BAJU KURUNG biru laut yang penuh bersulam manik itu ditilik-tiliknya sekali lagi. Cantik! Nudra memuji hasil tangan sendiri. Semenjak mahir menyulam manik ini, dia mula cuba-cuba mengambil tempahan. Itupun atas desakan Hannah. Dan sejak dia mula mengambil tempahan, sudah ramai pula pelanggannya. Syukurlah, kerana rezekinya semakin bertambah. Dapat juga menampung keperluan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada Tok Ayah saja.
“Wah, cantiknya! Macam ni kalahlah sifu,” Hannah yang baru saja usai solat Isyak memuji.
Nudra yang masih leka dengan baju kurung kain sifon yang bercorak bunga berdiri itu mengukir senyuman. Puas rasanya melihat hasil kerja sendiri walaupun terpaksa bersengkang mata. Baju yang ditempah oleh anak Cikgu Hamid yang akan berkahwin hujung bulan itu digantung pada paku di tepi dinding. “Itulah, aku pun tak sangka baju ni jadi cantik macam gini. Bunga ros biru gelap ni makin naik serinya.”
“Kerja kau memang haluslah, Nudra. Kau ni memang teliti. Tak rugi aku habiskan masa ajar kau.” Hannah terus memuji, bangga kerana Nudra begitu kreatif menyusun manik-manik dengan kombinasi yang menarik. Dia yang menghadiri kelas menyulam itupun tidak secekap Nudra. Telekung sembahyang yang sudah berlipat kemas disidai pada rak di tepi dinding. Sebentar kemudian dia duduk di birai katil dengan sikat di tangannya.
“Err… pujian tu untuk sifu sebenarnya. Kalau sifu tak ajar betul-betul manalah anak murid ni nak pandai. Terima kasih ya sifu sayang!” ucap Nudra. Malu rasanya dipuji begitu kerana merasa Hannah jauh lebih baik dan berilmu berbanding dengan dia yang baru saja hendak belajar.
“Oh, terima kasih! Terima kasih! Untung aku, ada jugak yang sayang ya?” Ketawa Hannah memenuhi ruang. Hubungan mereka yang sangat rapat sejak dulu lagi, maklumlah mereka membesar bersama. Tambahan pula umur dia dan Hannah hanya tua dua bulan sahaja walaupun berlainan tahun. Dulu, ibu bapa Hannah tinggal di rumah yang didirikan di sebelah rumah Tok Ayah. Tetapi selepas lima tahun ayah Hannah meninggal dunia kerana diserang sakit jantung, emak Hannah yang juga dipanggil ‘mak’ memohon kerja sebagai jururawat di Arab Saudi. Sejak itu Hannah tinggal dengan Tok Ayah dan Mak Tok. Mak akan pulang setahun sekali iaitu pada Hari Raya Puasa. Sewaktu kecil dulu, Nudra akan turut gembira jika mak pulang ke Malaysia kerana mak akan bawa bermacam-macam hadiah dan makanan.
“Aku rasa sebab aku guna Japanese beads campur dengan manik yang besar-besar sikit ni, sebab tu dia macam naik seri sikit,” sambung Nudra lagi.
“Memanglah, sebab manik tu mahal sikit dari yang lain. Dia lebih berkilat dan berbentuk sikit. Memang berbaloilah kita pergi cari satu bandar Muar hati tu.” Hannah mengangguk-angguk setuju.
“Makin berserilah anak dara Cikgu Hamid tu. Dahlah dia tu cantik orangnya,” ujar Hannah mematikan lamunan Nudra.
“Zurifah tu, pakailah apa saja mesti cantik punya. Hmm… bilalah aku boleh merasa pakai baju cantik macam ni?”
“Oh, dah teringin sangat ke nak kahwin?” balas Hannah pantas. Mulutnya menjuih, mengejek Nudra yang kelihatan seperti sedang memasang angan.
“Aku? Nak kahwin? Oh, tolong sikit! Orang masih muda lagilah,” balas Nudra yang masih meneliti baju sulamannya untuk memastikan tidak ada benang yang tertinggal atau manik yang tercabut.
Hannah tertawa dengan telatah dua pupunya. Rambut kerinting separas bahu itu disikat dengan lembut berulang kali.. “Muda apa kalau dah cecah dua puluh tu. Lainlah kalau masih di menara gading. Kita ni memang dah patut kahwin pun cuma calonnya aje yang belum ada, ” balas Hannah bersahaja.
“Kalau aku ni dah patut kahwin pun, nak kahwin dengan siapa? Siapalah yang nak kat aku ni...”
Sekali lagi Hannah buat muka mengejek. “Ayat standard yang masih tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas…” Senda Hannah itu hanya dibalas dengan tawa kecil Nudra.
“Yalah, kalau kahwin tu boleh sorang-sorang tanpa ada pasangan, dah lama aku buat pelamin dan bersanding sorang-sorang.”
Ucapan Nudra itu membuatkan Hannah tertawa lucu. “Hmm… lupa pulak aku nak tanya. Cerita pasal kahwin ni baru aku teringat. Siapa lelaki tadi? Macam tetamu istimewa je... Dia makan tengah hari kat sini, aik?” soal Hannah kemudiannya. Tiba-tiba saja dia teringat kepada lelaki yang begitu rancak berbual di anjung rumah bersama Tok Ayah sewaktu dia pulang dari kelas menjahit petang tadi.
Nudra yang sedang menyimpan baju yang ditempah pelanggannya ke dalam almari segera menoleh lalu tersenyum. “Iskandar.”
“Iskandar? Siapa dia tu? Lain macam aje aku nampak senyum kau tu.” Berkerut-kerut kening Hannah dibuatnya. Siapa pula Iskandar tu? Nak kata saudara mara Tok Ayah, tak pernah pula dia dengar Tok Ayah menyebut nama itu.
“Bakal anak murid Tok Ayah,” jawab Nudra acuh tak acuh saja.
“Oh… Dia nak belajar kat sini aik?” Membulat mata Hannah memandang Nudra. Tangan Hannah yang sedang menyikat rambut terhenti.
“Kenapa? Tak boleh?” Nudra kembali duduk di depan mesin jahit yang terletak di sudut kiri bilik. Kain-kain tempahan pelanggan yang belum dijahit bersusun di atas rak di sebelahnya. Kain-kain itu semuanya sudah digunting seminggu yang lalu. Biasanya dia akan luangkan satu hari untuk kerja-kerja memotong kain sahaja. Tambahan pula kerjanya akan menjadi lebih cepat. Bila-bila masa terluang dia boleh menjahit baju-baju yag sudah dipotong. Tengah-tengah malam pun dia masih boleh lakukannya. Sebaliknya kerja memotong kain mengikut saiz dan potongan yang dikehendaki pelanggan tidak boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana kerja tersebut memerlukan tumpuan yang lebih dan mood yang baik. Haa… bukan menyanyi saja pelukan mood!
“Bukan tak boleh, tapi tak percaya. Dia tu macam… macam…” Hannah masih ragu.
“Macam apa?” sergah Nudra yang tersenyum-senyum melihat reaksi dua pupunya itu. Entah kenapa Hannah tidak percaya. Pelik!
“Macam orang pandai-pandai je. Maksud aku educatedlah. Cewah…” balas Hannah sambil terus menyikat rambutnya semula.
“Betullah tekaan kau tu. Dia tu baru balik oversea. Katanya, ayah dia pun anak murid Tok Ayah dulu.”
“Ooo… Dah dapat degree dari oversea rupanya. Tapi takkan nak belajar kat sini pulak?” soal Hannah masih belum puas hati dengan penjelasan Nudra.
“Baguslah sebab dia ada kesedaran. Kalau ada ilmu dunia saja tapi ilmu akhirat kosong pun buat apa, kan?” balas Nudra yang sedang menyusun kain-kain yang sudah bergunting itu menurut turutan tempahan. Keningnya terjungkit sedikit.
“Eh, kau ni detail je tahu pasal Si Iskandar tu. Kau kenal dia, aik?” Hannah mencapai kain baju di dalam bakul yang belum berlipat lalu melipatnya satu persatu.
Kali ini ketawa Nudra terlepas juga. “Dia kawan sekolah aku. Sebab tu kau nampak aku layan dia macam tu. Dah lama kenal, banyaklah ceritanya…”
“Oh, kawan sekolah! Patutlah masa dia nak balik tadi jenuh aje curi-curi pandang kat kau,” Hannah mengusik.
“Kau ni, macam-macamlah Hannah. Dia yang curi-curi pandang kat aku ke atau kau yang dok curi-curi mengintai dia?” balas Nudra sambil tersenyum.
“Eh, kita pulak! Kalau muka dah merah menyala tu apa nak sorok lagi?” Hannah mencebik mengejek. Nudra hanya mendengus kecil.
“Kata orang, sekilas ikan di laut… Tapi kali ni kena tukar peribahasa, sekilas ikan di pinggan,” sambung Hannah lagi sambil ketawa sendiri.
Rabu, 29 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan