Jumaat, 5 Oktober 2007

Bhg 27

“KAMU jangan nak buat hal kat sini!” Tegas Tok Ayah memberi amaran. Dia belum bersedia untuk menemukan lelaki itu dengan cucu saudaranya. Dia merasakan Nudra tidak perlu tahu siapa dan apa kaitannya dengan lelaki itu. Safuan tidak berhak apa-apa ke atas Nudra. Kalau benar dialah yang menyebabkan Nudra lahir ke dunia, Safuan tetap bukan ayah Nudra. Dari segi hukum pun Nudra tidak boleh dinasabkan dengan nama Safuan. Dia tetap lelaki ajnabi bagi Nudra. Dan yang penting dia juga tidak boleh mewalikan Nudra
“Saya datang dengan baik. Saya tak ada niat lain selain jumpa dia aje. Takkan itu pun tak boleh?” Safuan cuba berlembut meskipun hatinya sedikit membara dengan layanan Tok Ayah. Dua puluh tiga tahun lalu…. Ya, anak itu tentu sudah dewasa.
“Jangan rosakkan jiwa budak tu. Dia tak tahu apa-apa.” Tok Ayah tetap tidak setuju dengan tujuan Safuan. Walau apa pun niat Safuan, Tok Ayah merasakan tidak ada keperluan untuk menemui Nudra.
“Saya cuma nak jumpa dia,” ulang Safuan yang sudah hilang sabar. Suaranya meninggi sehinggakan Tok Ayah mengurut dada.
“Kamu tak ada kaitan dengan dia.” Tok Ayah semakin geram. Dari kecil sampai ke tua, degil Safuan tak habis-habis. Dia pun hairan mengapa anak Wan Anum Sophia yang seorang itu tidak boleh dibentuk. Dulu Safuan tidak begitu, dia anak yang mendengar kata dan cukup manja dengan Wan Mursyid. Ke mana saja dia pergi Safuan pasti ada mengekori sehinggalah Safuan meningkat remaja barulah renggang sedikit. Safuan dibuatnya seperti anak sendiri. Marah benar abangnya itu kalau ada sesiapa yang mengatakan Safuan adalah anak tirinya. Malah, dia sanggup memberitahu semua orang bahawa Munirah dan Safuan itu adalah adik-beradik kembar.
“Siapa kata?” Tingkah Safuan dengan kasar, langsung tidak peduli dengan siapa dia berbicara.
“Safuan, kenapa kamu beriya-iya sangat ni? Bagilah Nudra hidup bebas macam orang lain. Jangan ganggu dia dan Munirah lagi. Kamu dah susahkan anak cucu Wan Mursyid,” Ucap Tok Ayahdengan suara sedikit mengendur. Dia harap Safuan akan lembut hati. Perkara yang dah sudah, sudahlah. Dia pun tidak mahu mengingatinya lagi. “Nudra anak saya!” Jerkah Safuan tanpa mempedulikan siapa Tok Ayah.
“Tok Ayah…” Tok Ayah tergamam sebaik saja terpandang wajah Nudra yang berdiri tegak tidak jauh dari situ. Dia tidak pasti sejak bila gadis berkurung ungu itu berada di situ.
Safuan turut berpaling ke belakang. “Nudra?” Safuan seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatya. Gadis bertubuh sederhana, tidak tinggi dan tidak rendah, berkulit putih dengan kening lebat menghiasi matanya yang cantik itu adalah Nudra. Nudra yang lahir hasil titisan zuriatnya. Tapi,betulkah? Hatinya berdetik ragu.
Nudra tercegat di situ. Ucapan lelaki separuh baya itu bergema, berulang-ulang di di telinganya. Nudra hanya memerhati lelaki berjambang itu dengan seribu satu pertanyaan. Benarkah dia ayahku? Ayah yang dia cari selama ini? Tetapi kenapa Tok Ayah seperti enggan temukan aku dengan dia? Pandangan Nudra jatuh ke tanah yang merah. Dia tidak percaya akan menemui ayahnya di saat begini. Dia juga tidak menyangka sama sekali lelaki yang bergelar ayah itu masih hidup. Ya, TUHAN… Dia datang di saat aku benar-benar perlukan dia. Syukurlah kerana dia akan mewalikan aku nanti. Desis hati Nudra penuh syukur. Air matanya hampir menitis kerana gembira dan terharu.
Pantas Safuan masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Sekali lagi Tok Ayah terpempan. Nudra juga kaget melihat Safuan yang tergesa-gesa masuk ke dalam kereta.
"Ayah..." Bergetar suara Nudra membisikkan kalimat yang sekian lama tersimpan di sudut hati.
“Safuan!” Laung Tok Ayah tetapi kereta Proton Wira biru gelap itu sudah memecut pergi.

