Selasa, 23 Oktober 2007

Bhg 32

WAN MUNIRAH meletakkan kitab suci al-Quran yang baru saja selesai dibacanya ke atas meja di sisi katil. Air mata yang masih basah di pipi disekanya dengan hujung jari. Dalam hati dia berdoa agar munajatnya diterima ALLAH SWT. Di bermohon agar doanya dimakbulkan TUHAN Rabbul Jalil. Dia bermohon agar segala dosa yang membalut dirinya diampuni TUHAN Yang Maha Pengasih. Itu saja kemampuan dan kudrat yang dia ada.
Dia sudah lama menderita dan menanggung semua ini sendirian. Kepulangan Safuan adalah kemuncak segala derita selepas kematian ayahnya, Wan Mursyid. Saat-saat kembalinya Safuan inilah yang paling dia takuti selama ini. Dia tahu, suatu hari Safuan akan kembali tetapi tidak disangka di saat-saat begini, di saat-saat Nudra akan melangsungkan hari bahagianya. Semuanya seperti sudah dirancang. Kasihan Nudra! Tentu dia tidak akan maafkan ibunya ini...
Dia bukan takut hendak berhadapan dengan Safuan kerana dia sudah tanggung lebih dari itu. Dia takut dengan penerimaan Nudra kerana silapnya juga enggan mengisahkan apa yang telah berlaku lebih dua puluh tiga tahun yang silam. Dia hati gadis yang tidak berdosa itu telah tercalar dengan parah. Nudra pastinya cukup kecewa, lebih-lebih lagi berita itu mengakibatkan segala-galanya musnah. Impian Nudra musnah, kebahagiaan Nudra turut juga musnah. Dan Nudra pasti akan membencinya sampai bila-bila.
Kalau sebelum ini Wan Anum Sophia memberi amaran agar dia menyimpan rahsia ini sendiri, sekarang rahsia itu bukan lagi rahsia. Bukan setakat adik-adik dan anak-anak buahnya saja yang tahu, tapi kini pekong di dada keluarga Sophia telah terbongkar. Tiada apa lagi yang hendak disembunyikan, tiada apa lagi yang hendak dirahsiakan. Emaknya sudah tidak boleh kata apa-apa lagi. Anak kesayangan dia sendiri yang membuka pekong keluarga. Selama ini dia yang membela dosa anak yang menconteng arang ke mukanya. Sekarang biarlah dia rasakan akibatnya! Di sebalik kekesalan itu Munirah merasa kemenangan berpihak kepadanya. Dia puas!
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hatinya berat mengatakan Nudra itu bukan hasil perbuatan Safuan, tetapi adalah buah cintanya dengan Eusoff. Tapi, bagaimana dia hendak membuktikannya? Bagaimana dia hendak jelaskan kepada Nudra bahawa segala yang nenek katakan itu tidak betul belaka? Bagaimana dia hendak menyanggah dakwaan Safuan? Mahukah Nudra mendengar kata-katanya? Mahukah Nudra percaya? Selama ini dia jarang mengambil tahu hal anaknya, dia ambil mudah dengan segala pertanyaan Nudra, jadi mahukan Nudra mendengar kata-katanya pula ketika ini?
Dan kebelakangan ini juga dia sering mimpikan Eusoff. Dia nampak Eusoff tersenyum padanya, melambai-lambai padanya. Wajah Eusoff ada di segenap ceruk biliknya. Dia dapat rasakan Eusoff masih hidup. Dia seakan terdengar desahan nafas Eusoff di birai telinganya. Dan dia dapat nikmati cinta Eusoff kembali membelai jiwanya.
Cerita Syameer suatu ketika dulu kembali dalam ingatan. Mengapa dulu dia tidak percaya dengan cerita Syameer? Mengapa dia tidak mahu mendengar cerita Syameer sepenuhnya? Kenapa dia tidak minta Syameer mencari lelaki yang mengaku dirinya Eusoff itu? Munirah diburu kekesalan.
Mimpi itu membuatkan dia berharap agar Eusoff masih hidup. Dia berdoa agar segala cerita emaknya selama ini palsu belaka. Dia mula meragui kejujuran Wan Anum Sophia. Sekarang ini barulah dia mula meragui ibunya sendiri, barulah dia dapat rasakan banyak perkara yang wanita itu sembunyikan darinya. Eusoff… dia perlukan Eusoff saat ini. Hanya Eusoff yang dapat membuktikan bahawa Nudra itu adalah anak mereka yang sah. Tapi mungkinkah orang yang ditemui Syameer itu adalah Eusoff? Harapan Munirah kembali pudar.
TUHAN…di mana suamiku? Kalau benar dia masih hidup, temuilah kami anak-beranak dalam situasi yang cukup mulia. Munirah tunduk. Dia jadi malu kepada ALLAH SWT kerana hanya tahu meminta tetapi tidak pernah berusaha. Bagaimana untuk dia berusaha andainya kudratnya terbatas setakat di atas kerusi roda ini? Bagaimana dia mampu mencari suaminya selagi terpenjara di rumah besar kepunyaan Wan Anum Sophia ini?
Tidak! Aku akan usahakan. Kalau benar Eusoff masih hidup, aku berjanji pada diri sendiri untuk temukan Nudra dengan ayahnya. Biar semua orang tahu Nudra itu anak dia dan Eusoff. Biar semua orang sedar bahawa perkara terkutuk itu tidak pernah terjadi. Tiba-tiba saja keyakinannya semakin kuat bahawa Nudra adalah anak dia dengan Eusoff. Air mata Munirah kembali merembes lalu membasahi pipinya yang masih suci dengan wuduk. Matanya sudah bengkak kerana tidak henti-henti menangis sejak siang tadi.
“Syameer... di mana Syameer? Mak Long nak Syameer carikan Pak Long Eusoff. Mak Long yakin, orang yang Syameer temui tu adalah suami Mak Long. Mak Long yakin, Meer...” rintih Munirah sendiri.

“MAK LONG… Maaf, kalau saya buat Mak Long terjaga,” Syameer merasa bersalah kerana mengejutkan Munirah dari tidurnya.
Munirah yang baru saja membuka mata melemparkan senyuman. Syameer sedikit kaget melihat Munirah tersenyum begitu kerana Mak Longnya jarang bereaksi begitu. “Oh, Meer! Meer dengar Mak Long panggil tadi ke?”
Syameer terpinga-pinga. Bila masa Mak Long panggil dia? Tak ada pulak dia dengar... Dia masuk ke bilik ni pun sekadar hendak menjenguk makciknya ini kerana bimbang dengan keadaan Munirah selepas kejadian beberapa hari lepas, tetapi dia nampak Munirah terlena di kerusi rodanya. Dia hendak mengejutkan Munirah untuk tidur di katil tetapi belum sempat dia bersuara, wanita itu sudah terjaga.
“Hmmm... Mak Long panggil saya ke? Maaf, saya tak dengar. Tapi mujurlah saya terlintas nak datang jenguk Mak Long ni. Ada apa Mak Long?” Syameer terus duduk di kerusi, di sebelah kerusi roda Mak Longnya. Hatinya sedikit sayu tatkala menatap wajah Munirah yang dalam kesedihan itu. Meskipun selama ini wajah Mak Long sentiasa murung, namun sejak terbongkar rahsia itu Mak Long nampak bertambah sedih. Dia dapat rasakan penderitaan yang ditanggung Mak Long selama dua puluh tiga tahun itu. Padanya, Mak Long tidak bersalah apa-apa tetapi mengapa dia yang menanggung semua ini? Mengapa Pak Long Safuan masih boleh bebas dan hidup aman bahagia? Tetapi amankah lelaki bangsat itu? Bahagiakah dia? Syameer berfikir kembali. Siapakah yang akan aman kalau hidup diburu dosa? Siapakah yang akan bahagia kalau hidup dalam pelarian?
“Oh, tak apa! Mak Long baru aje terlelap sekejap. Mujur Meer masuk, nanti Mak Long tertidur sampai pagi kat kerusi ni,” balas Munirah sambil membetulkan duduknya. Sekejapan dia termenung panjang. Mimpikah aku? Tak mungkin Syameer mendengar panggilannya...
“Ada apa Mak Long cari saya? Ada apa-apa yang boleh saya tolong ke?” Syameer bertanya kembali setelah Munirah diam agak lama. Wanita itu seperti masih dalam mimpi.
“Meer... Meer masih simpan ke gambar yang Meer tunjukkan pada Mak Long dulu?” soal Munirah. Dia cuba menguntumkan senyuman kepada Syameer yang sedang merenungnya. Telekung sembahyang yang masih di ribaan dilipat kemas lalu diletakkan di atas katil.
“Maksud Mak Long, gambar kahwin tu? Gambar yang Uncle Eusoff bagi kat saya tu?” tanya Syameer kembali, inginkan kepastian. Dia merasa sedikit hairan apabila tiba-tiba saja Mak Long bertanya tentang hal itu sedangkan dulu Mak Long juga yang beriya-iya mengatakan suaminya sudah mati dan memberi amaran agar dia tidak lagi menyentuh hal itu. Tapi tak apalah, mungkin Mak Long sudah mengubah fikirannya setelah apa yang berlaku kini.
Munirah mengangguk. Segunung harapan diletakkan pada Syameer. Dalam hati dia berdoa agar jawapan yang Syameer berikan nanti tidak akan mengecewakannya. “Syameer masih simpan?”
Syameer menggeleng. Munirah mengeluh tanda kecewa.
“Saya dah pulangkan kepada orang tu. Kenapa Mak Long?” Syameer tidak sabar mengetahui apa yang sedang dalam fikiran wanita berwajah sayu itu.
