Khamis, 4 Oktober 2007

Bhg 26

Pesanan penaja: klik sini dulu--> Bhg 25
****
“ABANG SAFUAN dah balik.” Syahirah menanti reaksi Munirah. Sejak malam tadi lagi dia mencari peluang untuk berbicara dengan kakaknya itu tetapi sejak pukul sembilan lagi bilik Munirah sudah gelap. Lantaran itu dia menunggu hingga pagi.
Munirah terpana. Seluruh tubuh terasa menggigil. Dia cuba menyembunyikan riak wajah yang pastinya sudah berubah. Safuan dah balik? Kenapa dia perlu balik, dan kenapa sekarang? Soal Munirah sendiri.
“Macam mana dengan Nudra?” Syahirah turut berkongsi debaran dengan apa yang bakal berlaku nanti. Tak sampai sebulan lagi majlis pernikahan Nudra akan berlangsung dengan Iskandar. Setahu Syahirah, semua persiapan sudah hampir selesai. Tentu kecoh nanti… Tak dapat dia bayangkan apakah yang bakal berlaku di majlis tersebut dengan kepulangan Safuan itu.
“Nudra tak akan tahu!” Tingkah Munirah tegas sekali. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah adiknya.
“Dia akan kahwin tak lama lagi. Kecoh nanti, Kak Murni! Apa kita nak buat? Mana nak sorok muka kita nanti kalau tiba-tiba Safuan buat gila?” Syahirah seolah mengingatkan. Jawapan yang terkeluar dari mulut Munirah membuatkan dia merasa geram. Mengapa kakaknya seolah-olah tidak kisah dengan apa yang bakal berlaku? Kenapa Kak Murni seperti tidak ada perasaan je? Adakah… Oh, tak mungkin! Jerit Syahirah di dalam hati.
“Kak Murni tahu…” Hanya itu yang terlepas dari mulutnya. Dia sudah tidak berdaya untuk berbuat apa-apa lagi. Itulah yang dia takutkan selama ini. Kepulangan Safuan betul-betul tepat pada waktunya. Mungkinkah ini semua sudah dirancang? Siapa? Emak? Tetapi kenapa? Bukankah Sophia sedaya-upaya hendak menyembunyikan segala busuk keluarga ini? Sarat kepalanya dengan pelbagai persoalan yang menujah fikiran. Munirah menggigit bibir sekuat hati, menahan segala perasaan yang sudah tidak tertanggungkan lagi dek badan.
“Apa kita nak bagitahu pihak lelaki? Safuan tak akan diam begitu saja. Dia masih berdendam.” Syahirah menambah kerisauan Munirah. Dia sendiri sangat bimbang cemas. Segala-galanya bagaikan awan hitam yang sedang menyelubungi keluarga Wan Anum Sophia.
Pertanyaan Syahirah itu dibiarkan sepi. Deru angin petang yang menerobos masuk melalui tingkap langsung tidak memberi rasa nyaman. Munirah bungkam. Dia tidak ingin fikirkan apa-apa lagi. Nudra dan bakal suaminya? Keluarga Iskandar? Emak? Safuan? Oh, segala-galanya menyesakkan kepala!
“Semalam Safuan tanyakan Nudra pada mak. Saya tak pasti apa yang mak jawab. Saya kasihan dengan Kak Murni. Saya jugak kasihankan Nudra. Dia pasti akan kecewa kalau dia tahu perkara sebenar,” Syahirah berkata berpura-pura simpati. Semalam dia terdengar perbualan Safuan dengan Wan Anum Sophia tetapi tidak keseluruhannya, yang pasti mereka berbincang tentang Nudra. Lantaran itu dia jadi gusar dan tidak keruan.
“Peduli apa dia dengan Nudra? Nudra tak ada kaitan dengan dia! Jangan dia nak susahkan hidup anak Kak Murni pulak.” Munirah yang diam saja sejak tadi meninggikan suara. Hatinya tiba-tiba saja jadi panas. Dadanya turun naik menahan rasa marah dan dendam yang telah tersimpan sekian lama. Dia merasa tiada perlunya Safuan bertanya tentang Nudra.
