RUMPUT yang masih basah dengan titis-titis embun nampak berkilauan disinari cahaya matahari yang baru saja muncul. Burung-burung pula sudah mula keluar dari sarang sambil berkicau riang. Syukur alhamdulillah kerana DIA menjadikan pagi itu cukup ceria dan mendamaikan, bisik Nudra perlahan.
Gadis berblaus merah hati labuh yang dikenakan dengan seluar hitam itu mendepangkan tangan seluas-luasnya sambil berbaring di atas tikar kecil. Sinar matahari pagi dibiarkan menjamah wajahnya yang putih bersih itu untuk beberapa ketika. Matanya dipejam rapat agar dapat menghayati setiap detik dalam suasana damai dan segar.
“Nudra…”
Perlahan gadis itu membuka mata sebaik saja satu suara menyentuh gegendang telinganya. Pemuda berambut pendek yang bersikat kemas itu sudah duduk bersila di sisinya. Dengan segera dia bangkit lalu duduk bersila sambil membetulkan tudungnya yang sudah tersenget sedikit. Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada pemuda berbaju T krim itu. “Meer… ingatkan siapa tadi.”
Lelaki berkumis nipis itu membalas senyuman Nudra. Surat khabar di tangannya di letakkan ke sisi. “Yalah, orang tengah bersantai. Macam senang hati aje… Meer tumpang gembira bila tengok Nudra senyum manis macam ni. Muka pun nampak berseri-seri,” ucap Syameer dengan nada ceria. Seketika dia merasa terpegun memandang wajah Nudra yang kemerah-merahan dipanah sinar matahari. Cantik!
“Tak adalah senang hati sangat... Saja releks-releks ambil udara segar pagi-pagi ni. Bukan ke Meer juga yang bagitahu Nudra, pagi-pagi macam ni kena ceria supaya sepanjang hari hidup kita akan ceria? Lebih-lebih lagi pagi yang indah macam ni, kan? Hmm… Kenapa, Meer tak suka tengok Nudra ceria macam ni?” soal Nudra sambil mengesat peluh di dahi.
“Kenapa pulak tak suka? Mestilah Meer pun gembira. Tapi wajah Nudra yang berseri-seri tu yang buat Meer musykil sikit la. Macam ada sesuatu yang buat Nudra happy sangat. Biasalah, riak wajah kan menggambarkan hati?” senda Syameer. Wajah gadis yang bujur sirih itu direnungnya dalam-dalam seolah-olah cuba membaca hatinya. Dia cuba mencari rahsia di sebalik keceriaan gadis itu. Ah, Nudra! Nak berahsia konon… Syameer mengulum senyuman.
“Tak ada aa yang nak dimusykilkan, Meer. Nudra biasa-biasa aje. Mungkin suasana damai macam ni buat jiwa kita tenang,” tukas Nudra girang. Ya, pagi yang damai… Tentulah mendamaikan hati. Syukurlah! Itukan nikmat ILAHI?
Syameer tersenyum. Anak gadis Mak Long Munirah itu bijak berkata-kata, cuma kadang-kadang Nudra lebih banyak diam dari berbicara. “Bukan Meer tak suka, tapi Meer ‘terpelik’ sikit. Mungkin ada mimpi indah malam tadi? Mimpi putera raja datang meminang mungkin?” Syameer sengaja menduga. Bukan dia tidak tahu sebabnya… Alah, katakan aje poskad itu yang buat hatimu berbunga riang, bisik hati Syameer.
Nudra melepaskan tawanya. Dia benar-benar ceria pagi itu. Semoga kegembiraan ini akan terus berpanjangan. Biarlah hidupnya selepas ini dipenuhi dengan warna-warna ceria. Sejak dia terjaga dari tidur tadi, dia sudah berazam untuk melupakan segala masalah yang membelenggu dirinya. Dia akan terima takdir ini dengan penuh redha. “Putera raja? Kelakarlah Meer ni… ada-ada aje,” balas Nudra. Tangannya meraih ranting kayu yang tidak jauh darinya lalu menguis-nguis rumput yang masih basah. Baris-baris ayat pada poskad yang diterima malam tadi terus melintas ingatan.
“Yalah, ada putera kangroo menjelma dalam mimpi.” Syameer cuba mencari reaksi pada wajah Nudra. Wajah yang sudah sedia kemerahan itu semakin merona merah.
“Putera kangroo?” Ketawa Nudra memecah lagi, buat-buat tidak mengerti dengan gurauan sepupunya itu. Terbayang wajah Iskandar dengan kostum kangroo. Lucunya… Tapi… Syameer dah tahu ke pasal poskad tu? Huh, ini tentu kerja Ruslina! Dia bukannya boleh berahsia dengan Syameer. Semua benda dia nak bagitahu abangnya itu. Pandai-pandai aje Syameer ni nak kenakan orang. Buat-buat tak tahu konon, padahal dia dah tahu semuanya. Nudra mengomel sendiri.
“Happy nampak?” Nabila yang muncul tiba-tiba menyapa dari arah belakang sambil terlompat-lompat untuk panaskan badan sebelum berjoging. Gadis berbaju lengan spaghetti dengan seluar pendek hingga ke paras lutut itu memandang tajam ke arah Nudra. Di telinganya terlekap ear phone yang bersambung dengan pemain MP3 di dalam poket seluarnya. Kepalanya terhingguk-hingguk mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Serentak Syameer dan Nudra menoleh ke belakang. Wajah Nudra berubah serta merta. Kehadiran Nabila di saat begitu tidak begitu disenangi. Dia umpama awan hitam yang muncul di saat matahari sedang bersinar. Gadis lincah itu selalunya akan merosakkan suasana ceria. Nabila memang tidak pernah senang melihat dia senang. Sejak dia hadir di rumah besar itu, begitulah layanan Nabila terhadapnya. Tidak pernah sekali pun Nabila berwajah manis atau berbicara dengan suara mesra dengannya. Nudra berharap agar sepupunya itu cepat-cepat berlalu.
“Mimpi apa ni, awal pagi dah bangun? Biasanya kalau hari minggu macam ni sampai Asar pun masih buat taik mata,” Syameer bertanya sambil memandang Nabila dari atas ke bawah. Suaranya kedengaran agak keras. Dia memang tidak begitu berkenan dengan penampilan Nabila dengan baju yang mendedahkan sebahagian tubuhnya itu. Rambutnya pula diwarnakan dengan warna kemerah-merahan. Apalah yang cantiknya rambut diwarnakan begitu. Dah elok ALLAH jadikan hitam, nak pulak warna-warni. Agaknya kalau ALLAH tumbuhkan rambut tu warna merah, suka tak hati dia? Pelik betullah remaja pasca-moden ni. Syameer terus menggerutu di dalam hati.
Nabila mendengus kasar. Dia mencebik tanda protes. Geram sungguh apabila ditegur begitu. Tambah lagi apabila Syameer memandangnya dengan lirik mata penuh curiga. Dia bukan tak tahu, Syameer memang tak suka padanya. Maklumlah Syameer tu cucu Nenek Sophia yang paling ‘skema’, selalu patuh pada peraturan dan arahan. Bukan macam dia yang rimas dengan segala macam peraturan dan tak boleh akur dengan apa jua arahan. Dia pun hairan macam mana Syameer boleh bahagia dengan cara hidup yang penuh disiplin itu. Elok sangatlah kalau Syameer jadi tentera atau polis bukannya peramugara seperti sekarang ini. Nabila berkira-kira sendiri.
“Eh, orang bangun awal pun susah ke? Suka hati orang la…Mama dengan nenek tak bising, dia pulak yang kecoh. Papa pun tak ada nak menyibuk macam dia ni.”
“Bukan susah, tapi pelik!” Syameer semakin meluat dengan sikap cucu Nenek Sophia yang seorang ini.
“Selalu menyibuk hal orang,” jerit Nabila sambil menarik muka masam.
“Hey, apa salahnya kalau jawab elok-elok! Pagi-pagi dah nak cari pasal. Cuaca elok macam ni pun angin monsun barat daya bertiup. Apa la…” bidas Syameer geram. Budak ni sorang memang tak reti adab. Kalau ikut hati dah lama Si Nabila ni kena lempang. Dia pun hairan macam mana Nenek Sophia sayang sangat dengan cucu yang sorang ini. Orang yang macam nilah yang memalukan keturunan Wan Anum Sophia. Syameer terus mencemuh sendiri. Panas sungguh hatinya dengan sikap Nabila yang tidak pernah hendak menghormati orang lain.
“Jangan dengki dengan oranglah! Dia yang duduk bercengkerama kat sini tu tak salah? Layanlah budak kampung tersopan se Malaya tu!” Balas Nabila sambil berlari pergi menuju ke kolam untuk berjoging. Dia memang sakit hati dengan Nudra Haneem. Ada-ada saja yang membuat hatinya panas membara apabila berdepan dengan sepupunya itu. Dia memang benci dengan Nudra. Dia merasakan gadis itu tidak layak jadi cucu Nenek Sophia. Dia pun hairan macam mana Nenek Sophia boleh terima balik anak pungut macam Nudra Haneem tu. Nudra tu nampak pasif dan dungu serta tidak memberi apa-apa keuntungan kepada keluarga mereka. Anak dan emak sama saja! Kutuk Nabila dalam hati.
Nudra dan Syameer saling berpandangan, sama-sama tidak mengerti maksud kata-kata Nabila sebentar tadi. Nudra angkat bahu lalu tertawa lucu. Hatinya lega kerana Nabila sudah beredar. Syameer pula geleng kepala.
“Meer memang geram dengan dia. Mulut tu kalau tak maki hamun orang tak sempurna hidup dia agaknya. Selalu cari pasal. Elok kena tampar je baru dia tahu. Tapi kalau depan Nenek, bukan main lagi. Bercakap pun macam orang berbisik dalam kelambu. Control ayulah, control sopanlah… Segala nak control. Elok jadi romote control je. Jiwa kacau betullah budak Nabila tu.” Rungut Syameer yang sememangnya meluat dengan tingkah laku Nabila .
Sekali lagi Nudra tertawa. Gelihati pula dengan telatah Syameer yang asyik mengomel pasal Nabila. Macam mak nenek! “Meer ni kenapa? Melalut sampai ke remote control. Merungut, membebel dari tadi. Eh, pedulikan aje Nabila tuh! Dia kan memang macam tu. Meer sendiri yang cakap, dia tu memang tak akan hidup aman kalau tengok orang lain senang.”
“Entahlah, kadang-kadang Meer risau dengan Nabila tu. Terlalu bebas. Meer takut kalau apa-apa jadi nanti kita jugak yang susah. Kat luar sana tu, macam-macam gejala sosial ada. Meer tak hairan kalau dia terpengaruh dengan segala macam benda yang tak baik.” Syameer membayangkan remaja-remaja yang berada di luar sana. Dalam hatinya dia berdoa agar Nabila tidak terjerumus ke lembah yang hina. Kalaua apa-apa terjadi, tentu mereka sekeluarga akan turut merasa malu.
Nudra mengangguk. Dia juga terfikir perkara yang sama setiap kali berdepan dengan sikap dan tingkah laku Nabila yang kasar dan agak biadap itu. Nabila ramai kawan dan kawan-kawannya pula nampak liar dan tidak tentu hala. Nudra selalu terserempak dengan mereka apabila dia pulang dari bandar. Kadang-kadang Nudra sendiri takut serta gerun melihat tingkah laku mereka ditambah pula dengan pakaian yang entah apa-apa itu. Tapi hairan, Nenek Sophia tidak pula bising dengan siapa Nabila berkawan dan apa yang Nabila lakukan bersama teman-temannya. Kalau dengan dia, Nenek Sophia akan soal macam-macam sampai dia puas hati.
“Ah, lupakan si Nabila tu!” Suara Syameer mematikan lamunan Nudra. “Berbalik pada topik kita tadi. Betul kan, ada putera kangroo datang dalam mimpi malam tadi?” Syameer masih hendak menggiat. Dia inginkan kepastian dari mulut Nudra sendiri dan dia juga ingin apakah hubungan Nudra dengan Iskandar di sekolah dahulu bukan sekadar kawan biasa. Tentulah lelaki itu seorang yang istimewa di hati Nudra, kalau tidak masakan… Syameer tersenyum sendiri.
“Apa-apalah Meer ni!” Wajah Nudra kembali merona. Renungan mata Syameer membuatkan Nudra resah dan tidak menentu. Oh, janganlah sampai Syameer tahu apa yang sedang dia rasakan saat ini!. Doa Nudra di dalam hati
“Nampaknya sepupu Meer sorang ni dah mula main api. Tak sangka ya...” Syameer semakin giat mengusik. Suka hatinya melihat Nudra yang malu-malu itu.
“Tak baik tau kata orang bukan-bukan,” balas Nudra yang sedikit menggelabah, tidak tahu apa yang patut diucapkan sebenarnya. Malunya jika dianggap terlebih ‘perasan’ hanya kerana sekeping poskad yang tiada makna apa-apa itu. Patutlah ada orang berkata, biar sakit ditimpa balak jangan sakit ditimpa perasaan. Aduh, teruk juga ditimpa perasaan ni, ya? Nudra tersenyum sendiri.
Syameer yang ternampak senyuman Nudra itu menggeleng-geleng. Senyuman malu-malu itu menambah keyakinan Syameer terhadap andaiannya. Sah, gadis itu sedang dilamun cinta. “Nudra, Iskandar tu buah hati ya? Ingatkan kawan biasa je.” Syameer sama juga seperti Ruslina, tidak begitu sabar untuk terus berteka-teki.
Nudra menelan liur. “Eh, apasal tiba-tiba timbul nama Iskandar pulak?” soal Nudra cuba menutup kekalutannya.
“Alah, kura-kura dalam perahu… Betul ke Is dengan Nudra ada apa-apa?”
“Taklah! Meer kan tahu Iskandar tu kan kawan Nudra je. Meer pun kenal dia masa sekolah dulu.” Darah merah menyerbu ke mukanya.
“Memanglah kenal. Tapi itu dulu… Mungkin dulu kawan biasa tapi siapa tahu sekarang ni dah berubah rasa?” usik Syameer lagi.
“Jangan nak buat andaian sendirilah Meer…”
“Alah, kalau dah berani tulis rindu-rinduan kat poskad tu takkanlah kawan biasa.” Syameer terus menduga. Ketawa Syameer yang panjang membuatkan Nudra semakin tidak tentu arah.
Isnin, 6 Ogos 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
11 ulasan:
Nudra mahu tapi malu.
tapi siapakah yang mampu memenangi hati nudra?
adakah iskandar dan hannan itu orang sama atau berbeza?
hmmm...
banyak betul persoalan di awal cerita :D
iskandar = hanan??? oh, tidakkkk! hehehe
kak seri..
salam kenal..selalu menjenguk rumah kak seri yg satu lagi tu dan baca novel akak tapi x pernah tinggal jejak....
beraninya nudra tu dok baring2 atas rumput basah dengan seluar putih... dia pakai sabun apa ya?boleh iejay beli untuk spare kalau iejay nak buat aksi yg sama..hehehe
syameer tu mesti ada hati ngan nudra kan seri kan kan kan...
seri.. huhuhuhu nape hari tak sangka seri update begitu cepat...
iejay... sabun daya.. lupa kan yang lain ahaks!
mar, animi chop iskandar tau... amr amiklah syameer...hiks!
iejay, salam kenal. kasih krn sudi bertandang ke blog baru yang serba kekurangan ni. rumpu tu tak berselut. ahaks!! guna sabun apa? sabun cap kapak... :P
mar: ????
ehem... naper ek kita rasa cam malu jekkkk. hahahha
anim:
benda dah ada, tinggal nk publish je kan?
akak...
kenapa saya terlambat tau? dah 2 n3 baru tau..ehem..lupa kat adik comel akak ni ke? hehehehe tahniah..teruskan menulis..ramai peminat akak tau..memang semua menanti karya terbaru akak...muah muah...
wah..perisik antarabangsa..entah-entah kan..iskandar bagi poskad tu melalui syameer tu pasal la syameer tau...:D
adhan: jgn la majuk.. ni baru testing... actually, akak malu ni nk wat enovel lagik. hahahah..
Catat Ulasan