Isnin, 17 September 2007

Bhg 16

KALIMAT pendek itu seperti sebuah ucapan panjang lebar yang perlu disemak sehari penuh sebelum dimengertikan maknanya. Dia tidak sangka patah-patah kata itu terluah dari bibir Iskandar. Nudra terkesima. Mukanya terasa merah padam dan pandangannya langsung terpaku pada alas meja guru yang berpetak-petak putih itu. Sungguh dia tidak menyangka Iskandar akan berani meluahkan perasaannya berdepan-depan begitu. Malunya TUHAN saja yang tahu…
“Err... awak dah habis cakap?” Terpacul pertanyaan itu dari bibir Nudra yang nipis itu. Kalau boleh dia hendak cepat-cepat berlalu atau lebih baik lagi kalau Iskandar segera meminta diri.
“Nudra... dengar dulu apa saya nak cakap. Beri saya peluang sekali saja,” rayu Iskandar penuh harap. “Saya tak pandai nak berkias-kias atau nak tulis puisi-puisi indah macam orang lain. Saya bukan orang seni.” Iskandar masih cuba menahan hati. Dia perlu berterus-terang jika dia mahu Nudra tahu. Tak sanggup lagi rasanya memendam perasaan. Sakit!
“Kenapa awak berani meluahkan perasaan awak terang-terang macam ni? Bukankah awak dah tanya dalam surat tu? Kenapa awak tak boleh tunggu saya jawab dengan surat aje? Awak tahu tak apa yang awak buat ini tak manis dipandang orang? Kalau Tok Ayah tahu, masak kita kena basuh tau,” Nudra mengasak Iskandar yang membuatkan dia pula yang terkesima. Nada suara gadis itu tetap lembut namun cukup berbisa. Gadis itu nampak saja pendiam dan pemalu tetapi tegas dan tegar dengan prinsipnya. Nudra sangat taat dengan segala pesanan Tok Ayah, tak macam dia yang mudah alpa dan mudah menurut kata hati.
Kali ini giliran Iskandar pula yang terasa mukanya membahang. Malu! Tapi apa nak buat, sudah terlajak kata… Nudra, awak ingat saya tak malu ke nak luahkan perasaan macam ni? Awak ni gadis yang kadang-kadang tidak dapat dijangka perasaannya. Tiba-tiba saja Iskandar rasa segan dan tidak beradab. Ke mana perginya ajaran ayah dan ibu yang dia pegang selama ini? Ke mana hilangnya pesanan Tok Ayah yang diamanahkan kepadanya supaya sentiasa menjaga adab-adab pergaulan? Mentang-mentanglah baru balik dari luar negeri, dah lupa adat-adat orang Timur. Huh! Iskandar, sedar tak apa yang kau buat ini? Tahu tak, setiap kata-kata yang kau ucapkan itu kau akan dipertanggung jawabkan ke atasnya di akhirat nanti? Iskandar menyeka peluh dingin yang merenik di dahi. Berhadapan dengan Nudra membuatkan keyakinan dan semangatnya terbang melayang.
“Maafkan saya. Saya tahu apa yang saya buat ni tak manis dan tak elok. Tapi saya dah lama tunggu. Jenuh saya tunggu kalau-kalau awak akan balas surat saya, tapi saya tak tahu sampai bila awak nak biarkan saya terus tertanya-tanya. Saya jadi bingung. Saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Saya janji, lepas ni saya tak akan tanya lagi dan tak akan sentuh lagi apa-apa tentang ini. Saya hanya nak tahu awak suka saya atau tidak, itu saja.” Iskandar tunduk, tidak berani untuk memandang ke wajah Nudra. Dia benar-benar malu dengan ucapan sendiri. Nudra, awak buat saya jadi separuh gila! Awak siksa saya dengan penantian ini. Awak tahu tak, penantian itu satu penyiksaan? Jerit hati Iskandar.
“Kenapa awak tak tanya Tok Ayah aje? Sekarang Tok Ayah adalah penjaga saya dan Tok Ayah bertanggung jawab ke atas apa saja yang berlaku ke atas saya. Sungguhpun saya dah tak ada ayah, tapi saya masih ada wali. Saya masih ada sepupu lelaki yang boleh mewalikan saya. Saya masih ada keluarga. Kalau Nenek Sophia tahu, mati saya kena bambu.” Nudra terus memarahi. Dia tidak suka dengan cara Iskandar. Betul ke, Nudra kau tak suka? Hmm… atau kau saja-saja hendak menutup rasa malu tu? Goda hatinya.
Iskandar terpana. Tak sangka Nudra akan berkata begitu sekali. Nampaknya seperti Nudra marah benar dengan sikapnya. “Saya tahu. Tapi saya perlu dengar dari mulut awak sendiri dulu sebelum Tok Ayah tahu. Kalau tidak, saya akan lebih malu jika saya dah bagi tahu Tok Ayah tapi sebenarnya saya hanya bertepuk sebelah tangan. Saya sungguh-sungguh dengan perasaan saya, Nudra. Maafkan saya sebab tak beradab, tapi saya...” Iskandar kehilangan kata. Dia terus hilang keyakinan. Nudra bukan seperti yang dijangkakan.
“Awak tak akan menyesal, Is?” Akhirnya Nudra bersuara setelah agak lama dia memikirkan kata-kata Iskandar. Dadanya terasa seperti dipalu, hebat benar debarannya. Oh, lelaki! Kenapalah kau buat aku terhimpit dalam perasaan begini? Lemas! Kalau ya pun, janganlah luahkan perasaan depan-depan begini… Boleh pengsan aku dibuatnya.
Iskandar merenung wajah Nudra, mencari makna dari pertanyaannya. “Maksud awak?”
“Awak kenal siapa saya, kan?”
“Saya tahu, awak cucu Wan Anum Sophia…” pintas Iskandar sedikit kecewa. Ah, cucu Wan Anum Sophia memang susah hendak didekati! Banyak benar pantang larangnya kalau hendak berkawan dengan cucu orang tua itu. Lain benar ke warna darah waris tauke emas itu bebanding orang lain? Hebat sangatkah Wan Anum Sophia tu? Ah, pedulikan! Anak siapa pun kalau dah suka, kalau dah berkenan dia akan usahakan. Lainlah kalau neneknya mintak segunung intan atau sebuah jambatan emas… Di ketika itu dia mungkin akan fikir ratusan kali untuk masuk meminang. Dia tidak mampu nak sediakan semua itu... Dia lelaki realistik, bukannya hipokrit. Lagipun dia tidak suka dengan manusia materialistik yang hanya memikirkan wang dan harta semata-mata. Memanglah manusia tak boleh hidup dengan cinta semata tetapi berapa ramai orang menderita kerana tidak cukup kasih sayang.
“Bukan itu maksud sayalah! Maksud saya, saya ni tak setanding dengan awak. Awak ada kelulusan sedangkan saya hanya lepas SPM aje. Awak ada keluarga yang sempurna tapi saya ni, ayah sendiri pun saya tak kenal. Awak ada wawasan, saya pulak masih tak tahu mana hala. Alah, pendek kata antara kita macam langit dengan bumilah. Sejak zaman sekolah hinggalah kita bertemu semula ni, saya tak jumpa kat mana persamaan kita,” pintas Nudra pula sebelum Iskandar menghabiskan ayatnya.
“Buat apa awak cari persamaan tu, Nudra? Cuba awak semak balik, apa-apa benda yang berpasangan kat atas dunia ni sifatnya sentiasa berbeza dan biasanya betentangan. Kalau dah tentu sama, orang tak panggil pasangan sebaliknya orang panggil kembar. Sebab itu ALLAh jadikan pasangan kepada lelaki ialah perempuan. Kenapa ALLAH jadikan Hawa untuk menemani Nabi Adam dulu? Kenapa ALLAH tidak jadikan temannya seorang lelaki juga?” hujah Iskandar penuh yakin. Semangatnya kembali pulih sebaik saja terpandang senyuman yang terukir di bibir Nudra. ‘Saya mungkin ditakdirkan tak jadi kembar awak tapi mungkin pasangan awak. Sebab itu sampai matipun awak tak akan jumpa persamaannya,’ bisik hati Iskandar. Tidak berani dia luahkan, nanti apa pula kata-kata yang bakal dihamburkan Nudra jika dia mengucapkannya.
Nudra merasa sedikit lucu dengan hujah Iskandar walaupun jika difikirkan ada juga benarnya. “Awak kalau bercakap…” Nudra meneruskan kerjanya menyusun kembali meja-meja ke tepi bilik. Tiba-tiba saja dia jadi kekok menjalankan tugas rutin itu. Terasa setiap gerak langkahnya diperhatikan lelaki yang sedang berdiri di sudut bilik itu. Aduhai… kerusi plastik itupun dirasakan berat macam batu.
“Awak tak nak tolong saya, Is?” Nudra sengaja mencari jalan supaya tidak terus diperhatikan. Hairan juga, biasanya Iskandar akan membantunya mengangkat meja dan bangku itu semua tetapi hari itu Iskandar hanya tercegat di muka pintu seperti patung. “Err… maafkan saya. Saya terlupa pulak.” Ketawa Iskandar memecah. Merah padam mukanya kerana malu. Barulah dia sedar yang dia hanya asyik memandang gadis itu saja. Cepat-cepat dia beristighfar.
“Awak belum jawab lagi soalan saya, Nudra,” ucap Iskandar sambil mengangkat sebuah meja. Nudra buat-buat tidak dengar.
“Saya sungguh-sungguh, Nudra. Lebih empat tahun saya mencari kepastian dalam diri saya sendiri, sekarang saya yakin dengan perasaan saya. Dulu saya tak yakin sebab siapalah saya ni berbanding dengan awak. Sekarang saya sudah pasti dan saya sudah mampu untuk memliki awak walaupun masih jauh berbanding orang lain. Nudra, saya tunggu jawapan awak saja. Seterusnya, serahkan pada saya untuk uruskan segalanya,” ucap Iskandar bersungguh-sungguh.
“Saya tak ada jawapan untuk itu.” Nudra tidak sedikitpun memandang ke wajah Iskandar. Dia terus menyibukkan diri dengan membetulkan apa yang patut di dalam kelas itu. Terasa payah benar kerja-kerjanya hari itu sedangkan hari-hari biasa kerja itu mudah dan cepat saja. Iskandar, kenapalah waktu-waktu begini awak beri soalan maut macam ni. Boleh trauma saya dibuatnya. Nudra mengomel di dalam hati.
“Awak pernah belajar sistem binari kan masa sekolah dulu?” Iskandar cuba mengubah suasana agar lebih santai supaya mereka dapat berfikir dengan tenang. Iskandar duduk bertenggek di tepi meja yang sudah disusun sambil memerhati Nudra yang sedang menyapu habuk di tepi pintu.
“Kenapa tiba-tiba saja awak tanya soalan skema macam tu? Bukan ke kita dalam topik yang lain? Kalau awak nak ubah topik, elok juga,” ujar Nudra selamba saja sambil berpeluk tubuh. Sebentar saja dia memandang ke wajah Iskandar. Seterusnya dia hanya tunduk, tidak berani menatap wajah lelaki itu.
“Saya tanya awak, awak tanya saya balik. Masih belum berubah tabiat awak ya?” Iskandar ketawa. Nudra sekadar melemparkan senyuman.
“Saya ulang soalan saya tadi, awak tahu tak sistem binari tu apa? Takkan itupun awak dah lupa? Teruknya awak punya memori,” Iskandar berjenaka. Ingin serkali ia mendengar tawa Nudra ketika itu.
“Memori saya taklah teruk sangat, Is. Saya pun bukan tua sangat. Lagipun saya kan peminat Cikgu Fauzi yang rambut macam David penyanyi kumpulan Alleycat tu? Suara lunak dia tu selalu buat saya lena tak ingat dunia dalam kelas.” Selamba saja Nudra mengucapkannya. Tiba-tiba saja dia lupa dengan siapa dia bercerita.
Kata-kata Nudra membuatkan Iskandar tergelak besar. Dia masih ingat dengan guru matematik moden yang paling tidak disukai Nudra ketika di tingkatan empat dulu. Nudra turut sama ketawa. Memori di sekolah dulu cukup manis untuk dikenang, tanpa masalah yang berat-berat yang perlu difikirkan. Sungguh polos jiwa mereka waktu itu, tanpa apa-apa yang mengocak hati dan membebankan perasaan.
“Sistem binari tu hanya ada dua, I dan O. Semua sistem elektronik menggunakan sistem binari. Dalam hidup kita pun macam sistem binari tu kerana kita hanya diberi dua pilihan. Dalam kes awak ni, awak ada pilihan ya atau tidak saja.” Seperti seorang guru pula Iskandar menerangkan.
Sambil mengangguk-angguk Nudra rasa hendak tergelak pula. Hendak terangkan itupun perlu teori matematik, ke? Punyalah skema…
“Susah sangat ke awak nak bagi jawapan? Hanya ya atau tidak saja. Bukan saya suruh buat karangan pun,” Iskandar kembali bersuara setelah sunyi kembali memenuhi ruang di antara mereka.
Tak susah kata Iskandar? Dia ingat soal hati dan perasaan ni macam nak pilih baju ke, boleh cuba-cuba dulu? Kalau tak padan boleh ditukar-tukar? Kalau tak berkenan boleh dihadiahkan kepada orang lain? Boleh pakai berlapis-lapis kalau rasa sejuk, atau boleh ditanggalkan kalau rasa panas? Iskandar.. Iskandar… Nudra cuba menyembunyikan perasaannya dengan tertawa kecil.
“Kenapa awak ketawa? Awak ingat saya main-main?” soal Iskandar dengan suara agak tegas. Riak wajah Iskandar berubah serius. Perasaannya sedikit tersinggung dengan reaksi Nudra. Dia merasa gadis itu seperti mahu mempermainkan perasaannya.
“Saya tak kata macam tu. Saya tengah fikir ni.”
“Awak tak pernah serius fikir apa yang saya cakap.”
Nudra tunduk. “nantilah saya fikir lagi...” Wajahnya sudah berubah rona. Dia sudah lama pasti tentang hatinya namun dia malu untuk mengakuinya. Selama ini dia fikir, hanya dia yang menyimpan perasaan itu. Bagaimana untuk dia nyatakan kepada Iskandar gelora di jiwanya? Is, tolonglah awak mengerti…

Tiada ulasan: