Jumaat, 26 Oktober 2007

Bhg 35

PAGI Ahad itu awal-awal lagi Nudra sudah berada di luar rumah, menyapu halaman dan menyiram pokok-pokok bunga dan cili yang ditanam bersama Hannah tenpoh hari. Hannah pula sibuk di dapur menyediakan sarapan.
Bunyi enjin kereta memasuki halaman mengejutkan Nudra yang sedang membongkok menyapu sampah.
Sebaik saja terpandang wajah lelaki yang baru saja melangkah keluar dari kereta itu, Nudra segera hendak berlalu masuk ke dalam rumah. Tetapi Iskandar terlebih dahulu menghampiri dan memberi salam.
Salam yang diberikan hanya dijawab di dalam hati tanpa sedikit pun memandang ke wajah lelaki itu. Penyapu lidi di tangan disandarkan pada tiang rumah. “Awak cari Tok Ayah?” Nudra mencari alasan untuk tidak berlama-lama dan mengelak dari terus berhadapan dengan Iskandar.
“Saya cari awak.”
Nudra pandang ke wajah Iskandar sebentar dengan kening berkerut. Lelaki itu nampak resah meskipun suaranya tenang sahaja. Tanpa sepatah kata Nudra hanya menunggu Iskandar meneruskan bicara.
“Oh, Iskandar! Pagi-pagi kau datang, kau nak jumpa Tok Ayah ke?” Hannah yang menjenguk melalui pintu dapur menyapa, buat-buat tidak dengar sedangkan dia sudah memasang telinga sejak tadi.
“Ha’ah... aku ni, Hannah. Aku cari Nudra, bukan Tok Ayah. Aku tahu, Tok Ayah masih kat surau pagi Ahad macam ni. Ada kelas tajwid untuk wanita hari ni, kan?”
“Hmm... tahu pun! Buat apa cari Nudra?” tanya Hannah cuba memaniskan muka. Teruknya orang putus cinta... nanar tak menentu! Kesian aku tengok Si Iskandar tu. Hannah menggerutu dalam hati.
“Aku ada hal nak cakap dengan Nudra. Kau tak ke mana-mana, kan?” Sengaja Iskandar bertanya walaupun dia pasti Hannah tak ke mana-mana dan dia tak akan hanya berdua dengan Nudra.
“Yalah, aku kat dapur ni tengah masak nasi lemak ni. Kau sembanglah kat luar tu.” Segera Hannah masuk semula ke dalam rumah meneruskan kerjanya. Dalam diam dia mengulum senyum. ‘Padan muka! Tak hingin aku jemput masuk,’ gerutu Hannah yang masih geram dengan tindakan keluarga Iskandar terhadap Nudra.
“Nudra, saya tak tahu sama ada awak dah tahu ke belum. Mungkin Tok Ayah dah beritahu awak, tapi tak apalah saya nak cakap sendiri. Biar awak dengar dari mulut saya sendiri,” Iskandar meneruskan bicara setelah Hannah menghilang ke dapur.
Sekali lagi Nudra memandang lelaki berbaju melayu hitam itu dengan kening berkerut. “Apa dia?” soal Nudra dengan dada berdebar-debar. Apa lagi perkara penting yang ada antara kita Is?
Iskandar diam agak lama lalu berkata, “Saya nak lamar awak sekali lagi.”
Berdetak jantung Nudra tatkala mendengar suara Iskandar mengucapkan itu. Tiba-tiba saja kakinya terasa menggigil dan tapak tangannya berpeluh dingin. Seteguk air liur ditelan, terasa pahit sekali. “Tidak, Is!” Terpacul penolakan dari bibir Nudra.
“Kita kahwin. Walau apa pun yang akan terjadi…”
“Kita tak boleh… Saya… Saya tak macam orang lain,” pantas saja Nudra menjawab walaupun dengan suara tersekat-sekat.
“Nudra... Saya tak pernah kisah siapa awak. Saya dah niatkan sejak dulu lagi, awak adalah suri hidup saya. Saya dah janji dengan awak dan saya akan tunaikan janji saya tu.” Suara Iskandar bergetar sayu. Gadis berbaju kurung kain kapas berbunga-bunga kecil itu langsung tidak mahu mendengar penjelasannya.
“Is, saya nak masuk dulu. Saya rasa saya dah tak ada apa lagi yang perlu awak jelaskan. Awak tak perlu paksa diri awak untuk tunaikan janji awak. Jangan rasa bersalah. Sejak hari pertama keluarga awak menolak saya, saya sudah belajar lupakan awak. Anggaplah apa yang terjadi antara kita ni tak pernah berlaku,” ucap Nudra dengan suara perlahan.
“Saya tak boleh lupakan awak. Saya harap pengertian awak. Nudra, tolonglah!”
Nudra melepaskan keluhan. Kata-kata itulah yang tidak sanggup dia dengar lagi. Dia tidak mahu kembali mengingati cinta yang sudah punah itu. Yang dah berlalu, biarlah berlalu. Untuk apa dikenang lagi?
“Awak jangan buat mudah dengan sebuah perkahwinan. Perkahwinan bukan untuk dicuba-cuba. Awak tak boleh terima saya kalau awak tak sungguh-sungguh. Kalau sekadar simpati saja, semua tu tak menjamin apa-apa. Mendirikan masjid tu perlu niat yang ikhlas, supaya masjid yang awak bina tu tidak mudah goyah. Awak juga perlu restu emak dan ayah awak. Kalau tidak, hidup tidak akan tenang sampai bila-bila,” nasihat Nudra dengan ikhlas. Dia tidak mahu pernikahan mereka akan menemui kegagalan jika tanpa restu orang tua Iskandar.
Iskandar termangu dengan peringatan yang diberikan Nudra itu. “Nudra, saya sungguh-sungguh. Saya akan buktikan apa yang saya ucapkan.”
Nudra biarkan kata-kata Iskandar dibawa angin lalu. Dia tidak ingin menyimpan apa-apa harapan. Bahagia untuknya hanyalah khayalan belaka...

MEMBUNTANG mata Azida memandang adiknya yang sedang memerhati ikan di akuarium di patio rumahnya. Kata-kata yang baru terlafaz dari mulut Iskandar itu membuatkan dia benar-benar terkejut. Sungguh tidak dia sangka Iskandar mempunyai niat sebegitu. “Tak salah ke telinga Kak Long ni dengar apa yang Is cakap tadi?” Azida meminta kepastian kerana dia masih tidak mahu percaya apa yang di ucapkan adiknya sebentar tadi. Dia berharap Iskandar sekadar bergurau.
Pantas Iskandar menoleh. Sebuah senyuman tersungging di hujung bibirnya. Kaca mata yang hampir melurut ke hidung diangkat sedikit dengan hujung jari telunjuk. “Kenapa, Kak Long ingat Is main-main? Is serius…” Iskandar berkata sambil melabuhkan punggungnya di bangku yang menghadap kakaknya. Sorot matanya sarat dengan duka. Fikirannya jauh melayang entah ke mana.
Azida mengetap bibir. “Abah dan umi macam mana?” Hanya kedua orang tuanya yang ada dalam fikiran Azida ketika itu. Jangan sampai Iskandar membelakangkan umi dan abah hanya kerana cintanya. Kebimbangan Azida terus membelit hatinya.
“Abah dan umi pasti tak setuju. Is tahu, mereka tak akan benarkan Is kahwin dengan Nudra sebab mereka dah putuskan macam tu. Tapi Is dah nekad. Hati Is dah bulat sebab hati kecil Is mengatakan apa yang Is buat ni adalah betul. Niat Is ikhlas bukan kerana nafsu saja. Is dah banyak kali mohon petunjuk DIA dan Is yakin dengan apa yang Is rasa. Is pasti suatu hari nanti umi dan abah akan terima Nudra juga, ” balas Iskandar tanpa memandang kakaknya.
“Iskandar… tak semudah tu. Kak Long tak setuju. Kalau Is dah tetap dengan pendirian Is, Kak Long tak akan memihak pada Is. Sanggup Is jadi nak buang keluarga kerana seorang Nudra,” protes Azida yang tidak setuju dengan rancangan adiknya. Suaranya sedikit meninggi. Angin sungguh rasanya dengan pendirian Iskandar yang hanya memikirkan perasaannya saja dan langsung tidak mahu fikirkan hati dan perasaan orang lain. Kenapa Iskandar jadi begitu?
“Kak Long… Is tak kata Is akan tinggalkan keluarga. Is tak akan sesekali jadi anak derhaka. Biar umi dan abah tak akan tahu. Biarlah semua ni jadi rahsia dulu.”
“Habis tu, Is nak kahwin tanpa pengetahuan umi dan abah? Is nak kahwin senyap-senyap? Apa ni Is?” Azida hampir terjerit. Dia tidak percaya dengan pengakuan Iskandar. Dan dia tidak akan setuju dengan rancangan itu. Iskandar sudah melampau.
“Is dah fikirkan masak-masak. Is kesiankan Nudra. Is dah beri janji pada Nudra dan Is tak sanggup nak mungkirinya. Is tak akan berhenti mencintai dia. Is minta pengertian Kak Long. Tolonglah rahsiakan semua ni dari umi dan abah. Adik juga tak boleh tahu. Is perlukan semua. Is perlukan abah dan umi, Is perlukan keluarga Is dan dalam masa yang sama juga Is perlukan Nudra. Sebab itu Is tak mahu mereka semua tahu,” balas Iskandar dengan tenang, cukup yakin dengan pendiriannya.
Azida termenung seketika. Dia tetap tidak akan setuju dengan rancangan Iskandar. Dia tidak faham mengapa Iskandar boleh berfikiran begitu. Dia sangat yakin umi dan abah akan menentang. Dan Azida juga tidak tahu bagaimana Iskandar akan menjelaskan semua ini kepada mereka nanti. Azida tidak nampak perkara ini akan jadi mudah. Dia yakin semuanya akan jadi amat rumit sekali. Dan bagaimana dia nanti dia akan mampu mengunci mulut dan bersubahat dengan kerja gila adiknya ini? Oh, Iskandar! Tolonglah jangan buat Kak Long pening begini…
“Is dah nekad?” Azida bertanya lemah, masih cuba menduga keyakinan adiknya. Dia berharap hati Iskandar masih berbelah-bagi.
“Ya, nekad. Is akan hadapi apa jua tentangan dan rintangan,” lafaz Iskandar dengan tenang sekali.
“Is, ke mana perginya taat Is selama ni? Ke mana hilangnya hormat Is pada umi dan abah? Is lebih sayangkan Nudra dari umi dan abah. Kenapa, Is?” soal Azida sambil matanya mencerun memandang Iskandar. Rasa hendak menangis saja bila mengenangkan kedegilan adiknya ini. Kesal! Kalau boleh mahu ditelannya Iskandar hidup-hidup. Tak pernah dia rasakan amat marah kepada adiknya begitu. Sekejapan dia memejamkan mata, cuba menenangkan hati yang panas membara. Dia cuba bersabar dan mempraktikkan apa yang dia pelajari tentang ilmu psikologi selama ini, tetapi berhadapan dengan situasi itu dia jadi kalah dengan perasaannya.
“Sayang dan cinta tu dua perkara yang tak sama. Is sayangkan umi dan abah. Sayang Is tak pernah luak untuk mereka. Is ada tanggungjawab untuk umi dan abah. Tanpa umi dan abah Is tak akan lahir ke dunia. Walau datang bidadari sekalipun taat dan hormat Is tak pernah berubah untuk umi dan abah.”
Azida mendengus. “Cakap memang pandai! Habis tu kenapa nak kahwin jugak dengan Nudra? Kenapa tak sanggup lupakan Nudra kalau Is sayangkan abang dan umi? Kenapa masih nak kahwin dengan sedangkan umi tak setuju kalau taat Is masih tak berbelah bagi?” soal Azida geram.
“Nudra adalah cinta Is. Is tak pernah dapat lupakan dia. Is dah lukakan hati dia, jadi Is mesti ubati luka tu.” Iskandar tunduk. Kak Long memang pandai menggoyah hati orang.
“Abah dan umi pasti akan kecewa. Kak Long takut mereka akan anggap Is anak derhaka kalau mereka tahu tindakan Is yang bodoh tu. Is tak pernah fikir ke?”
Suasana hening seketika. Azida tunduk merenung lantai. Dia tidak tahu bagaimana lagi hendak memujuk untuk mengubah hati adiknya itu.
“Untuk sementara waktu ni abah dan umi tak akan tahu kecuali Kak Long yang beritahu. Is tak akan berpaling lagi.”
“Bagaimana Is nak hidup bahagia tanpa restu umi dan abah? Sanggup Is hidup dalam pembohongan? Macam mana Is nak jadi suami yang baik kalau dalam diri Is sendiri masih ada perkara yang rahsia? Is tak boleh taat dalam derhaka. Jangan menipu diri sendiri. Jangan tipu ummi dan abah juga. Hidup Is akan susah. Kak Long tak nampak, Is boleh hidup tenang dalam pelarian begitu. Is, Is kerja kat KL, abah dan umi jugak kat KL. Dah tentu kalau Is kahwin dengan Nudra Is akan bawak dia tinggal dengan Is kak KL. Is ingat abah dan umi tu tak ada mata, tak ada telinga?” soal Azida geram.
“Kak Long... Kak Long jangan salah faham. Kak Long ni terlebih emosional. Perempuan memang emosional bila bercakap pasal hal nikah kahwin ni. Seorang kaunselor tidak sepatutnya melibatkan emosi sendiri dalam menangani apa jua kes. Is tengah dalam sesi kaunseling dengan Kak Long ni tapi Kak Long dah campur adukkan dengan hal peribadi,” ucap Iskandar cuba berlucu. Dia tahu kakaknya tidak akan terima apa jua alasannya untuk kahwin dengan Nudra.
Azida mencebik. “Banyaklah Is punya kaunseling. Cinta budak kat sekolah tupun tak adalah teruk macam Is ni. Kak Long tak nak keluarga kita berantakan hanya kerana cinta Is yang buta tu,” balas Azida yang menjadi guru kaunselor di sekolah berasrama penuh di situ. Buat pertama kali Azida memprotes hubungan Iskandar dengan Nudra padahal sebelum ini dialah yang menjadi penyokong utama. Tidak, dia tidak akan benarkan perkara itu terjadi!
Kata-kata Azida disambut ketawa panjang Iskandar. Berjaya juga dia menguja kemarahan kakak sulungnya itu.
“Hati orang tua ni ibarat sutera, lembut tetapi sukar dijaga. Kalau itu keputusan Is, Kak Long harap Is dapat lakukan perkara ni macam tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak,” nasihat Azida lagi kerana hatinya sarat dengan rasa bimbang. Kali ini dia terpaksa mengalah. Dia tahu Iskandar sudah tetap dengan niatnya dan tidak boleh diubah lagi. Dia hanya mampu memanjatkan doa ke hadrat Yang ESA agar tidak ada hati-hati yang terluka. Tak sanggup rasanya melihat keluarganya berpecah-belah nanti. Wajah tenang Iskandar yang berbaju kemeja biru muda itu direnungnya dalam-dalam.
Kalau sudah terpaksa, dia akan menyokong Iskandar walaupun tanpa kerelaan hatinya. Iskandar adalah adik kesayangannya. Sejak kecil Iskandar rapat dengannya. Apa saja masalah Iskandar akan merujuk kepadanya untuk meminta nasihat. Hmm... mungkin kerana sudah terbiasa menasihati adik yang manja itulah membawa kepada dia menjadi kaunselor hingga kini…
“Walau apa cara sekali pun Is akan dapatkan dia kembali,” ujar Iskandar seakan berikrar pada diri sendiri.
“Jangan over confiden, Is… Nanti sakitnya lebih dalam dari apa yang Is pernah rasa dulu.” Iskandar yang sudah berdiri dipandangnya sekali lagi. “Macam mana kalau Nudra menolak?” duga Azida lagi. Azida masih cuba untuk melunturkan semangat Iskandar walaupun baru sebentar tadi dia sudah mengaku kalah.
“Is yakin, dia adalah jodoh yang ALLAH tetapkan buat Is,” ujar Iskandar dan terus berlalu pergi.
“Is, dengan cakap Kak Long... Kalau Is nak selamat, cakap dulu dengan umi dan abah. Biar mereka tahu anak mereka ni dah nak kahwin sangat. Terpulang pada abah dan umi setuju atau tidak. Selepas tu terserahlah pada Is...”

“APA kena dengan adik awak tu?” Rahmi yang sedang membetulkan mentol lampu di bilik air bertanya. Berita yang disampaikan isterinya sebentar tadi membuatkan dia terfikir-fikir akan rancangan Iskandar yang dirasakan tidak ada kewajarannya itu.
“Entahlah… dah puas Ida nasihat, dia masih tetap nak kahwin jugak dengan Nudra. Degil betul Is tu sekarang. Dulu dia tak macam tu,” keluh Azida sambil memasukkan kain-kain kotor ke dalam bakul cucian.
“Adik awak tu protes dalam diam tu. Hebat benar cinta Iskandar tu,ya? Cantik sangatkah bakal adik ipar awak tu sampai Iskandar jadi nanar macam tu sekali?” Rahmi yang tidak pernah melihat Nudra bertanya. Ingin juga dia tengok macam mana rupanya Nudra tu sehingga Iskandar gila bayang begitu sekali.
“Entahlah… Cantik sangat tu tidaklah, kata orang sedaplah mata memandang. Tapi budak tu nampak baik dan sopan. Alah, orang lelaki ni kalau dah mabuk asmara, cantik ke tak cantik ke apa dia peduli? Eii... geramnya saya!”
Rahmi ketawa dengan rungutan isterinya. Jarang dia lihat Azida naik angin macam tu sekali, lebih-lebih lagi dengan adik kesayangannya. “Awak geram sebab awak letakkan perasaan awak sebagai seorang kakak. Awak melihat dari sudut bertentangan. Cuba awak letak diri awak dalam diri Iskandar. Cuba awak fahami apa yang dia rasa. Dia kan adik kesayangan awak? Dan awak jugak seorang kaunselor, tentu awak lebih memahami.”
“Ida kesal dengan sikap Is. Ida tak kisah sangat status Nudra tu sebab Ida rasa itu bukan salah dia. Dia tak boleh dihukum atas dosa orang lain. Perkara tu biarlah… dah itu takdir dia. Tapi Ida tak sangka Is sanggup nak kahwin tanpa bagitahu umi dan abah,” luah Azida lagi tetapi kali ini dengan suara lebih perlahan. Dia tidak dapat menahan hati dari terus merasa kecewa.
“Biarlah… manalah tahu kisah cinta Iskandar-Nudra ni nanti akan jadi lagenda cinta suatu hari nanti macam kisah Romeo-Juliet tu,” ujar Rahmi berjenaka.
Azida mendengus, melepaskan rasa geramnya yang masih belum reda. “Entahlah, susah saya nak terima perkara ni. Selama ni saya ingat Is tu anak yang taat, dengar cakap umi dan abah. Tapi kerana perempuan…”
“Sebab tu orang kata cinta tu buta,” balas Rahmi sambil tertawa panjang.

Tiada ulasan: