SEKEJAP saja biji-biji padi yang ditaburkan Nudra habis dipatuk anak-anak ayam yang seramai empat ekor itu. Asyik sekali Nudra memerhatinya. Terhibur pula hati melihat anak-anak ayam itu berebut-rebut.
Teringat semasa di rumah Nenek Sophia sewaktu dia mula-mula menjadi penghuni rumah itu dulu. Ketika itu dia baru berumur sepuluh tahun dan sepupu-sepupunya selalu berebut-rebut makanan bila tiba waktu makan. Waktu itu dia hanya memerhati dengan rasa hairan. Kalau waktu makan masing-masing akan berebut-rebut untuk mendapatkan bahagian yang lebih banyak. Mulut Bibik Surti akan bising memarahi mereka semua. Jika keadaan itu berlarutan sehingga Nenek Sophia muncul, mereka akan diam tidak berkutik. Kalau berani bersuara pun tentulah Nabila seorang sahaja yang becok mengadu itu ini kepada nenel. Nenek tak kisah kalau Nabila menjawab pun. Itukan intan payung nenek…
Nudra… lupakan saja kenangan kat rumah tu. Sekarang kau dah kembali ke sini, tempat yang lebih bermakna buat dirimu, tempat yang lebih aman dan lebih banyak memeori indah untuk dikenang. Hatinya berbisik mengingatkan. Segenggam biji padi dicampakkan lagi ke tanah. Nudra tersenyum riang melihat anak-anak ayam yang empat ekor itu lari berkeliaran kerana terperanjat dengan taburan biji padi itu.
“Assalamualaikum. Boleh tumpang tanya? Tok Ayah ada?”
Suara member salam itu membuatkan Nudra yang sedang asyik mengelamun sedikit tersentak. Dengan pantas dia menoleh sambil menjawab salam. Jantungnya berlari kencang sebaik saja terpandang seorang pemuda berkemeja hijau lengan pendek dan berseluar slack hitam berdiri sambil menghadiahkan senyuman di situ. Sebuah beg galas tersandang di bahu kirinya. Mata coklatnya terpaku pada wajah Nudra.
Pandangan Nudra turut terpaku pada pemuda di hadapannya. Tidak banyak yang berubah pada diri Iskandar, cuma badannya saja yang nampak semakin berisi dan membuatkan Iskandar nampak lebih matang. Rambutnya juga panjang sedikit berbanding di zaman sekolah dulu. Kulitnya pula semakin cerah, maklumlah bertahun tinggal di negeri orang putih. Kaca matanya yang berbentuk bulat itu menjadikan Iskandar nampak semakin segak. Oh, apa yang dah kau buat ni Nudra? Cepat-cepat Nudra menundukkan pandangan apabila menyedari mereka sudah terlalu lama berpandangan.
“Nudra Haneem?” Pemuda itu bersuara setelah beberapa ketika mereka bertukar sepi. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu teman lamanya di situ. Dia seakan tidak percaya dengan pandangan matanya sendiri.
Nudra hanya mengangguk perlahan sambil meneguk liur. Tekaknya terasa perit tiba-tiba. Suaranya bagaikan sudah hilang entah ke mana. Semangatnya seperti sudah melayang sebaik saja terpandang wajah Iskandar.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” soal Iskandar cuba mengawal hati yang bergelora. Dia agak hairan apabila bertemu Nudra di rumah Tok Ayah. Setahu dia, Nudra sahabatnya itu adalah cucu Wan Anum Sophia, pemilik kedai emas yang terkenal di daerah Muar. Rumah orang kaya itu terletak di bandar Muar. Siapa tidak tahu dengan rumah besar yang tersergam indah itu? Macam mana pula Nudra boleh berada di kampung ini? Iskandar bertanya sendiri.
“Saya yang patut tanya awak soalan tu, Is.” Nudra menguntum senyum. Debaran di dada masih belum hilang tetapi semakin berkurang.
Iskandar membalas senyuman Nudra. Nudra nampak lebih ayu dengan tudung merah jambu yang dipakainya. Kalau di zaman sekolah dulu Nudra masih nampak keanak-anakan, tapi kini gadis itu kelihatan lebih dewasa. Dengan kata lain, lebih manis…
“Saya macam tak percaya boleh jumpa awak kat sini. Tak sangka semudah ini saya boleh bertemu cucu Wan Anum Sophia. Saya ingat, bila saya balik ke Malaysia mungkin setahun dua lagi saya boleh tengok muka awak atau langsung tak akan jumpa. Rupanya baru seminggu saya tiba, hari ni saya dah jumpa. Macam mimpi pulak…” Entah kenapa sewaktu di Australia dulu nama Nudra Haneem sring berlagu di hatinya.
Bicara Iskandar membawa kembali fikiran Nudra yang sudah jauh melayang. “Is, maaflah sebab lupa nak jemput awak duduk. Saya terperanjat sangat tadi.” Nudra tergesa-gesa meletakkan bekas berisi padi di atas para di tepi rumah lalu mencuci tangannya dengan air di tempayan.
“Saya tahu, awak memang macam tu. Suka sangat mimpi siang-siang. Dalam kelas dulu pun awak suka berangan.”
Kata-kata Iskandar membuatkan Nudra malu sendiri. Iskandar masih ingat rupanya tabiat dia yang satu itu, fikir Nudra. Selalu juga dia ‘tertangkap’ dengan guru matematiknya. Tidak dinafikan dia suka berangan dan bermimpi di dalam kelas. Mungkin kerana itulah dia tidak pandai macam Iskandar dan teman-teman yang lain. Patutlah keputusan SPM-nya tak sehebat teman-teman yang lain.
Sebentar kemudian mereka sudah berada di anjung rumah. “Jemputlah duduk, Is. Maaf saya tak boleh ajak awak masuk ke dalam, tuan rumahnya tak ada. Tok Ayah ke kedai, belum balik lagi. Hannah pulak belum balik dari kelas menjahit.”
“Tak apa. Kat sini pun okey jugak. Hannah tu siapa?” tanya Iskandar setelah mereka duduk di anjung rumah yang agak luas itu. Di situ diletakkan satu set kerusi dengan sebuah meja kopi. Semuanya tersusun kemas. Di sebelah kiri rumah, dibina terdapat sebuah bangunan sederet seperti rumah kedai. Di situlah agaknya kelas-kelas agama yang dikendalikan oleh Tok Ayah. Iskandar memerhati sambil memerhati sekeliling. Halaman yang luas itu nampak bersih tanpa sehelai daun kering pun padahal pokok-pokok tumbuh keliling rumah. Agaknya Nudralah yang mengerjakan halaman sehingga cantik dan bersih begini. Untungnya Tok Ayah ada cucu yang boleh diharap dan rajin seperti Nudra.
“Hannah tu cucu Tok Ayah, dua pupu saya. Dia pun tinggal sekali,” jelas Nudra yang duduk di kerusi yang tidak jauh dari Iskandar.
“Oh, begitu! Hmm… Awak ada terima poskad saya tak?” Iskandar bertanya setelahsepi seketika.
Pertanyaan Iskandar membuatkan wajah Nudra berubah rona. Poskad yang diterima lebih setahun yang lalu itu banyak mengubah hidupnya. Poskad itu jugalah yang membuatkan dia ‘ditimpa perasaan’ seketika sehinggakan hatinya berlagu riang beberapa hari berikutnya. Tetapi itu cuma sekejap saja kerana dia harus sedar diri. Lagipun Iskandar terus sepi kemudiannya. “Ada. Terima kasih atas ingatan,” jawab Nudra cuba menyembunyikan rasa malu kerana ‘terlebih’ perasan sewaktu menerima poskad itu.
“Kenapa tak balas? Saya ingat awak tak terima kerana tersalah alamat ke apa…”
Nudra mencebik. Rasa lucu dengan pertanyaan Iskandar. “Nak hantar kat siapa? Nak balas macam mana kalau alamatnya pun awak tak bagi? Sydney tu bukan awak sorang aje yang duduk, Iskandar…”
Iskandar mengecilkan mata. Dia sedikit keliru dengan pernyataan Nudra. Dia tidak pasti samada Nudra serius ataupun bergurau. “Poskad pertama tu memanglah saya tak tulis alamat sebab saya lupa. Lepas tu saya pulak poskad kedua memberitahu alamat saya supaya senang awak hantar kuih raya ke, kad raya ke… Hmmm… Usahkan kuih raya, serdak pun tarak! Dan sebelum saya balik ni pun saya ada poskan sekeping lagi poskad untuk bagitahu kepulangan saya. Manalah tahu kot kot ada orang nak jemput kat airport. Tapi kesian saya… berangan sorang-sorang. Rupanya tak ada orang ingat pun,” balas Iskandar dengan nada berjenaka. Ketika itu dia benar-benar mengharapkan balasan daripada Nudra kerana dia ingin sekali mengetahui khabar berita gadis yang seorang itu. Malangnya segala harapan tinggal harapan.
Bulat mata Nudra memandang lelaki berkulit cerah itu. Sedikit pun jenaka Iskandar tidak mencuit hatinya sebaliknya dia merasa terkejut dengan pernyataan temannya. “Apa awak kata? Awak ada kirim tiga poskad? Saya tak salah dengar ke?” Perkataan tiga itu ditekankan.
“Awak berangan lagi, Nudra?” usik Iskandar sambil tersenyum.
Pertanyaan itu membuatkan Nudra tersengih. Dia tahu Iskandar mengejeknya. “Mungkin poskad awak tu tak sampai ke tangan saya…” ucap Nudra perlahan. Dia yakin, kalau benar ada poskad kedua dan ketiga untuknya, tentulah poskad itu ‘tersangkut’ di bilik Nenek Sophia dan masuk ke bakul sampah. Bukankah nenek sudah beri amaran kepadanya agar tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki?
“Saya ingat awak dah tak sudi jadi kawan saya, maklumlah awak tu siapa. Cucu Wan Anum Sophialah katakan. Cucu diakan ada kelas yang tersendiri.”
Nudra menggeleng. Iskandar, kalau awak tahu macam mana hidup saya sebagai cucu nenek, awak tak akan cakap macam tu. Awak tentu akan kata: kasihan awak Nudra, dilahirkan sebagai cucu orang tua tu. Hati Nudra berkata sendiri.
“Mana ada, Is. Saya pun manusia biasa, tak ada istimewanya jadi cucu nenek saya tu. Saya tak balas bukan sebab saya tak sudi atau tak ingat. Saya masih ingat kawan-kawan saya dulu. Tapi saya betul-betul tak tahu tentang poskad awak yang kedua dan ketiga tu,” jelas Nudra. Senyum yang terukir di bibirnya hambar saja.
“Lupakan aje pasal poskad tu. Perkara dah lama. Saya pun dah balik, dah jumpa pun awak ni. Oh, ya! Lupa pulak saya nak tanya, apa awak buat kat rumah Tok Ayah ni?” Iskandar tersedar yang dia sudah terlanjur bicara. Tidak sepatutnya dia membuat Nudra merasa bersalah begitu.
“Saya memang tinggal kat sini sekarang. Saya bantu Tok Ayah ajar mengaji kat sekolah agama dia ni.”
“Dah lama awak kat sini?”
“Dah dekat enam bulan. Saya dah serasi kat sini. Ini tempat saya membesar, tempat saya bermain.”
“Oh, ya? Bukan ke awak tinggal dengan Wan Anum Sophia tu?” Iskandar masih hairan melihat Nudra berada di situ.
Nudra menggeleng lalu tunduk. ‘Ini rumah dan kampung saya, tempat jatuh bangun saya suatu ketika dulu. Hidup saya bahagia di sini, bukan di rumah besar itu.’ Nudra terus berbicara sendiri.
“Dulu saya di besarkan di sini. Bila Mak Tok meninggal, saya pindah ke rumah Nenek Sophia. Masa tu umur saya sembilan tahun,” terang Nudra panjang lebar. Iskandar mendengar penuh minat.
Baru dia tahu cerita Nudra yang sebenarnya. Padanlah kata teman-teman sekaloah dulu, Nudra dia tidak seperti cucu-cucu Wan Anum Sophia yang lain. Dia sendiri tidak kenal dengan semua cucu orang kaya itu. Tetapi dari cakap-cakap orang, mereka semuanya sombong dan berlagak belaka.
“Awak pulak buat apa cari Tok Ayah?” Nudra mengubah topik. Dia tidak mahu Iskandar bertanya lebih lanjut. Bercerita tentang Nenek Sophia buat hatinya jadi walang. Kalau boleh dia tidak ingin sesaat pun mengingati kenangan selama di rumah nenek.
“Saya datang ni nak belajar.”
“Nak belajar? Maksud awak dengan Tok Ayah? Takkanlah…” Nudra seakan tidak percaya dengan jawapan Iskandar. Dia ingat Iskandar hanya bergurau. Takkanlah seorang graduan lulusan luar negara hendak belajar di sekolah agama yang tidak seberapa ini. Mustahil…
“Eh, kenapa tak percaya pulak? Saya nak timba sebanyak mana ilmu agama dari Tok Ayah sementara saya dapat kerja. Inilah masa yang paling sesuai sebab bila saya dah kerja nanti, masa saya sudah terhad. Ayah saya kata, Tok Ayah tu guru yang bagus. Banyak ilmu yang kita boleh dapat daripad dia. Ayah saya yang suruh saya ke sini. Ayah saya pun pernah berguru dengan Tok Ayah dulu,” terang Iskandar penjang lebar. Matanya terarah kepada seekor tupai yang sedang melompat dari satu dahan ke satu dahan di pokok rambutan.
“Oh, ya ke? Tak sangka ya, orang dah belajar tinggi-tinggi tapi masih nak mengaji kat sini lagi. Inikan macam sekolah pondok, apa kelasnya?” Sengaja Nudra menduga Iskandar. Sukar untuk Nudra percaya pengakuan temannya itu kerana Nenek Sophia selalu merendah-rendahkan usaha Tok Ayah. Bagi nenek, belajar agama ni tidak akan ke mana. Lagipun sekolah agama yang Tok Ayah usahakan ini apalah sangat; setakat mengajar budak-budak fardhu ain dan beberapa orang murid dewasa yang datang secara sukarela. Semuanya serba kekurangan. Astagfirullahal’azim… Mengapalah fikiran nenek begitu sekali? Ilmu akhirat ni bukan sahaja untuk dunia, tapi pastinya sebagai bekalan kita ke akhirat.
“Menuntut ilmu ni tak ada hadnya, Nudra. Kat mana-mana dan dengan siapa pun kita boleh timba ilmu tu selagi kita tahu ilmu tu berfaedah. Empat tahun saya di Sydney, saya banyak tumpukan pada ilmu dunia saja. Sementara saya belum kerja dan sibuk ni, lebih baik saya manfaatkan masa dengan cari ilmu akhirat. Rohani kita pun perlukan makanan sama seperti jasad kita. Jika jiwa kita kosong, hidup kita tidak tenteram,” balas Iskandar panjang lebar. Itulah yang dia dinasihatkan ayahnya sejak dia kembali ke tanah air.
Terpegun Nudra dengan pendirian Iskandar. Bangga sungguh dia mempunyai sahabat yang mempunyai kemahuan yang begitu. Mengapa nenek tidak berfikiran terbuka macam orang lain? Kenapa nenek selalu ingat dia saja yang bagus dan dia saja yang betul? Nudra menelan keluhan. “Awak merancang hidup begitu sekali ya, Is? Tak macam saya, langsung tidak ada perancangan dan matlamat. Saya kagum ada sahabat macam awak,” ucap Nudra dengan rasa rendah hati. Terasa diri sendiri begitu jauh ketinggalan dengan sahabat yang seorang ini.
Iskandar memandang sekilas pada Nudra. Kata-kata itu seolah-olah menyimpan makna yang sangat dalam. “Saya taklah sehebat yang awak sangka dan saya tak adalah lebih baik dari awak. Setiap manusia ALLAH jadikan ada kelebihan dan kekurangannya. Kalau saya belajar sampai ke oversea pun bukan bermakna saya ni hebat sangat. Mungkin rezeki saya kat situ. Jangan awak rasa rendah diri, Nudra. Awak tentu ada kelebihan yang tak ada pada saya.”
Sahabat aku ni masih macam dulu, kalau bercakap ada saja hujahnya cuma bezanya dia nampak lebih dewasa. Nasihat dan perangsang yang diberikan Iskandar membakar semangat Nudra. Dia senang dengan kata-kata begitu kerana selama ini orang hanya merendah-rendahkannya saja.
“Lagipun, saya memang dah diajar macam tu sejak kecil. Setiap apa yang dilakukan perlu ada perancangan.” Sebelum sempat Nudra berkata apa-apa, Iskandar sudah kembali bersuara.
“Awak memang beruntung sebab ada keluarga yang sempurna. Ada ibu dan ayah yang boleh berikan awak panduan untuk jalani hidup. Tapi saya? Saya hanya menurut arah sendiri yang saya sendiri tak tahu ke mana tujuannya. Sungguhpun saya hidup dalam keluarga yang besar, tapi saya seperti anak yatim piatu. Tak ada siapa-siapa yang nak tunjukkan saya jalan yang betul.” Terpacul luahan hati Nudra tanpa diduga. Nudra sendiri tidak menyangka yang dia akan mengucapkan begitu kepada Iskandar. Selama ini segala rasa itu hanya tersimpan jauh di lubuk hati, tidak pernah terluahkan dan terucap kepada sesiapa pun.
“Lah, Nudra! Saya mintak maaf. Saya tak ada niat nak buat awak rasa macam tu. Saya beritahu tu bukan nak bangga-bangga diri atau nak menunjuk-nunjuk. Saya sekadar bercerita.” Iskandar merasa kesal. Dia baru sedar dengan siapa dia bercakap. Dia bercakap dengan Nudra yang tidak punya ayah, yang selalu merasa diri serba kekurangan. Dia sudah terlajak bicara sehingga wajah Nudra berubah riak. Dia sungguh kesal dengan bicaranya tadi.
“Eh, tak ada apa-apalah Is! Saya tahu awak tak macam tu. Saya kenal siapa sahabat saya ni.” Sekuntum senyuman sengaja diukirkan sebagai tanda dia bersungguh dengan ucapannya.
“Awak masih rendah hati macam dulu. Itulah kelebihan awak yang tak ada pada orang lain.” Puji Iskandar seikhlas hati. Dia memang senang berkawan dengan Nudra sejak dulu lagi. Nudra tidak sombong seperti kebanyakan cucu Wan Anum Sophia yang lain.
“Lepas SPM dulu apa awak buat?” soal Iskandar setelah masing-masing melayan perasaan seketika.
“Saya? Hmm… saya nak buat apa lagi Is kalau result SPM saya pun nyawa-nyawa ikan je? Nenek memang tak benarkan saya belajar lagi. Otak saya yang tak cerdik ni kalau terus belajar pun mungkin akan habiskan duit dia aje. Tak berbaloi… Jadi untuk tidak terus jadi penganggur kehormat sampai ke tua, sambil-sambil tolong Tok Ayah saya uruskan sekolah dia ni.” Dia jadi segan dengan Iskandar. Jika dibandingkan dengan Iskandar yang sudah berjaya meraih segulung ijazah, begitu jauh dia ketinggalan.
Iskandar termenung sejenak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Ada kelainan dari nada suara Nudra sebentar tadi. Hairan juga, Nudra sepatutnya mempunyai peluang yang cerah untuk menyambung pelajaran. Tentulah wang bukan punca masalah kerana gadis itu bukan tak berduit. Setakat untuk menyambung pelajaran rasanya tidak menjadi masalah. Baginya, sekali gagal bukan bermakna terus gagal. Kejayaan ada di mana-mana dan kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
“Apa yang awak buat sekarang pun satu benda yang sangat mulia. Janganlah awak rasa rendah diri. Mungkin itu yang lebih baik buat awak, siapa tahu? Apa yang ALLAH tetapkan itu tentulah ada sebabnya. Kita tak nampak semua tu. Hanya dia yang Maha Mengetahui.”
Nudra mengangguk-angguk. Kata-kata Iskandar ada benarnya dan sedikit sebanyak menyejukkan hatinya. Sekurang-kurangnya Iskandar tidaklah memandang rendah padanya dan tidak juga menyalahkannya.
“Awak langsung diam lepas sekolah dulu. Ada orang bagitahu saya, awak dah kahwin. Saya pun ingat bila jumpa awak ni, dah berderet anak awak,” sambung Iskandar lagi.
Ucapan Iskandar itu membuatkan Nudra tertawa geli hati. Serentak dengan itu juga wajahnya merona merah. “Kahwin? Bila masa pulaklah saya kahwin, Is? Dengan siapa pulak tu? Lagipun siapalah yang nak kat saya ni?”
“Awak ni tak habis-habis merendah diri. Setahu saya ramai yang menanti awak, tapi awak aje yang jual mahal. Atau awak tunggu seseorang?” usik Iskandar.
“Awak ni Is, suka sangat kata saya macam tu. Kalau saya ni ramai yang nak, dah lama saya jadi mak orang. Tapi dari dulu sampai sekarang usahkan nak berkahwin, kawan pun belum ada,” balas Nudra, sedikitpun tidak ambil hati dengan gurauan Iskandar.
BUNYI enjin motor masuk ke halaman rumah mematikan perbualan dua sahabat lama itu. Iskandar segera bangun lalu melangkah ke arah Tok Ayah yang baru saja pulang dari kedai. Nudra mengekori dari belakang.
“Assalamualaikum, Tok Ayah.” Iskandar menyalami dan mencium tangan Tok Ayah yang baru saja turun dari motosikalnya.
“Waalaikumussalam warahmatullah. Ini Iskandar, ya? Oh, dah besar panjang… Dulu Tok Ayah tengok masa Iskandar masih sekolah rendah lagi. Abah kamu sihat? Malam tadi ada dia telefon Tok Ayah, bagitahu pasal kedatangan kamu ni,” Tok Ayah menyapa mesra. Bungkusan plastik berisi lauk-pauk yang masih di dalam bakul motosikalnya dihulurkan kepada Nudra dan gadis itu terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Raut wajah Tok Ayah memikat hati Iskandar. Ada sesuatu yang membuatkan Iskandar merasakan dia sudah jatuh kasih kepada lelaki tua bertubuh sasa itu. Senyumannya nampak ikhlas dan mesra. Wajahnya tenang mendamaikan. “Ya, saya Iskandar. Itulah… abah kata dah lama benar dia tak jumpa Tok Ayah. Dia nak datang, tapi abah ada seminar pulak kat Singapore. Abah dan umi kirim salam. ”
Tok Ayah menjawab salam sambil meletakkan motosikalnya di tepi rumah. “Dah lama Iskandar sampai? Tok Ayah ke kedai sekejap, cari lauk untuk masak tengah hari. Nudra dah bising kononnya peti ais dah kosong. Nampaknya memang rezeki Iskandar hari ni nak makan kat sini.”
Iskandar tersenyum lebar. “Oh, lama tu tak lama jugak tapi sempatlah bertukar-tukar cerita dengan Nudra.”
Tok Ayah mengangkat kening, sedikit hairan. Setahu dia Nudra tidak akan duduk berbual dengan mana-mana lelaki yang baru dikenalinya, jauh sekali untuk bercerita panjang. tambahan pula lelaki itu bukan muhrimnya.
Melihat wajah Tok Ayah yang penuh tanda tanya itu, Iskandar tersenyum. “Nudra tu kawan satu sekolah dengan saya dulu. Kami sama kelas sejak tingkatan satu lagi,” jelas Iskandar. Bimbang juga kalau-kalau Tok Ayah memikirkan yang bukan-bukan apabila melihat mereka berdua sahaja tadi. Tok Ayah kan guru agama, tentu saja perkara-perkara begitu amat dititik beratkan.
“Oh, macam tu… Eh, marilah kita masuk ke dalam. Atau Iskandar nak duduk kat anjung tu aje? Kalau Tok Ayah, Tok Ayah lebih suka kat situ. Angin semulajadi ni lebih nyaman daripada kipas angin.” Tok Ayah menepuk bahu anak muda itu dengan mesra.
“Okey jugak kat situ. Rasanya lebih santai…”
Nota:
Salam manis buat semua... saya dah kembali! Tapi maaf kerana agak terlambat post n3 ni. Saya baru saja lepas exam PTK. Biasalah... orang gomen kenalah periksa.
Selasa, 28 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
muahahaha...nudra telah bertemu iskandar..
Catat Ulasan