“KAK ZIRA, tolonglah jangan potong rambut saya sampai pendek. Ini saja yang saya ada untuk diri saya. Mak Tok marah benar kalau saya potong sampai pendek maca m ni. Dia kata tak baik perempuan berupa macam lelaki.” Suara Nudra tenggelam timbul dalam tangisan yang cuba ditahankan. Pilunya hati diperlakukan begitu, terasa diri langsung tidak disayangi dan dihargai. Sedihnya bila diri diperlakukan seperti banduan yang baru masuk penjara. Hah, rumah ni memang macam penjara pun! Bukan penjara… tapi neraka!
Kak Zira mendengus kasar. “Diam ajelah! Aku menurut arahan nenek kau. Dia suruh gunting pendek, aku gunting pendeklah. Faham?” herdik Kak Zira. Matanya bulat memandang Nudra melalui cermin besar di hadapannya. Padanya, setiap suruhan Wan Anum Sophia itu adalah arahan dan setiap arahan wajib dipatuhi. Dia kan makan gaji dengan Wan Anum Sophia, seharusnyalah dia taat dengan segala arahan majikannya. Kalau dia engkar, tentulah Wan Anum Sophia akan marah dan dia tiada lagi peluang untuk bekerja di situ. Silap-silap haribulan, gajinya pula yang dipotong. Dia bukan tidak kenal dengan Wan Anum Sophia yang tegas itu. Majikannya itu nampak saja lembut dan sopan tetapi hatinya tidak selembut gerak-gerinya.
“Kak…” Nudra tidak dapat meneruskan kata. Suaranya bertukar menjadi esakan yang sayu.
Kak Zira hanya mencerlun melalui cermin tanpa sedikit pun rasa belas. “Buat apa simpan panjang-panjang. Awak tu anak dara, gadis sunti bukannya nenek-nenek nak simpan rambut panjang. Kalau tak kemas, nanti orang kata anak dara tak tahu jaga diri. Malulah Puan Sophia ada cucu macam kamu. Lagipun susah nak jaga kalau panjang sangat. Nanti macam-macam haiwan buat sarang kat kepala tu,” bebel Kak Zira sambil meneruskan kerjanya.
“Nenek tak suka budak-budak simpan rambut panjang macam ni. Kalau nak jadi cucu Wan Anum Sophia kau kena kemas dan sentiasa nampak cantik. Kau tak tengok nenek kau tu? Semua orang cemburu dengan kecantikan dia. Kau kena ikut cakap dia kalau kau nak selamat dan jadi kebanggaannya. Tengok akak ni, dah berbelas tahun akak kerja dengan dia, tak ada masalah apa-apa. Dapat naik gaji lagi ada…” sambung Kak Zira dengan suara meninggi.
‘Akak tu kaki bodek!’ Sumpah Nudra di dalam hati. Air matanya terus laju membasahi pipi. Apalah malangnya nasib, pulang ke pangkuan keluarga sendiri tetapi tak ubah seperti dihumbankan ke pusat tahanan. Ada ibu pun bukannya boleh bermanja dan menumpang kasih. Apatah lagi nenek dan saudara-mara yang lain, langsung tiada kemesraan dan kasih sayang yang boleh diharapkan. Jauh lebih baik tinggal bersama Tok Ayah dan Mak Tok dulu, sungguh pun mereka tu hanya datuk saudara tetapi kasih sayang mereka tidak pernah luntur sedikit pun. Walaupun hidup sederhana namun hati senang-lenang...
“Saya tak mahu potong rambut ni,” ucap Nudra tegas sambil cuba bangun dari kerusi tetapi cepat-cepat Kak Zira menekan bahunya sehingga dia terduduk semula. Mulutnya mengaduh kesakitan.
Tangan Kak Zira yang tadinya begitu rancak menggunting terhenti seketika. Kepala Nudra ditunjalnya dengan hujung jari telunjuk. Nudra mengetap gigi menahan geram dan sakit hati diperlakukan begitu. “Diamlah! Kalau kau nak rambut kau ni jadi elok, baik kau jangan mengomel yang bukan-bukan. Kalau nak rambut engkau jadi macam badut sarkis, jeritlah kuat-kuat. Orang nak bagi dia cantik, dia bising pulak!” jerkah Kak Zira sambil menolak bahu Nudra pula. Nudra mengaduh kesakitan. Tetapi hatinya lebih sakit sebenarnya.
“Mak Tok tak suka saya berambut pendek…” Nudra masih cuba mempertahankan kehendaknya. Kalaulah Mak Tok tahu, tentulah Mak Tok juga akan sedih. Mak Toklah yang menggalakkan dia menyimpan rambut panjang. Setiap malam Mak Tok akan menyapu minyak kelapa yang sudah dicampur dengan daun pandan pada rambutnya. Kata Mak Tok, petua itu adalah untuk mengelakkan rambut dari beruban. Kemudian Mak Tok akan menyikat rambutnya dari atas ke bawah sebanyak seratus kali dan Nudra akan jadi tukang kira.
“Hey, Mak Tok engkau tu dah tak adalah! Dah mati. Orang mati mana boleh nampak rambut engkau ni panjang ke, pendek ke… Hey, dengar sini! Rambut ni akan panjang semula bukannya pendek terus. Kalau pendek terus pun lagi elok. Engkau tu tak tahu jaga kebersihan. Dah belasan umur pun masih comot macam budak kecil. Dah jadi cucu Wan Anum Sophia ni tak bolehlah nak macam kat kampung lagi.” Kak Zira terus menghina tanpa mempedulikan perasaan gadis itu. Rayuan Nudra dan tangisan Nudra langsung tidak menyentuh hatinya.
“Walaupun saya orang kampung, saya tahulah jaga kebersihan diri. Saya tahu macam mana nak jaga rambut biar sihat. Saya cuci dengan syampu paling kurang seminggu sekali. Tiap-tiap hari saya minyakkan dan tiap-tiap malam saya sikat seratus kali,” beritahu Nudra seolah-olah cuba meyakinkan wanita muda berambut perang itu walaupun dia tahu Kak Zira tidak akan mendengar kata-katanya. Biar Kak Zira tahu yang dia juga tahu menjaga rambut seperti orang lain walaupun dia asalnya orang kampung. Mak Tok tu, rambutnya tak beruban sampai tua sebab dia tahu macam mana nak jaga. Tak macam Kak Zira; nama aje pendandan rambut, umur baru tiga puluh tahun tapi uban dan merata kat kepala. Konon tak nak bagi orang nampak uban tu, diwarnakan rambut tu tanpa mengira halal haramnya.
Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menjerit sekuat-kuatnya. Tapi dia tahu, tidak ada ertinya dia bertindak sedemikian kerana tidak mungkin ada sesiapa pun yang akan membela nasibnya. Air mata Nudra terus laju membasahi pipi.
“Hah, dah sudah! Kan cantik tu...” Kak Zira tersenyum puas. Sudah lama dia cemburu dengan kecantikan rambut Nudra, dan kali ini satu peluang baginya untuk lakukan sesuka hati terhadap rambut gadis ini. Rambutnya yang hitam berkilat itu dirasakan tidak sesuai dengan gadis bernama Nudra. Entah kenapa dia merasakan Nudra tidak sepatutnya dianugerahkan rambut secantik itu.
MALAM itu sewaktu di meja makan, dia menjadi bahan ketawa. Kalau tidak kerana ibu beriya-iya memujuknya makan, dia pasti tidak akan bersama-sama ahli keluarga yang lain menikmati makan malam. Biarlah lapar, biarlah perutnya sakit asalkan telinga dan hatinya tidak sakit mendengar ejekan makcik-makcik dan sepupu-sepupunya.
“Wah, Nudra! Rambut baru nampak?” sapa Cu Syira sebaik saja dia menghampiri meja makan. Senyum sinis terukir di bibirnya.
Nudra buat-buat tidak dengar. Dia tahu Cu Syira menyindirnya. Makcik yang bongsu itu mana pernah nak senangkan hatinya. Ah, semua orang kat dalam rumah ini memang menyakitkan hatilah! Jerit Nudra di dalam hati.
Nudra duduk dengan malas di kerusi yang paling jauh agar tersorok dari pandangan Nenek Sophia. Kalau boleh, dia tidak mahu nenek ternampak perubahan pada rambutnya. Tapi semua itu adalah mustahil. Tambahan pula dengan rambutnya yang sudah berubah gaya seperti lelaki, tentulah menjadi tarikan dan perhatian nenek. Tentu nenek begitu teruja hendak melihat penampilannya yang baru seperti mana yang dia inginkan. Ya ALLAH, seumur hidup dia tidak pernah berambut pendek begitu. Rasanya mahu dia tarik kain yang mengalas meja buat menutup kepala.
“Eh, ada orang dah tukar imejlah! Dulu model gadis kampung, sekarang dah jadi model tomboy gitu. Lepas ni kau boleh join kawan-kawan aku yang tomboy tu. Tentu havoc giler…” Nabila yang baru muncul pula menyapa. Matanya bersinar riang seolah-olah seronok sangat melihat perubahan pada Nudra. Semua yang berada di meja makan ketawa dengan kata-kata Nabila. Segalanya menyakitkan hati ketika itu hatta bunyi sudu dan garfu pun boleh buat perasaannya terbakar.
Nudra terus membatu. Dan setiap orang yang masuk ke ruang makan akan mentertawakannya kecuali kedua-dua anak Mak Ngah Sarina; Syameer dan Ruslina. Ruslina nampak terkejut sementara Syameer pula buat-buat tidak perasan. Nudra menahan hati dan mulut dari berkata-kata. Bimbang juga kalau terlepas kata-kata yang akan tidak sepatutnya nanti. Maklumlah hati sedang panas terbakar oleh api kemarahan, macam-macam boleh jadi. Marah itukan percikan api yang ditiupkan syaitan, jadi kalau diturutkan rasa marah tu samalah seperti kita menurut bisikan syaitan. Pesan Tok Ayah itu masih Nudra ingat.
Munirah yang duduk di sebelah hanya membisu. Sesekali Munirah melirik kearah anak gadisnya yang kelihatan serba tidak kena itu. Kasihan… tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Nudra tahu, ibu cuba menyabarkannya. Ibu… ibu tak pernah hendak membelanya bila dihina begitu. Sampai bila ibu akan bersikap begini? Kadang-kadang dia sangat sedih bercampur geram dengan sikap ibu. Kalau macam ni, lebih baik dia tidak kenal siapa ibunya. Dia ingat, wanita yang bergelar ibu adalah manusia berhati mulia yang sedia membela dan berada di sisi baik di waktu suka mahupun duka. Rupa-rupanya ibu yang melahirkannya itu tidak begitu. Hati ibu bagaikan ais yang beku. Hati ibu bukan seperti air sungai yang tidak pernah henti mengalir. Sedihnya hati kerana tiada tempat hendak mengadu.
“Hah Nudra, kan cantik rambut macam tu… Ini tidak, macam orang tua-tua je dengan rambut panjang mengerbang. Duduk kat ceruk kampung bolehlah selekeh tapi duduk kat bandar ni nenek kenalah kemas.” Kata-kata Nenek Sophia menambahkan sakit di hati. Nudra buat tidak endah saja dengan komen neneknya. Seleranya mati. Nasi yang ditelan terasa berpasir. Dia hanya menjamah sedikit saja nasi yang terhidang lalu cepat-cepat mencuci tangan. Itu pun kerana untuk tidak memburukkan keadaan. Kemudian dia terus berlari ke belakang rumah dengan air mata yang mula mengalir tidak henti-henti.
“NUDRA…”
Nudra tidak mengendahkan suara yang menyapa. Dia malu untuk berhadapan dengan sesiapa jua di saat ini. Rasanya mahu saja dia menyorok kat atas pokok tepi kolam tu. Bukannya dia tidak biasa memanjat pokok sewaktu di kampung dulu. Air mata yang masih basah di pipi disekanya dengan hujung jari. Syameer melabuhkan punggungnya di sisi Nudra.
“Apa yang dah jadi sebenarnya? Kenapa macam ni? Cuba cerita kat Meer…”
Pertanyaan Syameer tidak berjawab. Nudra menahan sendu yang semakin mencengkam. Kehadiran Syameer menambahkan rasa pilu di hati. Tambahan pula dia sangat malu dengan rambutnya pendek macam budak tomboy itu. ‘Tomboy’- itulah gelaran baru yang diberikan Nabila sebentar tadi. Aduh, sungguh memalukan!
“Kenapa nangis ni?” Syameer bertanya lagi. Dia seolah-olah tidak tahu-menahu dengan apa yang terjadi meskipun dia sendiri menyaksikan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Dia benar-benar simpati dengan nasib sepupunya itu.
Dia tanya kenapa? Dia tak nampak ke apa yang berlaku di ruang makan tadi? Dia tak tahu ke, betapa malunya dia diperlakukan begitu oleh ahli keluarga yang lain? Syameer ni pekak ke buta? Nudra menyumpah-nyumpah di dalam hati. Kemarahannya terlampias kepada Syameer. Nudra bangkit untuk pergi. Dia ingin menjauhkan diri dari sesiapa saja. Agaknya beginilah amalan dalam keluarga Wan Anum Sophia yang dihormati ramai itu. Oh, alangkah buruknya mereka!
“Duduk dulu…” Syameer menarik tangan Nudra dengan pantas sehingga Nudra hampir terjatuh tetapi dia masih sempat mengimbangi badannya.
“Nudra nak naik ke bilik!” Nudra berusaha melepaskan pergelangan tangannya daripada cengkaman Syameer.
“Nudra, duduk dulu. Meer nak cakap ni. Meer tahu Nudra tengah sedih.” Suara anak bujang Mak Ngah Sarina itu kedengaran seakan memujuk. Dia begitu simpati dengan nasib sepupunya itu.
Nudra akur. Hatinya kembali sejuk sedikit tatkala terpandang wajah Syameer. Keikhlasan terpancar dari sinar matanya.
Keduanya membisu beberapa ketika. Bunyi cengkerik menjadi irama latar belakang mengisi ruang sepi antara mereka. Sesekali bunyi riuh di ruang makan yang terletak di tengah rumah singgah di gegendang telinganya. Darahnya kembali tersirap. Ah, itu tengah ketawakan aku la tu! Tuduh Nudra di dalam hati.
“Meer tahu, Nudra sedih sebab rambut Nudra dah pendek, kan?”
Nudra hanya mengangguk perlahan. Air matanya kembali membasahi pipi tanpa dapat ditahankan lagi. Sedih benar rasa hati bila mengenangkan rambutnya yang panjang itu sudah jadi begini. Aduhai…
“Boleh Lina join?” Tiba-tiba saja Ruslina muncul. Sebelum keduanya menjawab, Ruslina sudah duduk di sisi Nudra. Tangannya memaut bahu Nudra yang sedang tunduk. Dia turut simpati dengan apa yang telah terjadi terhadap Nudra. Dia sendiri merasa kesal kerana rambut Nudra yang lurus panjang itu sudah jadi sangat pendek.
“Sabarlah Kak Nudra. Lina tahu perasaan akak macam mana.” Ruslina cuba memujuk. Nudra angguk.
“Nudra jangan sedih sangat. Kalau orang gelakkan Nudra, Nudra diam aje. Biarkan mereka. Nudra baru di sini, mungkin Nudra belum biasa dengan karenah nenek. Dia nak yang terbaik buat cucunya,” nasihat Syameer, mengulangi kata-kata yang selalu diucapkan emaknya.
“Terbaik Meer kata? Nudra kena ejek, kena ketawa macam ni pun Meer kata baik?” bentak Nudra geram. Dia tidak peduli lagi apa yang mereka nak kata padanya. Kesabarannya sudah mencapai tahap maksima. Kalau Nenek Sophia mahu dia kembali kepada Tok Ayah pun itu lebih baik lagi.
“Meer faham perasaan Nudra. Jangan menangis lagi. Rambut Nudra tu masih boleh panjang lagi. Kalau Nudra malu nak ke sekolah, ada caranya…” Nasihat Syameer tak ubah seperti pakar motivasi pula.
Nudra angkat kepala. Dahinya berkerut-kerut, cuba memahami maksud kata-kata . Wajah Syameer yang bersahaja itu direnung dalam-dalam. Sepupunya itu selau saja berkias-kias. Kadang-kadang sukar baginya hendak menelah kata-kata Syameer. Kemudian dia memandang Ruslina pula meminta pendapat. Gadis itu hanya mengangkat bahu saja kerana dia sendiri tidak faham apa yang ingin disampaikan abangnya.
“Nudra, setiap yang cantik itu perlu disimpan kat tempat yang baik. Kalau kita ada barang yang cantik, yang mahal… kita mesti letak dia elok-elok, bungkus dia kemas-kemas supaya orang lain tak boleh pegang, tak boleh tengok. Betul tak?” ujar Tok Ayah tenang.
Dalam samar-samar cahaya lampu di tepi rumah itu Syameer merenung wajah Nudra. Kecantikan gadis itu memang terserlah tidak pernah dia nafikan dan kadangkala menggetarkan hati lelakinya. Kecantikan yang tidak diwarisi daripada ibunya, tetapi mungkin daripada ayahnya. Bagaimana rupa ayah Nudra ya? Itulah yang sering menjadi tanda tanya dalam dirinya.
“Maksud Meer, Meer nak Nudra pakai tudung?” soal Nudra dengan dahi berkerut.Ruslina membuntangkan mata kepada abangnya.
Syameer mengangguk sambil tersenyum, gembira kerana Nudra memahami maksud kiasannya. Sudah lama Syameer mahu melihat Nudra mengenakan tudung iaitu sejak mula-mula dia datang lagi tiga tahun yang lalu. Sungguhpun mereka ada pertalian darah, namun mereka tetap bukan muhrim dan masih sah untuk berkahwin. Baginya, biarlah kecantikan yang dimiliki gadis itu terpelihara dengan cara yang sepatutnya.
“Kecantikan pemberian Ilahi itu bukan untuk dijadikan tontonan umum. Ia adalah milik ALLAH dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh melihatnya. Meer, Mubin, Ezzad, Pak Ngah dan Pak Long semuanya tak boleh tengok. Lina pun sama, aurat tu kena jaga. Lagipun, ia hanyalah pinjaman saja. ALLAH suruh kita jaga dengan baik.” Syameer terus berkhutbah.
Nudra tunduk. Dia akui apa yang diucapkan Syameer itu betul. Tok Ayah pun pernah berpesan begitu sewaktu meninggalkannya di sini dulu. Sungguhpun dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk dengan kecantikan yang ada padanya tetapi kadang-kadang timbul juga perasaan bangga apabila dipuji. Rambut lurus hitam berkilat itu sentiasa menjadi tarikan dan perhatian orang. Kata Ruslina, dia boleh jadi model iklan syampu. Ah, itu hanya gurauan Ruslina! Takkanlah dia nak jadi model pulak… Nanti tak cukup mulut Nenek Sophia berleter dan tentulah juga akan mengecewakan Tok Ayah, seorang guru agama yang terkenal itu.
“Tapi Tok Ayah kata tak baik buat sesuatu tuntutan agama tu kerana orang lain, bukan kerana ALLAH SWT,” balas Nudra masih ragu-ragu. Tetapi dia teringat pesanan Tok Ayah suatu ketika dulu supaya dia menjaga auratnya apabila sudah baligh nanti. Mungkin peristiwa itu berlaku untuk menyedarkannya agar menurut pesanan Tok Ayah dan menunaikan tuntutan agama.
“Tak apalah, mula-mula sebab orang. Tapi lama-lama mungkin dengan sendiri hati kita jadi ikhlas,” nasihat Syameer lagi.
Sekuntum senyuman terukir di bibir Nudra. “Nenek tak patut buat Nudra macam ni! Nenek sengaja nak sakitkan hati Nudra. Nenek memang bencikan Nudra sejak dulu lagi. Bagi Nenek, Nudra ni memang tak guna.” Nudra melepaskan rasa yang telah lama terbuku di dada. Dengan Syameer dan Ruslina dia boleh luahkan apa saja perasaannya. Di antara sepupu-sepupunya, hanya dua beradik itu saja yang dia rapat serta percaya walaupun baru dua tahun dia kenali. Yang lain-lain semuanya menyakitkan hati saja.
Syameer menarik nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyakinkan Nudra yang dia juga sama seperti cucu-cucu nenek yang lain kerana dia sendiri nampak perbezaan layanan yang diberikan nenek kepada Nudra. Entah apalah yang nenek marah sangat dengan Nudra sehinggakan dia begitu bencikan gadis kecil itu.
PERISTIWA itu sudah berlalu enam tahun yang lalu namun masih segar dalam ingatan. Sejak itu dia merasakan semua penghuni rumah itu tidak menyayanginya. Mereka semua tidak ada belas kasihan. Ah, orang kaya memang sombong dan berlagak! Sumpah Nudra sendiri.
Wajah yang putih bersih itu diusap dengan kedua belah tangan. Setitis air jernih jatuh ke pipi. Kalaulah Mak Tok masih ada, tentulah dia tidak ‘tercampak’ ke rumah besar ini. Kalaulah dia bukan cucu Wan Anum Sophia… Astaghfirullahal’azim. Mengapa begitu sekali fikiranmu, Nudra? Mengapa kau kesali takdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa? Nudra mengusap mukanya sekali lagi, kali ini dengan penuh rasa insaf.
Kadang-kadang dia tidak mampu menghalang rasa kesal dilahirkan sebagai cucu Wan Anum Sophia meracun hatinya. Apa tidaknya; sejak dia menghuni rumah ini kebebasan tiada langsung buat dirinya, baik percakapan mahupun perbuatan. Di mata Nenek Sophia dia adalah punca segala masalah. Ada-ada saja salah yang dicarinya. Cakap salah, tak cakap pun salah. Duduk diam dikatakan malas, kalau buat kerja ada saja yang yang tidak kena. Pendek kata segalanya langsung tidak elok di mata nenek. Nudra jadi bosan sebosan-bosannya.
Dia benar-benar kesal dengan tindakan nenek mengambil poskad kiriman Iskandar dari biliknya tempoh hari. Dia tidak tahu apa silapnya sehingga nenek begitu marah sekali. Takkanlah hanya dengan kata rindu yang terungkap pada poskad itu menjadi satu kesalahan besar. Kalau ya pun, mengapa dia pula yang dimarahi? Bukan dia yang menulisnya. Dia pun tidak tahu kenapa Iskandar menulis begitu, mungkin sekadar ucapan biasa yang tidak bermaksud apa-apa. Yalah, mereka kan sudah lama tidak bertemu. Tentulah rindu... rindu seorang teman buat seorang teman. Salah ke? Buat apa nenek nak kecoh-koceh kerana Iskandar bukan kekasihnya. Ah, nenek memang sengaja nak cari salah aku!
Menjadi sebahagian daripada keluarga Wan Anum Sophia sepatutnya dia hidup bahagia. Nenek Sophia dari keturunan orang berada. Rangkaian kedai emas yang dimiliki sejak turun temurun sudah terkenal serata negeri Kelantan dan kini berkembang ke negeri Johor pula. Kata orang, kalau jadi anak cucu Wan Anum Sophia tak perlu hendak bersusah payah mencari kerja. Duduk goyang kaki pun masih boleh hidup senang, petik jari semua dapat. Mungkin ya bagi cucu-cucu nenek yang lain tetapi tidak untuknya. Si Nabila tu, apa saja yang dia nak pasti nenek turuti. Mubin pulak, muda-muda lagi nenek sudah serahkan kedai emas di Batu Pahat untuknya. Erisha pula adalah cucu kebanggan nenek kerana menjadi menantu kerabat di raja.
Sewaktu tinggal bersama Tok Ayah dan Mak Tok dulu, dia selalu fikir bahawa orang kaya hidupnya tentu bahagia. Maklumlah waktu itu hidup bersama Tok Ayah dan Mak Tok cukup sederhana, makan pakai ala kadar sahaja. Hendak merasa pakai baju baru, tunggulah hari raya. Tidak seperti di rumah Nenek Sophia, semuanya mewah-mewah belaka. Nenek akan memastikan anak cucunya makan makanan yang bagus-bagus dan enak-enak saja. Tidak pernah sekali pun Nudra tengok mereka makan dua atau tiga jenis lauk-pauk saja. Kebiasaannya akan penuh satu meja dengan pelbagai hidangan yang enak-enak. Begitu juga dengan pakaian, nenek akan memastikan anak cucunya tampil dengan anggun dan terutama apabila di khalayak ramai. Lantaran itu semuanya berjenama dan jika hendak menempah pakaian nenek akan pastikan mereka akan ke butik yang tertentu sahaja.
Kehidupan di rumah besar ini benar-benar buat dia merasa rimas dan terkongkong. Dia tidak bebas buat apa saja dan keluar ke mana saja yang dia suka. Semuanya kena ikut peraturan dan arahan nenek. Malangnya kehendak dan kesukaannya sering saja tidak selari dengan kehendak dan kesukaan nenek. Mungkin kerana sejak kecil lagi dia sudah biasa hidup sederhana.
Walaupun hidup dikelilingi kemewahan, namun sejak tinggal bersama nenek lapan tahun yang lalu, kebahagiaan seolah-olah tiada langsung dalam kamus hidupnya. Sejak mula dia datang lagi, nenek sudah menunjukkan kebenciannya. Nenek tidak pernah berwajah manis atau memandangnya mesra tetapi penuh curiga. Ucapannya sering saja menghiris perasaan dan melukakan hati. Entah kenapa nenek benci sangat dengan dirinya, dia sendiri masih tertanya-tanya. Kalau ikutkan rasa hati dia tidak ingin tinggal di rumah ini tetapi apakan daya sejak pemergian Mak Tok ke rahmatullah, Tok Ayah menghantarnya ke sini kerana tidak ada siapa yang boleh menjaganya.
Sekarang dia sedar, wang ringgit dan kemewahan bukanlah lambang kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan itu datang apabila hati dan jiwa tenang. Di rumah itu dia tidak ernah merasa tenang. Sungguhpun penghuninya ramai namun masing-masing hidup penuh hasad dengki sesama sendiri sedangkan darah yang mengalir dalam tubuh badan mereka adalah sama warnanya. Nampak saja pada zahirnya sesama mereka akrab dan mesra, tetapi di dalam hati hanya ALLAH saja yang tahu. Nudra sudah dapat membaaca sikap masing-masing sejak tinggal di situ.
Isnin, 13 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 ulasan:
seri thanks. update n3 nih..
nape type bab 6 jer letak lah n3 sekali ahaks! (ni kes permintaan melampau dah ni)
geram lah dgn Wan Anum Sophia tu... sian Nudra...blajar lagi lah Nudra jgn keje.. biar jauh dr Wan Anum hiks!
salam anim, tkasih kerana meninggalkan komen.
tadi masa kita post, internet slow. tak dan nak tgk balik. ni edit kat umah... hehehee...
ni dah kira kes penderaan mental...apapun x sabar kemunculan iskandar nanti *angkat2 kenin ziana zain kt seri*...
ei..tension giler dpt nenek perangai cam gitu..baik mendenya..berlakon baik depan org ramai...nasib opahku tidak begitu..*ye ke..heheheheh*
mar:
iskandar? naper tak sabar mar?
:D
adhan:
ada jugak nenek yang camtu.. harap2 kita dah tua nanti tak adalah dibenci cucu. yer tak?
nasib baik nenek2 akak pun baik2 belaka
Catat Ulasan