“Nudra kan anak dia? Mestilah dia peduli…” ujar Syahirah agak keras. Biar Munirah sedar! Dia tahu pernyataan itu seperti menyimbah minyak pada api yang sedang marak. Tapi dia semakin gusar dengan sikap Munirah yang seakan-akan tidak mahu terima kenyataan itu.
“Kak Murni dah lupa ke apa yang berlaku dua puluh tiga tahun lepas? Takkan Kak Murni tak ingat? Takkan Kak Murni tak sedar, sebab Kak Murnilah keluarga kita porak-peranda?” tekan Syahirah lagi.
“Tidak!” Jeritan Munirah membuatkan Syahirah tersentak.
“Siapa kata tak?” Tingkah Syahirah berani. “Kak Murni yang tak mahu mengakuinya. Kalau tidak masakan Abang Eusoff tinggalkan Kak Murni? Siapa yang nak percaya?” Sambung Syahirah agak sinis. Dia sendiri semakin tertekan. Dia mahu ingatkan kakaknya itu agar tidak lagi hidup di sebalik bayang-bayang ciptaan sendiri. Walau sepahit mana pun, itu semua adalah kenyataan yang harus dia terima.
Munirah diam. Dia dapat lihat wajah Eusoff pada raut wajah Nudra. Pancaran mata Nudra adalah cahaya cinta Eusoff yang tidak pernah padam dalam hatinya. Dia selalu bisikkanpada hatinya, Nudra adalah zuriatnya yang sah. Tidakkah mereka semua nampak? Tapi siapa yang hendak percaya pada kata-katanya? Dia tidak mampu untuk membuktikannya. Mungkin dia boleh lakukan ujian kalau dia mahu, tapi siapa yang hendak melayan permintannya? Pernah sekali dulu dia berkeras hendak membuktikan kebenarannya, namun sedikit pun Wan Anum Sophia tidak peduli. Dia cukup kecewa dengan sikap ibunya yang langsung tidak pedulikan perasaannya ketika itu. Jika benar segala bisikan naluriku, KAU tunjukkanlah kebenarannya. Ya TUHAN, kepada-MU aku berserah…

“YA, siapa yang nak percaya?” Hampir luruh jantung Munirah sebaik saja suara itu singgah di telinganya. Serentak dia dan Syahirah menoleh ke arah pintu ruang keluarga yang terbuka luas. Bulat matanya memandang ke wajah yang sekian lama menjadi mimpi ngerinya, wajah yang tidak ingin dia ingati apatah lagi dia temui.
Lelaki berjambang dan bertubuh sederhana tingi itu merenungnya dengan tajam seolah-olah hendak diterkamnya wanita berkerusi roda itu. Jaket kulit hitam yang tersarung di tubuhnya ditanggalkan lalu dicampakkan ke atas kerusi malas rotan yang terletak dekat dengan pintu.
“Abang Safuan?” Suara Syahirah hampir tidak kedengaran. Dia juga jadi kalut melihat lelaki bersuara garau itu berdiri tegak di situ. Pantas pandangannya jatuh ke lantai, tidak berani menentang mata tajam lelaki itu.
“Ya, aku Safuan. Kenapa? Kau orang dah lupa? Kau orang ingat aku tak akan balik sampai bila-bila? Kau ingat aku dah mati?” Seperti peluru berpandu pertanyaan itu keluar dari mulut Safuan. Jambangnya tumbuh meliar tidak terurus. Parut di tangannya masih jelas kelihatan. Tubuhnya disandarkan pada dinding sambil kedua-dua belah tangannya berpeluk tubuh.
Syahirah menggeleng, tidak berani bersuara. Lelaki berkening lebat itu benar-benar menakutkan. Peristiwa yang berlaku dua puluh tiga tahun lepas bagaikan ulang tayang dalam fikirannya. Mahu saja dia menutup mata, ingin memadamkan kisah hitam itu.
“Kamu tahu kenapa aku balik, kan?” Safuan menghampiri Syahirah lalu mukanya dirapatkan pada adik bongsunya itu. Dada Syahirah dilanda debaran maha hebat. Segalanya kembali segar dalam ingatan. Desah nafas lelaki itu mengocak jiwanya.
“Abang, Kak Murni…” Suara Syahirah tersekat-sekat. Perlahan-lahan dia mengundur, cuba menjarakkan dari Safuan. Muka lelaki itu sangat hampir dengan wajahnya.
“Kamu keluar! Aku ada hal dengan Munirah. Kau tak ada urusan dengan aku, jangan nak menyibuk,” arah Safuan dengan jelingan tajam sambil melangkah menghampiri Munirah yang menghadap ke luar tingkap. Munirah berusaha menolak kerusi rodanya menjauh dari Safuan tetapi ternyata tenaganya hanya cukup untuk melepaskan sebuah keluhan yang tidak memberi apa-apa makna.
Syahirah terus meluru keluar. Jeritan Munirah yang memintanya tidakpergi dari situ tidak dipedulikan. Dia tidak akan menunggu lagi. Arahan Safuan sebentar tadi adalah satu kebebasan buatnya.
“Jangan, Syahirah! Jangan pergi dulu!” Munirah cuba menghalang adiknya sekalilagi dari meninggalkannya sendirian berhadapan dengan Safuan. Tubuhnya dirasakan menggigil. Kenangan lama kembali menghantui dirinya. Ya ALLAH, selamatkanlah aku dari lelaki jahanam ini…
Rayuannya tidak di endahkan Syahirah. Adiknya sudah hilang dari pandangan dan kini tinggal hanya dia berdua dengan Safuan.
“Kenapa, kau takut? Jangan bimbang, aku tak ada niat jahat. Kau masih ingat rupanya apa yang berlaku dulu,” ejek Safuan sambil menggosok-gosok dagunya.
Ketawa Safuan menggegarkan hati Munirah. Meluat! Benci! Lelaki tak sedar diri! Munirah terus menyumpah di dalam hati. Kalau boleh mahu saja diludah-ludahkan muka lelaki yang tidak berhati perut itu.
“Aku nak jumpa dia…” ucap Safuan dengan nada lembut.
“Siapa?” soal Munirah buat-buat tidak mengerti. Dia mendengus dalam hati.
“Anak aku, Nudra.” Pantas Safuan menjawab. Dia berdiri sangat hampir dengan bahu Munirah.
Pantas Munirah menoleh sebaik saja ucapan itu terpacul dari mulut Safuan, agak terkejut kerana Safuan mengetahui nama Nudra. Tentu Sophia yang memberitahunya. Wajahnya tergambar sejuta kebencian. “Dia tidak ada kena-mengena dengan kau.” Lancar saja perkataan ‘kau’ keluar dari mulutnya walaupun dia tahu tidak sepatutnya dia membahasakan lelaki itu begitu. Munirah tidak ingin memanggil lelaki yang berdiri di hadapannya dengan panggilan ‘abang’ kerana lelaki itu tidak layak untuk digelar abang pun. Lelaki pegkhianat! Bangsat! Munirah tidak pernah berhenti menyumpah Safuan sejak kejadian itu.
“Apa perlunya kau nak jumpa dia lagi? Kau nak buat apa lagi dengan dia? Jangan sekali-kali kau nak mengaku itu anak kau.” Dengan berani Munirah membalas renungan tajam Safuan. Entah dari mana kekuatan yang dia perolehi dia pun tidak pasti sedangkan selama ini dia begitu lemah dan tidak bersemangat untuk berhadapan dengan dunia luar. Mungkin perasaan benci dan dendam yang telah sekian lama dia pendamkan menjadikan dia begitu berani melawan Safuan. Safuan itu adalah musuhnya! Sejak peristiwa hitam itu dia menganggap Safuan adalah musuh nombor satunya. Dia tidak akan memaafkan Safuan! Safuan telah menghancurkan seluruh hidupnya. Ya, dia tidak akan maafkan…
Safuan ketawa lagi, kali ini lebih panjang dan amat menyakitkan hati. Munirah mengetap gigi. Sedikitpun tiada keinsafan dalam diri lelaki itu. “Dia anak aku!” Dengan penuh yakin Safuan mengucapkannya.
Hati Munirah semakin mendidih. Tak malu sungguh dia mengakui Nudra itu anaknya. Tidakkah dia merasakan dosa yang dia lakukan dulu menghambatnya? Tidakkah dia merasa arang yang terconteng pada berbekas di muka? Tidakkan dia merasa aib itu membayanginya di mana-mana? Tidakkan dia merasa semua makhluk di muka bumi ini mengutuknya kerana perbuatan keji yang telah dia lakukan itu? Ya ALLAH, manusia apakah kau ni Safuan? Jerit batin Munirah.
“Jangan kau nak mengaku dia tu anak kau. Dia anak Eusoff!” Ucap Munirah penuh yakin sedangkan diri sendiri masih keraguan. Dia cuba mencari kebenaran itu pada diri Nudra. Entah… sesekali dia melihat diri Eusoff dalam diri anaknya, sesekali dia tidak yakin dengan pendirian itu. Mungkinkah kerana dia terlalu berharap Nudra itu anak suci sehinggakan dia berilusi yang bukan-bukan?
Ketawa Safuan bergema lagi. Kali ini lebih kuat dan amat menyakitkan hati Munirah. Kalaulah dia punya kudrat, mahu saja diterajang lelaki itu. Sudahlah lakukan perkara terkutuk, tak malu pula hendak mengaku Nudra itu anaknya. Ah, bukankah lebih baik kalau lelaki itu dibunuh saja? Astaghfirullahal’azim… Munirah mengurut dada, menyedari keterlanjuran fikirannya.
“Kau jangan nak merepek, Munirah. Dengan budak tu kau boleh tembelang apa saja. Tapi dengan orang lain? Semua orang tahu laki kau tu mandul,” ucap Safuan sambil mencebik. Sedikit pun tidak ada perasaan bersalah dalam dirinya.
Munirah menelan ludah. Terlalu pahit untuk dia akui kata-kata Safuan itu. “Jangan sesekali kau sebut hal itu! Kau tak berhak hendak menghina dia. Kalaupun benar apa yang kau tuduh itu, dia lebih mulia dari kau yang mempekosa adik sendiri,” herdik Munirah penuh emosi. Kemarahannya bagaikan lahar gunung berapi yang mengalirkan api kebencian.
Safuan masih ketawa mengejek. Melihat penderitaan dan kesengsaraan pada wajah Munirah itu pun sudah cukup buat dia puas hati. Dia memang layak merasakan segala penderitaan ini! Biarkan…
“Ingat, Murni! Nudra nak kahwin tak lama lagi. Kau tahu apa akan jadi nanti?” gertak Safuan tanpa mempedulikan kata-kata Munirah. Bagi Safuan, dia sudah menang dan dia sudah puas hati.
Munirah menelan ludah yang dirasakan kelat sekali. Ya TUHAN, apa lagi ujian yang ada di depanku ini? Munirah merintih di dalam hati. “Kau jangan rosakkan hidup anak yang tidak berdosa itu. Nudra tak pernah tahu siapa dia sebenarnya. Dan dia tak akan tahu. Dia tak bersalah. Biarkan dia bahagia. Dia sudah lama menderita,” rayu Munirah setelah dia merasakan sudah tiada ertinya untuk terus melawan.
“Dia belum cukup menderita!” Pantas lelaki berambut lurus itu berpaling lalu mengatur langkah meninggalkan Munirah.
“Safuan!” Jerit Munirah sekuat hati.

Tiada ulasan: