Salam dari Helsinki... khas buat anda semua. Kak Noor dan Kak Nim yang nak tempah sulammanik tu, harap maaf, tempahan dah ditutup. Apasal lambat sangat niii... :D
********
RIUH-RENDAH suara kanak-kanak berebut-rebut keluar dari kelas masing-masing. Kelas mengaji hari itu sudah tamat. Nudra hanya memerhati telatah mereka semua yang nampak riang walaupun ada juga yang bergaduh dan saling mengejek.
Kadang-kadang dia cemburu dengan keriangan yang mereka miliki. Keriangan itu pernah dia kecapi untuk seketika dulu namun, semuanya berakhir setelah Mak Tok meninggal dunia.
Sungguhpun bandar Muar dengan Kampung Air Hitam itu tidaklah jauh benar, sekadar setengah jam perjalanan kereta sahaja tetapi dia tidak pernah dibenarkan pulang ke rumah Tok Ayah. Sejak itu dia tidak lagi dapat bertemu dengan Tok Ayah. Nenek benar-benar kejam kerana langsung tidak peduli dengan perasaannya.Rindunya setengah mati pada Tok Ayah dan Hannah, namun semua itu hanya mampu dia simpan dalam hati. Siapalah yang sudi mendengar rintihan hatinya.
Kini dia sudah kembali ke sini, ke kampung halaman yang amat dia rindui. Setelah sepuluh tahun dia pergi, sedikitpun tidak mengubah hatinya pada kampung ini. Bau tanah dan udara di sini sudah sebati dengan jiwanya. Sekembalinya ke sini, Nudra bagaikan tersedar dari mimpi ngeri. Dia cukup bahagia hidup bersama Tok Ayah meskipun kehidupan di sini jauh lebih sederhana berbanding dengan di rumah Nenek Sophia. Sungguhpun di sini hanya ada Tok Ayah dan Hannah namun dia tidak pernah merasa sunyi. Hari-harinya sering bersinar ceria. Di sini dia bebas hendak ketawa atau menangis, tanpa siapa pun hendak menghalang. Dia bebas melakukan apa saja yang dia mahu tanpa perlu takutkan peraturan yang kadang-kadang sedikitpun tidak masuk akal. Walaupun Tok Ayah juga mempunyai pelbagai peraturan yang harus dipatuhi namun dia tidak pernah rasa terkongkong dan terbatas sebagaimana dia rasakan sewaktu berada di rumah besar itu.
“Assalamualaikum. Jauh awak termenung, Nudra?” sapa Iskandar yang bepeluk tubuh sambil bersandar di tiang anjung. Kacak sekali pemuda itu dengan baju melayu hitamnya pada pandangan Nudra.
Gadis yang sedang hanyut dengan segala macam kenangan itu tersentak sehingga buku-buku yang dipegangnya jatuh ke lantai. Sapaan Iskandar memancung lamunannya. Hannah yang duduk tidak jauh dari situ tertawa gelihati melihat reaksi Nudra. Kalut sungguh!
“Awak buat saya terkejut.” Balas Nudra lalu mengutip buku-buku yang berselerak itu. Mukanya terasa panas kerana sekali lagi ditangkap melamun. Sudah lama agaknya dia melamun, kerana budak-budak yang sudah habis mengaji itu sudah hilang dari pandangan. Oh, Nudra! Kenapalah asyik berkhayal aje ni?
“Orang bagi salam pun awak terkejut. Ini mesti tengah berangan lagi ni,” balas Iskandar mesra.
Nudra tersemyum malu. Hendak menafikannya pun tak guna lagi kerana sudah terang-terang Iskandar nampak dia terkejut sakan tadi. Kalau tak melamun jauh, dia tak mungkin terperanjat begitu sekali dengan sapaan Iskandar tadi.
“Awal awak lepaskan budak-budak tu hari ni,” ujar Iskandar yang masih tersandar di situ setelah beberapa saat dibiarkan sepi. Kemudian dia menoleh ke arah Hannah sambil menjungkit kening. Hannah hanya membalas dengan sebuah senyuman penuh makna.
“Dia orang ada latihan sukan kat sekolah,” jawab Nudra buat-buat sibuk menyusun buku-buku anak muridnya di rak. Dia segan sebenarnya dan dadanya pula dilanda debaran, membuatkan dia jadi tidak tentu arah apabila Iskandar berada di situ.
“Ooo… patutlah.”
“Awak belum balik lagi?” Nudra merasa hairan dengan kehadiran Iskandar ketika itu. Biasanya Iskandar sudah balik ke rumah kakaknya di bandar Muar selepas waktu zohor.
“Sebenarnya saya baru sampai dari KL, terus datang sini. Semalam saya ada interview kat sana. Pagi tadi baru saya bertolak dari rumah umi dan abah.”
“Awak pergi interview kerja, ke? Patutlah semalam awak tak ada. Macam mana, ada harapan ke?” Nudra sedikit teruja. Seronok pula mendengar Iskandar bakal mendapat kerja nanti. Bukan apa, dia tumpang gembira… Agaknya sampai bila-bila pun dia tak akan dapat rasakan keseronokan seperti itu.
“Ha’ah, interview mintak kerjalah. Entahlah, Nudra… Nak berharap sangat tu saya tak berani. Calonnya beratus-ratus, jawatannya satu saja. Biasanya syarikat macam tu nakkan orang yang dah ada pengalaman. Saya ni manalah ada pengalaman macam calon-calon lain yang nampak lebih hebat tu. Tapi apa-apa pun, awak doakan saya, ya…”
“Kalau rezeki awak kat situ, insyaALLAH… Kalau tak, mungkin ada rezeki yang lebih baik lagi.” Nudra memberi semangat.
“InsyaALLAH. Oh, ya! Lupa saya nak sampaikan salam Nasyrah pada awak. Awak masih ingat adik saya tu?”
Nudra tersenyum sebaik saja mendengar nama Nasyrah. Tentulah dia masih ingat dengan adik Iskandar yang begitu manja dengan abangnya itu kerana dia sering cemburu dengan kemesraan mereka berdua. Maklumlah dia tidak pernah merasa disayangi dan dimanja oleh sesiapa pun. “Waalaikumussalam. Tentulah saya masih ingat Nasyrah tu. Dia tu kan adik kesayangan awak. Bukan main lagi awak jaga dia masa sekolah dulu, macam sekor nyamuk pun tak boleh sentuh dia. Kat mana dia sekarang?”
Iskandar melepaskan tawanya. Nasyrah tu memang manja sikit, bukan dengan dia saja tapi dengan umi, abah dan Kak Long juga. Maklumlah anak bongsu. Sampai dah besar panjang dan masuk universiti pun adik bongsunya itu masih begitu. “Nasyrah, buat medic kat Dublin. Baru setahun dia pergi. Sekarang ada kat rumah tu, balik cuti semester. Dia tu dah nak jadi doktor pun masih manja macam tu jugak...”
“Tak apalah, dia ada tempat nak bermanja...” ucap Nudra bernada iri dengan kelebihan orang.
“Err… Awak cari saya ke semalam?” Iskandar mengubah topik. Dia mula sedar, Nudra begitu sensitif bila berbicara soal keluarga.
Mata Nudra mencerun memandang lelaki yang masih bersandar pada tiang anjung. Dia cuba mencari maksud petanyaan itu. “Cari awak?” tanya Nudra hairan.
“Yalah, tadi awak cakap awak tak nampak saya semalam. Awak cari sayalah tu... Biasanya awak tak peduli pun saya wujud ke tidak.”
Hannah secara tidak sengaja berdehem. Serentak Iskandar dan Nudra menoleh ke arahnya tetapi Hannah buat-buat tidak nampak. Dia sebenarnya berniat hendak mengusik Nudra. Tetapi bila mengenangkan Iskandar ada bersama, tidak tergamak pula. Lagipun dia tahu Nudra pasti akan malu kalau diusik begitu. Patutlah semalam dia tengok Nudra serba tak kena. Sekejap-sekejap matanya melirik ke arah kelas yang selalu Iskandar belajar dengan Tok Ayahtu. Bila ditanya kenapa, Nudra kata tak ada apa-apa. Hmm… sekilas ikan di pinggan! Hannah hampir tegelak mengenangkan peribahasa diciptanya dulu.
“Is, saya rasa tak manis kita berbual lama-lama macam ni. Apa pulak kata orang nanti…” Nudra jadi serba-salah apabila mendengar deheman Hannah yang disangka cuba mengingatkannya kerana sudah terlanjur berbicara lama dengan pemuda yang bukan muhrimnya.
Iskandar angguk. Dia mengerti apa yang dimaksudkan Nudra. Sebagai cucu kepada guru sekolah agama yang disegani, Nudra perlu menjaga pergaulannya agar tidak menjadi bahan perbualan orang. Mungkin Tok Ayah sudah memberi ingatan itu kepada Nudra.
“Ya, saya faham. Maafkan saya… Tapi betul ke awak cari saya semalam?” Iskandar masih mengharapkan jawapan Nudra. Hatinya berbunga penuh harapan.
Nudra sekadar tersenyum. Perlukah dia mengakuinya?
“Okeylah, saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
MALAM itu sehingga jam menunjukkan ke angka 12.30 pun Iskandar masih tidak dapat melelapkan mata. Wajah Nudra terbayang di mana-mana. Semenjak di bangku sekolah lagi gadis bernama Nudra Haneem begitu dekat di hatinya. Setiap gerak-geri dan tutur katanya menarik perhatian. Matanya yang menarik, kulitnya yang putih kuning dan senyumnya yang selalu nampak malu-malu menjadikan Nudra sangat cantik di matanya. Dan yang penting Nudra tidak seperti gadis-gadis lain kerana Nudra masih mempunyai sifat-sifat gadis timur yang sudah hampir pupus ditelan zaman.
Kalau dulu dia hanya suka melihat wajah Nudra yang mudah menjadi merah apabila malu. Dia juga dengan muka blur Nudra itu. Tidak seorang pun di antara temannya yang tahu tentang hal itu. Hanya Nasyrah seorang sahaja yang dia berani ceritakan. Dan entah kenapa nama Nudra terus melekat di hatinya hingga ke perantauan. Sudah puas dia cuba mengusir nama itu jauh-jauh namun rindu itu tetap menemani ke mana saja dia pergi. Nudra Haneen sentiasa segar dalam ingatan.
Empat tahun dia menyimpan segala rasa, menilai dan menimbang sendiri tentang perasaan yang mula mekar di dalam diri. Sungguhpun Nudra jauh beribu batu, namun dia sentiasa dekat di hati. Beratus-ratus gadis yang dia temui sewaktu di kampus dulu, dari pelbagai bangsa dan agama namun Nudra juga yang jadi igauan. Lantaran itu dia nekad mengutuskan poskad sebagai tanda ingatan dengan harapan suratnya berbalas meskipun dia tahu gadis itu bukan mudah didekati. Malangnya, kirimannya sepi tanpa balasan. Dia hampir berputus asa dan kecewa. Waktu itu dia kira Nudra sudah berpunya. Dan kepulangannya tidak lagi bersama harapan untuk bersua apatah lagi merapatkan hubungan.
Tetapi takdir menentukan segalanya. Seperti suatu kebetulan saja, dia ditemukan dengan gadis yang dirinduinya di sini. Saat pertama bertemu Nudra, dadanya diasak gelora. Dia dapat rasakan perasaannya tidak lagi sama seperti waktu persekolahan dulu. Setiap kali bertentang mata dengan Nudra, hatinya bergetar dan dadanya berdebar kencang. Setiap gerak-geri Nudra menjadi perhatiannya. Bila sehari tidak nampak kelibat Nudra terasa seperti tidak lengkap saja hari yang dilalui. Mengapa ya?
Astagfirullahal’azim, Iskandar… Jauhnya kau berkhayal tentang perempuan. Bukankah lebih baik hafal hadis-hadis yang dipelajari siang tadi? Kalau abah tahu, tentulah dia kecewa. Lain yang abah suruh cari, lain pula yang dia dapat. Ah, salah ke? Aku tak buat apa-apa, sekadar mengagumi makhluk ciptaan ILAHI. Iskandar, ingat pesan Tok Ayah: bertentang mata perempuan ajnabi pun boleh dikira sebagai zina mata. Hmm… Tok Ayah seolah-olah sedar dengan apa yang tersemat di hatinya. Tapi dia jarang sangat dapat bertentang mata dengan gadis bernama Nudra tu, kerana gadis itu selalunya tunduk ke lantai bila bercakap. Ah, Iskandar! Masih mahu tawar-menawar soal dosa pahala.
Khamis, 6 September 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
nudra ni ngaku jerlah cari iskandar smlm..kang anim sambar iskandar tu baru tau hiks! *wink*
Catat Ulasan