Khamis, 16 Ogos 2007

Bhg 8

PANDANGAN mereka bersatu untuk beberapa ketika. Tiada patah kata yang terucap. Sophia benar-benar tergamam sebaik saja melihat lelaki itu yang menunggunya sejak tadi. Beberapa kali dia meneguk liur, membasahkan kerongkongnya yang terasa perit. Sungguh dia tidak sangka lelaki itu yang menjadi tetamunya hari ini. Kalaulah dia tahu lelaki itu adalah tetamunya, sudah pasti awal-awal lagi dia tidak akan menemuinya. Tetapi semuanya sudah terlambat. Silapnya juga kerana tidak bertanya dulu kepada Bibik Surti siapakah tetamunya sebelum dia turun tadi.
“Apa khabar Wan Anum Sophia?” Lelaki bersuara garau itu menyapa. Tenang saja suaranya setenang wajahnya. Perwatakannya masih sama seperti dahulu namun wajahnya sudah mula menampakkan garis-garis usia. Lelaki berkemeja petak-petak biru itu nampak jauh lebih kurus berbanding dua puluh tahun yang lalu. Rambutnya pun sudah memutih dengan uban.
“Alhamdulillah, kita sihat. Kita kira kamu pun sihat kalau dilihat dari segi zahirnya. Rasanya tak perlulah kita bertanya khabar lagi.” Sophia menyusun kata, penuh sopan dan tertib
“Ya, begitulah adanya… Kau tak perlu tanya apa-apa tentang aku. Aku hanya ada satu tujuan datang ke sini dan tentunya kau pun tahu.” Fadhil terus berbicara tenang. Pandangannya masih tidak lepas dari wajah Sophia. Wanita itu masih tetap anggun bergaya dan wajahnya tidak banyak dimamah usia. Tutur katanya masih sopan dan teratur namun tetap terasa juga sinisnya. Pandangan Sohia tetap penuh curiga seperti dulu-dulu juga.
“Terus-terang saja, apa tujuan kamu datang ke mari?” Sophia buat-buat bertanya walaupun dia dapat mengagak mengapa Fadhil muncul semula setelah begitu lama menghilangkan diri. Sophia tetap mengukir senyuman walaupun hati di dalam bagai diamuk badai. Dia bimbang andainya segala cerita lama akan terbongkar dengan kehadiran lelaki ini..
Fadhil menarik nafas dalam-dalam. Senyuman Sophia yang penuh makna membuatkan hatinya terasa pedih. Wan Anum Sophia… mulutnya berbisa bukan main! “Sudah genap dua puluh tahun Wan Mursyid pergi…” Fadhil tidak meneruskan bicaranya. Biarlah Sophia mengerti sendiri maksudnya.
Ucapan itu menggoncang hati Sophia. Kata-kata yang berupa ingatan yang terpacul dari mulut lelaki berkulit sawo matang itu membuatkan Sophia jadi sedikit kalut. “Lalu?” pintas Sophia pantas, pura-pura tidak mengerti dengan sebaris ayat yang penuh makna itu. Wajah tenang Fadhil direnungnya tajam. Dadanya semakin dihimpit resah. Mungkinkah segala yang tersimpan selama ini akan terbongkar jua? Oh, dia tidak ingin sesekali mebayangkannya!
“Aku tahu, kau dah faham maksud aku. Tak payahlah nak berselindung lagi, Sophia!” Fadhil berkata tegas. Sungguhpun Sophia sedaya-upaya menyembunyikan rasa tidak senang dan rasa terperanjatnya kerana kehadirannya di situ, namun dia masih dapat membaca riak di wajah wanita itu. Dia sudah bersedia untuk dihalau jika itu yang bakal dilakukan oleh Sophia. Dia sanggup hadapi apa jua kemungkinan asal saja apa yang dia ingin sampaikan akan terlaksana.
“Kamu bercakap tentang apa?” Sophia bertanya dengan suara lembut tetapi tegas. Matanya membundar seolah-olah memberi amaran kepada Fadhil agar tidak membicarakan kisah lama.
“Aku bercakap tentang anak cucu kau. Selama dua puluh tahun kau hidup dalam kepura-puraan, kau biarkan segala keburukan tersimpan kejap sedangkan anak dan cucu kau hidup menderita. Kau harus bersyukur kerana masih belum terlambat untuk membaiki kesilapan kau selama ini. Kau masih diberi peluang untuk bertaubat, Sophia.”
Sophia mendengus perlahan. “Kamu tahu siapa kita, kan? Kamu tahu apa yang kita suka dan apa yang kita tidak, kan? Kamu tahu siapa kamu dan siapa kita, kan? Kita berdua ada perjanjian. Kamu ingat tu!” Sophia terus mengasak. Perasaannya yang berkocak cuba dilindungi.
“Ya, aku tahu siapa kau. Sebab itu akau datang. Aku mahu ingatkan kau bahawa kubur sudah memanggil-manggil kita. Aku tak mahu terlambat. Sophia, kerana aku tidak mahu jadi saksi di akhirat nanti. Aku tidak mahu disoal di akhirat mengappa aku menyembunyikan kebenaran. Sophia, apalah sangat melanggar sebuah perjanjian berbanding dengan dosa yang telah kau buat? Kau ingat kau boleh terus aman begini? Kau fikir dengan menidakkan hak orang lain kau akan selamanya selamat? Kau harus ingat bahawa ada Yang lebih berkuasa dari kita, makhluk yang lemah ini.” Fadhil terus berceramah. Dia perlu sedarkan Sophia sebelum terlambat. Umurnya dan umur Wan Anum Sophia pun sudah sampai di hujung waktu. Janganlah sampai dia yang terlambat menyampaikan kebenaran kalaupun Sophia tidak sedar akan hal itu.
Sophia membetulkan duduknya. Dia semakin resah dan tidak selesa. Sesekejap dia membetulkan selendang panjang yang menutup sebahagian rambutnya yang disanggul kemas itu. “Orang tak akan tahu siapa dirinya selagi kamu tak buka mulut. Jangan kamu nak malukan keluarga kita dengan cerita kamu yang tak mungkin akan dipercayai sesiapa pun. Lebih-lebih lagi anak cucu kita, mereka tentu tak percaya. Kalau kamu bimbang kerana budak tu sudah besar panjang dan perlu menikah, lupakan saja kebimbangan kamu itu. Dia tidak ada masalah nak kahwin kerana dia sememangnya tak punya wali.” Sophia berkata penuh yakin. Di hujung bibirnya terukir sekuntum senyuman nipis, penuh makna.
“Tapi dia ada hak. Hak seorang anak dan hak seorang manusia. Kau berhutang dengan dia!”
Sophia menggeleng-geleng. “Siapa kata? Kamu pandai-pandai buat cerita sendiri. Kita tak berhutang apa-apa dengan dia. Kita tak pernah buang dia. Dia masih dalam jagaan kita. Lagipun dia tidak ada apa-apa lagi untuk dituntut. Semuanya dah jadi hak kita. Dia tidak berhak apa-apa pada kita. Kalau kamu bercakap pasal kedai emas, ingatlah Fadhil, kita dan anak-anak kita yang usahakan hingga jadi besar macam sekarang. Kalau harapkan Munirah, tentu dah lama lingkup.”
Fadhil beristigfar dalam hati. Takbur sungguh perempuan ni, bisik hatinya. “Kamu jangan takbur sangat, Sophia. Semua tu rezeki dari ALLAH.” Fadhil sekali lagi mengingatkan. Dia yang jadi takut mendengar kata-kata Sophia yang cukup bongkak itu.
Kita rasa kamu perlu diam. Sebentar tadi kamu memang tetamu kita, tapi kalau kamu dah berbicara melewati peraturan rumah ini, kita berhak persilakan kamu pergi,” bicara Sophia masih sopan namun tetap angkuh.
Lelaki berkemeja putih itu senyum saja dengan kata-kata Sophia. Biar apa pun penerimaan dan tindakan Sophia, dia tidak kisah. Sudah lama dia biarkan Sophia hidup di sebalik bayangan masa silam. Sudah begitu lama wanita itu hidup selesa tanpa rasa bersalah. Kali ini biarlah wanita itu berhadapan dengan realiti. Biar dia sedar bahawa hanya waktu saja yang berlalu tetapi sejarah tidak pernah meninggalkannya.
“Aku dah lama diam, Sophia. Dan aku dah puas diam. Sekarang tiba masanya aku bersuara. Tak usahlah kau nak berselindung lagi. ALLAH itu Maha Adil,” ucap Fadhil dengan tegas.
Sambil berpeluk tubuh Sophia bangkit dari kerusi menuju ke tingkap yang terletak di sebelah kiri ruang. Kata-kata Fadhil membuatkan nafasnya memburu. Dadanya terasa sesak dengan memori semalam.
Fadhil hanya memerhati tingkah Sophia. Dia pasti wanita itu tidak senang duduk selepas ini. “Sophia, kau sudah lama hidup dalam alam khayalan ciptaan kau sendiri. Kau tutup segala cela keluarga Wan Mursyid sehingga tak siapa pun lagi bercerita kal itu. Semuanya nampak cantik dan mulus saja. Kau dah hapuskan nama Wan Mursyid, nama Wan Anum Farhah dari ingatan anak-anak. Tapi kau tak akan hapuskan dosa semalam. ALLAH tu Maha Adil, Sophia. Kau kena ingat tu. Sampai bila kau nak berselindung di sebalik khayalan kau?” Fadhil masih belum jemu berceramah. Dia sudah tidak peduli siapakah Wan Anum Sophia itu. Kalau dulu dia hanyalah penasihat Wan Mursyid, lantas dia tidak berani melawan kata-kata isteri bosnya. Namun sekarang, dia tidak ada apa-apa hubungan dengan keluarga ini sekadar saudara sesama Islam. Dan sekrang dia sedang menunaikan tugas sebagai saudara seIslam iaitu: berpesan-pesan kepada kebenaran!
Pandangannya tertumpu ke arah Sophia yang duduk membelakanginya. Wanita itu tidak jauh berubah meskipun waktu sudah dua puluh tahun berlalu. Sungguhpun garis-garis usia sudah mula menyerlah pada kerut di dahinya namun wanita itu masih kelihatan muda dari usia sebenarnya. Yalah, siapa tidak kenal dengan Wan Anum Sophia, wanita anggun dan kaya-raya itu? Malah tidak keterlaluan jika dia dikatakan salah seorang wanita paling cantik di daerah Kota bahru satu ketika dulu.
“Kita tak suka orang lain ganggu hidup kita. Jangan sekali-kali nak ungkit kisah lama apatah lagi nak mengajar kita begitu begini. Kita tahu apa yang kita buat. Kamu sendiri nampak keadaan keluarga kita. Kita hidup aman damai dengan anak cucu kita. Kamu aje yang masih sakit hati dan dendam. Lupakanlah, Fadhil. Semuanya dah berlalu. Wan Mursyid pun tak ada. Wan Anum Farhah pun dah luput dari ingatan orang. Jangan ganggu keluarga kita lagi!” Ucap Sophia dengan suara meninggi. Pantang benar baginya kalau ada yang hendak menunjuk lebih pandai.
Fadhil tergamam. Selama dia mengenali Sophia, tidak pernah sekali pun wanita itu meninggikan suara. Tidak mungkin wanita yang terkenal dengan bersopan serta penuh tatatertib itu sudah berubah. Tidak mungkin tempoh dua puluh tahun mampu mengubah perawakannya.
“Kau memang takut dengan masa silam. Kau masih dihambat bayangan Farhah. Kau takut pada bayang kau sendiri!” Pantas saja Fadhil menangkis. Rahangnya menggertap menahan perasaan geram. Meluat benar dia dengan sifat ego manusia seperti Sophia. Manusia angkuh yang berselindung di sebalik kekuatan sebuah nama. Ada apa pada nama?
“Tidak!” Suara Sophia semakin meninggi. Dia berpaling ke arah Fadhil yang masih duduk tersandar di kerusi jati. Hatinya sakit, benar-benar sakit. Dia bersandar pada dinding di tepi jendela.
Fadhil senyum sinis. Memang benar wanita ini sudah berubah. Atau mungkin kerana keresahannya dan ketakutannya yang membuatkan Sophia hilang pertimbangan? Ucapan tidak itu menzahirkan perasaan gentarnya. Wan Anum Sophia akan hilang taringnya satu hari nanti. Saat itu dia mahu lihat ego wanita itu menyembah bumi. Tunggulah…
“Sophia, sampai bila kau nak menipu diri sendiri? Hakikat yang dah tersurat adalah kenyataan yang harus kau terima. Walau ke hujung dunia pun kau lari, takdir itu tetap ada bersama kau. Kau tak boleh menipu diri sendiri. Aku tahu kau takut orang tahu siapa Munirah sebenarnya dan apa yang dah terjadi empat puluh tahun yang lampau. Kau juga takut orang tahu siapa cucu kau tu sebenarnya. Kau takut orang tahu kelemahan kau kerana selama ini kau dipandang hebat. Kau hebat kerana kau berselindung di sebalik kemasyhuran dan kemewahan yang kau rampas dari keluarga Wan Mursyid sedangkan kau tak punya apa-apa. Lihat saja sekarang… Belum pun aku cakap apa-apa, kau dah histeria. Satu hari nanti Safuan akan balik ke sini dan ketika itu kau tak boleh berselindung lagi.” Ketawa Fadhil memecah. Dia merasa kemenangan berpihak kepadanya. Tidak selamanya tupai yang pandai melompat itu berada di dahan saja. Ya, Wan Anum Sophia yang egois hampir tewas!
Sophia menarik nafas dalam-dalam lalu menahannya seberapa lama dengan mata terpejam rapat, sebelum melepaskan nafas itu dengan hembusan yang panjang. Kepalanya tergeleng-geleng, pada masa yang sama tangan kanannya memicit-micit dahi. Tubuhnya terasa menggigil menahan kemarahan. Sakit benar hatinya dengan kata-kata yang berbaur ugutan itu.
“Aku mintak diri dulu. Maaf sebab datang tanpa diundang. Aku sekadar laksanakan tanggung jawab aku sebagai seorang hamba ALLAH. Aku dah tak ada masa yang panjang untuk terus tanggung beban rahsia ni. Di usia macam kita ni, kita dah patut ingat tentang alam yang satu lagi. Tak selamanya kita menongkat langit. Ingat-ingatlah pada kematian, Sophia!” Nasihat Fadhil begitu tajam sekali. Tanpa berlengah dia terus bangkit dari kerusi dan tanpa menunggu kata-kata balasan dari Sophia, dia terus melangkah ke pintu. Sophia yang memerhati langkah yang diatur Fadhil dan membiarkan saja lelaki itu meninggalkannya dengan perasaan berkecamuk.

FADHIL terus melangkah tanpa menoleh lagi. Dadanya terasa lapang. Fikirannya kembali tenang setelah beberapa hari kusut memikirkan persoalan yang belum selesai. Dia tidak akan hidup tenang selagi apa yang tersimpan selama ini tidak terungkai dan dibongkar.
Wan Mursyid adalah sahabat baiknya malah lebih seperti adiknya sendiri. Seorang lagi sahabatnya ialah Wan Mustakim, adik Wan Mursyid. Mereka bertiga sangat akrab sejak dari bermain guli hinggalah berguru silat. Sungguhpun Wan Mursyid dan Wan Mustakim adalah anak tukang emas terkenal dan kaya-raya di negeri Kelantan, namun mereka berdua langsung tidak sombong. Mereka tetap seperti orang kampung biasa. Setelah dewasa dan berkahwin dengan Farhah, Wan Mursyid berpindah ke Muar untuk membuka cawangan kedai emasnya di sana manakala Wan Mustakim meneruskan pengajiannya di Mesir. Dia turut membantu Wan Mursyid menguruskan perniagaannya sehinggalah Wan Mursyid berkahwin pula dengan Sophia. Sejak itu dia pulang terus ke kampungnya di Pasir Puteh kerana tidak setuju dengan keputusan mendadak Wan Mursyid mengahwini Sophia.
Fadhil mendongak ke langit. Terlalu banyak yang ingin dia kenangkan dan terlalu banyak yang ingin dia ucapkan kepada Wan Anum Sophia sebentar tadi. Dia juga lupa untuk bertanya khabar tentang Munirah dan anaknya yang langsung tidak dia ketahui namanya. Dia juga ingin bertanya tentang Wan Mustakimtetapi dia sudah tiak tahan melihat kesombongan dan keangkuhan Sophia. Perempuan itu terlalu pandai berpura-pura.
Sebelum meninggalkan rumah besar itu, Fadhil menoleh sebentar. Rumah yang sebahagian besarnya didirikan dengan kayu cengal itu ada sejarahnya sendiri. Wajah Wan Mursyid terbayang di ruang mata. Rahangnya menggertap. Dia tahu di mana dia berada sekarang. Suatu masa dahulu, sejarah silam yang ditulis dengan limpahan darah telah tercatat di situ, yang seterusnya menjadi satu kisah panjang melewati seluruh keluarga Wan Mursyid. Terlalu banyak perkara buruk pernah terjadi. Cahaya gemilang yang terus bernyala di situ pun belum tentu dapat memadamkan api dendam dari waktu silam. Jauh di lubuk hatinya, dia terus saja berdoa agar ALLAH turunkan petunjuk-NYA buat Sophia.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mmmmmmm...masih lagi dalam berteka-teki nampaknya...

Tanpa Nama berkata...

amboi mar..awainya sampai...

Tanpa Nama berkata...

anim...bukan awal...early je..