NUDRA HANEEM semakin resah menanti. Sudah lebih setengah jam dia menunggu di bilik rehat keluarga yang terletak di tingkat satu rumah itu. Alunan muzik sentimental yang sengaja dipasang melalui pemain cakera padat itu masih tidak mampu menenangkan hatinya yang keresahan. Nenek Sophia masih juga tidak muncul-muncul seolah-olah sengaja hendak mendera perasaannya.
Dalam kebosanan itu Nudra mengalihkan pandangan ke arah gambar keluarga yang tergantung di dinding sebelah kiri. Tok Aki dan Nenek Sophia diapit Mak Ngah Sarina dan Mak Lang Sarah. Di ribaan nenek pula duduk Cu Syirah yang ketika itu dalam kiraan Nudra mungkin baru setahun lebih umurnya. Di belakang pula berdiri ibu bersama seorang budak lelaki yang nampak sebaya dengan ibu tetapi jauh lebih tinggi.
“Siapa yang kat belakang tu, Mak Ngah?” Pernah satu ketika dulu Nudra mengajukan pertanyaan itu kepada Mak Ngah Sarina sewaktu mereka sama-sama bersantai di ruang keluarga.
“Itu Pak Long Safuan.” Ringkas saja jawapan Mak Ngah Sarina tanpa mengangkat muka dari majalah yang sedang dibacanya.
“Pak Long Safuan tu kat mana sekarang? Dah meninggal ya, mama?” Ruslina pula menyampuk. Nudra hanya menunggu jawapan Mak Ngah Sarina penuh minat.
Mak Ngah Sarina mengalih pandangan ke arah Ruslina sambil menjegilkan mata. “Kenapa sibuk-sibuk tanya ni?” Suara wanita bermata bundar yang agak tinggi itu sudah cukup untuk mengunci mulut Nudra dan Ruslina walaupun sebenarnya masih ada persoalan yang bermain di fikiran.
Nudra mengetap bibir. Setiap kali terpandang gambar itu, dia tidak dapat mengelak dari rasa bosan dan meluat. Ada rasa kesal menyelinap di hati. Dia tidak pernah bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Wan Anum Sophia. Malah, jauh di sudut hati ada rasa kesal kerana dilahirkan sebagai cucu wanita terkenal itu. Mengapalah dia tidak terus tinggal dengan Tok Ayah saja? Mengapa dia ‘dipulangkan’ kepada ibu dan neneknya sedangkan dia sudah cukup bahagia di sana. Sungguhpun Tok Ayah dan Mak Tok tidak berharta seperti Nenek Sophia namun kedua suami isteri itu kaya dengan kasih dan sayang. Ya TUHAN! Ampunilah dosaku kerana berperasaan begini. Aku sedar, itu semua adalah ketentuan-MU tapi aku tidak dapat menolak segala perasaan ini dari terus merajai hati.
“Nudra!” Suara tegas itu mengejutkan Nudra. Seorang wanita berkebaya batik sutera hitam sedang mengatur langkah dengan teratur ke arahnya. Kalung emas bertatah berlian yang menghiasi lehernya nampak berkilauan. Rambutnya yang ditumbuhi uban itu pula disanggul kemas. Wanita itu kelihatan masih kuat dan sihat walaupun usianya sudah mencecah enam puluh lima tahun.
Nudra yang masih terkejut dengan kemunculan Sophia yang secara tiba-tiba itu pantas bangkit dari tempat duduk sambil tunduk hormat lalu mencium tangan wanita anggun bergaya itu. Sophia angguk lalu memberi isyarat agar Nudra duduk semula. Dia sendiri duduk dengan penuh sopan di kerusi bertentangan dengan Nudra.
“Kenapa nenek nak jumpa Nudra?” Nudra sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui mengapa nenek ingin berbicara sendirian dengannya. Biasanya jika nenek hendak berjumpa sendirian begitu, ada perkara penting yang ingin disampaikan atau ada kesalahan yang telah dilakukan. Itu sudah Nudra maklum sejak dia menjadi penghuni di situ sepuluh tahun yang lalu. Fikirannya terus ligat mencari kesilapan yang mungkin telah dilakukan. Mungkin ibu sudah beritahu nenek tentang niatnya untuk bekerja lalu mengundang kemarahan nenek. Nudra terus meneka-neka sendiri. Wajah Sophia dipandangnya sebentar, cuba mencari jawapan dari renungan tajam itu.
Sophia meletakkan sekeping poskad ke atas meja dengan kasar. Poskad dengan gambar Sydney Opera House itu melayang ditiup angin dan terhenti di tepi penjuru kiri meja kopi kaca itu. “Ini poskad dari siapa?” Renungan Sophia semakin tajam menikam. Wajah Nudra berubah pucat sedikit. Tubuhnya berkeringat dan tangannya menggeletar. Dia tidak dapat fikirkan bagaimana poskad itu berada di tangan nenek sedangkan dia sudah menyimpannya baik-baik di dalam laci meja tulis di biliknya. Cepat-cepat Nudra menelan liur, cuba membasahkan kerongkong yang terasa berpasir. Baris-baris ayat sudah terhafal di mindanya nampak berbalam-balam saja. Dia lupa tentang Iskandar, dia lupa tentang rindu yang sudah berbunga dan telah mewarnai hari-hari sebelumnya. Yang ada kini hanya rasa gementar dan cuak menunggu tindakan atau hukuman Nenek Sophia seterusnya.
“Nenek tak patut curi-curi baca. Itu hak peribadi saya.” Terpacul kata-kata itu dari mulut Nudra. Rasa gementar dan cuaknya bertukar menjadi marah dan geram kerana dirasakan Sophia sudah menceroboh hak peribadinya.
Sophia menjegilkan mata. Darahnya tersirap dengan ucapan Nudra yang dianggap tidak sopan dan biadap itu. Pantang benar orang menjawab kata-katanya. Berani Nudra menuduhnya begitu. “Kamu jangan sesuka hati tuduh nenek bukan-bukan. Kamu memang tak tahu adab! Dalam banyak-banyak cucu nenek, hanya kamu sorang saja yang pandai menjawab.” Keras suara Sophia memberi amaran.
Nudra mengetap gigi. Dadanya berombak-ombak menahan rasa. “Bukan ke nenek dah tapis dulu semua surat yang sampai ke rumah ni? Kalau nenek tak suka, kenapa terlepas jugak ke tangan saya? Bukankah lebih baik saya tak tahu ada poskad yang dikirimkan untuk saya? Dan macam mana pulak benda tu ada dengan nenek semula? Seingat saya, saya dah simpan dalam laci meja yang berkunci,” ucap Nudra berani. Perasaan geramnya sudah menguasai diri. Dia sudah lupa dengan siapa dia bercakap. Langsung dia hilang hormat kepada orang tua itu. Ah, bukankah rasa hormatnya kepada Nenek Sophia sudah lama tinggal sifar, dan yang tinggal hanyalah sakit hati? Nudra menghitung sendiri perasaannya.
Sophia tertawa sinis lalu mencebik. “Tahu pun kamu setiap surat keluar masuk kat rumah ni akan masuk ke bilik nenek dulu. Kamu bercakap macam kamu tak pernah tahu-menahu pasal peraturan kat rumah ni. Kamu tahu tapi tapi kamu degil. Kamu buat juga apa yang dilarang. Kamu memang keras kepala!” Bebel Nenek Sophia. Hatinya sudah mendidih dengan kelancangan Nudra. Tak ada anak cucu aku yang degil macam budak ni! Bentak hati Sophia.
Nudra buat-buat tidak dengar. Kata-kata itu sungguhpun menyakitkan telinga dan hati, namun ia bagaikan tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Dia sudah lali dengan sindir perli nenek. Dia bukanlah cucu kebanggaan atau kesayangan nenek. Dia sekadar anak pungut dan terbuang, kalau tidak masakan dia dihantar jauh ke ceruk kampung untuk dibela oleh Tok Ayah dan arwah Mak Tok. Kalau nenek sayang, tak mungkin dia dipinggirkan. Sekarang, buatlah baik macam mana sekalipun kasih sayang nenek tidak akan sampai kepadanya. Jauh benar rasanya nak menggapai kasih darah daging sendiri. Sedihnya rasa hati hanya TUHAN saja yang tahu.
“Sekarang dah pandai surat-menyurat, dah pandai merindu-rindu. Dah tu berani pulak sorok dari nenek. Kamu ingat nenek tak akan tahu semua perbuatan kamu tu? Kamu ingat nenek ni bodoh sangat ke, Nudra?” Marah Sophia lagi.
Nudra mengecilkan mata. Dia tidak mengerti maksud kata-kata Sophia. “Sorok? Apa maksud nenek?” Laju saja pertanyaan itu keluar dari mulutnya.
“Kamu tak payahlah nak buat-buat tak tahu. Kamu tahu tak apa yang kamu buat tu satu kesalahan besar?” Sungguhpun nada suara Sophia tetap lembut namun pandangan tajam menikamnya, menusuk ke hati.
Nudra menelan liur. “Tadi nenek kata nenek dah baca poskad tu. Lepas tu nenek kata saya sorokkan poskad tu pulak. Memanglah saya sorok, sebab itu hak peribadi saya. Tapi saya pelik macam mana benda ni boleh ada dengan nenek semula. Nenek belum jawab pertanyaan saya. Apa maksud nenek? Saya betul-betul tak faham.” Nudra semakin keliru. Dia mahukan penjelasan neneknya. Kenapa dia dituduh menyorok poskad itu pula? Pelik…
Sophia mendengus. Budak ni memang kurang ajar. Suka melawan. Hatinya terus menggerutu. “Kamu tak payah nak bohong dengan nenek. Kamu suka berdolak-dalik. Tak payah nak tunjuk pandai. Kamu sudah lakukan tiga kesalahan. Pertama, kamu sorokkan poskad itu sebelum nenek baca. Kedua, kamu sudah pandai berhubung dengan lelaki tanpa pengetahuan nenek. Ketiga, kamu tuduh nenek yang bukan-bukan.”
Kata-kata Sophia itu membuatkan darah Nudra pula yang mendidih. Nenek sesedap mulut aje menuduh dia bukan-bukan. Itulah Nenek Sophia… Dari dulu lagi Nudra Haneem tidak pernah elok di matanya. Nenek memang tidak pernah percayakan dirinya. Tak guna dia menjawab kata-kata nenek. Silap-silap hari bulan nenek akan mengamuk sakan. Lalu Nudra mengambil keputusan untuk diam sahaja.
“Kamu dengar tak apa yang nenek cakap ni?” soal Sophia geram kerana Nudra berlagak seperti orang tidak bersalah.
Nudra mengangguk lemah. Ternyata Sophia sudah naik angin. Sophia tu nampak saja lemah-lembut dan bersopan-santun tetapi kalau dengan anak cucunya terutama dengan Nudra, dia akan berubah watak. Bila Sophia meradang dia boleh jadi seperti singa betina yang kelaparan dan bukan lagi Wan Anum Sophia yang lemah-lembut dan sopan bergaya. Huh, hipokrit! Gumam Nudra.
“Kamu tahu peraturan nenek, bukan? Kamu tahu apa yang paling nenek tidak suka, bukan? Kamu tahu nenek paling pantang kalau orang menipu, bukan?” Bertalu-talu Sophia bertanya. Matanya mencerlung tajam, seolah-olah mahu saja ditelannya gadis itu hidup-hidup.
Nudra angguk lagi sedangkan dalam hati dia memberontak. Tak guna dia melawan, tak guna dia mengucapkan sebarang kata kalau sekadar menempah bala. Nenek Sophia sudah meninggikan suara dan matanya sudah mencerun. Itu tandanya Nenek Sophia memang marah benar. Nampaknya Taufan Durian sudah bertiup…
“Jadi, kamu memang sengaja buat nenek marah? Kamu sengaja menyakitkan hati nenek? Kamu ni memang degil, Nudra!” Keras suara Sophia melepaskan kemarahan. Nudra hanya membisu sambil merenung karpet putih yang melapik kakinya. Oh, lebih baik mengira bulu karpet ni daripada mendengar leteran nenek yang entah apa-apa ni.
“Siapa budak Iskandar tu?” Pertanyaan Sophia membuatkan Nudra mengangkat muka lalu memandang tepat pada neneknya. Kenapa nenek benci sangat padanya? Persoalan yang sudah beribu kali, mungkin berjuta kali bermain di hati kembali meracun fikiran.
“Kawan satu sekolah dulu.” Suara Nudra antara kedengaran dengan tidak. Dia tidak berbohong. Betullah Iskandar tu teman sekolah dulu. Tidak lebih dari itu.
“Kawan apa kalau sampai merindu-rindu? Kamu kan dah lama habis sekolah, kenapa masih berhubung?” tingkah Sophia dengan jelingan yang cukup tajam. Nudra menelan liur sekali lagi. Hanya itu yang dia mampu lakukan untuk menyejukkan hati sendiri.
“Kamu sudah pandai berkawan dengan entah mana lelaki tanpa pengetahuan nenek. Entah-entah dah lama kamu sembunyi-sembunyi buat hubungan dengan budak tu,” tebak Sophia lagi setelah Nudra tidak membalas kata-katanya.
“Nenek, ini kali pertama saya terima berita daripada dia,” bantah Nudra dengan perlahan sekali. Dia harus pertahankan dirinya. Kalau tidak dia, siapa lagi?
Kedengaran Sophia melepaskan nafasnya dengan kasar. Wajah Nudra direnungnya sekali lagi. Kali ini agak lama. Setiap kali berdepan dengan gadis ini, dadanya terasa sesak. Kemarahannya meluap-luap. Peristiwa dua puluh dua tahun lalu kembali segar meskipun dia cuba padamkan dalam ingatan. Kehadiran Nudra di rumah itu membuatkan luka lama berdarah kembali. Sakit hatinya tidak pernah terubat. Selagi Nudra hidup, selagi gadis itu ada di depan mata, sakit hatinya tidak akan hilang. Kalau boleh mahu saja dihapuskan gadis ini dari muka bumi ini agar segala titik hitam itu terus lenyap dari sejarah keluarga Wan Anum Sophia, namun itu semua tak mungkin. Dia tidak berdaya melakukannya… Janganlah sampai sejarah berulang lagi.
“Nenek bukan tak bagi kamu berkawan, tapi kamu kena tahu caranya. Kita orang Melayu, ada adat dan tertibnya. Kamu kena sedar kamu tu cucu Wan Anum Sophia. Semua orang kenal dan hormat dengan Wan Anum Sophia. Kamu bukan budak-budak terbiar. Jangan kamu ingat kamu masih tinggal dengan Tok Ayah kamu kat kampung tu. Dalam surat budak tu sudah berani tulis macam-macam, belum lagi di luar. Budak-budak zaman sekarang lebih pandai dari orang tua. Itu yang buat nenek risau. Kamu jangan nak ikut apa yang ibu kamu dah buat dulu.” Sophia terus berleter tanpa mempedulikan kata-kata Nudra yang ingin membela diri. Suaranya kembali mengendur.
Nudra tunduk. Dalam hati dia memberontak. Pantang benar dia kalau nama Tok Ayah diburuk-burukkan. Nenek suka menuduhnya tanpa usul periksa. Sekali lagi dia merasa Nenek Sophia tidak berlaku adil. Kalau dengan dia semuanya tak betul, tak ada adablah, tak ikut peraturanlah… Takkanlah sekadar terima poskad daripada seorang teman pun boleh buat nenek meradang macam tu sekali? Mengapa pula kalau Nabila boleh pula buat apa saja yang dia suka? Bergaul bebas dengan sesiapa saja baik lelaki mahupun perempuan, pulang hingga larut malam pun nenek masih boleh diam. Nenek Sophia suka menuduh dia begitu begini tanpa usul periksa. Nenek tak pernah hendak dengar penjelasannya dulu sebelum membuat sebarang keputusan. Nudra semakin jauh hati. Nenek memang pilih kasih!
Jumaat, 10 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
eiii..bencinya dapat nenek atau sesapa saja yang perangai macam tu...tak tau nak menghormati privacy orang..kesiannya nudra..
adhan: :D
Catat Ulasan