Munirah tunduk dan diam beberapa ketika. “Meer ada jumpa dia lagi ke?” Munirah masih menyimpan harapan.
Syameer semakin hairan. Nampaknya Munirah bersungguh-sungguh tentang gambar itu. “Dah lama saya tak ke Amsterdam. Kali ini saya lebih banyak terbang ke sebelah timur; ke Jepun, Korea… Tapi kenapa, Mak Long?”
“Tak apalah, nak buat macam mana. Mungkin tak ada rezeki kami...” balas Munirah agak kecewa.
“Mak Long, dulu...”
“Syameer, Mak Long rasa betullah gambar yang Meer tunjukkan dulu tu gambar kahwin Mak Long, dan Mak Long rasa betullah orang yang Meer jumpa tu Pak Long Eusoff,” pintas Munirah. Agak payah juga ia hendak meluahkan kata-kata itu kerana dia belum betul-betul yakin dengan bisikan nalurinya.
Syameer merenung wajah Munirah, seolah tidak percaya dengan pengakuan itu. “Betul ke Mak Long?” soal Syameer lagi. Dia jadi agak kelirudengan sikap Mak Long yang tiba-tiba saja berubah itu. Namun hatinya berbunga riang.
Munirah angguk. “Mak Long rasa Mak Long dah mula yakin yang Pak Long kamu masih hidup. Dia tak mati. Semua itu bohong belaka. Mak Long tak tahu apa tujuan nenek mengatakan dia dah mati.”
Syameer tergamam. Nenek? Kenapa dengan nenek? Kenapa nenek banyak sangat simpan rahsia? Apa yang nenek mahu sebenarnya? Syameer semakin curiga dengan neneknya. Terlalu banyak perkara yang menjadi rahsia keluarga ini. Rasa bangganya pada nenek mulai berkurangan, begitu juga dengan rasa hormatnya.
“Apa yang buat Mak Long ubah fikiran?” Syameer menyoal.
“Safuan... Safuan yang buat Mak Long fikirkan balik nasib Mak Long dan Nudra. Mak Long tak boleh terima bila dia berani mengaku Nudra itu anak dia. Hanya Pak Long kamu yang boleh buktikan bahawa Nudra adalah anak yang sah. Dia anak kami.”
Sekali lagi Syameer tergamam. Cerita apa ni? Dia masih belum mengerti dan semakin keliru. “Saya tak faham...”
“Meer, dah banyak malam Pak Long datang dalam mimpi Mak Long. Mak Long dapat rasakan denyut nadinya. Mak Long dapat dengar bisikannya. Mak Long mula yakin dia masih ada. Meer tak bohong... Mak Long tahu Meer tak bohong. Jadi, kali ni Mak Long nak Meer tolong Mak Long. Meer sayangkan Nudra, tak?”
“Mak Long... Saya akan tolong Mak Long cari Uncle Eusoff. Saya akan tolong Nudra sebab saya sayangkan dia. Dia dah macam adik saya sendiri,” jawab Syameer sambil memegang erat tangan Mak Longnya.
“Terima kasih, Meer... Terima kasih.” Munirah merebahkan badannya. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Bibirnya mengukir senyuman penuh harapan.
Syameer hanya memerhati perlakuan Munirah dengan seribu macam perasaan dan persoalan. Ada ketika dia merasa kasihan dengan keadaan Mak Long Munirah. Di ketika yang lain pula dia merasa aneh dan ingin sangat mengetahui rahsia di sebalik wajah sedih wanita bermata coklat itu. Wanita ini terlalu banyak memamah duka dan menelan kepahitan hidup.

1 ulasan:

Ummihana berkata...

cepat2lah Syameer cari Paklongnya..sebelum perkara menjadi bertambah buruk untuk Nudra....kenapa dgn Sophia ru huh? apa evil plan dia sebenarnya?