Rabu, 15 Ogos 2007

Bhg 7

“NENEK memang macam tu. Akak jangan ambil kira dengan orang tua tu. Dia bukan betul sangat.” Mubin berkata penuh emosi sambil mengetuk-ngetuk meja dengan jari telunjuknya. Tangan sebelah lagi memegang puntung rokok yang tinggal separuh.
Nudra yang duduk di sudut bilik tersenyum kelat. Anak Mak Lang Sarah itu memang lain sikit perangainya. Perangai gila-gilanya membuatkan dia tidak begitu disenangi oleh sepupu-sepupunya yang lain. Tetapi Mubin adalah antara cucu kesayangan Nenek Sophia kerana dia pandai mengambil hati orang tua itu walaupun di belakang nenek dialah pengkritik nombor satu. Politik Mubin memang sangat bagus! Di depan nenek, lembut lidah dari gigi. Kalau nenek suruh buat apa-apa, semua boleh aje tetapi nanti habis orang dikerahnya. Kalau bab mengampu, Mubinlah juaranya. Itu yang buat Nudra kadang-kadang payah hendak percaya dengan kata-kata Mubin.
“Akak buat je apa yang akak suka. Kalau akak ikut sangat peraturan nenek tu, akak tak akan ke mana. Sampai matilah akak duduk kat rumah ni, macam katak bawah tempurung. Nenek tu nak ikut zaman enam puluhan dia, mana boleh. Ini zaman moden, orang perempuan pun dah boleh ke bulan. Tengok macam saya ni, saya buat apa yang saya fikir betul. Kalau ikut cakap nenek, tak ke manalah kita,” Mubin terus membakar semangat Nudra.
Nudra memandang kosong ke arah Mubin, tanpa perasaan. Nasihat itu seperti angin lalu saja, payah hendak masuk ke hatinya. Ucapan berupa cadangan itu ada betulnya tetapi sikap Mubin yang suka bermuka-muka itu membuatkan Nudra jadi meluat. Lelaki bertubuh tegap dengan rambut lurus dan agak panjang itu bukan boleh dipercayai sangat. Lain di depan, lain pula di belakang. Kalau bab ini, jauh lebih baik Nabila yang mulut lepas itu. Anak Cu Syira itu tidak pandai berpura-pura. Apa yang dia kata, itulah yang di hatinya. Tetapi Mubin lain, sukar hendak meneka hatinya.
“Awak lainlah. Awak pandai ambil hati nenek. Kak Nudra ni siapalah… Anak terbuanglah katakan,” ucap Nudra merendah diri sekaligus menempelak sepupunya itu.
Ketawa Mubin memecah, terasa lucu dengan kenyataan Nudra. Dia tidak kisah kalau orang kata dia kaki bodek pun. Memang ya pun… Tetapi dengan membodek itulah dia berjaya dapat apa yang dia mahu dan impikan. Tengok sekarang, muda-muda lagi dia sudah memiliki kedai emas sendiri di Segamat kerana nenek sudah berikan kepercayaan kepadanya. Kata orang, usaha tangga kejayaan. Tak kiralah macam mana cara usaha itu dilakukan. Yang penting dia sudah berusaha untuk mencapai cita-citanya dan dia telah berjaya. Orang lain yang asyik dengki tu, apa mereka dapat? Bila dia dah dapat apa yang dia nak, semua pakat-pakat dengki. Teruk betullah metaliti dia orang ni…
Ruslina yang sedang asyik menelaah pelajaran menoleh lalu menjuihkan bibir apabila mendengar ketawa Mubin. Mubin kalau ketawa macam nak runtuh bangunan dibuatnya. Begitu juga kalau menyanyi, satu rumah akan bingit dengan suara sumbangnya. Walaupun perangai Mubin begitu dan suka pulak mengampu nenek tetapi dia lucu dan baik hati. Itu yang buat Ruslina tidak kisah sangat dengan perangai Mubin.
“Apa lainnya? Nak hidup, kenalah bijak. Cubalah bodek-bodek nenek tu sikit. Kalau akak nak tahu kelemahan nenek, dia tu pantang kena puji. Kalau akak puji dia melambung, jawabnya terbanglah segala ego dan marah nenek. Tambah-tambah kalau sebut pasal awet mudanya. Mahu nenek senyum sampai ke telinga. Satu lagi, bahasa mesti bagus. Mulut kena manis. Cakap dengan nenek mesti berlapik, jangan main hentam saja! Jangan sekali-kali kata tidak. Kenalah mengayat sikit, barulah dapat apa yang akak nak.” Mubin menghembus asap rokok yang disedutnya dengan kasar ke udara. Berkepul-kepul asap itu terbang bercampur dengan zarah-zarah udara bersih.
Nudra menjeling tajam sambil mengibas-ngibas udara yang sudah tercemar dengan asap rokok. Dia tidak suka tabiat Mubin yang kuat merokok itu. Dahlah merokok depan orang, tak pandai langsung hormat perasaan orang. Teruk betullah! Nudra merungut sendiri.
“Hey, kalau nak nak merokok pun jangan sampai meracun orang lain. Nak merokok, kat luarlah. Tahulah cucu kesayangan nenek, tapi takkanlah tak boleh hormat orang lain?” tingkah Ruslina yang melihat sikap tidak sopan Mubin sebentar tadi.
“Tak suka orang merokok, eh? Haa, nanti kalau dapat laki kuat merokok macam aku ni baru dia tahu. Waktu tu semuanya bau wangi,” Mubin mengejek.
“Kak Nudra jangan peduli sangat dengan Abang Mubin Kepala Senget tu. Dia tu bukan betul sangat. Kalau Kak Nudra ikut kepala dia nanti akak pun jadi ‘senget’ sama,” sampuk Ruslina yang duduk di kerusi menghadap ke tingkap.
“Eh, awak budak-budak lagi. Jangan nak menyampuk cakap orang tua. Baca buku tu dulu sampai habis. SPM pun belum lulus dah sibuk nak mengutuk orang. Jangan nak jadi macam orang lain yang suka dengki-dengki tuh. Jadi diri awak sendiri, tau?” balas Mubin dengan nada bergurau. Dia suka mengusik Ruslina kerana Ruslina sporting, tak macam Nabila yang panas baran dan tidak boleh dibawa bergurau. Dengan Nudra pun dia segan sedikit kerana Nudra ni pendiam orangnya.
“Tak apa, akak tengah nak menuntut jadi cucu kesayangan nenek ni. Manalah tau kalau-kalau dapat kedai emas sebijik,” Nudra mengenyit mata kepada Ruslina. Dia sekadar menyindir Mubin saja.
“Oh, ya ke? Haa… nanti jangan lupa ambil Lina jadi akauntan akak tau. Kalau tak dapat jadi akauntan pun, manager pun jadilah.” Ruslina membalas sambil menjeling ke arah Mubin. Mubin buat-buat tidak dengar sindiran sepupu-sepupunya itu. Katalah apa yang dia orang nak kata pun, semua itu tidak menjadi kudis baginya. Yang senang, dia.
“Kalau akak nak kerja jugak, nanti saya bagitahu nenek. Alah, perkara mudah je tu! Saya akan tolong nanti.” Mubin tidak mempedulikan perbualan Ruslina dan Nudra. Dia tidak pernah ambil hati walau apa pun yang kata-kata yang ditujukan kepadanya. Macam tak ada perasaan. Itulah yang sering diungkapkan oleh Ruslina kepada sepupunya.
“Ambil ajelah Kak Nudra kerja kat kedai emas abang tu. Haa… lantik Kak Nudra jadi manager ke. Tak boleh ke?” Ruslina tergelak kecil dengan ucapan sendiri.
“Diamlah budak mumayyiz! Suka sangat menyampuk cakap orang tua Orang suruh baca buku tak nak. Menyibuk hal orang,” herdik Mubin lagi. Dia suka buat Ruslina marah. Budak bertubuh ‘sihat’ itu suka melayan ‘gilanya’.
Ruslina mencebik lalu tertawa kecil. “Suka-suka hati je cakap orang mumayyiz…”
Janji Mubin membuatkan Nudra sedikit teruja namun masih ada keraguan di hatinya. Dia tidak pernah ada keyakinan pada diri sendiri. “Tapi Kak Nudra nak kerja apa ya? Kak Nudra ni bukannya ada kelulusan apa-apa pun.”
Bulat mata Mubin memandang Nudra. “Lah… nak kerja tapi tak tahu pulak apa nak buat. Akak ni teruk betullah! Patutlah kalau nenek marah pun. Eh, akak tahu tak, nenek tu pantang betul kalau orang yang tak ada cita-cita tau! Orang putih kata, tak ada vision. Haa… macam Vision 2020 tu. Orang lemah macam akak ni pada nenek memang layak duduk rumah aje.”
Nudra sekadar tersenyum malu. Apa yang dikatakan Mubin itu tidak disangkalnya kerana ada benarnya. Tetapi dia jadi begitu kerana nenek juga. Nenek yang membuat dia jadi pasif dan tidak bermaya. Dia selalu dianggap tidak berguna dan menyusahkan, lantaran itu segala kata nista itu melekat di hatinya dan menjadikan dia terus-terusan jadi lemah dan tidak bersemangat. Nenek dan makcik-makciknya selalu merendah-rendahkan kebolehnnya, justeru dia terus jadi takut untuk berdepan dengan dunia luar.
“Eh, saya nak keluar jap. Nak pergi ambil Erisha kat sekolah. Hari ni laki dia tu balik lambat. Nanti mengamuk pulak cikgu sorang tu. Saya pergi dulu tau! Malam nanti saya bagi tahu nenek. Akak fikir-fikirlah nak buat apa untuk masa depan akak.” Mubin sudah bangun sambil mencapai anak kunci dan kotak rokoknya di atas meja.
“Okey. Terima kasih Mubin.” Nudra yang terganggu bacaan novelnya sejak tadi mengangguk.
“Jangan lupa ambil Kak Nudra jadi manager kat kedai abang tau!” Jerit Ruslina masih mahu bergurau. Nudra tersenyum sambil menggeleng-geleng dengan telatah lucu Ruslina itu.
Mubin yang sudah sampai di muka pintu kembali menoleh. “Banyaklah manager engkau! Kak Nudra, satu lagi saya lupa nak bagi tahu. Surat-surat personal akak tu simpan elok-elok. Sekarang Nabila tengah jadi spy nenek. Dia tengah nak bodek nenek tu, so akak jaga-jaga. Saya dengar akak dah kantoi hari tu...” Ruslina dan Nudra saling bertatapan. Kini Nudra sudah tahu bagaimana poskad itu boleh berada di tangan nenek.

SEBAIK saja pintu bilik yang tidak berkunci itu di tolak, lagu ‘Crazy Frog’ memenuhi ruang bilik yang sederhana besar itu. Pandangan Nudra tertumpu pada setiap dinding bilik yang dicat dengan warna yang berlainan itu. Dinding sebelah katil dicat warna merah kusam, dinding yang bertentangan pula dicat warna putih dan dinding yang bertingkap itu berwarna biru gelap. Kemudian pandangan beralih pada lantai yang dihiasi karpet putih daripada bulu kambing, di hujung katil pula berselerak dengan majalah dan pakaian yang belum di cuci. Di sudut kiri pula televisyen terpasang tanpa siaran.
Itulah kali pertama dia menjengah ke bilik Nabila yang sentiasa memusuhinya itu. Lantaran itu dia jarang hendak berurusan dengan Nabila dan kalau boleh tidak ingin langsung ada apa-apa kaitan dengannya. Usahkan berurusan, bercakap pun jika perlu saja. Sepupunya yang ‘terlebih berlagak’ itu seolah-olah tidak hairan dengan kehadirannya di rumah besar itu. Dia terus tercegat di muka pintu, tidak berani untuk terus melangkah masuk. Bimbang pula kalau Nabila menuduhnya menceroboh. Malas dia hendak bertekak dengan orang seperti Nabila nanti perkara sejengkal akan jadi sedepa. Bosan!
“Hah, kenapa ni tercegat kat sini? Nak curi-curi masuk ya?” sergah Nabila yang berseluar pendek separas peha dengan baju tanpa lengan dari arah belakang. Matanya bulat merenung Nudra yang nampak terkejut dan sedikit cuak. Tangannya mencekak pinggang.
Pantas Nudra berpaling tatkala mendengar sergahan itu. “Kak Nudra nak jumpa Bila. Tadi Kak Nudra ketuk pintu tapi tak berjawab. Kak Nudra bukak la pintu ni. Ingatkan Bila tidur ke apa,” jawab Nudra cuba mengawal gemuruhnya. Dia hanya menunggu apa saja tindakan Nabila seterusnya. Perempuan itu bukan boleh dijangka, perkara kecil pun boleh kecoh satu rumah.
“Betul ke cari aku? Atau sengaja nak masuk masa aku tak ada. Kau nak apa sebenarnya? Nak jadi spy ya?” soal Nabila dengan kasar. Kemudian dia terus masuk ke dalam bilik dan melanggar bahu Nudra dengan sengaja.
Nudra mengetap bibir, geram sungguh dengan tuduhan tak berasas itu. Tindakan Nabila melanggar bahunya dengan sengaja itupun dirasakan sungguh tidak sopan. “Eh, Kak Nudra tak adalah nak jadi macam Bila tu. Suka menceroboh bilik orang!” balas Nudra berani. Rasa geramnya mengatasi rasa takut sekiranya Nabila mengadu kepada nenek atau Mak Ngah Sarah.
Nabila mendekatkan mukanya pada wajah Nudra sehingga gadis itu terdorong sedikit ke belakang. “Hey, jangan nak tuduh orang sebarangan! Dah la menceroboh bilik orang, suka-suka cakap orang begitu begini. Dasar anak pungut tak sedar diri!”
Nudra berundur setapak ke belakang. Dadanya berombak-ombak menahan perasaan. Dia tahu siapa dirinya. Tak payahlah Nabila hendak ingatkan pula. Sudah banyak kali Nabila menghinanya sebagai anak pungut dan terbuang. “Bila tak payahlah nak buat innocent. Betul kan Bila masuk ke bilik Kak Nudra ambil poskad tu dan bagi kat nenek? Apa tujuan Bila sebenarnya?” Nudra semakin berani untuk berhadapan dengan anak Cu Syira itu. Apa nak jadi, jadilah! Buat baik pun salah, buat jahat apatah lagi…
Nabila mengangkat bahu. “Apa yang kau sibuk sangat ni? Dah tahu buat salah dengan nenek, apa hal pulak kau datang nak serang aku ni?” Nabila sudah menyinga. Suaranya mula meninggi.
“Salah apa? Apa yang salah? Terima poskad dari seorang teman pun salah ke?”
Nabila tertawa mengejek. “Ooo… dari seorang teman. Bukan kekasih ke?”
“Nabila, Kak Nudra datang ni bukan nak bergaduh. Kak Nudra cuma nak tanya kenapa awak ambil poskad tu? Apa tujuan awak sebenarnya? Awak sengaja nak tengok nenek marahkan Kak Nudra, kan?”
“Tak kuasa aku saja nak tengok kau kena marah. Aku tak buat macam tu pun nenek memang dah benci dengan kau. Aku ambil tu sebab nak ajar kau supaya tahu peraturan kat rumah ni. Kalau nak bercinta pun tak payah nak sembunyi. Kalau tak ada benda tak elok, kau tak sorok-sorokkan?”
Nudra sudah malas hendak melayan angin Nabila. Makin dilayan makin sakit hatinya. Tanpa berlengah lagi dia terus angkat kaki dan berlalu ke biliknya. Suara ketawa Nabila terus mengiringi langkahnya.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

anim...nk habaq..kita sampai sini dulu...hehehehe..

Tanpa Nama berkata...

alah... tak acilah mar ni...*hentak2 kaki*

seri,
nanti seblm 'menyepi' tinggalkan n3 banyk2 yea wat pengubat rindu. hiks!

Tanpa Nama berkata...

hah? kak seri nak pi mana pulak...

Tanpa Nama berkata...

Salam seri...uhu hu hu marathon kaknOOr baca enovel seri.....sedeh lah pulak....gembira seri dah aktif menulis .....tertunggu-tunggu juga novel baru seri dipasaran.

Tanpa Nama berkata...

mar: dtg awal 2ni nk beljar ckp france ke?

anim: baik2 hentak kaki, rumah kita ni nak roboh... huhuhuu
lambat lagi kita nk 'menyepi' tuh... nnt kita pos dari kejau han ekkk

adhan: akak nk ke suatu tempat... hehhehehe.. nnt sms akak

kaknoor: rasa cam kenal jekk.. cam pernah jumpa je. betul tak? tkasih kaknoor sebab memeriahkan umah ni.