CUACA di luar panas terik. Anjung rumah beratap zink itu menambahkan lagi bahang panas di luar sana. Peluh merenik di dahi Nudra. Hampir lima belas minit Nudra menunggu Tok Ayah membuka mulut tetapi lelaki tua itu masih diam membisu. Mukanya tunduk merenung jauh entah ke mana. Riak di wajahnya membayangkan ada cerita duka yang tersimpan, ada rahsia yang terpendam.
“Tok Ayah, betul ke lelaki tadi ayah saya?” Nudra memberanikan diri bersuara. Dia sudah tidak sabar menunggu lagi.
Tok Ayah pandang ke wajah Nudra. Pertanyaan itu mengocak hati tuanya. Pahitnya untuk menyatakan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti kebenarannya. Sudah lama dia mencari waktu dan ucapan yang terbaik agar semua itu tidak mencalar hati Nudra yang suci bersih itu. Tidak sampai rasanya hati untuk melihat wajah bersih cucu yang telah ditatang sejak kecil berubah duka. Tidak tergamak dia melihat mendung di wajah yang mulus itu.
“Nudra…” Tiba-tiba saja Tok Ayah yang petah memberi ceramah di masjid menjadi kelu. Tidak tahu bagaimana hendak dia mulakan bicara untuk mengkhabarkan kebenaran yang pahit itu. Betulkah ianya satukebenaran? Hati Tok Ayah masih meraguinya…
Nudra memandang ke wajah Tok Ayah penuh mengharap. Sudah lama dia ingin tahu siapa ayahnya. Ibu selalu berkata ayah sudah mati tetapi kalau benar ayahnya sudah meninggal, di mana kuburnya? Kalau betul Safuan itu ayahnya, kenapa namanya berbinti Eusoff? Setahu dia, Eusofflah ayahnya, tetapi siapa dia? Di mana dia?
Nudra rasa ingin menjerit, biar seisi alam mendengar jeritan batinnya. Biar seluruh makhluk dimuka bumi ini tahu betapa beratnya jiwa menanggung persoalan yang tidak pernah terjawab ini. Dia benci hidup dalam teka-teki begini. Rimas!
“Mengapa Tok Ayah tak nak jawab? Betulkah saya anak Pak Long Safuan dan ibu? Betulkah telah terjadi sesuatu yang sangat keji antara mereka dan sayalah hasilnya?” Nudra pejamkan mata, tidak sanggup memandang wajah Tok Ayah yang nampak sedang menangung sesuatu yang amat pedih itu. Kalau boleh dia tidak mahu Tok Ayah mengiyakan andaian yang dibuatnya tadi. Kalau boleh biarlah jawapan yang bakal keluar dari mulut Tok Ayah nanti adalah ‘tidak’.
Pertanyaan Nudra itu membuatkan Tok Ayah merasa seperti seorang pejuang yang tewas di tangan musuh. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Dia tidak sanggup mendengar tangisan Nudra kerana dosa yang lalu.
Nudra tak boleh tahu, itu janjinya pada Abang Mursyid. Tidak, Nudra perlu tahu siapa dirinya. Dia tidak boleh sembunyikan apa-apa lagi. Sudah tiba masanya dia nyatakan kebenaran walaupun pahit. Tetapi dia tidak mampu… Dan juga hatinya tidak yakin dengan cerita yang dibawa Wan Anum Sophia dua puluh tiga tahun yang lalu. Dia masih ragu. Kenapa kau masih tak percaya, Mustakim? Kenapa kau masih hendak menidakkannya? Kenapa Mustakim? Kerana Munirah itu anak buah engkau, lalu perkara sebegini tak mungkin akan terjadi? Safuan dan Munirah itu manusia yang ada nafsu. Nafsu tidak mengenal siapa, kalau iman cetek di dada, segalanya boleh berlaku. Munirah dan Safuan bukan malaikat. Hatinya terus berperang sendiri. Tidak… tak mungkin! Hatinya yang sebahagian lagi pula menyangkal.
“Kenapa Tok Ayah? Kenapa Tok Ayah tak jawab soalan saya? Kenapa Tok Ayah diam?” Siapa Safuan tu? Betul ke dia ayah saya?” bertalu-talu Nudra menyoal. Suara Nudra bergetar menahan sebak. “Kalau betul dia ayah saya, kenapa dia pergi? Kenapa Tok Ayah nampak tak gembira bila dia datang tadi?” sambung Nudra lagi dengan pertanyaan yang bertalu-talu.
Suara Nudra bagaikan halilintar di dada Tok Ayah. “Dia tu abang ibu kamu.” Hanya sebaris yang mampu Tok Ayah ucapkan. Pandangan Tok Ayah jatuh ke lantai. Peristiwa silam kembali segar di ingatan. Wan Mursyid, aku tak dapat nak sembunyikan lagi sejarah hitam keluargamu… Maafkan aku kerana amanah yang kau berikan ini tidak dapat aku sempurnakan. Tok Ayah jadi sebak.
Nudra mengecilkan matanya, dia keliru dengan kata-kata Tok Ayah sebentar tadi. “Maksud Tok Ayah, dia tu pakcik saya? Itu Pak Long Safuan, kembar ibu? Tapi… kenapa saya boleh jadi anak dia??” Nudra semakin keliru dan tubuhnya terasa menggigil. Dia teringat wajah lelaki di dalam gambar itu. Ya, itulah Pak Long Safuan! Kebenaran apakah ini? “Tapi kenapa dia mengaku saya anak dia? Apa kaitan….” ulang Nudra tetapi tidak meneruskan pertanyaannya. Dia semakin bingung. Terasa pipinya dibasahi air suam yang jatuh dari kelopak mata apabila dia mula membayangkan apa yang telah terjadi antara ibu dan Pak Long Safuan.
“Ya, dia Pak Long Safuan kamu.” Kedengaran suara Tok Ayah sangat pilu mengucapkannya.Itulah kenyataan paling pahit yang pernah dia luahkan untuk Nudra.
Berulang kali Nudra beristighfar dalam hati, memohon kekuatan dari ILAHI untuk berhadapan dengan apa jua kenyataan yang bakal Tok Ayah katakan nanti. “Kenapa dia mengaku saya ni anak dia? Bukankah ayah saya namanya Eusoff, dan dia dah tak ada? Apa yang Tok Ayah dan sembunyikan dari saya selama ni? Siapa saya ni sebenarnya, Tok Ayah?” Rasa ingin tahu Nudra semakin membuak. Dia sudah tidak sabar lagi berteka-teki. Dia cuba merungkai cerita yang semakin rumit.
Tok Ayah melepaskan keluhan yang berat. Nudra semakin bingung. Seumur hidup tidak pernah sekalipun dia mendengar Tok Ayah mengeluh begitu. Apa sebenarnya dalam fikiran Tok Ayah? Benarkah apa yang ada dalam fikirannya bahawa telah berlaku selingkuh antara kedua beradik itu atau dia saja yang bersangka buruk dengan ibu sendiri? Nudra bagai ingin menjerit saja bila memikirkan perkara yang sungguh mengaibkan itu.

KELIRU! Nudra benar-benar keliru dengan apa yang sedang berlaku ketika itu. Dia cuba memahami apa yang diberitahu nenek sebentar tadi. Mustahil, sungguh mustahil! Nenek bohong! Nenek sengaja hendak mereka-reka cerita agar perkahwinanya dengan Iskandar tidak akan terjadi. Nenek memang tidak suka lihat dia gembira dan nenek tidak akan biarkan dia hidup bahagia. Nudra terus membuat tohmahan.
“Dulu kamu nak tahu sangat siapa ayah kamu, kan? Hah, sekarang kamu dah tahu kenapa kamu tak nak percaya pulak?” Sophia menempelak.
Nudra seperti di awang-awangan. Otaknya ligat mencari makna yang tersirat di sebalik penjelasan nenek. Dia cuba mengingati satu-persatu peristiwa yang pernah dia alami untuk dia mempercayai kata-kata nenek. Mungkinkah kerana itu nenek tidak pernah mengasihi dia? Dan mungkinkah kerana sebab itu nenek benci sangat dengan ibu? Dan mungkin juga kerana itulah ibu juga tidak pernah menyayanginya? Dan kerana itukah dia dihantar ke rumah Tok Ayah supaya tidak ada siapa yang tahu ibu pernah melahirkan dia? Patutlah nenek benci sangat dengan dia...
“Nenek, betul ke semua ni?” Amat payah Nudra bersuara. Pahitnya kenyataan ini...
“Tak ada apa lagi yang nenek nak sembunyikan dari kamu. Selama ini nenek simpan semua ni dari pengetahuan kamu, dari pengetahuan orang lain. Nenek tak mahu kamu malu, ibu kamu malu dan keluarga Wan Anum Sophia malu. Tapi akhirnya terbongkar jua...” ucap Wan Anum Sophia perlahan.
Nudra tidak pasti apa yang sedang Sophia rasakan ketika itu. Mungkinkah dia kesal, insaf atau... Atau nenek sekali lagi berpura-pura? Ah, tak mustahil kalau nenek yang merancang semua ini! Nudra masih berwasangka dengan neneknya.
“Katakan yang semua ini adalah rancangan nenek.” Terpacul kata-kata itu dari mulut Nudra. Dia sudah masak dengan helah nenek.
Sophia tertawa sinis. Kemudian dia mendengus kasar. “Kamu tuduh nenek, Nudra? Kamu kata nenek rancang semua ni? Kamu ingat nenek suka hendak memalukan diri sendiri macam ni? Kamu ingat nenek ni tak ada otak macam ibu kamu? Nudra... dua puluh tiga tahun nenek pendamkan sakit hati ni sendirian. Kalau tidak kenangkan arwah Tok Aki kamu tu, dah lama ibu kamu tu nenek halau dari sini.”
Nudra diam. Kata-kata nenek ada juga benarnya. Wan Anum Sophia tak mungkin akan menjatuhkan maruah sendiri. Mungkin ini satu kebetulan dan ketentuan ALLAH. Kalau betul ini adalah takdir ALLAH SWT, dia harus pasrah…

Tiada ulasan: