SOPHIA tidak bergerak-gerak dari kerusi sejak tadi. Pandangannya jauh dilemparkan ke luar rumah. Kelihatan air kolam di tepi halaman nampak tenang disimbahi cahaya merah matahari senja. Kalaulah hatinya setenang itu alangkah bahagianya! Tetapi hati dan perasaannya tidak begitu. Bukan saja saat ini, malah sudah bertahun jiwanya bergelora dan meronta. Di sebalik ketegasannnya terlindung semangat yang semakin rapuh dan luntur. Dia semakin lemah sebenarnya… Terasa dia semakin hampir dengan kenyataan dan dia semakin bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Dia belum bersedia untuk menghadapi kejatuhan.
Sophia memicit-micit tengkuknya yang terasa tegang. Fikirannya semakin kusut selepas kehadiran tetamu yang tidak diundang sebentar tadi. Lelaki itu hadir bersama seribu satu memori yang sudah lama dia simpan kejap-kejap daripada pengetahuan anak cucunya. Janganlah sampai terbongkar kerana dia tidak sanggup berhadapan dengan mereka nanti. Tentunya dia akan dicemuh, dan yang paling menakutkan andainya mereka menyisihkan dirinya. Ke mana dia hendak pergi? Rasanya tiada siapa pun yang akan sudi membelanya nanti. Walau ke hujung dunia pun dia lari namun rasanya dosa itu terus melekat di tubuhnya.
Segalanya bermula empat puluh tahun yang lalu apabila dia berjaya meletakkan dirinya sebagai isteri Wan Mursyid dan ibu kepada Munirah. Ya, segalanya bermula di situ…
“Abang Wan jangan bimbanglah. Wan Munirah ni akan kita jaga baik-baik macam anak kita sendiri. Percayalah…” ucap Sophia sambil memandang ke wajah Wan Mursyid penuh simpati. Lelaki yang duduk bersila tidak jauh darinya itu nampak sugul. Dia masih dalam kesedihan kerana kehilangan isteri sejak sebulan yang lalu.
Sophia kemudiannya mendakap bayi yang sedang tidur lena di ribaannya. Pipinya yang mulus dikucupnya perlahan tanpa menganggu tidurnya. Di sebelahnya pula seorang bayi lelaki lagi yang sudah enam bulan umurnya juga sedang tidur lena di tilam.
Wan Mursyid hanya memerhati perlakuan Sophia. Hatinya diserang hiba. Terbayang-bayang wajah Farhah yang sedang mengucup bayi itu. Sudah sebulan Farhah pergi namun kenangan bersamanya masih basah dalam ingatan. Bayi di pangkuan Sophia dipandangnya dengan rasa sayu. “Abang tak ada pilihan. Hanya kamu yang abang harapkan.” Dengan payah Wan Mursyid menuturkannya. Sebentar kemudian pandangannya beralih kepada ibu mertuanya di sebelah Sophia. Mereka sudah hendak pulang ke Kota Bharu dan meninggalkannya bersama bayi itu. Bagaimana nanti? Bagaimana dia hendak menjaga bayi itu sendirian? Wan Mursyid masih memikirkan nasib puterinya selepas itu.
“Abang Wan, bagi ajelah kita bawak balik bayi ni. Bila-bila abang hendak jenguk dia, abang boleh ke sana atau kita yang bawa dia ke sini.” Sophia merasa sedikit riang dengan pengakuan Wan Mursyid secara tidak langsung tadi. Kata-kata itu seperti memberi harapan kepadanya. Hati Sophia terus berbunga.
“Betul kata Sophia, tu. Kat sini tak ada siapa yang hendak menjaganya. Kalau kat sana, mak dengan Sophia boleh tengok-tengokkan. Kamu tak payah risau.” Hajah Wan Asmah yang mendiamkan diri sejak tadi mencelah pula.
“Tapi saya tak sanggup berpisah dengan Munirah, mak. Tak sampai hati rasanya nak biarkan dia dibawa pergi. Dia tu kenangan saya dengan Farhah. Kelantan tu bukannya dekat, mak. Kalau setakat Melaka atau Johor Bahru tu sanggup lagi saya nak ulang-alik. Sudahlah saya kehilangan Farhah, takkan saya nak lepaskan Munirah pula? Biarlah dia kat sini, buat serikan rumah yang dah sunyi tak bermaya ini,” ucap Wan Mursyid lemah.
“Tapi macam mana kita nak jaga dia? Tadi abang jugak yang suruh kita jaga dia. Mak pun bukan boleh nak lama-lama kat sini.” Sophia semakin tidak sabar menunggu penjelasan Wan Mursyid. Dia yakin dengan bisikan hatinya.
“Tak apalah, Mursyid. Bagilah mak dengan Sophia bawa anak kamu ni balik. Budak ni masih kecil. Kamu nak jaga pun bukannya pandai. Kalau dah besar tu, mak tak hairan. Kamu pun sibuk dengan kedai kamu tu. Takkan kamu nak kahwin lain dalam masa terdekat ni?”
Wan Mursyid tidak menjawab pertanyaan ibu mertuanya, sebaliknya dia bangun lalu melangkah ke muka pintu. Pandangannya terlontar pada kolam buatan sendiri yang dibina khusus atas permintaan isterinya Wan Anum Farhah. Lama dia berdiri di situ, tenggelam bersama kenangan arwah isterinya suatu ketika dahulu.
Sebentar kemudian dia berpaling dan dengan langkah perlahan menghampiri Hajah Wan Asmah. Wanita tua itu hanya memerhati menantunya yang sudah duduk bersila di hadapannya.
Wan Mursyid menarik nafas dalam-dalam. Sukarnya hendak membuat keputusan yang tidak selari dengan nalurinya. “Mak, saya mintak maaf. Mungkin terlalu awal untuk saya buat keputusan macam ni. Saya bukan nak khianati kesetiaan saya pada Farhah. Demi TUHAN, saya masih sayangkan dia dan akan tetap sayangkan dia sampai bila-bila. Tapi demi Munirah, saya minta izin mak untuk ambil Sophia sebagai isteri saya.” Tenang saja Wan Mursyid melafazkannya membuatkan emak mertuanya seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Hajah Wan Asmah terkedu seketika. Begtiu juga dengan Sophia, dia terus tunduk tidak berani panggung kepala.
Dan sejak itulah dia menjadi isteri Wan Mursyid menggantikan kakaknya, Farhah yang meninggal kerana tumpah darah sewaktu melahirkan Munirah. Dia tumpahkan segala kasih dan sayang kepada Munirah dan suaminya sepenuh hati. Kadang-kadang dia lebih utamkan Munirah berbanding Safuan, anaknya sendiri. Namun, dia masih merasa serba kurang di sisi Wan Mursyid. Dia tidak mampu memiliki hati lelaki itu.
Sungguhpun dia sudah menjadi isteri lelaki itu, namun dia tidak memiliki segala yang dipunyai oleh kakaknya termasuklah hati Wan Mursyid sendiri. Sejak dia dilamar Wan Mursyid lagi, dia dapat rasakan suaminya itu tidak mencintainya. Dia dinikahi hanyalah untuk menjaga anak mereka, Munirah sahaja. Pada mulanya dia dapat terima mereka seadanya, namun lama kelamaan perasaan yang dipendam menjadi kudis di hati. Dia merasa diperalatkan dan tidak dihargai sebagai seorang isteri.
“Munirah adalah milik abang, juga milik Farhah. Walaupun dia sudah tidak ada, segala-gala yang ada di sini tetap milik Farhah. Abang bina rumah ini dengan kayu cengal sebagai lambang keteguhan cinta abang pada Farhah. Lagipun abang nak rumah ni kukuh dan teguh sampai ke anak cucu. Abang buat sepuluh bilik, sebab abang nak lapan orang anak. Tapi Kak Farhah kamu tak mahu. Dia tak suka anak ramai sebab dia pun hanya ada dua beradik. Kata Farhah, dia nak semua anak cucu tinggal berkumpul di sini. Dia tidak mahu anak-anak pergi jauh. Biar semua dapat uruskan kedai emas tu supaya terus berkembang dan jadi sebuah empayar,” ucap Wan Mursyid di suatu petang ketika mereka sedang minum-minum sambil mengambil angin di beranda rumah.
Kata-kata itu meracun hati dan perasaannya. Dari sayang bertukar dendam. Wan Mursyid langsung tidak mengindahkan perasaannya. Sia-sia saja dia menjaga dan membelai Munirah seperti anak sendiri. Dan sejak itu hatinya mulai tawar. Ya, Munirah itu milik Kak Farhah… Rumah itu juga milik Kak Farhah. Dia ingat itu! Maka, dia tidak akan menganggap Munirah itu anaknya sampai bila-bila. Ucapan Wan Mursyid itulah yang membuatkan dia semakin iri dengan arwah kakak sendiri. Abang ipar yang sudah menjadi suaminya itu seperti mahu mengingatkan dia bahawa dia tidak mungkin akan menggantikan tempat Farhah. Rasa cemburu dan dendam terus menanah lalu menjadi kudis di hati. Farhah tentu bahagia bersama lelaki ini dan tentunya kebahagian itu tidak sama seperti yang dia nikmati setelah memilikinya. Cemburunya membuatkan dia berjanji pada diri sendiri, segala milik Wan Anum Farhah akan jadi miliknya. Dia akan buktikan kepada Wan Mursyid! Dan kini dia sudah buktikannya…
Kakaknya selalu beruntung. Apa saja yang dia impikan akan tercapai. Dia masih ingat kakaknya pernah berkata, dia hendak berkahwin dengan lelaki kacak dan kaya sahaja. Tidak lama selepas itu keluarga Wan Mursyid masuk meminang. Wan Anum Farhah memang beruntung, semua yang dia impikan sudah jadi kenyataan.
Berlainan pula dengan dirinya, nasibnya tidak sebaik kakaknya. Dia berkahwin dengan lelaki pilihan ibu. Kononnya hendak mendekatkan hubungan keluarga yang jauh. Kata ibu, Abdul Ghani adalah lelaki yang baik dan hebat. Maklumlah dia dating dari keluarga yang berpelajaran. Siapa tak kenal dengan Dr Abdul Fatah yang mempunyai klinik gigi di bandar Muar itu? Abdul Ghani pula baru saja lulus ijazah kedoktoran dari universiti di London. Kata ibu, Abdul Ghani tu sedap mata memandang dan nampak penyayang. Memang benarlah Abdul Ghani itu baik dan romantis orangnya tetapi malang sekali menantu pujaan ibu itu rupanya ‘terlebih romantik’. Tidak sampai dua tahun mereka mendirikan rumah tangga, suaminya itu sudah buat onar. Dia menikah lagi dengan teman sepejabatnya yang juga isteri orang. Hati siapa tidak luluh, hati siapa tidak walang bila suami yang diharapkan dapat menumpang teduh buat perangai di belakang? Ketika itu dia sedang mengandungkan anak pertama mereka. Selepas dia bersalin, Abdul Ghani menjatuhkan talak dan dia terus menjanda sehinggalah Wan Mursyid melamarnya enam bulan kemudian.
Semua itu sudah berlalu lebih empat puluh tahun yang lalu. Sophia menarik nafas dalam-dalam. Dadanya terasa sesak. Kata-kata Fadhil yang tiba-tiba muncul semalam kembali terngiang-ngiang di telinga. Sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu menyentap hatinya. Dia mula sedar bahawa hidup ini ibarat roda, tak selamanya dia akan berada di atas. Dia mula merasa hampir dengan zaman kejatuhan itu. Terlalu banyak dosa yang telah dia lakukan. Terlalu banyak kepincangan yang telah dia tinggalkan. Rumah ini jadi saksi…
Ah, ini Wan Anum Sophialah! Sophia tidak pernah gentar hadapi segala cabaran. Sejarah telah membuktikan Sophia sentiasa akan mendapat apa yang dia hajatkan. Sophia tidak pernah dan tidak akan mengaku kalah selagi belum berjuang. Semangat Sophia kembali menguasai diri...
Jumaat, 17 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan