati kau tu. Kau memang sayang dan cinta kat Iskandar, kan?” Hannah mengulangi pertanyaannya tadi.
Tanpa menoleh dan sambil menunduk Nudra mengangguk perlahan. Sekali lagi darah menyerbu ke mukanya. Malunya!
“Tapi aku nak tanyalah… Cewah, macam wartawan pulak aku ni ya? Tak apa kan Nudra? Kalau kau tak cerita kat aku, kau nak cerita kat siapa pulak? Takkan kau nak cerita kat Tok Ayah kot?” Hannah tergelak sendiri. “Siksa tau memendam perasaan sorang-sorang. Kalau share dengan aku kan best?” sambungnya lagi.
Kusyen yang mengalas belakangnya menjadi mangsa untuk membalas usikan Hannah. Hannah yang sedang tunduk melipat baju yang baru siap dijahitkan butang itu menjerit kerana terkejut. “Weh, kalau ya pun janganlah main kasar! Mujur tak ada jarum. Dibuatnya tercucuk mata, buta beb… Aduhai… baru nak practice jadi wartawan dah kena bantai.”
Kata-kata Hannah disambut tawa Nudra. “Sorry, Hannah! Aku ingat tak kena kau tadi, tapi okey jugaklah kalau dah terkena. Kira padanlah dengan muka kau tu. Hah, apa yang kau nak tanya, wartawan kepoh?”
Hannah mendengus perlahan. “Brutal jugak cucu Wan Anum Sophia sorang ni, ya? Kalau depan Is, pijak semut pun tak mati.”
Nudra mencebik, malu sedniri dengan usikan demi usikan Hannah. “Hah, tanyalah cepat!”
“Okey… okey… Sejak bila kau jatuh hati kat Iskandar ni? Hari tu bukan main lagi kau marah kat dia bila dia luahkan perasaan dia? Ehem… nasib baik orang tu tak merajuk atau patah hati. Tak pun dibuatnya Iskandar takut sebab kau garang sangat, tak ke rugi? Lebih ironis kalau dia terjatuh hati kat aku ke...” Tak sudah-sudah Hannah hendak kenakan Nudra.
Nudra tersengih kata-kata Hannah. Kalau dengan Hannah, memang kena tahan telinga dan tak perlu ambil hati. Walaupun mulut Hannah boleh tahan lasernya, tapi hati Hannah baik. Gadis itu sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri. Dialah teman ketawa juga menangis. Dia juga tempat berkongsi segala masalah. Walaupun lebih sepuluh tahun mereka berpisah namun hubungan mereka masih seperti dulu malah lebih rapat.
“Malu aku nak cerita. Tapi tak apalah…Sebab kau ni ‘sepusat sepusing’ dengan aku maka aku terpaksalah tahan aje perasaan malu aku tu. Kau nak kutuk pun kutuklah… Sebenarnya aku suka Is sejak sekolah lagi. Is tu baik dengan aku, tapi sebagai kawan biasa ajelah. Dalam banyak-banyak yang minat kat aku dia yang paling baik hati… Cewah! Perasan pulak aku ni… Tak apa, dengan kau kan aku dah tak perlu malu.” Nudra mencebik sambil mengangkat kening pada Hannah..
Hannah pula membalas dengan cebikan “Dah start dah perasan dia tu. Ini yang aku malas nak tanya ni… Tapi tak apalah, oleh kerana kita ni ‘sepusat sepusing’, aku kenalah tahan telinga kan?”
Nudra tergelak mendengar ucapan Hannah. “Aku suka dia pun sebab dia tu nampak baik, pandai pulak tu. Yang paling buat aku suka bila tengok dia layan adik dia. Masa kami di tingkatan lima, adik dia baru tingkatan tiga. Jelous aku tengok kemesraan dua beradik tu. Masa tu aku rasa best sangat kalau ada abang macam Iskandar.”
“Jelous? Dengan adik dia pun kau jelous? Tak payahlah kau nak jelous lagi. Haa… lepas ni memang dia akan jadi ‘abang’ kau. Kau bermanjalah dengan dia puas-puas,” pintas Hannah sambil tergelak-gelak.
“Iskandar jadi abang aku? Hmm…” Nudra kurang mengerti kata-kata Hannah. “Jelous la sebab aku tak pernah merasa ada abang yang baik macam tu. Kalau ada pun sepupu aku Syameer tu je. Yang lain semuanya muda dari aku dan tak rapat pun…” sambung Nudra sambil termenung jauh mengingati wajah-wajah penghuni rumah Nenek Sophia. Satu-persatu wajah sepupu-sepupu terbayang di ruang mata. Tiba saja dia jadi rindu pada Ruslina yang banyak membantunya sewaktu di rumah Nenek Sophia. Apalah yang Ruslina buat selepas tamat SPM-nya ni, fikir Nudra.
“Yalah, tak lama lagi kau dapatlah abang yang kau impikan tu,” usik Hannah lagi.
Nudra hanya tersenyum tanpa makna.
“Jadi, kau ni memang memendam perasaan sejak sekolah lagilah ni?” sambung Hannah kemudiannya.
“Nak buat macam mana, dah terjatuh hati. Tapi aku tahu semua tu cinta monyet dan aku pulak tak sanggup jadi monyetnya…”

Isnin, 24 September 2007

Bhg 19

“APA mimpi Nenek Sophia tu, tiba-tiba datang sini? Tak pernah-pernah pun dia nak jenguk kau selama ni,” omel Hannah yang sedang menyusun cawan dan piring ke dalam dulang. Nudra buat-buat tidak dengar. Persoalan itu jugalah yang sedang bermain di kepalanya katika itu. Setahu dia, nenek tidak akan saja-saja ‘mencemar duli’ begitu kalau tidak ada hal mustahak. Nenek tu kan cerewet dan banyak pantang larangnya, manalah dia hendak menjejakkan kaki ke rumah buruk macam rumah Tok Ayah ni.
“Nampak macam ada hal penting je… Serius aje aku tengok Tok Ayah dengan Nenek Sophia tu berbincang,” sambung Hannah lagi apabila kata-katanya tidak berbalas. Sesekali dia memanjangkan leher, mencuri pandang ke ruang tamu yang terletak ke atas sedikit dari ruang dapur.
“Adalah tu halnya…” balas Nudra bersahaja. Air yang sudah mendidih dituang ke dalam teko. Sebelum itu sudah berkali-kali dia membelek teko lama yang jarang-jarang sahaja digunakan itu. Biasanya teko yang Mak Tok beli di Mekah itu digunakan sesekali aje. Bimbang juga kalau-kalau ada cacat celanya, nanti mulut Nenek Sophia tu akan bising komen begitu begini. Sakit telinganya kalau orang tua tu mula mencela dan mencaci harta benda orang. Kedatangan Sophia ke situ pun sudah mengganggu ketenangan jiwanya. Harap-harap tidak ada perkara yang buruk dibawa oleh nenek, doa Nudra dalam hati.
“Jangan-jangan dia datang pasal pertunangan kau dengan Iskandar, tak?” teka Hannah menambah kerisauan di hati Nudra. Bulat mata Nudra memandang sepupu yang sebaya dengannya itu. Gadis bertudung putih itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya apabila melihat reaksi Nudra. Nudra memberi isyarat agar Hannah diam, bimbang kalau-kalau ketawa gadis itu akan didengari nenek. Dan ketawa Hannah juga turut menggegarkan jantungnya kerana perkara yang sama juga sedang bermain dalam fikirannya.
“Kau jangan nak mereka-reka cerita. Jangan nak takutkan aku.”
“Kenapa? Kau takut Nenek Sophia tak setuju dengan pinangan tu, kan? Mungkin juga… manalah tahu, Nenek Sophia dah ada calon istimewa. Kau tahu kan, kalau pilihan nenek kau tu tentu yang ada ‘kelas’,” Hannah cuba menakut-nakutkan Nudra dengan menekankan perkataan ‘kelas’ itu.
“Kelas? Kelas apa? Kelas bongkak!” Nudra membalas sambil menjuihkan bibirnya. Hannah terkekeh-kekeh ketawa melihat wajah Nudra yang nampak rimas itu.
“Tak kiralah apa kelasnya pun, janji ada kelas. Aku yakin dia datang tu ada kaitan dengan Iskandar. Aku dah agak sejak saat keluarga Iskandar datang lagi, Wan Anum Sophia tentu mengamuk sakan kalau dia tahu. Dia kan tak boleh kalau orang membelakangkan dia.”
“Kau jangan tambahkan risau aku ni, Hannah. Aku rasa nenek ada hal lain yang lebih penting. Harap-harap tak adalah kaitan dengan pinangan Iskandar tu. Lagipun dah beberapa hari berlalu, takkan baru hari ni nenek nak mengamuk,” Nudra berkata dengan suara perlahan sekali.
“Wan Anum Sophia… siapa tak kenal dengan perangai nenek kau tu, Nudra.”
Nudra terduduk di kerusi. “Kalau nenek mintak putuskan, macam mana?” Lirih suara Nudra mengucapkannya.
Hannah menghampiri sambil mengusap bahu temannya. Dia dapat rasakan gelora perasaan Nudra ketika itu. “Mudah-mudahan taklah, ya Nudra… Aku pun doakan tak adalah perkara buruk berlaku. Aku mintak maaf kalau aku takutkan kau, tapi aku musykil sebab apa Nenek Sophia datang,” ucap Hannah sedikit kesal.
“Tak apalah, Hannah. Aku tak salahkan kau pun sebab aku pun risaukan benda yang sama.”

“NENEK datang ni ada hal mustahak nak cakap dengan kamu,” ucap Sophia dengan tertib tetapi tegas. Matanya tajam merenung Nudra yang sedang meletakkan dulang ke meja. Renungan dan riak wajah Sophia menggambarkan perasaannya ketika itu. Ya, dia sedang sakit hati. Sakit hati kerana diabaikan, rasa dibelakangkan oleh cucu sendiri. Perkara besar macam ni pun boleh dia tahu kemudian. Nudra memang tak tahu diuntung! Budak yang selalu membawa masalah! Bentak hati Sophia penuh geram.
Nudra yang sedang menyusun cawan di meja mengangkat pandangannya, memandang ke wajah Sophia sebentar. ‘Yalah, kalau tak ada hal mustahak nenek tak akan jejak ke kampung macam ni,’ jawab Nudra dalam hati. Dadanya berdebar-debar, jantungnya bagai hendak tercabut dari tangkainya melihat sorot mata Sophia yang tajam mencerun. Teringat kata-kata Hannah sebentar tadi. Mungkinkah tekaan Hannah akan jadi kenyataan?
“Tok Ayah kata ada orang masuk meminang kamu. Baguslah, ada jugak lelaki nakkan kamu.” Pandangan Sophia terus tertancap pada wajah bersih yang nampak sedikit terkejut itu. Kata-katanya tajam menghiris hati.
Nudra yang sedang meletakkan cawan ke meja menelan liur, langsung tidak berani mengangkat muka. Piring dan cawan di tangan hampir berlaga sesama sendiri kerana berdebar-debar. Sakit hati pun ada dengan sindir perli nenek sendiri. Hendak pandang wajah Tok Ayah pun dia tidak berani. Bagaimana nenek tahu? Siapa yang beritahu nenek? Apa pula tindakan nenek nanti? Ya TUHAN, bagaimana nanti sekiranya nenek tidak setuju? Tergamakkah nenek memaksa Tok Ayah menolak pinangan tu? Otaknya terus ligat mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu. Fikirannya menerawang entah ke mana. Semangatnya bagaikan terbang melayang. Tiba-tiba saja dia merasa seram sejuk dan hendak pitam.
“Kamu dah berani buat rancangan sendiri tanpa bertanya pada nenek dulu. Sampai hati kamu membelakangkan nenek dalam hal-hal penting macam ni. Mentang-mentang kamu duduk dengan Tok Ayah kamu, kamu rasa nenek dah tak perlu tahu hal kamu lagi. Kamu ingat kamu bebas buat apa saja yang kamu suka? Kamu ingat kamu dah pandai sangat, sampai lupa orang tua?” Sophia terus mengomel, melepaskan geramnya pada Nudra. Walaupun dia tahu, umur macam Nudra tu dah patut-patut kahwin, dan kalau lambat kahwin nanti orang kata; cucu Wan Anum Sophia tak laku tapi ada perkara yang lebih memalukan kalau perkahwinan itu terjadi. Ya, Nudra lain… Nudra tak boleh kahwin! Kalau Nudra kahwin, dia akan susah. Bukan saja susah, tapi segala rahsia akan terbongkar. Ketika ini dia teringatkan kedatangan Fadhil tempoh hari. Dia perlu lakukan sesuatu!
“Diam-diam kamu ada kekasih. Nenek ingat duduk dengan Tok Ayah yang mengajar agama kamu akan jadi budak paling alim, paling baik dan sopan. Tapi tak sangka berani pulak kamu berkasih-kasihan,” cemuh Sophia lagi.
“Saya tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa dengan dia! Dia cuma kawan sekolah saya dulu dan kebetulan dia jadi anak murid Tok Ayah pula.” Terluncur laju ucapan itu dari mulut Nudra. Hatinya mula mendidih dengan sindiran Sophia yang lagsung tidak berasas itu. Kata-kata itu dirasakan seolah-olah menghina Tok Ayah. Dia cukup benci bila ada orang menghina Tok Ayah. Tok Ayah cukup mulia untuk dicela dan dimaki pada pandanganya.
“Kamu memang suka kat dia, kan? Kamu memang dah lama berhubung dengan dia, kan?” Sophia terus mengasak Nudra dengan suara tegas sekali.
Pertanyaan Sophia membuatkan Nudra semakin berdebar-debar. Tiba-tiba saja nenek bertanya dia suka atau tidak kat Iskandar dan tuduh dia ada hubungan dengan Iskandar. Perlukah dia menjawab bagi membela diri? Nenek sengaja hendak mencari salahnya. Kalau dia tersalah jawab, nanti nenek akan anggap dia bukan-bukan. Kalau dia diam, tentu nenek anggap tuduhannya itu semuanya betul. Aduhai… sukarnya jadi cucu nenek!
Spontan dia memandang ke wajah Tok Ayah, menghantar isyarat agar Tok Ayah bersuara bagi pihaknya. Dia bimbang kalau dia yang jelaskan akan menimbulkan kemarahan Nenek Sophia. Nenek selalunya akan ‘tidak faham’ dengan kata-katanya. Entah apa bahasa yang sampai ke telinga nenek apabila dia bercakap kerana selalu saja patah-patah yang keluar dari mulutnya membakar hati orang tua itu. Dia tidak mahu menempah kemarahan nenek di hadapan Tok Ayah kerana dia tidak mahu nama Tok Ayah dibabitkan sekali. Nenek Sophia bukan boleh dibuat kira kalau dia marah, siapa saja akan terkena tempiasnya.
Tok Ayah masih duduk dengan tenang. Dia mengerti maksud pandangan Nudra sebentar tadi. “Iskandar tu satu sekolah dengan Nudra. Kebetulan Iskandar dihantar ayahnya ke mari untuk belajar agama sementara budak tu cari kerja. Dah ditakdirkan Iskandar berkenan dengan Nudra, nak buat macam mana?” Akhirnya Tok Ayah bersuara membela cucu saudaranya.
Sophia menjuihkan bibir. “Adik tak tahu perangai cucu kesayangan Adik ni. Dia memang dah lama ada hubungan cinta dengan budak lelaki tu. Masa dia tinggal dengan kita lagi; budak berdua ni selalu berhubung, selalu surat-menyurat sampai berani tulis rindu-rinduan. Kalau Adik kata pertemuan dia orang ni satu takdir atau kebetulan, kita tak percaya. Semua ni memang dah dirancang budak berdua ni. Budak-budak sekarang makin cerdik, makin panjang akalnya. Kita senang-senang diperbodohkan dia orang ni. Jangan Adik Wan tak tahu...”
Tok Ayah pandang ke wajah Nudra sekilas. Dia tidak mahu percaya dengan apa yang diucapkan kakak iparnya sebentar tadi tetapi mungkin juga. Siapa tahu…
‘Nenek bohong! Nenek jangan nak reka cerita depan Tok Ayah. Surat yang nenek maksudkan tu tak pernah pun sampai ke tangan saya, inikan pula saya nak merancang perkara bukan-bukan,’ jerit Nudra di dalam hati. Geram sungguh dia dengan sikap Sophia yang tidak pernah berubah itu.
“Sudahlah, jangan diungkit perkara lama. Sekarang semuanya dah selesai. Iskandar dah mintak secara adat. Apa masalah lagi?” sanggah Tok Ayah. Riak di wajah Nudra membuatkan dia jadi simpati.
Sekali lagi Sophia menjuihkan bibir. Meluat sungguh dia dengan sanggahan itu. Datuk dengan cucu sama saja! “Masalahnya kita tak kenal budak tu!” Suara Sophia sedikit meninggi. “Bak sini nenek tengok cincin tu. Entah apa jenisnya yang kamu dapat. Dia ingat nak pinang cucu Wan Anum Sophia hanya dengan cincin belah rotan aje ke?”
Nudra mengetap gigi. Hatinya bertambah sakit melihat perangai Sophia yang tidak semenggah itu. Dengan terpaksa dia menghulurkan bekas cincin yang terletak di atas meja kepada Sophia. Tok Ayah mengetap rahang, kesabarannya mula tercabar dengan sikap kakak iparnya yang tidak beruba-ubah itu.
Sophia membelek-belek cincin tersebut dengan teliti. Sungguhpun dia tidak berkata apa-apa, namun riak di wajahnya menampakkan dia puas hati dengan cincin pertunangan itu. Sebentar kemudian dia mengalihkan pandangan pada Tok Ayah. “Adik dah beri kata putus?” soalnya seperti seorang hakim di mahkamah. Selendang hitam panjang yang sudah jatuh ke atas bahu ditarik semula sehingga menutupi sebahagian rambutnya yang kemerah-merahan kerana diinaikan itu.
Buat apalah nenek tarik-tarik selendang yang nipis tu? Tutup atau tidak sama saja, rambut nenek yang kemerah-merahan diinai itu tetap nampak jugak, gumam Nudra.
“Belum. Tapi saya akan segerakan.” Tok Ayah menjawab sepatah.
“Kamu masuk dulu, Nudra. Nenek nak bincang dengan Tok Ayah.”
Tanpa menunggu lagi Nudra terus beredar. Kalau dah begitu kata nenek, buat apa dia duduk di situ. Air mata yang sudah lama bertahan di tubir mata turun dengan lajunya tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Dia hanya pasrah…

“JADI Adik setujulah nak terima pinangan tu?” soal Sophia setelah Nudra menghilang ke dapur.
“Saya tak ada masalah. Nudra tu dah patut kahwin. Memang tanggung jawab kita sebagai orang tua carikan jodoh untuk dia. Sekarang dah Orang dah suka, kenapa nak halang lagi? Mungkin dah tiba jodoh dia,” balas Tok Ayah sedikit keras.
Sophia menghela nafas panjang. Dia tidak senang dengan ucapan Tok Ayah sebentar tadi. “Kita nak kamu pulangkan balik cincin ni,” ucap Sophia tegas.
“Kenapa nak dipulangkan pulak? Iskandar tu budak baik, dari keturunan baik-baik. Kita kenal ayah dia. Buat apa ditolak kalau tak ada sebab? Itu menolak tuah namanya. Lainlah kalau Kak Sophia berniat nak kahwinkan Nudra dengan keturunan raja atau anak orang kaya-raya,” Tok Ayah berkata sinis. Kalau orang dah campakkan batu buat apa dibalas dengan emas, fikir Tok Ayah. Dengan kakak iparnya itu tidak boleh berselindung, dia tidak akan faham. Kalau nak kata, kata aje terang-terang. Kalau dah perangai suka merendah-rendahkan orang, tak ada untungnya kita hormatkan dia.
Kedengaran Sophia mendengus kasar. Wajahnya juga sudah berubah riak. Dia tahu Tok Ayah menyindirnya. “Kalau kita nak cucu kita kahwin dengan anak datuk atau anak raja sekali pun, bukan cucu kita yang sorang ni!”
Tok Ayah berdehem keras. Sesak dadanya dengan perempuan sorang ni. Angkuh tak bertempat. Dia tidak sedar dia boleh hidup senang setelah kahwin dengan Wan Mursyid. Kemudian dia huru-harakan hidup Wan Mursyid anak-beranak. Tok Ayah hairan bagaimana abangnya dulu boleh tahan dengan perangai isterinya ini. Wan Anum Sophia jauh berbeza dengan arwah isteri pertama abangnya. Sikap Kak Farhah macam langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Kak Sophia. Kak Farhah isteri yang lemah lembut dan rendah hati. Sejak mula lagi dia sangat menentang keputusan abangnya untuk bersalin tikar tetapi demi anak kecil yang baru dilahirkan itu, abangnya tidak menghiraukan pendapatnya. Ternyata Kak Sophia bukanlah pengganti Kak Farhah yang tepat untuk membahagiakan abangnya itu.
“Kita ada sebab kenapa kita tak setuju. Kita tak mahu malukan keluarga kita,” jawab Sophia perlahan. Pandangannya tepat ke wajah Wan Mursyid.
“Kalau sebab yang itu Kak Sophia maksudkan, saya rasa bukan alasan yang tepat untuk kita halang Nudra kahwin. Dia pun ada hak untuk lalui hidup seperti orang lain. Kak Sophia harus tempoh kenyataan ni walaupun pahit. Kenapa Kak Sophia perlu takut dengan masa lalu? Saya lebih takut kalau berlaku perkara yang tak baik. Bukankah menikah tu dianjurkan untuk elakkan segala maksiat. Lagipun berdosa halang orang nak dirikan masjid.” Tok Ayah tahu Sophia bukan bimbangkan hal Nudra tetapi dia lebih bimbangkan kedudukannya.
“Keluarga budak tu tak akan terima Nudra kalau dia tahu siapa ayah Nudra sebenarnya. Kita tak mahu perkara yang jadi rahsia selama ini terbongkar?” Sophia cuba mengingatkan adik iparnya tentang kisah yang tak ingin dia ingati itu.
“Kita perlu berterus-terang. Perkara ni tak boleh dibuat main. Berdosa kita!”
“Mustakim... sebab tu kita tak setuju…”
Tok Ayah tidak membalas kata-kata itu. Dia merasa sedikit kecewa dengan pendirian wanita yang degil itu. Kalau semua perempuan atas dunia ni macam Wan Anum Sophia, alangkah malangnya semua lelaki di dunia ni!
“Kita harap Adik dengar cakap kita kalau Adik tak mahu Nudra susah,” ugut Sophia.
“Kita tak takut dengan ugutan, Kak Sophia. Kita bergantung kepada ALLAH SWT. DIA Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih. Lagipun Nudra tu bawah jagaan kita, kita yang berhak tentukan hidupnya,” ujar Tok Ayah tenang.
“Suka hati Adiklah…” Tanpa pamit, tanpa menyentuh sedikit pun air yang terhidang Sophia bangun dan terus angkat kaki keluar dari rumah kayu itu. Tok Ayah terus duduk merenung langkah yang diatur Sophia tanpa sepatah kata.

Khamis, 20 September 2007

Bhg 18

SEBENTUK cincin emas bertatah sebutir mutiara masih tersemat kemas di dalam kotak baldu biru. Sebentar dia terpaku pada cincin sebentuk itu kemudian pandangannya jatuh ke lantai. Suara Tok Ayah yang memberitahu tujuan kedatangan keluarga Iskandar sekejap tadi bagaikan di awang-awangan. Terkejut, terkesima, terharu dan segala macam perasaan lagi terus membalut hatinya. Ruang tamu yang sederhana luas itu dirasakan menhimpit membuatkan dia jadi lemas sendiri.
“Macam mana?” soal Tok Ayah inginkan pendapat Nudra. “Mereka mintak kita beri keputusan dalam masa seminggu. Tok Ayah pun rasa tak baik buat orang resah menunggu, jadi kita kena cepat-cepat beri jawapan,” sambung Tok Ayah lagi tanpa menunggu jawapan Nudra.
“Err… Saya serahkan kat Tok Ayah,” balas Nudra, masih lagi tunduk. Tidak sanggup rasanya untuk memandang ke wajah Tok Ayah dalam keadaan begitu. Malu sungguh rasanya…
Tok Ayah yang berjubah kelabu dan berkopiah itu tersenyum. “Kamu punya badan, kamu yang tentukan. Tok Ayah hanya jadi orang tengah.”
Nudra membasahkan bibirnya yang terasa kering. Tok Ayah tak tahu ke gelodak perasaan aku ketika ini? Tok Ayah tak faham ke bahasa badan aku ni? Bukankah diam itu tanda setuju? Tok Ayah buat-buat tak faham pula. Oh, kenapa Tok Ayah dera aku macam ni?
“Tok Ayah lebih kenal Iskandar dari saya,” ucap Nudra setelah beberapa ketika hatinya berbicara sendiri.
Sekali lagi senyuman Tok Ayah terukir di bibirnya. “Tok Ayah kenal fizikalnya saja. Kamu lebih kenal hatinya dan kamu lebih tahu hati kamu juga,” balas Tok Ayah bersahaja. Sengaja dia ingin menduga sejauh mana Nudra dapat menyembunyikan perasaannya.
Kata-kata Tok Ayah itu membuatkan Nudra mengangkat muka. Wajah Tok Ayah dipandangnya lama, mencari maksud ucapan ringkas tetapi penuh makna yang tersirat. “Maksud Tok Ayah?” Nudra tidak mampu mencari jawapannya dari wajah Tok Ayah yang tenang itu.
“Jangan tanya Tok Ayah, tanya hati kamu. Tok Ayah bukan tak nampak apa yang berlaku…”
“Tapi Tok Ayah, saya dan Iskandar tak ada apa-apa…” pintas Nudra dengan pantas.
“Itu Tok Ayah tahu dan Tok Ayah tak kata macam tu pun. Kamu belum dengar apa yang Tok Ayah nak cakap, kamu dah melatah,” usik Tok Ayah sambil tertawa perlahan.
Wajah Nudra kemerah-merahan menahan malu. Eii… mulut, kenapa la suka sangat potong cakap orang? Kan sendiri dah malu? Mahu saja ditampar-tampar mulut sendiri kerana cepat sangat memotong cakap Tok Ayah tadi. Nasib baik Hannah tak ada, kalau tidak mati dia diketawakan.
“Nudra, kalau kamu susah sangat nak bagi keputusan sebab kamu malu dan segan sangat dengan Tok Ayah, tak apalah. Tapi, apa-apa keputusan Tok Ayah, kamu jangan menyesal,” ujar Tok Ayah setelah membiarkan Nudra melayan perasaannya beberapa ketika. Dia sengaja berkata begitu untuk melihat reaksi Nudra seterusnya. Dia mengerti perasaan Nudra. Dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Nudra. Dia bukan tidak nampak apa yang berlaku selama enam bulan itu. Sekilas air di laut… Tak usah diucap, tak usah disebut. Cukup dengan gerak geri dia sudah mengerti apa yang sedang bergelora antara dua jiwa anak muda itu. Nudra hanya mengangguk dan tersenyum.
“Nenek Sophia macam mana?” soal Nudra pula dengan hati penuh bimbang.
“Hal nenek kamu tu serahkan pada Tok Ayah,” jawab Tok Ayah ringkas.
“Jadi, kamu setujulah ni?” tanya Tok Ayah sekali lagi.
Perasaan Nudra tidak dapat disembunyikan lagi. Tanpa sedar segaris senyuman terukir di bibirnya.
“Kalau macam tu,tak apalah. Nanti Tok Ayah uruskan,” putus Tok Ayah yang mengerti maksud senyuman itu.
Nudra menarik nafas lega lalu mengangguk. ‘Terima kasih, Tok Ayah! Terima kasih!’ Ucapan itu hanya terungkap di hati. Lidahnya sudah jadi kelu dan mulutnya bagaikan terkunci. Tiba-tiba saja ruang tamu yang tadinya dirasakan menghimpit jadi seluas padang yang dihampari bunga-bunga nan indah…

“KAN aku dah cakap keluarga Iskandar datang tu bukan saja-saja datang, mereka datang dengan hajat. Kau tak percaya…” Wajah Hannah berubah ceria. Dia tumpang gembira dengan cerita Nudra.
Nudra hanya tunduk bungkam. Wajahnya keruh seolah sedang menanggung perasaan yang berat. Tiba-tiba saja hatinya yang riang bertukar menjadi suram.
“Kau suka tak?” Soal Hannah apabila menyedari wajah Nudra yang muram dan langsung tidak menunjukkan kegembiraannya. Nudra hanya menjungkit bahu. Sebuah keluhan terlepas dari bibirnya. Tangannya menghentak-hentak tanah yang baru saja digemburnya untuk ditanam dengan pokok cili. Pertanyaan itu membuatkan pagi minggu yang indah berubah menjadi suram.
“Kenapa ni? Kau tak suka ke dengan Iskandar tu?” Hannah sedikit kecewa dengan reaksi Nudra. “Kau ni peliklah… Kadang-kadang aku nampak kau macam suka kat Iskandar tu. Kadang-kadang pulak kau macam tak ada perasaan langsung. Kalau kau tolak pinangan Iskandar, kau betul-betul tolak tuah tau! Iskandar tu punyalah baik, handsome pulak tu. Anak orang baik-baik, ada pelajaran, ada ilmu… Apa lagi yang kau cari? Cinta? Orang tak boleh hidup dengan cinta saja tau.” Panjang sekali Hannah berkhutbah. Dia pula yang terlebih ghairah. Apa tidaknya, dia merasa Iskandar dan Nudra adalah pasangan yang cukup sepadan. Tak sekufu? Tak setaraf? Macam-macamlah halangan cinta ni, ya? Bukankah manusia yang ALLAH SWT cipta ni semuanya berasal dari tanah? Lalu, apa yang membezakannya?
“Entahlah…” Sepatah kata yang lebih kepada keluhan itu membuatkan mata Hannah membuntang. Kali ini giliran dia pula menjungkit bahu. Dia benar-benar tidak faham dengan pendirian Nudra. Tadi selepas berbual dengan Tok Ayah, Nudra wajahnya nampak berseri aje, tapi ni tak pasal-pasal dah berubah wajah. Pelik… pelik…
“Aku dapat rasa, nenek tak akan biarkan aku kahwin dengan Iskandar.” Perlahan suara Nudra mengucapkannya. Dia tidak dapat bayangkan betapa hancur hatinya nanti jika nenek menghalang. Dia juga tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan Iskandar. Tentunya Iskandar seperti biasa akan mengasaknya dengan pelbagai soalan yang dia sendiri tidak punya jawapan. Dan tentulah amat sukar untuk memberikan alasan dengan ayat paling manis lelaki itu.
“Nenek Sophia tak ada hak nak menolak. Kau bukan di bawah jagaan dia lagi. Sekarang kau di bawah tanggung jawab Tok Ayah. Apa kena-mengena dia nak sekat-sekat kebahagiaan orang?” Hannah berkata dengan nada mencemuh. Sememangnya sudah lama dia meluat dengan wanita yang begitu angkuh menjulang nama ‘Wan Anum Sophia’ itu.
“Tapi aku ni cucu dia. Kau tak kenal Nenek Sophia, dia tu akan buat apa saja yang dia rasa dia nak. Dia bukan kira apa… Kau tahu… nenek pernah kata, aku ni tak layak hidup bahagia pun. Jadi tentulah hubungan ini juga tak layak untuk aku kerana aku mungkin akan bahagia dengan Iskandar. Mungkin juga nenek fikir aku tak layak dilahirkan pun. Aku tak tahu kenapalah nenek benci sangat dengan aku. Sejak aku tinggal di rumah tu, tak pernah sekali pun aku rasa nenek sayangkan aku. Dari dulu lagi aku tercari-cari sebabnya. Mungkin sebab aku ni tak ada pelajaran, tak cantik dan anggun macam nenek. Mungkin jugak aku ni tak ada ayah macam orang lain. Mungkin juga kerana ibu pulak macam tu, tak mendatangkan hasil untuk nenek. Ah, entahlah Hannah… Aku dah puas fikir. Mungkin dah nasib aku macam ni,” rintih Nudra mengenang nasib diri. Hatinya benar-benar pilu memikirkan sikap Nenek Sophia.
“Orang macam tu pun wujud kat dunia ni rupanya. Apa la... Apa kuasa dia nak tentukan suka duka hidup kau? Ini dia pulak yang nak atur-atur jodoh orang, dia bukannya TUHAN.” Hati Hannah sedikit membara. Sombongnya manusia bernama Wan Anum Sophia tu. Ada jugak manusia sebegitu ya, fikir Hannah.
“Itulah yang nenek aku fikir tentang aku. Kau nampak saja nenek tu lemah lembut, sopan bergaya. Tapi kau jangan samakan zahir nenek dengan hatinya. Nenek tu ada dua watak yang berbeza, macam boleh bersalin kulit pulak. Di depan orang bukan main lagi lemah-lembut tapi bila depan aku…” Nudra semakin sebal memikirkan sikap neneknya. Satu persatu tindakan Sophia di rumah besar itu kembali di ingatan. Dia masih ingat bagaimana nenek mengarahkan Kak Zira memotong rambutnya sehingga pendek seperti budak lelaki. Dia juga tak akan lupa tentang poskad yang nenek ‘curi’ dari simpanannya dan langsung menyorokkan poskad daripada Iskandar yang seterusnya. Dia juga tetap ingat setiap kata nista yang keluar dari mulut Sophia dan dia juga tetap mengenangkan layanan yang diberikan kepadanya di rumah besar itu. Dia akan ingat semua itu dan dia tidak akan lupa sampai bila-bila!
“Nudra, kita doa ajelah mudah-mudahan nenek kau tu akan lembut hatinya. Aku rasa dia tak ada alasan nak halang kau dari kahwin dengan Iskandar. Keluarga dia tu pun bukan calang-calang orang. Ayah Professor, mak dia pun pensyarah.” Hannah seakan memujuk. Benih cili ditaburnya ke atas tanah.
“Hannah, aku rasa cili ni nanti mesti pedas habis sebab muka kau masam je,” usik Nudra.
Usikan Nudra disambut tawa Hannah yang panjang. “Banyaklah kau punya petua…”

Rabu, 19 September 2007

Bhg 17

“NUDRA, hari ni last saya kat sini. Esok-esok saya tak datang lagi.”
“Err... Kenapa, Is? Awak nak ke mana?” Nudra berkerut kening, tidak faham apa yang dimaksudkan Iskandar sebenarnya. Terkejut pun ada. Sebab hal hari tu ke Iskandar nak pergi? Nudra ingin bertanya begitu tetapi tidak tergamak pula.
Wajah Nudra yang nampak keliru itu membuatkan Iskandar tersenyum sendiri. “Saya nak balik ke KL, rumah mak ayah saya.”
“Ooo... tapi kenapa? Awak tak nak belajar dengan Tok Ayah lagi? Awak masih marah kat saya ke?” tanya Nudra sekali lagi. Dia berasa bimbang dengan keputusan mendadak Iskandar. Mungkin Iskandar merajuk hati kerana sikapnya yang kasar tempoh hari? Tapi takkanlah... Iskandar tu bukannya budak kecil yang mudah ambil hati dengan perkara remeh-temeh macam tu.
Melihat wajah Nudra yang nampak cuak itu membuatkan Iskandar tertawa. “Pasal apa? Pasal hari tu ke? Tak adalah... Ada pulak sebab marah, terus aje merajuk nak balik. Kelakarlah... Macam budak kecik je bunyinya. Tak ada apa-apa pun hari tu. Lagipun rugilah kalau saya merajuk dengan awak, awak ni bukan reti nak pujuk pun.” Gadis bertudung kain kapas itu dipandangnya sekilas, mencari riak di balik wajah yang kemerahan itu.
Nudra buat-buat tidak dengar ucapan Iskandar yang lebih kepada usikan itu. Dalam hati dia mendengus sendiri.
“Sebenarnya saya dah dapat kerja kat KL. Jadi, lepas-lepas ni saya dah tak adalah kat sini lagi. Tak ada muka saya yang asyik nak ganggu awak lagi. Sebab tu saya jumpa awak ni, saya nak mintak maaf kalau ada apa-apa yang menyakiti hati awak selama saya kat sini.”
Nudra terkedu dengan penjelasan Iskandar. Cepatnya masa berlalu… Rasanya baru saja mereka bertemu sewaktu pertama kali Iskandar datang ke rumah Tok Ayah dulu dan kini Iskandar sudah hendak pergi. Dia tidak sangka Iskandar akan pergi secepat itu. Entah bila pula akan bertemu dia sendiri tidak tahu. Tiba-tiba saja hatinya jadi sayu seolah-olah dia akan kehilangan Iskandar buat selama-lamanya. Alah, Nudra! Iskandar tu nak ke KL je bukan nak ke mana pun. Kenapalah sedih-sedih, dia kan dapat kerja bukannya nak pergi selamanya. Marah hati sendiri.
“Tahniah!” Sepatah sahaja yang mampu diucapkan Nudra.
“Terima kasih. Itu aje ke yang awak nak kata?”
Nudra tidak berani memandang ke wajah lelaki berkemeja hijau gelap itu. Tiba-tiba saja dia merasa sayu. Kalau boleh dia tidak mahu Iskandar pergi dari situ. Kenapa? Entah… dia senang dan gembira bila Iskandar ada di sini walaupun kadang-kadang Iskandar buat dia tidak tentu arah. Sehari tidak nampak Iskandar pun hatinya sudah resah gelisah, inikan pula Iskandar tidak akan muncul lagi setiap hari. Tentu dia akan merasa kehilangan. Ya ALLAH, Nudra… Kenapa dengan engkau ni?
“Nudra...”
Panggilan Iskandar menusuk ke kalbu. Ada getaran di hatinya tatkala pandangan mereka bersatu. Nudra hanya mengangguk. Pandangannya jatuh ke lantai berlepa simen itu. ‘Kenapa awak mesti pergi sekarang? Nudra, Iskandar tu ada kehidupan dia sendiri. Siapalah awak untuk menghalang Iskandar pergi? Is, kenapa saya rasa nak menangis je ni? Eh, Nudra... awak ni kenapa sebenarnya?’ Nudra terus bermonolog.
“Nudra, kenapa awak pandai angguk dan geleng aje? Saya nak dengar suara awak untuk hari ni je. Besok-besok mungkin dah tak dapat saya nak berbual dengan awak lagi. Kenapa awak selalu buat saya bingung macam ni?” Suara Iskandar kedengaran seolah merayu. Kebisuan Nudra sering buat dia jadi tidak tentu arah. Sukarnya untuk menyelami perasaan gadis yang telah mencuri hatinya itu.
Nudra meletakkan buku-buku di tangan. “Err... Maafkan saya. Saya tak tahu nak cakap apa… Saya gembira sangat. Maksud saya... saya tumpang gembira. Hmm... Awak dapat kerja kat mana?” Tersekat-sekat Nudra mengucapkannya. Dia cuba tersenyum namun senyuman yang segaris itu nampak tidak bermaya.
“Saya dapat kerja kat sebuah syarikat German.”
“Alhamdulillah, rezeki awak. Baguslah... Semoga awak akan terus berjaya.”
“Nampaknya begitulah... Mudah-mudahan makbul doa awak.”
Beberapa saat suasana jadi sepi. Masing-masing kehilangan kata. “Boleh saya tanya?” tanya Iskandar minta keizinan kemudiannya. Dia nampak ada kesedihan di wajah Nudra tetapi dia tidak pasti mengapa. “Kenapa awak nampak sedih bila saya cakap saya nak pergi?” tanpa menunggu Nudra membalas, Iskandar bertanya lagi.
Lama Nudra diam, mencari jawapan untuk pertanyaan Iskandar itu. Sebentar kemudain dia menarik nafas dalam-dalam. “Is, kenapalah awak ni suka sangat tanya saya soalan yang pelik-pelik? Pening saya fikir nak jawab...” Nudra melepaskan tawanya, perlahan.
Rungutan Nudra membuatkan Iskandar tersenyum nipis. “Sebab saya tak tahu sama ada apa yang saya nampak kat muka awak tu sama ke dengan apa yang ada dalam hati awak. Saya ni bukannya pandai baca hati orang, tak macam Tok Ayah,” balas Iskandar masih berharap Nudra menjawab persoalan yang telah sekian lama tidak berjawab itu.
“Seronok jadi awak, kan?” Nudra tidak pedulikan apa yang diucapkan Iskandar sebentar tadi. ‘Eiii... Suka sangat dia ni tengok aku menggelabah nak jawab soalan dia yang entah apa-apa tu,’ hati Nudra menggerutu.
Iskandar pandang wajah Nudra dengan hairan. ‘Tiba-tiba aje cakap macam tu... Unpredictable betul dia ni...’ hati Iskandar berbisik sendiri. “Kenapa pulak seronok jadi saya?” tanya Iskandar hairan.
“Yalah, perjalanan hidup awak ada aturannya. Tiba masanya awak belajar, awak belajar. Lepas tu kerja, dah kerja kahwin lepas tu...”
“Kahwin?” Pantas Iskandar memintas. Sebaik saja pertanyaan itu terlepas dari mulutnya, dia dapat mengesan wajah Nudra yang merah padam. Dia sengaja bertanya begitu kerana dia tahu Nudra terlepas cakap.
“Hmm... yalah, dah dapat kerja nanti awak tentu akan kahwin, kan?” balas Nudra bersahaja seolah-olah kata-katanya tadi tidak bermaksud apa-apa sedangkan hatinya memarahi diri sendiri kerana terlanjur bicara.
“Dengan awak?” Cepat-cepat Iskandar membalas sambil mengulum semyuman. Dia hendak melihat reaksi Nudra tatkala dia bersenda begitu.
“Kita tak tahu jodoh kita dengan siapa kan? Kalau jodoh awak dengan saya, mungkin awak kahwin dengan saya. Tapi kalau jodoh awak dengan Hannah mungkin awak kahwin dengan Hannah. Atau mungkin dengan orang yang tak pernah awak terfikir pun akan kahwin dengan dia… Siapa tahu, kan? Jodoh tu kan di tangan TUHAN,” balas Nudra cuba menutup rasa malu kerana sudah terlepas kata.
“Tiba-tiba je awak kaitkan saya dengan Hannah. Tak logik langsung! Apalah awak ni… Tak ada nak bagi harapan langsung kat saya,” balas Iskandar sambil tertawa lucu.
“Kan saya dah kata, jodoh tu di tangan TUHAN. Saya cuma bagi contoh aje. Kalau betul pun apa salahnya...”
“Eh, tak salah ke? Awak tak rasa apa-apa ke kalau saya kahwin dengan Hannah?” Iskandar bertanya seperti anak kecil bertanya ibunya.
Nudra hanya menjungkit bahu, malas hendak melayan pertanyaan Iskandar. ‘Eii... teruklah dia ni!’Gumam hati Nudra.
“Nudra, awak belum habis fikir ke apa yang saya tanya hari tu?” soal Iskandar teragak-agak setelah sepi seketika.
Cepat-cepat Nudra mengangguk. Kalau boleh janganlah sesekali Iskandar sentuh lagi tentang hal itu. Bukankah dia sudah berjanji tidak akan mengungkitnya lagi? Apalah awak ni, Is!
“Macam mana kalau saya hantar rombongan meminang, agak-agak awak terima tak?” tanya Iskandar dengan nada berjenaka. Ketawanya mengiringi ucapan sendiri.
Nudra turut tertawa, tidak dapat menahan hatinya lagi dengan pertanyaan yang dianggap kelakar itu. “Apalah awak ni, Is. Main-main aje. Dah, saya nak masuk ke rumah dulu. Nanti Tok Ayah balik, dapur belum berasap. Okey, ya Is… Assalamualaikum!”
Reaksi Nudra yang tiba-tiba itu membuatkan Iskandar terpinga-pinga lalu tersenyum sendiri. Nudra... Nudra...

Isnin, 17 September 2007

Bhg 16

KALIMAT pendek itu seperti sebuah ucapan panjang lebar yang perlu disemak sehari penuh sebelum dimengertikan maknanya. Dia tidak sangka patah-patah kata itu terluah dari bibir Iskandar. Nudra terkesima. Mukanya terasa merah padam dan pandangannya langsung terpaku pada alas meja guru yang berpetak-petak putih itu. Sungguh dia tidak menyangka Iskandar akan berani meluahkan perasaannya berdepan-depan begitu. Malunya TUHAN saja yang tahu…
“Err... awak dah habis cakap?” Terpacul pertanyaan itu dari bibir Nudra yang nipis itu. Kalau boleh dia hendak cepat-cepat berlalu atau lebih baik lagi kalau Iskandar segera meminta diri.
“Nudra... dengar dulu apa saya nak cakap. Beri saya peluang sekali saja,” rayu Iskandar penuh harap. “Saya tak pandai nak berkias-kias atau nak tulis puisi-puisi indah macam orang lain. Saya bukan orang seni.” Iskandar masih cuba menahan hati. Dia perlu berterus-terang jika dia mahu Nudra tahu. Tak sanggup lagi rasanya memendam perasaan. Sakit!
“Kenapa awak berani meluahkan perasaan awak terang-terang macam ni? Bukankah awak dah tanya dalam surat tu? Kenapa awak tak boleh tunggu saya jawab dengan surat aje? Awak tahu tak apa yang awak buat ini tak manis dipandang orang? Kalau Tok Ayah tahu, masak kita kena basuh tau,” Nudra mengasak Iskandar yang membuatkan dia pula yang terkesima. Nada suara gadis itu tetap lembut namun cukup berbisa. Gadis itu nampak saja pendiam dan pemalu tetapi tegas dan tegar dengan prinsipnya. Nudra sangat taat dengan segala pesanan Tok Ayah, tak macam dia yang mudah alpa dan mudah menurut kata hati.
Kali ini giliran Iskandar pula yang terasa mukanya membahang. Malu! Tapi apa nak buat, sudah terlajak kata… Nudra, awak ingat saya tak malu ke nak luahkan perasaan macam ni? Awak ni gadis yang kadang-kadang tidak dapat dijangka perasaannya. Tiba-tiba saja Iskandar rasa segan dan tidak beradab. Ke mana perginya ajaran ayah dan ibu yang dia pegang selama ini? Ke mana hilangnya pesanan Tok Ayah yang diamanahkan kepadanya supaya sentiasa menjaga adab-adab pergaulan? Mentang-mentanglah baru balik dari luar negeri, dah lupa adat-adat orang Timur. Huh! Iskandar, sedar tak apa yang kau buat ini? Tahu tak, setiap kata-kata yang kau ucapkan itu kau akan dipertanggung jawabkan ke atasnya di akhirat nanti? Iskandar menyeka peluh dingin yang merenik di dahi. Berhadapan dengan Nudra membuatkan keyakinan dan semangatnya terbang melayang.
“Maafkan saya. Saya tahu apa yang saya buat ni tak manis dan tak elok. Tapi saya dah lama tunggu. Jenuh saya tunggu kalau-kalau awak akan balas surat saya, tapi saya tak tahu sampai bila awak nak biarkan saya terus tertanya-tanya. Saya jadi bingung. Saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Saya janji, lepas ni saya tak akan tanya lagi dan tak akan sentuh lagi apa-apa tentang ini. Saya hanya nak tahu awak suka saya atau tidak, itu saja.” Iskandar tunduk, tidak berani untuk memandang ke wajah Nudra. Dia benar-benar malu dengan ucapan sendiri. Nudra, awak buat saya jadi separuh gila! Awak siksa saya dengan penantian ini. Awak tahu tak, penantian itu satu penyiksaan? Jerit hati Iskandar.
“Kenapa awak tak tanya Tok Ayah aje? Sekarang Tok Ayah adalah penjaga saya dan Tok Ayah bertanggung jawab ke atas apa saja yang berlaku ke atas saya. Sungguhpun saya dah tak ada ayah, tapi saya masih ada wali. Saya masih ada sepupu lelaki yang boleh mewalikan saya. Saya masih ada keluarga. Kalau Nenek Sophia tahu, mati saya kena bambu.” Nudra terus memarahi. Dia tidak suka dengan cara Iskandar. Betul ke, Nudra kau tak suka? Hmm… atau kau saja-saja hendak menutup rasa malu tu? Goda hatinya.
Iskandar terpana. Tak sangka Nudra akan berkata begitu sekali. Nampaknya seperti Nudra marah benar dengan sikapnya. “Saya tahu. Tapi saya perlu dengar dari mulut awak sendiri dulu sebelum Tok Ayah tahu. Kalau tidak, saya akan lebih malu jika saya dah bagi tahu Tok Ayah tapi sebenarnya saya hanya bertepuk sebelah tangan. Saya sungguh-sungguh dengan perasaan saya, Nudra. Maafkan saya sebab tak beradab, tapi saya...” Iskandar kehilangan kata. Dia terus hilang keyakinan. Nudra bukan seperti yang dijangkakan.
“Awak tak akan menyesal, Is?” Akhirnya Nudra bersuara setelah agak lama dia memikirkan kata-kata Iskandar. Dadanya terasa seperti dipalu, hebat benar debarannya. Oh, lelaki! Kenapalah kau buat aku terhimpit dalam perasaan begini? Lemas! Kalau ya pun, janganlah luahkan perasaan depan-depan begini… Boleh pengsan aku dibuatnya.
Iskandar merenung wajah Nudra, mencari makna dari pertanyaannya. “Maksud awak?”
“Awak kenal siapa saya, kan?”
“Saya tahu, awak cucu Wan Anum Sophia…” pintas Iskandar sedikit kecewa. Ah, cucu Wan Anum Sophia memang susah hendak didekati! Banyak benar pantang larangnya kalau hendak berkawan dengan cucu orang tua itu. Lain benar ke warna darah waris tauke emas itu bebanding orang lain? Hebat sangatkah Wan Anum Sophia tu? Ah, pedulikan! Anak siapa pun kalau dah suka, kalau dah berkenan dia akan usahakan. Lainlah kalau neneknya mintak segunung intan atau sebuah jambatan emas… Di ketika itu dia mungkin akan fikir ratusan kali untuk masuk meminang. Dia tidak mampu nak sediakan semua itu... Dia lelaki realistik, bukannya hipokrit. Lagipun dia tidak suka dengan manusia materialistik yang hanya memikirkan wang dan harta semata-mata. Memanglah manusia tak boleh hidup dengan cinta semata tetapi berapa ramai orang menderita kerana tidak cukup kasih sayang.
“Bukan itu maksud sayalah! Maksud saya, saya ni tak setanding dengan awak. Awak ada kelulusan sedangkan saya hanya lepas SPM aje. Awak ada keluarga yang sempurna tapi saya ni, ayah sendiri pun saya tak kenal. Awak ada wawasan, saya pulak masih tak tahu mana hala. Alah, pendek kata antara kita macam langit dengan bumilah. Sejak zaman sekolah hinggalah kita bertemu semula ni, saya tak jumpa kat mana persamaan kita,” pintas Nudra pula sebelum Iskandar menghabiskan ayatnya.
“Buat apa awak cari persamaan tu, Nudra? Cuba awak semak balik, apa-apa benda yang berpasangan kat atas dunia ni sifatnya sentiasa berbeza dan biasanya betentangan. Kalau dah tentu sama, orang tak panggil pasangan sebaliknya orang panggil kembar. Sebab itu ALLAh jadikan pasangan kepada lelaki ialah perempuan. Kenapa ALLAH jadikan Hawa untuk menemani Nabi Adam dulu? Kenapa ALLAH tidak jadikan temannya seorang lelaki juga?” hujah Iskandar penuh yakin. Semangatnya kembali pulih sebaik saja terpandang senyuman yang terukir di bibir Nudra. ‘Saya mungkin ditakdirkan tak jadi kembar awak tapi mungkin pasangan awak. Sebab itu sampai matipun awak tak akan jumpa persamaannya,’ bisik hati Iskandar. Tidak berani dia luahkan, nanti apa pula kata-kata yang bakal dihamburkan Nudra jika dia mengucapkannya.
Nudra merasa sedikit lucu dengan hujah Iskandar walaupun jika difikirkan ada juga benarnya. “Awak kalau bercakap…” Nudra meneruskan kerjanya menyusun kembali meja-meja ke tepi bilik. Tiba-tiba saja dia jadi kekok menjalankan tugas rutin itu. Terasa setiap gerak langkahnya diperhatikan lelaki yang sedang berdiri di sudut bilik itu. Aduhai… kerusi plastik itupun dirasakan berat macam batu.
“Awak tak nak tolong saya, Is?” Nudra sengaja mencari jalan supaya tidak terus diperhatikan. Hairan juga, biasanya Iskandar akan membantunya mengangkat meja dan bangku itu semua tetapi hari itu Iskandar hanya tercegat di muka pintu seperti patung. “Err… maafkan saya. Saya terlupa pulak.” Ketawa Iskandar memecah. Merah padam mukanya kerana malu. Barulah dia sedar yang dia hanya asyik memandang gadis itu saja. Cepat-cepat dia beristighfar.
“Awak belum jawab lagi soalan saya, Nudra,” ucap Iskandar sambil mengangkat sebuah meja. Nudra buat-buat tidak dengar.
“Saya sungguh-sungguh, Nudra. Lebih empat tahun saya mencari kepastian dalam diri saya sendiri, sekarang saya yakin dengan perasaan saya. Dulu saya tak yakin sebab siapalah saya ni berbanding dengan awak. Sekarang saya sudah pasti dan saya sudah mampu untuk memliki awak walaupun masih jauh berbanding orang lain. Nudra, saya tunggu jawapan awak saja. Seterusnya, serahkan pada saya untuk uruskan segalanya,” ucap Iskandar bersungguh-sungguh.
“Saya tak ada jawapan untuk itu.” Nudra tidak sedikitpun memandang ke wajah Iskandar. Dia terus menyibukkan diri dengan membetulkan apa yang patut di dalam kelas itu. Terasa payah benar kerja-kerjanya hari itu sedangkan hari-hari biasa kerja itu mudah dan cepat saja. Iskandar, kenapalah waktu-waktu begini awak beri soalan maut macam ni. Boleh trauma saya dibuatnya. Nudra mengomel di dalam hati.
“Awak pernah belajar sistem binari kan masa sekolah dulu?” Iskandar cuba mengubah suasana agar lebih santai supaya mereka dapat berfikir dengan tenang. Iskandar duduk bertenggek di tepi meja yang sudah disusun sambil memerhati Nudra yang sedang menyapu habuk di tepi pintu.
“Kenapa tiba-tiba saja awak tanya soalan skema macam tu? Bukan ke kita dalam topik yang lain? Kalau awak nak ubah topik, elok juga,” ujar Nudra selamba saja sambil berpeluk tubuh. Sebentar saja dia memandang ke wajah Iskandar. Seterusnya dia hanya tunduk, tidak berani menatap wajah lelaki itu.
“Saya tanya awak, awak tanya saya balik. Masih belum berubah tabiat awak ya?” Iskandar ketawa. Nudra sekadar melemparkan senyuman.
“Saya ulang soalan saya tadi, awak tahu tak sistem binari tu apa? Takkan itupun awak dah lupa? Teruknya awak punya memori,” Iskandar berjenaka. Ingin serkali ia mendengar tawa Nudra ketika itu.
“Memori saya taklah teruk sangat, Is. Saya pun bukan tua sangat. Lagipun saya kan peminat Cikgu Fauzi yang rambut macam David penyanyi kumpulan Alleycat tu? Suara lunak dia tu selalu buat saya lena tak ingat dunia dalam kelas.” Selamba saja Nudra mengucapkannya. Tiba-tiba saja dia lupa dengan siapa dia bercerita.
Kata-kata Nudra membuatkan Iskandar tergelak besar. Dia masih ingat dengan guru matematik moden yang paling tidak disukai Nudra ketika di tingkatan empat dulu. Nudra turut sama ketawa. Memori di sekolah dulu cukup manis untuk dikenang, tanpa masalah yang berat-berat yang perlu difikirkan. Sungguh polos jiwa mereka waktu itu, tanpa apa-apa yang mengocak hati dan membebankan perasaan.
“Sistem binari tu hanya ada dua, I dan O. Semua sistem elektronik menggunakan sistem binari. Dalam hidup kita pun macam sistem binari tu kerana kita hanya diberi dua pilihan. Dalam kes awak ni, awak ada pilihan ya atau tidak saja.” Seperti seorang guru pula Iskandar menerangkan.
Sambil mengangguk-angguk Nudra rasa hendak tergelak pula. Hendak terangkan itupun perlu teori matematik, ke? Punyalah skema…
“Susah sangat ke awak nak bagi jawapan? Hanya ya atau tidak saja. Bukan saya suruh buat karangan pun,” Iskandar kembali bersuara setelah sunyi kembali memenuhi ruang di antara mereka.
Tak susah kata Iskandar? Dia ingat soal hati dan perasaan ni macam nak pilih baju ke, boleh cuba-cuba dulu? Kalau tak padan boleh ditukar-tukar? Kalau tak berkenan boleh dihadiahkan kepada orang lain? Boleh pakai berlapis-lapis kalau rasa sejuk, atau boleh ditanggalkan kalau rasa panas? Iskandar.. Iskandar… Nudra cuba menyembunyikan perasaannya dengan tertawa kecil.
“Kenapa awak ketawa? Awak ingat saya main-main?” soal Iskandar dengan suara agak tegas. Riak wajah Iskandar berubah serius. Perasaannya sedikit tersinggung dengan reaksi Nudra. Dia merasa gadis itu seperti mahu mempermainkan perasaannya.
“Saya tak kata macam tu. Saya tengah fikir ni.”
“Awak tak pernah serius fikir apa yang saya cakap.”
Nudra tunduk. “nantilah saya fikir lagi...” Wajahnya sudah berubah rona. Dia sudah lama pasti tentang hatinya namun dia malu untuk mengakuinya. Selama ini dia fikir, hanya dia yang menyimpan perasaan itu. Bagaimana untuk dia nyatakan kepada Iskandar gelora di jiwanya? Is, tolonglah awak mengerti…

Rabu, 12 September 2007

Bhg 10A

Ini bhg yang missing tu... Maaf kerana tidak perasan masa post entry bonus tu... Terima kasih kaknOOr kerana bertanya...
****
PERMINTAAN Nudra yang disampaikan oleh Mubin malam tadi membuatkan hati Sophia benar-benar terbakar. Ada-ada saja karenah budak tu yang menyakitkan hati. Pandai-pandai aje menyuruh orang lain menyampaikan pesan, macam tak ada mulut nak beritahu sendiri. Sophia terus mengomel. “Tak boleh!” Tegas suara Sophia menikam hati Nudra. Gadis berbaju kurung putih berbunga biru itu hanya tunduk, tidak berani panggung kepala.
“Nak kerja apa dengan SPM yang hampir tak pas tu?” sindir Sophia dengan sorot mata yang penuh makna tersirat. Bibirnya mengukir senyuman. Sinis sekali. Dia yang berkebaya nyonya berdiri sambil bercekak pinggang di muka pintu bilik Nudra.
Nudra membiarkan sahaja sindiran itu tanpa sepatah kata. Keputusan nenek sudah dia jangkakan meskipun hatinya tetap berdoa yang sebaliknya. Dia tidak tahu bagaimana nenek boleh tahu tentang hajatnya itu. Siapa yang beritahu nenek, ibu atau Mubin? Soal Nudra sendiri. Ah, siapa-siapa pun tak ada maknanya lagi! Keputusan nenek dah begitu. Kalau putih, putihlah. Kalau hitam, buatlah macam mana pun tak akan jadi putih. Nenek mempunyai kuasa veto di rumah itu.
“Jangan nak mandai-mandai! Orang dah bagi senang, nak susahkan diri pulak. Apa lagi yang tak cukup dalam hidup kamu? Kamu ni memang tak tahu diuntung, Nudra! Kamu memang tak reti berterima kasih. Kamu dah hidup senang macam ni pun masih macam-macam. Nenek tak pernah nak susahkan hidup kamu dan ibu kamu. Kamu berdua dah beruntung sangat dah, ada keluarga macam ni. Dah dekat dua puluh tahun ibu kamu tu tak boleh buat apa-apa. Satu sen pun dia tak pernah sumbangkan untuk nenek, tapi nenek tak pernah nak mintak apa-apa. Sekarang kamu dah buat nenek berasa hati, seolah-olah apa yang nenek bagi ni masih tak cukup untuk kamu hidup,” Sophia terus membebel. Sakit benar hatinya melihat Nudra yang sedang tunduk merenung lantai itu. Cucunya itu tidak pernah hendak menyenangkan, malah semakin lama semakin menyakitkan hati adalah.
Kata-kata itu benar-benar menghiris hati Nudra. Sudah berulang kali perkara itu nenek hamburkan di hadapannya. Dia sedar dia dan ibu hanya menumpang senang di situ. Tidak seperti makcik-makciknya yang lain, semuanya memiliki kedai emas sendiri, semuanya ada pendapatan sendiri yang melimpah-ruah danl ebih dari cukup untuk makan anak beranak. Nenek selalu sangat membanding-bandingkan ibu dengan adik-beradik yang lain. Begitu juga dengan dirinya, selalu dibandingkan dengan sepupu-sepupu yang lain. Sedihnya hati hanya ALLAH saja yang tahu…
“Semuanya dah cukup, malah lebih dari cukup. Tapi saya rasa tak patut kalau terus bergantung dengan nenek, Mak Ngah, Mak Lang serta Cu Syirah. Saya tak mahu mereka mengungkit kemudian hari,” ucap Nudra cuba mencari alasan yang terbaik. Entah bilalah nenek akan memenuhi kehendaknya dia pun tak tahu. Kadang-kadang teringin juga hendak menyenangkan hati nenek seperti orang lain. Mungkin dengan cara itu kemarahan nenek tidaklah seperti sekarang. Kadang-kadang terfikir juga, mungkin kebencian nenek ini berpunca dari dia sendiri yang tidak pandai mengambil hati orang tua itu. Berbagai cara dia cuba untuk berbaik-baik dengan nenek, namun sedikitpun dapat membeli hati nenek. Hmm… entahlah!
“Semua makcik kamu tu tak pernah nak berkira apa-apa. Mereka tu tak pernah nak dengki dengan ibu kamu dan sakit hati dengan ibu kamu walaupun hidup ibu kamu tu mereka semua yang tanggung. Semuanya tolong dengan ikhlas. Jangan kamu sedap-sedap mulut nak kata mereka tu mengungkit pulak.” Hati Sophia semakin mendidih appabila Nudra membuat tanggapan begitu terhadap anak-anak kesayangannya.
“Saya tak maksud macam tu. Saya cuma nak bantu apa yang patut.”
“Nudra Haneem, dengar sini baik-baik. Kamu tahu tak… harta benda nenek ni masih banyak, tak habis kalau setakat nak makan anak cucu. Kalau setakat nak tanggung kamu dengan ibu kamu tu, lebih dari cukup. Tak luak pun. Jangan nak memalukan nenek dengan nak buat kerja bukan-bukan! Lainlah kalau kamu boleh kerja dengan gaji besar macam Erisha, macam Syameer tu. Apa kamu nak buat dengan kelulusan kamu yang tak seberapa tu? Cuba cakap dengan nenek…” Sophia berkata dengan angkuh sekali.
Nudra terpempan. Salah lagikah apa yang dia cakap tu? Entahlah… apa saja yang keluar dari mulutnya serba tak kena dengan telinga nenek. Rasanya sudah puas dia tapis, sudah puas dia timbang-timbang untuk mengucapkannya namun tetap juga mengundang kemarahan nenek. Nudra yang terpaku di hadapan meja bacaannya tersandar di kerusi. Perasaannya semakin sebal. Semakin lama dia berada bersama nenek, semakin banyak penghinaan yang dia terima.
“Kemas bilik kamu ni! Macam tempat ayam mengeram. Cuba tengok bilik Nabila dan Ruslina tu., cantik dan kemas je. Huh, kamu ni! Bilik anak dara tapi semak mengalahkan bilik anak jantan. Bilik Syameer lagi cantik dari bilik kamu ni, Nudra,” herdik Sophia dan terus melangkah pergi.
Sebuah keluhan terlepas dari mulut Nudra. Berat sekali... Apalah malangnya nasib jadi cucu Wan Anum Sophia yang tak berguna ini!

BUKU motivasi Nak Ke Tak Nak karya H.M. Tuah di tangan di campakkan ke katil. Sejak dileteri Sophia petang tadi Nudra jadi serba tak kena. Rasa marah, rasa sedih dan rasa benci silih berganti. Dia cuba tenangkan perasaan yang sedang bergelora. Kenapa nenek melayannya begitu sekali? Tidak adakah sekelumit pun rasa sayangnya kepadaku? Betulkah aku ni cucunya, atau… atau aku ni siapa? Sekali lagi pertanyaan itu mengganggu fikiran.
“Kenapa kak?” Ruslina yang sedang asyik dengan game di telefon bimbitnya mengangkat muka. Keresahan Nudra menarik perhatiannya. Sejak tadi dia asyik mendengar keluhan Nudra tak sudah-sudah.
Nudra melepaskan keluhan berat. “Akak tak suka tinggal kat sini!” Meluncur laju saja ucapan itu dari bibir Nudra. Kalau sebelum ini dia tidaklah beriya-iya sangat nak bekerja tetapi selepas leteran nenek petang tadi fikirannya sudah berubah. Semakin nenek menghalang, semakin bersemangat pula dia hendak mencari kerja. Dia juga sudah tidak sabar-sabar lagi untuk keluar dari rumah besar yang bagaikan penjara itu.
“Habis, Kak Nudra nak tinggal kat mana? Nak balik rumah Tok Ayah?” Soal Ruslina yang masih leka dengan permainannya.
“Kalau boleh duduk dengan Tok Ayah, memang dah lama Kak Nudra pergi. Tapi selagi nenek ada memang dalam mimpi je la…”
Ucapan Nudra yang tidak disangka-sangka itu membuatkan Ruslina mengangkat muka. Telefon di tangan di letakkan ke atas meja lalu duduk di katil. Tangannya memain-mainkan rambut Nudra yang panjang itu. “Tak baik Kak Nudra doa nenek cepat mati tau.”
“Tak adalah sampai Kak Nudra nak doa macam tu sekali. Kak Nudra cuma kata, kalau nak balik rumah Tok Ayah, jangan haraplah selagi nenek masih ada.” Nudra mencapai buku yang dicampaknya sebentar tadi lalu dibelek-beleknya beberapa kali. Dia membiarkan saja Ruslina mendandan rambutnya.
“Kak Nudra bencikan nenek?” tanya Ruslina walaupun dia pasti Nudra tidak akan berterus-terang kalau benar itulah perasaannya. Dia pun hairan kenapa Nenek Sophia melayan anak Mak Long Munirah begitu sekali. Sepatutnya nenek lebihkan Kak Nudra dari cucu-cucunya yang lain kerana Kak Nudra anak yatim dan memerlukan lebih perhatian. Itu pendapat dialah… Mungkin nenek lain pula fikirnya. Atau mungkin ada sesuatu yang telah berlaku di antara nenek dan Mak Long Munirah suatu ketika dahulu sehingga nenek marah hingga kini. Mungkin nenek tak setuju Mak Long berkahwin dengan Pak Long, siapa tahu…
Nudra mencari maksud kepada pertanyaan itu. Mungkinkah Ruslina sekadar bertanya atau dia benar-benar ingin tahu? Bencikah dia kepada Nenek Sophia? Soal Nudra kembali kepada diri sendiri. Lama dia mencari jawapan yang dia sendiri tidak pasti. “Kak Nudra tak bencikan nenek, tapi nenek yang bencikan Kak Nudra.”
Ruslina yang duduk di belakang Nudra menjungkit bahu. Pening kepalanya memikirkan masalah Nudra yang tak habis-habis dengan konfliknya bersama nenek.
“Hmm… Bila abang Lina balik?” soal Nudra cuba mengalih topik. Kali ini lama benar rasanya Syameer pergi. Biasanya dia akan bertugas selama beberapa minggu saja tetapi kali ini rasanya seperti sudah sebulan lebih Syameer pergi.
“Kenapa, Kak Nudra rindu dengan abang ke?” Ruslina sekadar mengusik untuk menghiburkan hati sepupunya.
“Yalah, kalau rindu pun apa salahnya…” balas Nudra sambil tergelak kecil.
“Salah jugak sebab nanti orang yang hantar poskad tu marah pulak.” Ruslina mencuit pinggang Nudra sehingga gadis itu menjerit kegelian.

“MAK bagi ajelah Si Nudra tu kerja. Duduk kat rumah ni pun buat sesak aje. Ibu dengan anak sama saja tak boleh diharap,” gumam Syahirah yang sedang membelek-belek gelang bertatah berlian di tangan. Gelang rekaan terbaru itu baru saja dia terima daripada tukang emas mereka.
“Entah, mak… Dah Nudra tu nak kerja, biarkan aje. Biar dia rasa susah senang cari duit ni. Jangan nak harap orang suap aje. Lama-lama kalau dah terbiasa macam tu, bila disuruh buat kerja nanti satu pun dia tak tahu. Dia tu dah manja sangat. Satu benda pun tak tahu nak buat.” Sarah yang sedang menidurkan cucunya di ribaan pula menyampuk.
“Mak ni bukan apa… Kalau dia duduk kat rumah, ada jugak orang nak tengokkan Kak Murni kamu tu. Kalau Nudra dah kerja, siapa pulak yang nak uruskan ibu dia tu? Takkan nak suruh Bibik Lasti lagi?” Sophia mengambil gelang yang dipegang oleh Sarah lalu mencuba ke lengannya pula.
“Kak Murni tu boleh berdikari. Dia tahu uruskan diri sendiri. Kak Murni bukannya bergantung sangat pada Nudra. Nudra ada atau tidak sama aje. Jadi, lebih baik Nudra tu cari kerja sendiri.” Syahirah masih dengan pendiriannya. Baginya, tidak salah jika Nudra dibenarkan bekerja. Gadis itu sudah besar panjang dan tahu menjaga diri.
“Kerja apa yang boleh dia buat? Harapkan keputusan SPM yang setakat lulus aje, siapa nak terima dia kerja? Takkan nak suruh kerja kat supermarket pulak? Kerja kilang? Eiii… mintak jauhlah! Jangan sekali-kali cucu Wan Anum Sophia kerja kat tempat-tempat macam tu!” Mimik muka Sophia menggambarkan betapa jelek pandangannya pada kerja-kerja sebegitu.
Sarina dan adiknya Sarah saling berpandangan. Emak bangga sangat dengan nama penuhnya itu. Sophia masih dengan egonya sejak dulu hingga sekarang. Semua orang baginya tidak dapat melawan nama gah Wan Anum Sophia yang dibawanya. Dia saja yang baik dan bagus.
“Kerja kilang ke, jadi jurujual kat supermarket ke bukannya salah. Semua kerja tu halal. Kita aje yang pandang hina pada mereka. Kalau pun betul ada yang buat tak baik dan perangai tak senonoh, kita tak boleh pukul rata aje. Tak semuanya macam tu. Kalau tak ada orang kerja macam tu, tak membangunlah negara kita.” Sarina yang hanya diam sebentar tadi menyampuk. Dia tidak setuju dengan pandangan ibunya yang selalu sangat memandang rendah kepada orang lain. Bagi Sarina, hidup janganlah terlalu meninggi diri. Susah atau senang hidup kita ini semuanya adalah ujian ALLAH. Rezeki yang ALLAH berikan kepada kita bukan untuk dibangga-banggakan tetapi hendaklah disyukuri. Sekali ALLAH hendak tarik, bukannya susah sangat. Kun fa yakun…
Sophia menjeling tajam kepada anak keduanya itu. “Memanglah kerja tu halal. Mak tak kata kerja tu haram. Tapi budak-budak yang kerja macam tu kebanyakannya tak senonoh. Kalau dah bercampur nanti, dengan budak Nudra tu sekali terpengaruh. Tambah lagi budak tu tak pernah bercampur orang.”
“Tak semua macam tu mak… Yang lebih baik dari kita pun ada. Cuma nasib mereka aje tak sama macam kita. Kerja kat pejabat pun ada yang lebih teruk lagi perangainya.” Selamba saja Sarina menjawab kata-kata ibunya. Dalam adik-beradiknya, hanya dia seorang yang berani membantah kata-kata Sophia.
Syahirah menjeling kakaknya, memberi amaran agar Sarina menutup mulut. Kalau emaknya sudah naik angin, susah nak disejukkan. Semua orang akan jadi mangsa kemarahannya. “Suruh aje Si Nudra tu tolong kat kedai saya. Azura yang baru kerja tu pun dah nak berhenti. Boleh ganti sementara,” cadang Sarah.
“Oh, tak boleh! Tak boleh! Jangan nak suruh dia duduk kat kedai tu pulak. Nudra tu apa yang dia tahu?” Tingkah Sophia. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan Nudra terlibat dengan urusan di kedai emas. Dia tidak akan benarkan cucunya yang seorang itu mengetahui selok-belok perniagaan yang dijalankan turun termurun itu. Biarlah gadis itu tidak tahu apa-apa pun tak mengapa. Itu lebih baik lagi. Dia juga tidak akan membiarkan Nudra dikenali orang. Susah! Lebih-lebih lagi selepas kedatangan Fadhil tempoh hari, lagilah dia hendak sorokkan Si Nudra tu.
“Kalau kita tak bagi dia peluang, sampai bila dia tak akan tahu apa-apa. Nudra tu bukannya bodoh sangat. Kita yang selalu pandang rendah kat dia.” Sarina masih membela anak saudaranya. Mendengar cerita-cerita Syameer dan Ruslina membuatkan dia jadi simpati dengan nasib Nudra yang sering disisihkan oleh Sophia. Kadang-kadang dia merasa ibunya terlebih-lebih menghina Nudra sedangkan Nudra itu darah dagingnya juga. ‘Budak tu tak ada dosa apa-apa…’ bisik hati kecilnya.
“Wan Sarina!”
Sarina diam. Bila emaknya mula memanggil nama penuh, itu bermakna wanita itu sudah mula marah. Jelingannya saja sudah cukup untuk membuatkan mereka adik-beradik terus diam. Itulah hebatnya Wan Anum Sophia.
“Mak, hantar je dia balik kampung, duduk dengan Pak Ngah tu. Pak Ngah pun dah tua. Nudra pun tentu suka sangat dapat jumpa Tok Ayah dia semula,” cadang Sarah.
Pantas Sophia berpaling ke arah anaknya itu. Otaknya berkira-kira sendiri. Mungkin itu satu cadangan yang menarik. Budak tu pun sudah besar panjang, semakin lama di di rumah ini semakin banyak masalah yang bakal timbul. Elok juga kalau dia duduk dengan Tok Ayah. Tentu Fadhil tidak akan ke sana kerana dia sendiri ada krisis dengan sahabatnya itu. Hmm… Fadhil, kau lupa siapa Wan Anum Sophia!

Bhg 15

Salam Ramadhan buat semua... Semoga ibadat kita di bulan mulia ini akan dilipat gandakan dan mendapat berkat darinya.
***
SURAT putih yang bertulis tangan itu dilipat lalu di masukkan ke dalam sampulnya semula. Nudra menggigit bibir. Fikirannya masih tertancap pada kandungan surat tadi. Dia tidak pasti dengan perasaannya saat itu, sungguh dia tidak pasti. Apa yang dia pasti, jantungnya berdenyut lebih laju dari biasa dan dadanya berdebar aneh.
“Apa dia tulis? Meluah perasaan ke?” Hannah yang sudah dapat meneka isi kandungan surat yang Iskandar titipkan melaluinya tadi cuba menyibuk. Tawanya kedengaran di hujung kata. “Alah, kalau dah berhelai-helai tu, mestilah surat cinta. Takkan proposal nak mintak projek pulak, kan?” sambung Hannah lagi sambil mengebas-ngebas tilamnya dengan kain gebar. Sebentar kemudian dia terus berbaring di atas tilam bercadar biru bercorak bintang itu.
Omelan Hannah dibalas dengan sekuntum senyuman. Tiba-tiba saja dia merasa segan dengan Hannah. Kenapalah Iskandar pandai-pandai titipkan surat ni melalui Hannah? Iskandar tak tahu ke Hannah tu suka sangat menyibuk untuk dijadikan bahan menyakat?
“Awal-awal lagi aku dah cakap, Iskandar tu suka kat engkau. Engkau tak nak percaya. Haa… kan dah betul? Dari lirik matanya ku tahu apa yang tersirat di hati. Dari sinar matanya dapatku lihat panahan asmara. Cewah!” ujar Hannah lagi dengan gaya seperti orang bersajak. Semakin Nudra nampak serba salah, semakin suka hatinya hendak mengusik.
“Sudahlah, geli aku dengar!” Balas Nudra dengan muka yang masam. Tetapi muka yang masam itu segera berubah rona, merah padam jadinya.
“Gelilah konon! Karat sungguh Si Iskandar tu, pakai surat segala. Tak sangka, zaman IT ni pun masih ada orang masih pakai cara klasik. Ni dah kira lelaki Melayu terakhir ni. Tak sangkalah Iskandar tu macam tu. Nampak macho tapi jiwang jugak orangnya.” Hannah masih tergelak-gelak. Sukanya hati dia apabila dapat tahu Iskandar betul-betul sukakan Nudra. Nudra pun nampak sukakan pemuda itu.
“Hmm… suka hati engkaulah Hannah nak cakap apa.” Nudra sudah tidak berdaya menangkis usikan Hannah. Dengar ajelah…
“Tapi, seronokkan sesekali baca surat macam ni? Lebih-lebih lagi baca surat cinta. Panjang pulak tu. Huh, mesti feeling habis! Klasik betul orang grad oversea tu ya... Orang zaman sekarang mana pandai tulis surat cinta lagi. Orang dah pakai email, sms segala… Mak pun dah tak main tulis-tulis surat sekarang.” Hannah terus mengomel. Emak dia yang sudah berumur itupun sudah tidak rajin hendak menulis surat lagi. Sesekali hendak bercerita emaknya akan menelefon dari Arab Saudi. Kalau tak ada apa-apa yang mustahak, mereka sekadar berbalas sms sahaja.
“Aku pun rasa kelakar. Macam zaman mak bercinta pulak.” Nudra tersenyum sendiri apabila teringat cerita emak Hannah yang dipanggil ‘mak’ itu. Sewaktu bercinta dengan arwah suaminya dulu setiap hari mak tunggu posmen. Kata emak Hannah lagi, siksanya menunggu posmen tu seolah-olah bercinta dengan posmen pulak. Yalah, kalau sehari tak nampak muka abang posmen tu pasti resah gelisah. Tak nampak muka pun tak apa, dengar enjin motor pun dah cukup. Bunyinya macam romantik aje. Nudra dapat bayangkan bagaimana perasaan emak Hannah ketika itu. Tentu thrill habis…
“Tak habis-habis senyum. Hmm… nampaknya ada orang tidur sambil senyumlah malam ni. Hebat betul penangan surat kau tu, Iskandar...”
“Hello, aku senyum bukan sebab surat Iskandar tu la! Aku senyum ni sebab teringat cerita mak yang dia tiap-tiap hari tunggu posmen hinggakan hari Ahad pun masih tunggu posmen.”
“Itulah, aku pun teringat benda yang sama. Rajin pulak dia tulis surat tu. Yalah, kalau hati dah suka, lautan api pun sanggup direnangi. Teruk betul orang kalau dah terkena panahan cinta ni ya?” Terkekeh-kekeh Hannah ketawa sambil menarik kain gebarnya hingga menutup muka.

“KENAPA, Is? Sejak tadi Kak Long tengok Is macam serba tak kena aje? Masa makan tadi pun Is macam tak berselera. Ada apa-apa yang berlaku ke?” Azida yang sedang menggosok baju kerja suaminya itu menyoal. Sejak tadi dia perhatikan adiknya itu resah gelisah seperti kucing hilang anak aje.
“Tak adalah, Kak Long. Is tengah fikir pasal kerja ni. Dah dekat enam bulan Is menganggur, satu interview pun tak lepas. Risau jugak,” jawab Iskandar yang cuba menutup keresahan hatinya. Tak sangka pula kakaknya menyedari apa yang berlaku pada dirinya.
“Alah, Is… Enam bulan tu bukannya lama. Ada orang dua tiga tahun pun belum dapat kerja. Buat apa nak risau, enjoylah dulu. Kalau dah kerja nanti, dah tak ada masa nak enjoy,” ujar Azida dengan nada memujuk.
Hati Iskandar sedikit lega, sekurang-kurangnya Kak Long tidak tahu apa yang meresahkan hatinya. “Enjoy tu memang enjoy, Kak Long. Yalah, makan tanggung berak cangkung. Kalau macam ni selalu pun kan best, Abang Long?” gurau Iskandar sambil menjungkit kening kepada abang iparnya yang duduk di sofa yang bertentangan dengannya.
“Ni, fikir pasal ni kerja ni kenapa? Ada apa-apa ke? Atau dah tersangkut dengan orang Air Hitam?” usik Rahmi pula Matanya masih tertancap pada kaca televiseyan.
“Ha’ah… entah-entah gelisah semacam ni pun sebab ‘orang’ tu,” sampuk Azida pula.
Iskandar tergelak. “Orang mana pulak ni?” Iskandar buat-buat tidak mengerti dengan usikan kakak dan abang iparnya.
“Sudah gaharu cendana pula…” Azida terus mengusik sambil melabuhkan punggungnya di sofa di sebelah suaminya.
“Abang masuk tidur dulu. Malam nanti nak bangun lagi, ada game Arsenal lawan Liverfool. Is, tak nak join?” Rahmi yang sudah berdiri menepuk bahu isterinya. Azida hanya mengangguk.
“Ha’ah, Is terus stay up kot. Ada sikit lagi Is nak baca ni.” Iskandar menunjukkan buku yang dipegangnya.
“Abang masuklah dulu, Ida nak sudahkan cucian kat belakang tu.” Rahmi hanya mengangguk dan terus naik ke biliknya.
“Kak Long, kalau Is nak tanya Kak Long jangan gelakkan Is tau…” ucap Iskandar setelah abang iparnya hilang dari pandangan. Hendak bertanya di depan Rahmi, dia takut nanti Rahmi akan gelakkan dia pula. Dia bukan tidak kenal abang iparnya yang kuat menyakat tu.
“Apa pulak ni… Itu yang nampak gelisah aje tu?” Azida sudah tersenyum meleret. Dari raut wajah Iskandar, dia sudah dapat meneka apa yang sedang bermain di fikiran adiknya itu.
“Apa pendapat Kak Long tentang lelaki yang suka berterus-terang tentang perasaannya pada gadis yang dia suka?”
“Huh, skemanya soalan! Macam nak kena temuduga...” Azida tidak dapat menahan ketawanya mendengar pertanyaan adiknya yang kedengaran formal itu.
Iskandar buat-buat tidak faham dengan komen kakaknya. Dia sudah bersedia untuk mendengar apa saja kritikan dan kutukan Azida asalkan dia mendapat jawapan kepada persoalannya itu.
“Hmm… Is tanya Kak Long macam orang nak temuduga, Kak Long pun nak jawab soalan Is macam jawab temuduga jugak." Azida terus ketawa geli hati. “Hmm… Kak Long rasa majoriti perempuan suka lelaki berterus-terang. Nampak lebih macho dan berani serta ada kesungguhan. Nak kena caranya jugak. Yang penting ikhlas. Keikhlasan dan kesungguhan tu adalah kerdit untuk seseorang gadis terima hati seorang lelaki. Dan bergantung juga pada cara dia approach perempuan tu. Ada perempuan suka cara romantik, tapi ada yang tak suka mat jiwang ni dan ada yang tak suka cara macam tu. Orang macam ni lebih suka kalau lelaki tu straight to the point je… Kalau Is nak tanya Kak Long macam mana kaedahnya tu, Kak Long tak tahulah. Itu Is kena tanya Abang Long. Lelaki lebih tahu pasal pikat memikat ni,” sambung Azida menjawab pertanyaan adiknya tadi.
Iskandar sekadar tersenyum nipis. “Oooo…” Iskandar menyandarkan kepalanya di sofa. Fikirannya jauh mengingati surat yang dititipkan kepada Nudra beberapa hari yang lalu. Entah apalah penerimaan Nudra agaknya ya?
“Kenapa? Ada plan nak approach seseorang ke? Itu yang sibuk sangat tak ada kerja ni. Hmm...” Azida memandang wajah adiknya sambil tersenyum-senyum. Nampaknya adik aku ni dah mabuk asmara… Azida tertawa sendiri.
“Entahlah, Kak Long… Susah nak faham perasaan orang perempuan ni kan?” Iskandar seakan melepaskan keluhan.
“Lain macama je bunyinya, Is… Ada masalah ke? Ceritalah kat Kak Long. Manalah tahu Kak Long boleh bagi pandangan. Kalau Is berjaya, Kak Long tumpang gembira. Kalau Is tewas, mungkin Kak Long ada tipsnya.” Azida jadi simpati melihat wajah adiknya yang nampak sedikit murung itu.
Dengan agak payah Iskandar bercerita tentang Nudra dan juga surat yang ditulisnya. Azida mendengar dengan tekun dan sesekali dia bertanya itu ini.
“Jangan bimbanglah, Is. Kak Long rasa Nudra tu macam ada hati je kat Is, cuma dia malu-malu je nak tunjukkan apa yang dia rasa. Mungkin sehari dua lagi adalah jawapannya tu. Biasalah tu… Kak Long dulu pun lambat nak bagi keputusan kat Abang Long. Malulah... Baguslah kalau Nudra pun macam tu. Tak adalah tergedik-gedik macam budak-budak sekarang. Kadang-kadang Kak Long risau tengok budak-budak perempuan sekarang yang daring daring tu. Kadang-kadang kita yang malu tengok.” Azida memberi semangat.
Iskandar hanya tertawa perlahan. Betul juga kata Kak Long tu. Nudra tu kan tak macam orang lain. Dia tu nak bercakap pun susah, inikan pula hendak meluahkan apa yang dirasa.
“Hmm… nampaknya tak lama lagi kenduri besarlah abah. Tak sabar Kak Long nak tengok bakal adik ipar tu. Tentu manis orangnya,” Azida berkata ceria. Wajah Iskandar turut berubah menjadi ceria. Kata-kata kakaknya seolah memberi harapan yang cerah.